Saturday 23 November 2013

Umat hebat jika suka membaca

ANTARA bukti masyarakat Malaysia khususnya Melayu Islam semakin minat membaca buku berunsur agama adalah pertumbuhan penerbit buku berunsurkan agama yang begitu subur beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini juga jelas dapat dilihat dengan jumlah jualan per judul buku dan juga jumlah penerbitan buku-buku berunsur agama oleh para penerbit. Selain itu, jumlah kehadiran ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun meningkat, sama ada dari segi jumlah kehadiran dan juga memberikan impak kepada jumlah dagangan.

Secara umumnya, buku agama dan peralatan ibadah dikuasai sekian lama oleh para peniaga yang daripada kalangan India-Muslim sejak zaman berzaman. Ini tidak terkecuali dalam bidang penerbitan buku dan juga majalah berunsur agama.

Namun mutakhir ini, semakin ramai Bumiputera Melayu-Islam terlibat, malah mencuba pelbagai formula bagi memastikan buku-buku terbitan mereka berjaya menarik minat masyarakat membelinya.

Hakikatnya sumber dalam penulisan dan perbahasan ilmu Islam itu sama sahaja atau sudah sangat banyak dan tidak berubah melainkan hanya dalam beberapa isu. Ini adalah kerana al-Quran dan al-Hadis tetap menjadi rujukan utama dalam asas perbahasan diikuti dengan kitab tafsir dan syarahnya dan kemudian kitab-kitab ijtihad para ulama salaf al-salih dan seterusnya.

Terlalu banyak karya ditinggalkan oleh para alim ulama dari dulu sehingga kini dan itulah sebenarnya asas kepada kehebatan tamadun dan sejarah Islam yang tidak diberikan perhatian serius bagi dikaji dengan mendalam.

Perbezaan penafsiran terhadap nas-nas itu pula adalah rahmat selagi mana ia tidak membawa ke luar batas usul aqidah dan usul ibadat sebagaimana terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Dalam Islam, bukan hanya bangunan dan mercu tanda hebat yang dibanggakan seperti tamadun lain, namun insan dan ilmuwan yang beradab dan berakhlak tinggi hasil daripada kefahaman yang amalan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah itulah kuncinya.

Justeru, bagi mengembalikan kegemilangan tersebut masyarakat Muslim mesti menjadi masyarakat pembaca sesuai dengan arahan ALLAH dalam Surah al-`Alaq, ayat 1-5. Sudah saya jelaskan pada tulisan yang lalu mengapa kalimah Iqra’ menjadi kalimah pertama dalam ayat pertama, sekali gus surah yang pertama.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam perbahasan mengenai budaya ilmu dalam buku Budaya Ilmu: Satu Penjelasan memanjangkan hujah Prof Dr Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa masalah umat yang mendasar pada hari ini adalah kerana masalah kekeliruan akan ilmu yang benar.

Namun, sebelum ilmu itu menjadi masalah kepada umat Islam - masalah yang terlebih dahulu perlu difikirkan adalah masalah budaya membaca atau berkaitan iqra’ itu sendiri. Ini kerana masyarakat yang berbudaya ilmu secara automatik adalah masyarakat membaca. Justeru, mana mungkin ilmu menjadi masalah kepada masyarakat yang tidak membaca dan memahami falsafah iqra’ itu sendiri.

Sebagai penerbit buku berunsur agama, antara formula yang Karya Bestari laksanakan dan sudah menunjukkan kejayaan adalah dengan menyanggahi fahaman ‘don’t judge a book by it cover’. Ini adalah kerana budaya dan selera rakyat Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan manusia di Barat - membaca buku sudah menjadi budaya mereka.

Justeru, sesebuah buku memerlukan persembahan kulit yang cantik menawan sekalipun ia adalah buku akademik, semi ilmiah atau seumpama selain daripada persembahan reka letak yang sesuai serta persembahan laras bahasa yang menyantuni daya baca masyarakat awam tanpa mengabaikan dapatan dan muatan ilmiahnya.

Dan, pastinya antara kunci kejayaan budaya membaca di Barat adalah kerana harga bukunya sangat murah. Ini adalah kerana kos bahan penerbitannya murah, namun peliknya kita di Malaysia masih mengenakan cukai kepada import kertas yang sekali gus termasuk dalam kos penerbitan!

*Rencana ini sudah diterbitkan tabloid Sinar Harian, hari Jumaat, 22 November 2013. Lihat di sini untuk versi dalam talian http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/umat-hebat-jika-suka-membaca-1.223460

Saturday 9 November 2013

Muslim dan ilmu berpisah tiada

SENTIASA saya lontarkan persoalan ini sama ada dalam ceramah, kuliah, penulisan dan sembang-sembang dengan rakan-rakan sewacana iaitu – kenapa ALLAH dalam menurunkan pada wahyu pertama, dalam surah pertama, pada ayat pertama, kalimahnya yang pertama adalah IQRA’?

Jika tujuan ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk Baginda menjadi seorang Muslim atau Mukmin, kenapa tidak wahyu yang pertama adalah “Islamlah kamu”, atau “Berimanlah kamu”, atau “Sujudlah kamu” Wahai Muhammad? Namun ALLAH memilih kalimah Iqra’ bagi dijadikan kalimah pertama dalam wahyu yang pertama.

Ini tidak lain adalah kerana Islam merupakan agama yang meletakkan ilmu dan keilmuan pada tempat yang tertinggi dalam hierarkinya. Mustahil seseorang yang jahil mengenai Islam khususnya rukun Islam dan Iman boleh menjadi seorang Muslim.

Ini adalah kerana seseorang yang ingin menjadi seorang Muslim wajib mengucap dua kalimah syahadah dan paling tidak memahami maksudnya. Mereka perlu belajar yakni mendengar dan memahami apa itu Islam dan juga makna kalimah syahadah sebelum sah menjadi seorang Muslim daripada seorang Muslim yang lain, nah… itu adalah suatu proses pembelajaran persis sahaja saat Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Jibril as.

Begitu juga dalam hadis-hadis banyak dinukilkan mengenai akidah daripada Rasulullah SAW yang bermula dengan kalimah fa`lam annahu Lailahailla Allah yang bermaksud “Maka ketahuilah” atau yang lebih tepat – “Maka berilmulah kamu akan (makna) Tiada ILAH melainkan ALLAH”.

Para ulama salaf al-salih yang memahami makna dan tafsiran Iqra’ dengan mendalam menterjemahkan dalam amalan kehidupan mereka dan ini jelas terbukti apabila mereka mula cenderung terhadap pengkajian ilmu-ilmu Islam bermula daripada al-Quran dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya dan al-Hadis dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya sehinggalah lahir karya-karya agung yang masih dirujuk sehingga pada hari ini.

Imam al-Bukhari rh memulakan penyusunan kitab sahihnya dengan hadis-hadis mengenai keutamaan ilmu dalam Islam, begitu juga dengan Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali rh dalam Ihya Ulumuddinnya yang diringkaskan dan dikemas kini pula oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisy rh bertajuk Mukhtasar Minhaj al-Qasidin.

Ternyata kehebatan ketamadunan dan budaya ilmu dalam sejarah Islam terhasil daripada kefahaman yang jitu terhadap falsafah Iqra’ lantas membawa agama Islam menjadi suatu kuasa dan pusat kepada perkembangan ketamadunan dunia pada suatu masa dahulu.

Kesan-kesan daripada budaya ilmu yang bertitik-tolak daripada kecintaan yang mendalam terhadap budaya membaca, berfikir, mengkaji, kritis inilah yang hilang daripada jiwa dan minda umat Islam hari ini khususnya di Malaysia.

Justeru penerbitan buku-buku agama termasuk al-Quran dengan persembahan kontemporari seperti 7 dalam 1 sebagai yang diterbitkan oleh Karya Bestari adalah tepat pada masanya.

Al-Quran Cordoba merupakan penerbitan menggunakan metodologi persembahan terkini dengan menggabung unsur-unsur cabang ilmu daripada al-Quran seperti hukum tajwid, terjemahan, tafsir daripada tafsir muktabar, huraian dengan hadis-hadis yang berkaitan, nota-nota fakta berkenaan dengan sejarah dan sebagainya dalam hanya satu naskhah.

Selain itu, Karya Bestari juga akan merancakkan penerbitan buku-buku agama dengan muatan perbahasan daripada sumber ilmu-ilmu Islam dengan persembahan luar dan dalam yang menarik sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini.

Dengan persembahan kulit yang cantik dan gaya penulisan menggunakan bahasa Melayu standard, ia akan melancarkan proses pembacaan, seterusnya meningkatkan daya faham serta mendekatkan seseorang pembaca kepada ilmu Islam, sekali gus kepada ALLAH dan Rasul-NYA, Insya-ALLAH.

Dengan penerbitan buku-buku agama dan al-Quran yang berkualiti tinggi lagi murah harganya ini (antara sebab budaya membaca di Barat sukses adalah kerana bukunya yang murah!), kita mengharapkan budaya ilmu semakin menyemarak dalam masyarakat kita, seterusnya mengembalikan kehebatan umat Islam dan Melayu sebagai umat berbudaya ilmu.

*Penulis adalah Editor Kanan Buku, Karya Bestari, Karangkraf Hubungi zahiruddin@karangkraf.com


*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian, 8 November 2013. Lihat di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/muslim-dan-ilmu-berpisah-tiada-1.218755

Sunday 3 November 2013

Apa selepas konflik Asia Barat kini?

Dalam media baru khususnya Facebook dan Whatapp beredar satu ‘printscreen’ daripada ruangan surat pembaca akhbar berbahasa Inggeris luar negara yang menarik bagi diberi perhatian. Ia semacam sifir ringkas dan padat yang menggambarkan keseluruhan krisis politik antarabangsa yang sedang berlaku pada ketika ini di Asia Barat.

A Short Guide to Middle East                              
From Mr KN Al-Sabah. 
Sir, Iran is backing Assad. Gulf States are against Assad! 
Assad is against Muslim Brotherhood. Muslim Brotherhood and Obama are against General Sisi. 
But Gulf states are pro-Sisi! Which means they are against Muslim Brotherhood?                
Iran is pro-Hamas, but Hamas is backing Muslim Brotherhood! 
Obama is backing Muslim Brotherhood, yet Hamas are against the US! 
Gulf States are pro-US. But Turkeyis with Gulf states are against Assad; yet Turkey                 is pro-Muslim Brotherhood against General Sisi. And General Sisi is being backed by Gulf States!
Welcome to the Middle East and have a nice day.              
K N Al-Sabah, 
London EC4, UK

Suasana politik di Asia Barat melibatkan negara-negara bangsa Arab yang majoritinya rakyatnya beragama Islam adalah rumit untuk difahami bagi mereka yang tidak mendalaminya secara menyeluruh berdasarkan sejarahnya yang panjang. Bermula dengan kelahiran Islam di kota Makkah sekitar 610 Masihi, apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada keagungan sejarah, tamadun, kebangkitan, kejatuhan sepanjang 1400 tahun sebelumnya.

Bagaimana mungkin untuk membicarakan apa yang berlaku pada hari ini tanpa mengetahui daripada mana krisis ini timbul, mengapakah ia timbul dan apakah matlamat yang mahu dicapai daripada pihak yang terlibat dalam krisis yang berpanjangan ini? Terlalu banyak persoalan dan terlalu banyak kekaburan. Apa yang pasti kezaliman sesiapa pun yang mengakibatkan kematian lelaki, wanita, tua, muda, kanak-kanak dan kemusnahan infrastruktur serta alam ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam malah agama apa pun di dunia ini! 
    
Relevankah lagi feudal monarki di Haramain

Jika diperhalusi secara teliti dalam sirah nabawiyyah, kita akan mendapati bahawa antara hikmah daripada pelantikan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin pertama sebuah pemerintahan berdaulat atas nama Islam adalah secara syura yakni persetujuan orang ramai daripada Aus dan Khazraj serta Ansar dan Muhajirin.

Cara pelantikan Rasulullah s.a.w. menyanggahi adat kebiasaan kerajaan-kerajaan sebelumnya kerana tamadun-tamadun agung sebelumnya seperti tamadun Yunani, Parsi, Mesir kuno, India dan China melantik pemerintah atau pemimpin berdasarkan kepada pewarisan keturunan meskipun anak mereka masih lagi seorang bayi.

Pelantikan empat orang Khulafa al-Rasyidin iaitu Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan dan Ali bin Abi Talib radiya’Llahu `anhum ajma`in juga tidak menjadikan sistem pewarisan takhta sebagaimana yang diamalkan dalam sistem feudal monarki sebelumnya. Hanya sehingga ke zaman Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufyan sistem pewarisan kembali berfungsi atas sebab-sebab permasalahan semasa yang tidak dapat dielakkan.

Al-Quran dan al-Sunnah tidak meninggalkan cara yang qat`i bagi proses pelantikan seseorang pemimpin namun menyatakan cirri-ciri yang perlu pada seorang pemimpin dengan jelas melalui keduanya.

Demokrasi mempunyai ruh syura

Intipati syura adalah mengambil kira pendapat ramai dan khusus dalam pembuatan sesuatu keputusan khususnya dalam persoalan kepimpinan, demikian para ulama fiqh membincangkan dengan rencam mengenai demokrasi khususnya setelah jatuh Khilafah Turki Uthmaniyyah yang merupakan khilafah terakhir Islam pada tahun 1924.

Sesetengah ulama yang menyandarkan diri mereka kepada manhaj salaf dan berada di sekitar negara-negara Arab di Asia Barat yang sistem pemerintahannya adalah feudal monarki sehingga kini dengan keras menolak demokrasi dengan alasan ia adalah suatu program dan sistem yang dicipta Barat dan ia adalah haram di sisi Islam.

Manakalah para ulama, sarjana dan pemikir Islam yang berada di negara-negara yang pernah dijajah oleh negara Barat mula membincangkan dan melahirkan idea-idea di luar konteks turath dan meraikan waqi`i zaman bagi memastikan maslahah umat Islam terjaga sehingga melahirkan penulisan-penulisan idea dan pemikiran yang tidak kurang kontroversinya antaranya oleh Shaykh Ali Abdul Raziq berjudul al-Islam wa Usul al-Hukm.

Kemudian perbincangan mengenai demokrasi dalam konteks Islam menjadi begitu meluas sementelah ia sudah menjadi realiti dan sebahagian daripada sistem masyarakat di hampir semua negara umat Islam yang pernah dijajah oleh Barat. Namun tiada satu penulisan pun yang mengatakan bahawa demokrasi adalah cara yang terbaik dan tepat menurut al-Quran dan al-Sunnah melainkan mengatakan bahawa demokrasi adalah sistem yang sesuai dengan keperluan zaman dan ia mempunyai ruh syura itu sendiri dalam aspek meraikan suara orang ramai dan Muslim perlu bijaksana dalam menggunakannya.

Malik ben Nabi yakin demokrasi adalah suatu ruang mendidik masyarakat untuk membuat pemilihan yang terbaik melalui sistem, begitu juga Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi secara jelas menulis dalam kitab Fiqh Dawlah bahawa demokrasi ada nilai syura dan harus dipraktiskan, malah Shaykh Rashid Ghanoushi selaku ikon kepada gerakan Islam Tunisia begitu sekali memperjuangkan hak-hak Islam dan keadilan melalui demokrasi. Demokrasi juga terbukti berjaya menaikkan nilai Islam di Turki di bawah pemerintahan Presiden Reccep Tayyib Erdogan yang menang pilihanraya Turki semenjak tahun 2003 melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Menggunakan sistem sekular liberal untuk Islamis berkuasa

Perkara yang sama berlaku di Mesir, apabila Presiden Mohammed Mursi berjaya menjadi presiden pertama Mesir melalui pilihanraya dan sistem demokrasi yang bersih. Namun ia kini dikhianati sendiri oleh golongan sekular-liberal yang mengagungkan demokrasi, hak kebebasan bersuara dan lain-lain.

Bukan sistem demokrasi itu sendiri yang bermasalah namun manusia yang terus-menerus melihat Islam dan Ikhwan Muslimin sebagai ancaman kepada mereka adalah punca di sebalik kekacauan di Mesir. Suara-suara yang mengkritik bahawa sistem demokrasi adalah punca kepada apa yang berlaku itu perlu bertanya kepada diri mereka, jika Mohammed Mursi naik daripada sistem yang mereka rasa betul itu, apakah puak sekular-liberal ini akan bersetuju dan tidak menentang?

Jelas ia bukan berkaitan dengan sistem, namun ia berkaitan dengan manusia yang tidak menjadikan kemanusiaan, ilmu dan adab sebagai pakaian hidup melainkan kepentingan khusus merekalah yang diutamakan. Benarlah Karl Marx apabila mengatakan bahawa krisis manusia berpunca daripada perut dan Sigmund Freud pula mengatakan berasal daripada kemaluan. Lama sebelum keduanya membincangkan mengenainya, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahu’Llah sudah membincangkan dalam karangan-karangan beliau dengan jelas dan detil mengenai persoalan hawa nafsu, ruh, jiwa dan akal.

Keduanya adalah berkaitan dengan nafsu dan kepentingan individu serta kelompok eksklusif. Jelas Islam serta kemanusiaan menentang kejahatan ini. Ironinya gejala inilah yang sedang berlegar di sekitar Asia Barat yang mana negara yang diperintah secara feudal monarki khususnya Arab Saudi. Kebangkitan Ikhwan Muslimin melalui Mohammed Mursi merisaukan raja-raja ini dan tidak hairan jika mereka dingin saatnya Mursi menjadi presiden secara sah dan segera memberikan bantuan billion dolar kepada junta yang mengganas sekarang atas nama bagi mengekalkan keamanan.

Sekilas mengenai Arab Saudi

Keluarga Ibn Saud setelah berjaya menundukkan semua kabilah Arab supaya tunduk kepada mereka dan dengan bantuan pelbagai pihak sama ada ulama dan penjajah berjaya menobatkan dirinya sebagai raja kepada Hijaz merangkumi beberapa jajahan termasuk Makkah dan Madinah. Mereka kemudian menamakan jajahan dan kekuasaan baru mereka itu sempena nama keluarga mereka iaitu Saudi, Arab Saudi.

Saban tahun mereka mengaut banyak keuntungan daripada gelaran ‘Pemberi Minum Jemaah Haji’ hasil daripada kebanjiran umat Islam seluruh dunia sama ada untuk menunaikan umrah dan juga haji. Selain daripada itu, Allah juga menganugerahkan mereka telaga-telaga minyak yang banyak dan bernilai tinggi menjadi kegilaan kuasa-kuasa Barat.

Segala kekayaan ini menjadi hak milik peribadi keluarga diraja Ibn Saud (boleh menonton dokumentari di Youtube) tanpa pernah kita mendengar duit yang banyak itu digunakan untuk menolong negara-negara umat Islam seperti mereka yang kebuluran di Darfur, Sudan.

Mereka yang dihimpit kekejaman pemerintah negara mereka sendiri di seperti Rohignya di Myanmar dan Uighur di China. Bukahkah sepatutnya duit daripada umat Islam seluruh dunia yang bernilai entah berapa trillion saban tahun itulah sebenar sumber utama bagi program memperkasakan umat Islam seluruh dunia tanpa prejudis bangsa dan batas kenegaraan? Namun kebanyakan kekayaan tersebut menjadi hak milik peribadi keluarga mereka sehingga mereka berbangga termasuk dalam nama orang-orang paling kaya di dunia.

Kesimpulan

Perang sudah berlaku, sama ada ia akan memakan masa yang panjang atau berhenti secara tiba-tiba, ia adalah segala kemungkinan yang boleh terjadi. Di sana masih ramai umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati kalimah Islam yang berasal daripada perkataan salam itu khususnya mereka yang benar-benar menghayati tarbiyyah Ikhwan Muslimin.

Membaca biografi tokoh utama Ikhwan Muslimin seperti Inside The Muslim Broterhood (sudah terbit dalam terjemahan bahasa Melayu dengan judul – Di Sebalik Ikhwan Muslimin) oleh Youssef Nada dan Douglas Thompson menyedarkan kita bahawa di sana ada ramai lagi mereka yang lahir daripada fikrah yang sejahtera yang sentiasa mencari jalan keamanan yang berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama manusia sejagat apatah lagi sesama Muslim, sesama bangsa dan antara rakyat negara itu sendiri.

Masanya akan tiba, saat raja-raja zalim yang berkepentingan peribadi ini dijatuhkan daripada takhta mereka dan kekayaan umat diserahkan sebagai dana membangunkan semula negara-negara Islam yang hancur kerana perang dan revolusi. Dunia ini bukan hanya seputar kegilaan para penguasa, ahli politik dan parti politik, Timur dan Barat sahaja… namun ia adalah berkenaan dengan kesejahteraan manusia sejagat.

Dengan kekayaan dan sumber tenaga yang dapat dikembalikan kepada penguasaan umat Islam dan diuruskan secara adil, Barat boleh dikekang dan ditundukkan dengan perjanjian-perjanjian bersifat kepentingan bersama atas nama ekonomi sebagaimana yang pernah dipraktiskan dalam sirah dan sejarah kegemilangan Islam lampau. Pastinya kuasa ekonomi sentiasa berjaya mengekang kuasa politik, yang diperlukan adalah seorang pemimpin yang disegani oleh semua orang Islam… di manakah beliau dan bilakah beliau akan muncul?

*Artikel ini diterbitkan oleh Majalah I, Karangkraf, bil. 132/Ok. 2013