Monday 16 September 2013

Perjuangan Dunia Buku di Malaysia

UNESCO menetapkan antara kriteria sebuah negara maju adalah penerbitan jumlah judul buku setahun bagi negara tersebut adalah 1% daripada jumlah keseluruhan populasi rakyatnya. Justeru Malaysia yang jumlah penduduknya dianggarkan seramai 27 juta orang mesti menerbitkan 27 ribu judul setahun.

Angka tersebut tidak pernah dicapai menurut rekod pengeluaran nombor siri ISBN buku yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Meskipun mutakhir ini, penerbit buku termasuk majalah muncul dengan mendadak yang pastinya meningkatkan jumlah penerbitan buku namun apakah alat pengukuran tersebut relevan bagi dinisbahkan dengan budaya membaca rakyat Malaysia?

Jumlah judul penerbitan vs jumlah jualan

Apakah jika Malaysia berjaya mencapai jumlah penerbitan buku yang disyaratkan oleh Unesco itu bermaksud rakyatnya sudah menjadikan membaca sebagai suatu budaya? Saya secara peribadi tida bersetuju dengan andaian tersebut.

Menerbitkan buku adalah kerja teknikal di mana dengan suntikan modal yang tinggi daripada mana-mana pihak khususnya kerajaan ia boleh dilakukan. Namun selepas jumlah penerbitan itu mencapai jumlah 27 ribu judul kemudian apa? Apakah jaminan yang boleh diberikan semua judul buku tersebut akan dibaca dan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia?

Namun bagi sebuah rumah penerbitan swasta sebagai contoh, apabila mereka menerbitkan satu judul buku dan buku tersebut berjaya dijual dalam masa kurang setahun sebanyak lebih 10 ribu naskhah dan sering diulang cetak, secara mudah satu judul buku tersebut boleh dianggap sudah dibaca oleh 10 ribu orang tidak termasuk yang berada di perpustakaan dan yang dipinjamkan sesama mereka.

Sewajarnya kita memahami bahawa perjuangan sebenar bagi seorang penulis, penerbit dan pengedar buku pada masa kini adalah bagaimana untuk memastikan buku-buku  yang ditulis, diterbitkan dan dijual dibeli oleh masyarakat umum dengan meluas.

Ironinya

Antara perkembangan bagus yang boleh dibanggakan adalah, rakyat Malaysia semakin suka membaca. Ini dibuktikan dengan jumlah jualan buku oleh penerbit dan kemunculan penerbit-penerbit baru yang agak meriah kebelakangan ini. Segmen buku berorientasikan agama antara yang menunjukkan lonjatan yang mendadak.

Namun pertambahan judul buku dan rumah penerbitan ini tidak selari dengan pertumbuhan kedai buku yang rata-ratanya semakin mengecil. Persaingan sesama buku dan penerbit dalam ruangan yang kecil itu sering menjadikan buku-buku yang bagus juga tidak dapat sampai ke tangan pembaca.

Sebagai alternatif, pemasaran atas talian mengambil tempat dan perlu diperkasakan kerana menjadi fenomena juga para pembaca lebih suka membeli melalui atas talian dan membayar sahaja caj servis penghantaran berbanding mereka terpaksa ke kedai buku atau pasar raya semata-mata untuk membeli sebuah buku.

Isu sebenar

Di sebalik pertumbuhan dan pengeluaran buku yang semakin meningkat itu, tiba-tiba penawaran produk yakni buku sudah melebih permintaan dan keperluan, ini kerana meskipun perkembangan di peringkat penerbit buku adalah positif namun pertumbuhan pembaca-pembaca sekali gus pencinta ilmu di Malaysia adalah amat lembap.

Kebanyakan mereka yang saban bulan pergi ke kedai buku dan membeli buku adalah orang yang sama. Justeru kuasa beli akibat daripada pertumbuhan pembaca yang tidak meningkat inilah yang menjadi masalah utama dalam pertumbuhan masa depan dunia buku selain daripada faktor-faktor lain seperti harga buku yang masih dikira mahal kerana secara teorinya jika harga buku boleh dijual dengan murah seperti di Barat maka kuasa belinya akan meningkat.

Para sarjana di universiti, pemikir-pemikir bebas, penerbit-penerbit buku baru dan lama, penulis-penulis buku ilmiah dan popular dan juga pekedai-pekedai perlu memikirkan bagaimana caranya untuk membina para pembaca buku tegar yang baru sekali gus pencinta ilmu. Barangkali ia boleh dikaitkan dengan Teori Domino, dan jangan berharap sangat dengan orang politik dalam bab ini!

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh The Malaysia Insider dengan tajuk yang sama di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/perjuangan-dunia-buku-di-malaysia-zahiruddin-zabidi

Friday 6 September 2013

Kesusasteraan Sebagai Alat Hegemoni Pemikiran Barat

DR. AHMAD AMIN (1886-1954), seorang intelektual Arab Mesir dalam buku Al-Yawm fi Al-Islam yang diterjemahkan oleh Haji Dusuki Haji Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman telah memberikan perhatian yang khusus kepada seni budaya khususnya sastera dalam membincangkan mengenai faktor jatuh bangun sesebuah tamadun khususnya dalam sejarah dan tamadun Islam. 

Antara lain beliau memberikan contoh bagaimana pada era kejatuhan Turki Uthmaniyah dan zaman kebangkitan sekularisme tajaan Kamal Attarturk. Attarturk dijelaskan menggunakan ruang yang wujud dalam kesenian dan kebudayaan bagi dijadikan sebagai alat hegemoni dan indoktrinisasi kepada masyarakat Turki pada masa itu.

Proses sekularisasi ala Attarturk meskipun hasil daripada kekeliruan dan salah faham dirinya sendiri kepada konsep sekularisme yang dicedok daripada Barat, semakin hari semakin berjaya menjauhkan umat Islam Turki kepada Islam yang dianggap sebagai kolot dan tidak bertamadun. Bermula dengan memusnahkan sistem dan penggunakan tulisan dan bahasa Arab dalam apa jua urusan kepada tulisan Rumi dan bahasa Turki sahaja. Dr. Ahmad Amin menulis:
Kemudian bahasa Arab dan Parsi dihapuskan dari bahasa Turki. Sebagai gantinya dicari perkataan-perkataan yang terdapat dalam bahasa Toghrul yang lama, sehingga nama-nama seperti Mustaffa Kamal telah ditukar kepada perkataan Ataturk. Pada tahun 1928 Mustaffa Kamal telah menjemput seorang ahli penggubah muzik berbangsa Hungary untuk mengajar di Maktab Muzik di Istanbul dengan tujuan untuk menyerapkan anasir-anasir Eropah dalam seni muzik Turki.  
Adalah menjadi perkara biasa bahawa sastera pada masa itu bergerak selaras dengan zaman kebangkitan ini, seperti seorang ahli sastera wanita Khalidah Adib yang menyertai Mustaffa Kamal di Anadul dan mengikutnya dalam peperangan pembebasan. Beliau menggambarkan peristiwa ini secara indah sekali dalam novelnya Baju Api
Mustaffa Kamal memberikan perhatian yang besar kepada seni dan sastera, kerana beliau sedar bahawa kedua-duanya dapat mendokong cita-cita dan aliran barunya. Dengan sebab itulah beliau menggalakkan arkitek-arkitek Turki supaya membina bangunan yang tersergam besar setanding dengan bangunan yang paling baru sekali yang muncul di Eropah. Beliau juga menggesa tukang-tukang pahat bangsa Jerman supaya memahat patung seperti yang terdapat di Eropah. Antara patung yang terpenting ialah patung Ataturk sendiri.  
Di samping itu beliau juga menjemput pelukis-pelukis Perancis untuk mengajar orang Turki teknik lukisan moden. Begitu juga dijemputnya ahli-ahli muzik yang masyhur, mereka ditugaskan untuk mengajar di maktab di Istanbul. Beliau memberikan galakan kepada sasterawan bergerak selaras dengan cita-citanya, seperti penyair ulung Abdullah Hamid dan penyair Ahmad bin Hasyim, begitu juga novelis Yaakub Kudri yang menulis novel-novel dalam bentuk moden. [Lihat Dr. Ahmad Amin (1985), Al-Yawm fi Al-Islam, terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Hj. Dusuki Hj. Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, h. 154]
Dr. Ahmad Amin juga bersetuju bahawa sastera merupakan cabang pendidikan yang wajar diberi perhatian besar di sekolah-sekolah. Ini kerana pihak Barat setelah menjajah negara umat Islam mula menjadikan sumber sastera mereka sebagai sukatan pelajaran dan diajarkan secara meluas kepada masyarakat tempatan. Karya sastera tersebut sekali gus secara halus menjadi alat menyalurkan nilai dan falsafah yang berakar daripada Barat sendiri sehingga kesannya jelas kepada generasi muda sama ada di Barat atau Timur, iaitu hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Dr. Ahmad Amin menjelaskan:
Di dalam bidang sastera dan sejarah, sukatan mata pelajaran yang terdapat di sekolah kita seharusnya berlainan daripada yang terdapat di sekolah-sekolah mereka. Mereka telah meracun fikiran kita dalam banyak perkara, umpamanya sukatan pelajaran dengan kata-kata bahawa “Seni untuk seni”, atau kata-kata mereka “Bahawa seorang sasterawan itu bebas, ia boleh berkata dengan apa yang ia suka”. Mereka meracunkan pemikiran kita dengan sukatan pelajaran sejarah mereka yang menegaskan bahawa pusat dunia berada di tangan orang putih, orang lain hanya menjadi pengikutnya sahaja. 
Jadi kita berkehendakkan satu program berpusat pada perasaan cinta kepad akemanusiaan seluruhnya, sasterawan hendaklah memperjuangkan dan cuba mencetuskan hasil sasteranya bukan semata-mata untuk melagukan keindahan dan kecantikan dan bukan untuk memuaskan hawa nafsu atau akan mendapatkan kekayaan. Nilai ukuran sastera ialah sejauh mana faedahnya untuk manusia. Sasterawan-sasterawan hendaklah menyintai kemanusiaan sekiranya ia dapat melupakan dirinya, penderitaannya dan juga kebendaan. Mereka seharusnya mempunyai perasaan yang mengandungi unsur yang menarik dan menakjubkan, tongkat seperti Nabi Musa yang apabila disentuh sesuatu perkara akan menggerakkannya, dan dapat menghidupkan batu yang mati apabila menerima sentuhannya, atau seperti perasaan iman yang menyentuh batu-batu untuk didirikan masjid-masjid dan kesan-kesan seni yang memberi faedah. 
Dusta sekali orang yang mengatakan bahawa ulama dan sasterawan mempunyai kelebihan kerana ilmu pengetahuan, maklumat yang banyak, kecerdikan yang tinggi, perasaan yang halus, kata-kata yang tersusun dan fikiran yang bernas dan ahli-ahli penyelidik pula mempunyai kelebihan kerana pengolahan mereka secara mendalam dan kesabaran dalam membuat kajian. Salah sekali orang menganggap bahawa kelebihan mereka itu dalam aspek tersebut, tetapi kelebihan mereka ialah kerana perasaan cinta dan ikhlas mereka terhadap kemanusiaan. 
Suatu keadaan yang mendukacitakan kita ialah bahawa tamadun moden telah merosakkan sains dan sastera, perasaan kemanusiaan telah dilenyapkan daripadanya. Sebagai ganti diletakkan semangat kebangsaan melulu yang dipenuhkan dengan perasaan kepentingan kebendaan. Perhatian tidak lagi diberikan kepada nilai-nilai yang tinggi, budi pekerti yang mulia, keindahan ma’nawi dan sebagainya. Dengan sebab itulah ia telah melahirkan muda-mudi yang hakikatnya adalah batu-bata yang tidak mempunyai perasaan dan hati, tanpa cita-cita dan perasaan sakit, baik muda-mudi Eropah mahupun muda-mudi Timur. [Ibid, h. 223-224]
Kemudian Dr. Ahmad Amin menjelaskan mengenai peranan sebarang mereka yang bergelar sasterawan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan kelebihan dan bakat yang Allah berikan kepada mereka. Beliau menjelaskan:
Seseorang sasterawan itu mestilah menyampaikan risalah untuk memberikan faedah kepada dunia. Dakwah yang digunakan oleh penanya mestilah merupakan api yang membakar, bukan untuk tujuan memenuhi kehendak-kehendak orang kaya dan bukan juga menjadi alat untuk hiburan semata-mata. Sasterawan-sasterawan yang hanya memenuhi kehendak-kehendak begini adalah sasterawan palsu. 
Sastera kita pada hari ini baik di Timur mahupun di Barat menjadikan wanita sebagai bahan sama ada dalam puisi, prosa atau novel, kesemuanya memuja dan membuat gambaran-gambaran yang terperinci tentang kecantikan dan kejelitaannya. Seni juga memuja dan menggambarkan wanita dan kejelitaan mereka di suratkhabar, majalah-majalah dan buku-buku, seolah-olah tidak ada perkara lain yang wujud kecuali wanita dan ini dengan jelas membayangkan aliran moden sekatang. [Ibid., h. 227]
*Sebahagian daripada rencana ini diterbitkan oleh bahagian Sastera, Mingguan Malaysia.

Monday 2 September 2013

Fenomena Universiti Terbuka Atas Talian

PADA hari Ahad bersamaan 25 Ogos 2013 yang lalu, satu simposium telah berlangsung di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM). Simposium tersebut diberi nama Simposium UTAM.

UTAM adalah akronim kepada Universiti Terbuka Anak Muda, mereka sebenarnya terdiri daripada anak muda Malaysia yang kini merupakan siswa di pelbagai universiti di pelbagai negara sama ada di United Kingdom, Amerika, Jepun, Jordan, Mesir, Arab Saudi dan pelbagai lagi termasuk Malaysia.

Anak muda ini bergabung hanya melalui atas talian dan membuka laman Facebook rasmi mereka, laman sesawang dan akaun Youtube atas nama Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM). Antara aktiviti teras mereka adalah syarahan individu daripada ahli-ahli organisasi bebas tanpa hieraki itu secara atas talian pada masa dan hari yang sudah ditetapkan.

Individu dan tajuk perbentangan adalah bebas berdasarkan kepada kesuaian dan kecenderungan ahli tersebut dan biasanya mereka banyak membicarakan dan berkongsi ulasan mengenai buku-buku yang mereka sudah baca tanpa batasan genre tertentu. Bermula daripada buku genre agama, falsafah, sejarah, pemikiran sehinggalah genre travelog.

Mereka sokong-menyokong antara satu sama lain walaupun saya yakin ada di antara mereka hanya berkenalan melalui atas talian sahaja atas nama bagi membudayakan wacana intelektual. Bukan sahaja kru, namun sesiapa sahaja yang punya kemahuan dan idea bagi dikongsikan akan diberi peluang bagi memberikan syarahan malah mereka juga menjemput tokoh-tokoh tertentu yang sudi.

Tokoh politik pelbagai warna

Simposium Ahad lalu memperlihatkan komitmen kru UTAM bagi mendatangkan satu budaya wacana intelektual yang sudah lama hilang dari kalangan siswa Malaysia. UTAM berusaha mengembalikan budaya intelektual kritis, ini terpancar jelas daripada tajuk yang menjadi fokus simposium dan juga tokoh-tokoh yang dijemput.

Bermula dengan ucapan perasmian oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kemudian diikuti ucaptama bertajuk “Budaya Ilmu dalam Tajdid Politik Malaysia” oleh Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman, profesor dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam yang juga merupakan seorang daripada pentadbir Centre for Advance Studies On Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia.

Program diteruskan dengan perbentangan kertas kerja oleh jurnalis, pengkritik sosial dan penganalisis politik bebas tanah air, Fathi Aris Omar dengan perbentangannya yang bertajuk “Demokrasi, Melayu dan Islam”. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Dr Mohammad Alinor, mantan pensyarah dan kini aktivis intelektual bebas khusus dalam bidang matematik dengan tajuk “Pendidikan Kritis dan Kreatif Berasaskan Budaya Sendiri”.

Sesi petang pula telah diadakan sebuah forum yang juga mendatangkan tokoh-tokoh politik sekali gus intelektualis seperti Wan Saiful Wan Jan, ketua pegawai eksekutif  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Profesor Dr Tajuddin Rasdi, seorang akademia dan YB Liew Chin Tong, kedua mereka daripada DAP. Forum bertajuk “Intelektual Awam dan Politik: Merentas Semangat Partisan” di pengerusikan oleh Anas Alam Fazli, kru UTAM.

Tiba-tiba saya tertanya, di manakah wakil daripada PAS (atau Dewan Pemuda PAS Pusat)? Apakah mereka memang tidak menjadi pilihan utama kru UTAM bagi program ini atau ada yang sudah dijemput tiada yang dapat memenuhi jemputan atau bagaimana? Hanya kru UTAM tahu jawapannya!

Dimensi politik baru

Melihat kepada gelagat anak muda UTAM yang semuanya adalah ulat buku dan lebih selesa berbicara hal-hal serius berkaitan masa depan agama, politik dan ekonomi negara rentas pragmatisme taksub partisan secara kritis dan analitis, seakan ada sinar yang begitu cemerlang untuk generasi baru Malaysia menuju ke atas keadilan sosial yang sejagat selari dengan tuntutan Islam.

Ironinya semester baru universiti tempatan akan berlangsung tidak lama lagi, ia akan memperlihatkan gelagat siswa tempatan sama ada yang  berjenama jemaah atau persatuan masih terbelenggu dan pening bagi memikirkan program apa semester ini yang mahu mereka anjurkan. Ini kerana mungkin pilihan yang terlintas di benak majoriti daripada mereka - forum dengan tajuk Monyetnya Cinta Kita atau Berukkah Cinta Mereka!

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian dengan tajuk UTAM Cetus Fenomena Baru di alamat http://www.sinarharian.com.my/karya/entri-blog/utam-cetus-fenonema-baru-1.197701.