Monday 9 December 2013

Kerjasama institusi agama, media

TAHNIAH diucapkan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) kerana berjaya menghimpunkan sejumlah karyawan belakang tabir media seperti editor, wartawan dan penerbit TV dalam satu program yang cukup bermakna.

Bengkel Diskusi Isu Islam Semasa yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap pada 20-21 November lalu turut menghimpunkan agamawan dan ilmuwan daripada panel pemikir isu Islam semasa PMWP sendiri.

Pengisian hari pertama antaranya oleh Ustaz Muhammad Ariffin bin Ismail dengan tajuk Peranan Wartawan Dalam Menghadapi Isu Semasa, Encik Mafis bin Mohd. Samuri dengan tajuk Perkembangan Dakyah dan Musuh-musuh Islam.

Pada sebelah petang peserta ditayangkan filem My Name Is Khan dan pada belah malamnya sesi analisis dan bedah filem dijalankan dengan perkongsian daripada semua peserta. Asasnya adalah untuk melihat bagaimana pemikiran pluralisme agama yang jelas dipromosikan dalam filem tersebut dan menilainya daripada perspektif Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dengan kritis. Sesi tersebut dikemudikan oleh kedua penceramah sebelumnya.

Pada hari kedua, sesi dimulakan dengan penyampaian oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin dengan tajuk Fahaman-fahaman Menyeleweng Daripada Ahli Sunnah wal Jamaah diikuti dengan penyampaian oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah kanan di Pusat Kajian Tinggi Islam dan Sains (CASIS), UTM dengan tajuk Konsep Pluralisme Agama Daripada Perspektif Islam dan Barat.

Program pada hari kedua ditutup dengan ucapan penangguhan daripada SS Dato’ Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan selepas sesi soal-jawab dan dialog antara pembentang dan peserta. Rata-rata peserta yang merupakan karyawan media berpuas hati dan menyatakan keperluan bagi program sebegini diteruskan pada masa depan dengan pengisian dan perbahasan yang lebih mendasar dan ilmiah.

Secara umumnya tujuan program ini adalah bagi menjelaskan kepada pihak media agar berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu berita atau bahan selain perlu merujuk kepada autoriti yang sahih serta selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab akidah Asy`ari/Maturidi, mazhab fikah Syafi`i dan ilmu tasawuf aliran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h.

Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kekeliruan dan bertembungan berterusan dalam masyarakat akibat daripada pandangan-pandangan yang tidak biasa terpakai dalam negara ini. Selain daripada itu, keutamaan kita adalah fokus kepada isu-isu yang lebih besar seperti ancaman golongan pro liberalisme, pulralisme agama, feminisme, LGBT, ajaran-ajaran sesat dan seumpamanya.

Dalam masa yang sama, menurut Ustaz Muhammad Ariffin sewajarnya kesesatan-kesesatan isme-isme yang pelbagai ini dilawan dengan hujah-hujah ilmiah daripada disiplin pengajian ilmu Islam dan kajian-kajian saintifik serta sains sosial semasa. Tindakan undang-undang bagi terus mengharamkan hanya akan mempopularkan lagi mereka malah kadang-kadang itulah yang mereka mahukan.

Jika golongan tersebut sengaja mencabar kesucian akidah dan syariat Islam lalu menyerangnya melalui buku, justeru perlu dilawan dan dihujah kembali dengan buku. Begitu juga jika mereka menggunakan media baru, justeru tulisan-tulisan bersifat memurnikan dan menjelaskan mengenai ajaran Islam yang hakiki perlu juga disebarkan dan diperbanyakkan dalam media baru.

Mengehadkan masyarakat awam kepada satu sumber dan aliran juga sudah tidak lagi relevan mengenangkan fenomena langit terbuka mutakhir ini. Apa yang lebih tepat adalah membuka ruang hujah dan perbincangan secara bertingkat sesama ahli ilmu sebelum disebarkan kepada masyarakat secara terbuka.

Khilaf adalah rahmat jika kena cara menguruskannya, namun jika masfadahnya lebih besar dan menyebabkan masyarakat semakin berpecah lebih baik ia hanya dibincangkan dalam kelompok tertentu sahaja seperti komuniti di universiti yang tugas mereka sememangnya berfikir dan mengkaji bagi mengemukakan solusi yang terbaik buat umat. 

Walau bagaimanapun, umat perlu didedahkan kepada disiplin pengajian dua sumber utama dalam Islam jika mereka benar-benar mengaku ASWJ iaitu al-Quran dan ilmu-ilmunya serta al-Hadith yang sahih dan ilmu-ilmunya selain daripada ilmu-ilmu pemikiran dahulu dan kini bagi memastikan penilaian yang dibuat tidak bersalahan dengan wahyu dan logik akal kewarasan. 

Ini adalah kerana ASWJ yang sejati adalah mereka yang menjadikan manhaj al-Quran dan al-Hadith sebagai rujukan utama dalam perbincangan usul akidah dan usul ibadah selain menggunakan akal yang sihat dan cerdas dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara yang bersifat semasa seperti dalam isu politik partisan. 

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi berpegang teguh akan keduanya, iaitu kitab ALLAH dan sunnah Rasul-NYA.” (Imam Malik, dalam al-Muwatta’)

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 4 Disember 2013, edisi atas talian boleh dibaca di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/kerjasama-institusi-agama-media-1.227153