Friday 6 September 2013

Kesusasteraan Sebagai Alat Hegemoni Pemikiran Barat

DR. AHMAD AMIN (1886-1954), seorang intelektual Arab Mesir dalam buku Al-Yawm fi Al-Islam yang diterjemahkan oleh Haji Dusuki Haji Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman telah memberikan perhatian yang khusus kepada seni budaya khususnya sastera dalam membincangkan mengenai faktor jatuh bangun sesebuah tamadun khususnya dalam sejarah dan tamadun Islam. 

Antara lain beliau memberikan contoh bagaimana pada era kejatuhan Turki Uthmaniyah dan zaman kebangkitan sekularisme tajaan Kamal Attarturk. Attarturk dijelaskan menggunakan ruang yang wujud dalam kesenian dan kebudayaan bagi dijadikan sebagai alat hegemoni dan indoktrinisasi kepada masyarakat Turki pada masa itu.

Proses sekularisasi ala Attarturk meskipun hasil daripada kekeliruan dan salah faham dirinya sendiri kepada konsep sekularisme yang dicedok daripada Barat, semakin hari semakin berjaya menjauhkan umat Islam Turki kepada Islam yang dianggap sebagai kolot dan tidak bertamadun. Bermula dengan memusnahkan sistem dan penggunakan tulisan dan bahasa Arab dalam apa jua urusan kepada tulisan Rumi dan bahasa Turki sahaja. Dr. Ahmad Amin menulis:
Kemudian bahasa Arab dan Parsi dihapuskan dari bahasa Turki. Sebagai gantinya dicari perkataan-perkataan yang terdapat dalam bahasa Toghrul yang lama, sehingga nama-nama seperti Mustaffa Kamal telah ditukar kepada perkataan Ataturk. Pada tahun 1928 Mustaffa Kamal telah menjemput seorang ahli penggubah muzik berbangsa Hungary untuk mengajar di Maktab Muzik di Istanbul dengan tujuan untuk menyerapkan anasir-anasir Eropah dalam seni muzik Turki.  
Adalah menjadi perkara biasa bahawa sastera pada masa itu bergerak selaras dengan zaman kebangkitan ini, seperti seorang ahli sastera wanita Khalidah Adib yang menyertai Mustaffa Kamal di Anadul dan mengikutnya dalam peperangan pembebasan. Beliau menggambarkan peristiwa ini secara indah sekali dalam novelnya Baju Api
Mustaffa Kamal memberikan perhatian yang besar kepada seni dan sastera, kerana beliau sedar bahawa kedua-duanya dapat mendokong cita-cita dan aliran barunya. Dengan sebab itulah beliau menggalakkan arkitek-arkitek Turki supaya membina bangunan yang tersergam besar setanding dengan bangunan yang paling baru sekali yang muncul di Eropah. Beliau juga menggesa tukang-tukang pahat bangsa Jerman supaya memahat patung seperti yang terdapat di Eropah. Antara patung yang terpenting ialah patung Ataturk sendiri.  
Di samping itu beliau juga menjemput pelukis-pelukis Perancis untuk mengajar orang Turki teknik lukisan moden. Begitu juga dijemputnya ahli-ahli muzik yang masyhur, mereka ditugaskan untuk mengajar di maktab di Istanbul. Beliau memberikan galakan kepada sasterawan bergerak selaras dengan cita-citanya, seperti penyair ulung Abdullah Hamid dan penyair Ahmad bin Hasyim, begitu juga novelis Yaakub Kudri yang menulis novel-novel dalam bentuk moden. [Lihat Dr. Ahmad Amin (1985), Al-Yawm fi Al-Islam, terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Hj. Dusuki Hj. Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, h. 154]
Dr. Ahmad Amin juga bersetuju bahawa sastera merupakan cabang pendidikan yang wajar diberi perhatian besar di sekolah-sekolah. Ini kerana pihak Barat setelah menjajah negara umat Islam mula menjadikan sumber sastera mereka sebagai sukatan pelajaran dan diajarkan secara meluas kepada masyarakat tempatan. Karya sastera tersebut sekali gus secara halus menjadi alat menyalurkan nilai dan falsafah yang berakar daripada Barat sendiri sehingga kesannya jelas kepada generasi muda sama ada di Barat atau Timur, iaitu hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Dr. Ahmad Amin menjelaskan:
Di dalam bidang sastera dan sejarah, sukatan mata pelajaran yang terdapat di sekolah kita seharusnya berlainan daripada yang terdapat di sekolah-sekolah mereka. Mereka telah meracun fikiran kita dalam banyak perkara, umpamanya sukatan pelajaran dengan kata-kata bahawa “Seni untuk seni”, atau kata-kata mereka “Bahawa seorang sasterawan itu bebas, ia boleh berkata dengan apa yang ia suka”. Mereka meracunkan pemikiran kita dengan sukatan pelajaran sejarah mereka yang menegaskan bahawa pusat dunia berada di tangan orang putih, orang lain hanya menjadi pengikutnya sahaja. 
Jadi kita berkehendakkan satu program berpusat pada perasaan cinta kepad akemanusiaan seluruhnya, sasterawan hendaklah memperjuangkan dan cuba mencetuskan hasil sasteranya bukan semata-mata untuk melagukan keindahan dan kecantikan dan bukan untuk memuaskan hawa nafsu atau akan mendapatkan kekayaan. Nilai ukuran sastera ialah sejauh mana faedahnya untuk manusia. Sasterawan-sasterawan hendaklah menyintai kemanusiaan sekiranya ia dapat melupakan dirinya, penderitaannya dan juga kebendaan. Mereka seharusnya mempunyai perasaan yang mengandungi unsur yang menarik dan menakjubkan, tongkat seperti Nabi Musa yang apabila disentuh sesuatu perkara akan menggerakkannya, dan dapat menghidupkan batu yang mati apabila menerima sentuhannya, atau seperti perasaan iman yang menyentuh batu-batu untuk didirikan masjid-masjid dan kesan-kesan seni yang memberi faedah. 
Dusta sekali orang yang mengatakan bahawa ulama dan sasterawan mempunyai kelebihan kerana ilmu pengetahuan, maklumat yang banyak, kecerdikan yang tinggi, perasaan yang halus, kata-kata yang tersusun dan fikiran yang bernas dan ahli-ahli penyelidik pula mempunyai kelebihan kerana pengolahan mereka secara mendalam dan kesabaran dalam membuat kajian. Salah sekali orang menganggap bahawa kelebihan mereka itu dalam aspek tersebut, tetapi kelebihan mereka ialah kerana perasaan cinta dan ikhlas mereka terhadap kemanusiaan. 
Suatu keadaan yang mendukacitakan kita ialah bahawa tamadun moden telah merosakkan sains dan sastera, perasaan kemanusiaan telah dilenyapkan daripadanya. Sebagai ganti diletakkan semangat kebangsaan melulu yang dipenuhkan dengan perasaan kepentingan kebendaan. Perhatian tidak lagi diberikan kepada nilai-nilai yang tinggi, budi pekerti yang mulia, keindahan ma’nawi dan sebagainya. Dengan sebab itulah ia telah melahirkan muda-mudi yang hakikatnya adalah batu-bata yang tidak mempunyai perasaan dan hati, tanpa cita-cita dan perasaan sakit, baik muda-mudi Eropah mahupun muda-mudi Timur. [Ibid, h. 223-224]
Kemudian Dr. Ahmad Amin menjelaskan mengenai peranan sebarang mereka yang bergelar sasterawan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan kelebihan dan bakat yang Allah berikan kepada mereka. Beliau menjelaskan:
Seseorang sasterawan itu mestilah menyampaikan risalah untuk memberikan faedah kepada dunia. Dakwah yang digunakan oleh penanya mestilah merupakan api yang membakar, bukan untuk tujuan memenuhi kehendak-kehendak orang kaya dan bukan juga menjadi alat untuk hiburan semata-mata. Sasterawan-sasterawan yang hanya memenuhi kehendak-kehendak begini adalah sasterawan palsu. 
Sastera kita pada hari ini baik di Timur mahupun di Barat menjadikan wanita sebagai bahan sama ada dalam puisi, prosa atau novel, kesemuanya memuja dan membuat gambaran-gambaran yang terperinci tentang kecantikan dan kejelitaannya. Seni juga memuja dan menggambarkan wanita dan kejelitaan mereka di suratkhabar, majalah-majalah dan buku-buku, seolah-olah tidak ada perkara lain yang wujud kecuali wanita dan ini dengan jelas membayangkan aliran moden sekatang. [Ibid., h. 227]
*Sebahagian daripada rencana ini diterbitkan oleh bahagian Sastera, Mingguan Malaysia.

No comments:

Post a Comment