Tuesday 18 June 2013

Kisah 5 - Kepentingan Penulisan dalam Islam

PENULISAN adalah suatu aktiviti penterjemahan pemikiran ke dalam bentuk perkataan-perkataan yang membentuk ayat dan mampu menyampaikan sesuatu maksud melalui bahasa yang difahami oleh pembaca. Segenap kehidupan manusia dari dulu sampai pada hari ini dan pada masa depan, tidak terlepas daripada aktiviti penulisan sebenarnya apatah lagi pada zaman serba moden ini.

Melalui penulisan, peristiwa-peristiwa dan data-data penting dapat direkodkan dan kemudian dirujuk semula. Melalui penulisan, seseorang boleh menggantikan dirinya sendiri kepada penulisan yang ditulisnya kerana biasanya seorang penulis akan menulis sesuatu yang rapat dengan dirinya sendiri.

Menurut Kamu Dewan ke-IV penulisan bermaksud penulisan perihal atau kegiatan dsb menulis (mengarang dll), hasil drpd menulis (menga­rang dll): dlm usaha meringankan hikayat ini saya telah mengikuti gaya ~ yg asal; versi 1965 ialah ~ kembali teori asal dgn beberapa pindaan dan tambahan;  

Kepentingan menulis dan penulisan amat banyak khususnya apabila ia melibatkan dan menjadi antara faktor ilmu itu berkembang. Menjadi kebiasaan dalam sejarah dan tamadun dunia, tamadun yang hebat dan berjaya berasal dari sebuah masyarakat yang cintakan ilmu dan mereka yang mencintai ilmu adalah mereka yang cinta kepada buku atau bahan bacaan dan bahan bacaan itu memerlukan aktivit menulis dan penulisan bagi ia menjadi sebuah buku pula.

Dakwah bermaksud ajak, jemput, pelawa dan seumpamanya. Dalam konteks pemahaman syariah dakwah adalah mengajak ke jalan yang diredai Allah.Satu daripada cabang dakwah yang penting adalah melalui penulisan (dakwah bil kitabah) dan ini sudah dibuktikan melalui catatan sejarah.

Kepentingan penulisan dalam dakwah dan Islam itu secara umumnya sangat penting dan menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya adalah sebuah agama yang benar dan bukan agama yang direka-reka dan diada-adakan oleh manusia sebagaimana yang didakwa oleh orientalis.

Dalam al-Quran ada satu surah yang dinamakan khas dengan nama yang sangat signifikan dengan penulisan iaitu Surah al-Qalam. Kepentingan kalam atau penulisan itu kemudian dinyatakan oleh Allah dalam ayat terawal surah tersebut yang bermaksud:

“Nuun.Demi pena dan apa yang mereka tulis.”

Kemudian, Allah menyatakan betapa pentingnya kalam digunakan untuk menentukan sesuatu perkara sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran, ayat 44 yang bermaksud:

“Peristiwa yang demikian ialah sebahagian daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah antara mereka yang akan memelihara Mariam dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Mariam).”

Paling penting adalah kenyataan Allah dalam wahyu pertama dalam Surah al-‘Alaq, ayat 4 yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)”

Sekilas Kepentingan Penulisan al-Quran dan Hadis

Bayangkan jika al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. tidak ditulis? Meskipun pengumpulan semua ayat al-Quran dilakukan pada zaman Khalifah Umar ibn al-Khattab dan berjaya diselesaikan dan dimushafkan pada zaman Khalifah Uthman ibn Affan, dan hadis hanya mula dikumpul dan ditulis atas arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz iaitu di penghujung abad pertama hijrah.

Dapatkan kita bayangkan apa yang terjadi kepada Islam dan sumber keilmuan jika Khalifah Umar bin al-Khattab r.h., Khalifah Uthman  bin Affan r.h. dan sahabat yang masih ada tidak melakukan ijtihad untuk mengumpul dan membukukan al-Quran. Rasulullah s.a.w. pula tidak mengarahkan para sahabat berbuat demikian dalam hayatnya malah Baginda melarang para sahabat mencatat hadis kerana dikhuatiri tertukar dengan al-Quran meskipun Baginda sendiri punya jurutulis peribadinya.

Al-Quran telah ditulis pada pelbagai medium seperti pada kulit binatang (biasanya kambing, unta dan kuda), kulit kayu dan tulang-temulang secara tidak tersusun, sehingga pengumpulannya dilakukan dan disusun dan berjaya menjadi satu mushhah (buku) pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a., namun pada ketika itu sistem baris dan titik masih  tiada kerana kebanyakan daripada umat Islam boleh membaca al-Quran kerana mereka kebanyakannya menghafal al-Quran sama ada sedikit atau banyak selain daripada mereka sendiri adalah orang Arab yang fasih berbahasa dan membaca perkataan Arab.

Selepas pembukuan al-Quran berjaya dilakukan, pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, baginda telah memerintahkan supaya pengumpulan hadis Rasulullah s.a.w. dilakukan dan dibukukan. Beberapa orang ulama telah ditugaskan untuk melaksanakannya. Antara kitab pengumpulan hadis yang terawal dalam sejarah keilmuan Islam adalah kitab Al-Muwatta’ yang disusun oleh Imam Malik r.h. Kemudian diikuti dengan kitab Sunan Sittah yang disusun oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam An-Nasaie dan Imam Ibnu Majah. Selain daripada mereka ramai lagi ulama kemudian mengembangkan ilmu hadis dan tidak hanya terikat kepada periwayatan yang bersifat ilmu riwayah sahaja namun juga berbentuk ilmu dirayah.

Boleh dikatakan hasil daripada perekodan kedua sumber utama dalam Islam inilah  yang melahirkan pelbagai cabang ilmu pengkhususan kemudiannya dan ia terus berkembang dan berkembang hingga ke zaman ini. Bolehkah kita bayangkan jika ulama dan para imam itu tidak melakukan kerja merekod dan melaporkan apa yang mereka terima sama ada al-Quran atau hadis? Pastinya semua itu sudah larut bersama zaman dan jasad para ulama yang telah pergi termasuk para syuhada.Namun Allah menekankan kepentingan penulisan sebagaimana yang dapat kita fahami daripada ayat-ayat al-Quran di atas.

Paling tidak daripada penulisan al-Quran, ia telah berkembang kepada ilmu baru atau satu inovasi dalam penulisan matan Arab al-Quran iaitu dengan tercipta penulisan huruf Arab yang mempunyai baris dan titik kerana seiring dengan perkembangan Islam ke seluruh dunia dan semakin ramai manusia bukan Arab memeluk agama Islam. Penciptaan baris dan titik telah memudahkan proses pembelajaran al-Quran.

Daripada penulisan al-Quran juga telah lahir ilmu tajwid, ilmu tafsir, ulum al-Quran, lungah, balangah, ‘ijaz al-Quran dan sebagainya. Daripada penulisan hadis, telah muncul ilmu syarah matan, al-jarh wa ta’dil, dan keduanya amat penting bagi para ulama mengistinbatkan (proses pengeluaran) hukum yang bersifat semasa yang tiada secara putus (qat’ie) dalam al-Quran. 

Begitu juga dengan ilmu hadis, apabila para imam hadis mencari dan merawikan hadis daripada perawi-perawinya lantas menulisnya mereka sangat detil dalam merekodkannya, mereka bukan sahaja merekod apa yang Rasulullah kata (matan hadis) namun merekod sama daripada siapa mereka ambil laporan hadis tersebut dan mereka itu pula dapat daripada siapa sehingga kepada Rasulullah s.a.w. 

Hasil daripada perekodan ini maka muncul ilmu sanad hadis iaitu rantaian para perawi hadis yang kemudiannya membiakkan pula ilmu menilai dan mengkritik para perawi hadis itu (al-jarhu wa ta’dil) da nada pula ulama yang mengembangkan dengan merekod biografi setiap daripada para perawi itu (rijal al-hadis). 

Lama selepas ilmu tafsir al-Quran muncul maka ilmu mentafsir atau syarah hadis-hadis yang direkodkan oleh para imam ahli hadis juga muncul, ini menyebabkan ilmu hadis berkembang menjadi suatu disiplin ilmu yang begitu tinggi dan mendalam malah penting kepada ketamadunan Islam. Boleh dikatakan daripada al-Quran dan hadis maka muncul pelbagai disiplin khusus dalam sistem pengajian ilmu Islam.

Semua ini tidak akan terjadi jika al-Quran dan hadis tidak direkodkan dan ditulis dengan rapi oleh para ulama silam. Bayangkan, jika al-Quran dan hadis tidak ditulis… mampukah kita pada hari ini membaca al-Quran dan merujuk hadis-hadis Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan rujukan dan panduan dalam segala macam hal?

Itulah kepentingan penulisan, menyedari hal itulah maka ramai ulama muktabar zaman berzaman bukan sekadar tekun mendalami ilmu dengan membaca, mengajarkannya kepada orang ramai, dalam masa yang sama mereka juga banyak menghabiskan masa dengan menulis.

Bagaimana Empat Mazhab dalam Islam kekal 

Abad kedua hijrah memperlihatkan betapa umat Islam disibukkan dengan ilmu-ilmu yang terus berkembang khususnya ilmu fiqh dan usul fiqh. Ini kerana semakin banyak masalah-masalah semasa dan baru yang muncul dan tiada dijelaskan secara terperinci akan hukumnya dalam al-Quran dan al-hadis.

Para ulama yang sudah menguasai al-Quran dan al-Hadis serta cabang-cabang ilmu mula serius membincangkan mengenai bagaimana mahu mangqiaskan hukum bagi menyelesaikan isu semasa dengan juga merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Maka lahirnya ulama-ulama yang alim dalam erti kata menguasai al-Quran dan hadis serta cabang ilmunya memberikan pandangan mereka yang melalui proses ijtihad sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam itu sendiri. Ulama ini lebih dikenali sebagai fuqaha (ahli fiqh/syariat).

Hasil daripada ijtihad ini telah melahirkan empat aliran mazhab yang besar dengan menyandarkan ia kepada imam mazhab tersebut iaitu:

1. Imam Malik
2. Imam Hanafi
3. Imam Syafie
4. Imam Ahmad

Daripada sudut iktikad akidah dan ibadah khusus, dalam kebanyakan isu mereka seiya sekata namun bagi isu-isu muamalat yang bersifat berubah dan berkembang, maka mereka ada sedikit perbezaan berdasarkan ilmu, pengalaman dan latar sosial tempat tinggal masing-masing dalam memberikan pendapat.

Apakah hanya ada empat sekolah pemikiran dan mazhab ini sahaja dalam Islam? Bagaimana pula keempat-empat aliran pemikiran yang menjadi mazhab ini kekal sampai ke hari ini jika ada lebih daripada empat mazhab sebenarnya?Jawapannya adalah ada lebih daripada empat mazhab dalam sejarah kemunculan mazhab dalam Islam, malah direkodkan ada belasan mazhab sebenarnya.

Antara sebab mengapa ijtihad empat imam mujtahid ini kemudian mendominasi dan menjadi ikutan adalah kerana mereka menulis ijtihad mereka malah anak murid dan ulama kemudian dalam mazhab mereka menulis dan terus menulis ijtihad-ijtihad baru berdasarkan methode yang mereka tinggalkan. Sedangkan Imam Daud al-Zahiri, al-Auza`i, Sufyan al-Tsawri, Jaafar as-Sadiq dan ramai lagi tidak menulis ataupun kurang menulis sehingga ijtihad mereka itu hilang melainkan dijumpai dalam kitab-kitab fiqh lain bagi dibuat perbandingan.

Kesimpulan

Ilmu dan penulisan adalah dua elemen yang saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Kalimah kalam sememangnya digunakan oleh Allah untuk menggambar sesuatu yang boleh dirujuk dan difahami oleh manusia, justeru al-Quran juga dipanggil kalamullah.

Ketamadunan Islam diperakui oleh masyarakat sebuah tamadun yang agung kerana meletakkan ilmu di tempat yang tertinggi.Bahkan melalui ilmu yang ditulis kemudiannya Islam menjadi suatu rahmat kepada sekalian alam sehingga pada hari ini meninggalkan kesannya.

Maka tidak hairan jika ramai sarjana sama ada Islam atau tidak menyatakan, ukuran tahap ketamadunan sesuatu bangsa dan agama itu boleh dinilai melalui aktiviti penulisan dan perbukuan mereka.

Monday 17 June 2013

Kisah 4

PADA penghujung tahun 2010, saya dan rakan editor yang lain iaitu Bahruddin Bekri, Muhammad Haiqal Dzulkarnain dan beberapa lagi sahabat editor perempuan mengikuti kursus Sijil Penulisan Novel Remaja yang dianjurkan oleh ASWARA.

Semua fakulti di ASWARA menganjurkan kursus pendek itu di bawah satu skim yang ditawarkan oleh kementerian kelolaan Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim.

Saya mengajak mereka selepas melihat iklan di laman web ASWARA. Saya berjaya mempengaruhi beberapa kawan itu untuk bersama dengan saya kurang lebih selama enam bulan setiap hari Sabtu, 8.00 pagi – 1.00 tengah hari.

Kenapa saya sangat teruja mahu mengikuti kursus ini?

Kerana saya tahu penulis dan sasterawan kegemaran kami, iaitu Dr. Haji Mohd Faizal bin Musa atau nama penanya Faisal Tehrani mengajar di Fakulti Penulisan Kreatif dan harapannya adalah, beliau yang menjadi tenaga pengajar kami kelak. Alhamdulilah, percaturan saya tepat kerana memang beliau yang mengajar kami.

Bayangkan, hanya dalam 10 orang dalam kelas, bersama dengan tokoh penulis kreatif yang banyak mempengaruhi minat saya dalam penulisan. Sesuatu yang tidak tersangkakan sebelum ini. Namun dengan segala harapan, kami Berjaya menamatkan kursus dengan bimbingan secara peribadi daripada Dr Haji Faisal Tehrani.

Antara cerita Dr Haji Faisal Tehrani yang saya masih ingat jelas adalah apabila beliau ditanya,  bagaimana tercetusnya keinginan beliau menjadi seorang penulis. Terdiam sejenak, kemudian dia ceritakan.

“Masa saya umur belasan tahun dulu, kawasan perumahan tempat saya tinggal di Merlimau, Melaka banyak sangat anjing liar. Hampir setiap hari emak saya telefon kepada Majlis Daerah Merlimau, namun tiada tindakan yang diambil. Hingga suatu hari, saya mendapat idea untuk menulis dan mengemukakan masalah itu dalam akhbar melalui ruangan surat pembaca.”

“Ternyata, apabila surat itu tersiar pada belah paginya, tidak sampai petang pada hari yang sama pekerja-perkerja Majlis Daerah Merlimau sudah datang dan menangkap semua anjing liar di sana malah sampai sekarang tiada lagi anjing liar berkeliaran di sana….”

Kami sekelas tergelak.

Kemudian beliau menerangkan, bahawa beliau mula sedar betapa penting dan berkuasanya apa yang dinamakan penulisan.

Dr Haji Faisal Tehrani boleh dikatakan satu daripada sebab saya menulis dengan serius. Novel-novel beliau yang mempunyai citra unik yang khas tersendiri mampu menarik minat sesiapa sahaja yang membacanya. Estetika bentuk dan isi, estetika bahasa dan wacana semuanya secukup rasa.

Tidak dinafikan beliau ada terpalit dengan beberapa kontroversi peringkat nasional, namun pada saya menafikan sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan yang berjaya membuka dimensi baru kepada praktikal penulisan bernafas Islam tidak wajar dipertikaikan.

Namun tetap saya katakan, sesiapa yang ingin mengkritik beliau wajar juga menulis karya yang sebesar dan seberat yang beliau hasilkan, wacanakan dari kalam kepada kalam dan bertarung dengan adil.

Idea dan pemikiran hanya dapat dilawan dengan idea dan pemikiran jua, bukan kuasa. Menggunakan kuasa hanya akan menyebabkan yang dilihat tertindas akan mendapat belas ihsan malah akan lebih mempopularkan gagasan mereka.

Kesimpulannya, selama setengah tahun tempoh berguru dan menceduk ilmu mengenai teori sastera daripada beliau, banyak memahamkan kami dan membuka dimensi kami kepada dunia sastera terkini dan hakikatnya. Rupa-rupanya, memang banyak masalah dari segenap segi. Apatah lagi bila sastera kini sudah sangat jauh daripada agama malah mungkin dianggap bukan daripada sebahagian urusan agama.

Setakat ini tiada lagi karya tulisan saya yang benar-benar dapat menghampiri aspirasi daripada kreativiti penulisan beliau namun saya akan terus mencuba….

Kisah 3

MERTUA saya tinggal di Tanah Tinggi Cameron sejak tahun 2000 selepas diarahkan berpindah ke Jabatan Haiwan cawangan Tanah Rata, Cameron Highland. Akhirnya mereka berdua mengambil ketetapan untuk bermastautin di sana sehingga sekarang.

Mereka juga membeli rumah dan memulakan perniagaan barangan cenderahati sebelum membesarkan perniagaan kepada restoran makanan selepas bersara pilihan. Masing-masing sekarang mengusahakan perniagaan tersebut.

Semenjak mendirikan rumah tangga dengan anak mereka pada Jun 2009, kami kerap juga pulang ke Cameron Highland dek kerana perjalanan ke sana hanya memakan masa kurang lebih tiga jam setengah. Kalau saya mahu pulang ke Kelantan juga biasanya kami akan memilih melalui Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan masuk ke Ipoh, melalui Simpang Pulai, lalu Lojing dan terus ke Gua Musang seterusnya ke Kota Bharu. 

Memang agak jauh, namun lebuhraya yang luas dan selesa selain tidak banyak kereta menyebabkan perjalanan pada siang hari menjadi lapang 120 kmj adalah kadar yang selesa untuk dipacu, namun tidak sekali-kali pada waktu malam kerana suasana amat menakutkan.

Kadang-kadang saya akan pulang dengan kereta dan meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih bercuti di sana dan saya pulang sendiri dengan bas. Kadang-kadang saya menggunakan bas untuk pulang ke sana apabila mereka bertolak lebih awal daripada saya.
Pada suatu hari, ketika pertama kali menggunakan bas pulang ke Kuala Lumpur saya mendapati majoriti penumpang bas adalah para pelancong asing selain daripada pekerja asing yang bekerja di sana. Sebelum itu saya menghantar isteri dan kedua anak dengan kereta.

Kebetulan beberapa hari sebelum itu hujan turun dengan sangat lebat dan menyebabkan jalan yang sedia mencabar kerana kesempitan dan benar-benar berada di lerengan selain terhimpit dengan dinding gunung yang tidak kejap tanah-tanihnya sekali-kala menyebabkan diri terfikir, betapa tidak selamatnya jalan Tapah ke Cameron sepanjang 55 kilometer itu. Mereka yang pernah melalui jalan tersebut pasti mengetahui apa yang saya maksudkan.

Fizikal jalan yang sememang dari azalinya bagai ular diketuk buluh, dengan struktur jalan yang tidak serata dan banyak lopakan besar di sana sini. Sememangnya ia adalah suatu perkara yang sangat mendukacitakan. Otak saya mula merembes, isu ini perlu diangkat ke ruangan yang sepatutnya bagi diberikan perhatian.

Ya, saya akan menulis ke ruangan Surat Pembaca, sama ada Berita Harian, Utusan Malaysia, Harakah, Metro dan apa sahaja supaya ia mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

Apabila sampai ke Cameron dan pada keesokan harinya saya segera pulang ke Kuala Lumpur, saya masih tiada kesempatan untuk menulis. Segera saya catatkan dalam buku catatan yang sentiasa bersama ke mana sahaja saya pergi.

Apabila sampai di rumah kami di Wangsa Maju, Kuala Lumpur saya menulis dengan kadar yang segera. Meletakkan tajuk yang agak kontroversi dan 500 patah perkataan sebagaimana biasa yang diperlukan oleh ruangan terhad itu. Dengan menamakan secara objektif pihak-pihak yang bertanggungjawab maka ia selesai ditulis dan dihantar. Tulisan tersebut seperti di bawah:

Lereng Maut ke Cameron Highland

Oleh Zahiruddin Zabidi 
SETIAP kali pulang ke rumah mertua di Cameron Highland saya akan menjadi gelisah dan resah memikirkan perlu melalui 50 kilometer lebih jalan yang sangat bahaya. 
Jalan yang saya maksudkan adalah jalan ke Cameron Highland melalui Tapah. Keadaan jalan yang sangat sempit di lerengan bukit, kerap kali berlaku tanah runtuh dengan fizikal yang sangat teruk dengan kerosakan dan lopak di hampir sepanjang jalan sangat merisikokan pengguna apatah lagi jalan-jalan tersebut yang bersifat cerunan dan sangat tajam selekohnya. 
Saya tidak faham kenapa sampai saat ini pihak kerajaan negeri atau pusat tidak ambil endah bagi menaik taraf jalan tersebut sedangkan Cameron Highland adalah antara pusat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong hampir setiap hari. Saya memikirkan apakah pendapat mereka mengenai jalan ke pusat peranginan yang diberi imej yang baik kepada mereka sebelum mereka sampai ke sana. 
Kemudian saya terfikir apakah ini kerana Cameron Highland adalah milik kerajaan Pahang manakala sepanjang jalan dari Tapah ke sana pula adalah milik kerajaan Perak yang menyebabkan pihak kerajaan Perak fikir mereka tidak ada keperluan dan kepentingan malah keuntungan jika menaik taraf jalan tersebut. 
Jumlah tiang eletrik juga amat sedikit sehingga pada sebelah malam keadaan menjadi lebih teruk ditambah dengan keadaan jalan yang tidak stabil dan rosak sedangkan jalan tersebut tetap menjadi laluan utama kepada lori-lori yang membawa sayur-sayuran bagi diedarkan di merata tempat. 
Dalam masa yang sama juga, fasiliti tersebut wajar dinikmati oleh kaum pribumi yang menjadi penghuni di hampir sepanjang jalan lereng bukit tersebut. Saya juga mendapati mereka sangat tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak berwajib, paling kurang lampu-lampu jalan di sepanjang jalan tersebut bukan sahaja mampu memberikan kebaikan kepada para pemandu malah ia juga dapat membantu penduduk pribumi di sana dalam pelbagai cara. 
Pastinya pihak kerajaan negeri Perak dan Pahang, TNB dan JKR serta pihak kerajaan Kementerian Pelancongan seharusnya memandang perkara ini dengan serius. Cameron Highland adalah aset pelancongan negara yang tiada galang gantinya andai sudah dilihat cacamerba di mata masyarakat dunia.

Saya menantikan kemunculannya saban hari namun hampa. Justeru saya membuat kesimpulan pihak akhbar tidak berminat memamparkan kisah-kisah sebegini. Namun pada suatu hari seorang sahabat penulis sewaktu bersembang dengan saya melalui ruangan sembang Facebook bertanya, “Isteri tuan orang Cameron Hihgland bukan?”

Saya agak terkejut dan menyangka beliau mengenali isteri saya, “Ya, macam mana tuan tahu?”

Beliau menjawab, “Saya pernah baca nukilan tuan dalam ruangan Surat Pembaca mengenai jalan ke Cameron Highland….”

Saya segera teringatkan tulisan saya tempoh hari, “Oh, jadi surat saya itu memang diterbitkan ya? Macam mana saya boleh terlepas, tuan ingat bila?”

Jawab beliau, “Oh, saya tidak pasti. Namun memang tulisan tuan, masakan saya tidak kenal nama tuan.”

“Dan…,” tambah beliau, “Pihak JKR juga membalas surat tuan tersebut.”

“Iyakah!?” Saya terkejut dan teruja.

Sambung beliau lagi, “Kata mereka, sempena dengan surat ini diterbitkan. Bajet sebanyak RM100,000.00 sudah diluluskan untuk mengelenggara jalan tersebut!”

Alhamdulillah! Akhirnya sedikit sumbangan saya kepada masyarakat dan luahan saya melalui pena pada ruangan dan tempat yang sesuai diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

Pada bulan seterusnya, apabila kami sekeluarga pulang ke Cameron Highland dengan kereta. Ternyata banyak jalan sudah ditampal dengan tar yang baru dan kebanyakan lubang sudah ditampal dengan elok. Kadang-kadang saya akan berseloroh kepada isteri saya, “Orang-orang yang melalui jalan ini khususnya orang tempatan perlu berterima kasih kepada saya untuk jalan ini…!”

Saya agak terkilan kerana tidak pernah menatap tulisan tersebut terbit dalam akhbar dan jawapan daripada pihak berwajib juga tidak. Saya cuba mengesannya namun sampai sekarang tidak berhasil. Tidak mengapa, asalkan ia sudah berjasa kepada orang ramai itu sudah cukup bagus dan semoga ia menjadi kebajikan di sisi Allah.

Apa yang saya cuba sampaikan adalah, betapa kuasa penulisan jika ia berada di tempat dan suasana yang tepat ia mampu menerbitkan pengaruh yang kuat. Justeru, dalam akhbar pada masa ruangan yang paling berpengaruh adalah ruangan Surat Pembaca khususnya hal-hal yang berbangkit berkaitan dengan perkhidmatan awam dan sebagainya.

Justeru, jangan memperkecilkan mata pena dan ruangan Surat Pembaca. Kadang-kadang kita tidak perlukan 1000 orang berdemontrasi dan bersusah payah pergi ke Putrajaya dengan membawa sepanduk dan melaungkan slogan-slogan di bawah panas terik mentari… namun cukup dengan ruang yang setepatnya diberikan kepada patah perkataan yang kurang 500 itu. Sudah memadai untuk menerobos jauh ke ufuk tanggungjawab dan kesannya ternyata lebih bermakna, insya-Allah itu kekuasan al-Qalam sebagaimana  yang Allah sebuat beberapa kali dalam al-Quran.

Kisah 2

SESEORANG  telah menceritakan kepada saya, katanya:

Saya mengenali isteri saya pada bulan Ogos tahun 2008. Seingat saya sekitar bulan May dan Jun sebelumnya, saya menerima mesej melalui Friendster (masa itu FB belum menjadi fenomena!) yang bertanyakan beberapa soalan agama. Saya menjawabnya sekadar perlu dan mampu.

Tanpa diduga daripada persoalan itu ia menjadi perbualan dan diskusi agama yang berpanjangan. Saya mulai tertarik dengan sikap beliau yang kritis dan bertanya namun tidak terus menerima, dalam masa yang sama saya juga tahu dia belajar dan bekerja berlatarkan sains perubatan. Barangkali memang pelajar sains dididik untuk kritikal dan sentiasa perlukan bukti saintifik yang sudah teruji dan disahkan berjaya eksperimennya.

Selepas hampir dua bulan berinteraksi dengan kadar sederhana seminggu sekali melalui kotak mesej Friendster dan Yahoo Mail, saya memberanikan diri bertanya apakah dirinya sudah berpunya. Jawapan awal beliau adalah, memang ada yang merisik melalui kawan-kawan dan mahu berjumpa. Namun sikap yang beliau ambil adalah, tidak akan berjumpa dengan sesiapa yang beliau tidak yakin adalah pilihan Allah buat dirinya. Dalam masa yang sama, pertemuan sedemikian seakan memberikan harapan kepada si fulan.

Jadi apa yang beliau lakukan adalah, melakukan istikharah terlebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah.

Saya diam. Sedikit kecewa sebenarnya. Namun diskusi kami berterusan namun tidak serancak sebelumnya.

Setelah beberapa lama berbalas e-mel dan mesej melalui Friendster, kami tidak membicarakan langsung mengenai jodoh masing-masing sehinggalah saya kembali bertanya kepada beliau bagaimana keputusan istikharah beliau terhadap risikan seorang pemuda melalui rakan sekerjanya.

Jawapan yang saya terima adalah, “Selepas istikharah saya tidak akan berjumpa dengan beliau. Kerana tidak mahu memberikan harapan kepadanya, lagipun memang tiada kecenderungan kepada beliau.”

Saya lega dan suka sebenarnya. 

Tanpa berlengah saya utuskan sepucul e-mel panjang bagi menceritakan maksud saya untuk menyunting beliau menjadi suri saya. Kebetulan waktu itu adalah cuti hari raya, justeru saya menunggu agak lama sebelum beliau respon e-mel tersebut.

Setelah beberapa kali menyemak e-mel di Cafe Siber baru ada jawapan daripada beliau, rupanya beliau terpaksa bertugas pada hari raya kali ini, itulah menyebabkan beliau tidak menjawab e-mel panjang saya. Jawapannya adalah, beliau akan melakukan istikharah namun dalam masa yang sama, beliau mohon daripada saya sebuah PROPOSAL!

Dalam erti kata sebuah proposal mengenai siapakah diri saya, dan apakah perancangan untuk masa depan dan sebagainya.

Saya terngamam… ini di luar kebiasaan!

Namun hendak dijadikan cerita, saya baru sahaja selesai membawa karya tulisan ulama sasterawan tersohor Nusantara iaitu Prof. Dr. Hamka berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der War Wijck dan semangat menulis sedang meluap-luap dalam diri.

Pada hari minggu itu, usai solat Subuh saya mula menulis, menulis dan menulis. Segalanya ditulis, siapakah diri saya sebelum, sekarang dan akan datang. Semuanya ditulis dengan telus dan nyata di situ. Saya hanya berhenti untuk makan, minum dan solat dan akhirnya tulisan tersebut mencapai lebih 50 muka surat dalam masa seharian.

Saya puas dan seronok menulis meskipun keletihan, entah mengapa saya merasakan diri saya bagaikan seorang penulis yang sedang menyiapkan karya agungnya sendiri.

Kemudian saya e-melkan kepada beliau dan menunggu respon. Beliau cetak dan baca. Saya menanti keputusan daripadanya dengan debaran. Kata saya, “Kalau awak kata ya, saya akan segera jumpa ibu dan bapa awak dan jika tidak saya reda, Allah tahu yang terbaik untuk kita berdua.” 

Sehingga itu kami tidak pernah berjumpa.

Dipendekkan cerita, selepas beliau istikharah dan alhamudlillah beliau yakin Allah takdirkan saya adalah calon suaminya. Meskipun pada masa itu saya hanya seorang kerani kerajaan yang sedang mengikuti pengajian kali kedua peringkat Ijazah Sarjana Muda melalui kaedah Pengajian Luar Kampus Kuala Lumpur di bawah sebuah IPTA selepas gagal kali menamatkannya kali pertama sebelumnya.

Bulan seterusnya iaitu bulan Oktober saya berjumpa dengan kedua ibu bapanya, pada blan Novemeber ibu bapa saya datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengannya dan pada bulan Disember 2008 kami bertunang, enam bulan kemudian iaitu pada 5 Jun 2009 kami diijabkabulkan, alhamdulillah.

Hasil daripada permintaan beliau kepada saya untuk menulis proposal melahirkan rasa minat yang mendalam dalam penulisan dan saya sedar akan adanya sedikit bakat kurniaan Allah dalam penulisan. Saya pernah janjikan akan bukukan manuskrip proposal yang menjadi ala novel itu dan dijadikan sebagai hantaran kami, namun tidak tercapai.

Sehingga kini pun manuskrip itu tidak diterbitkan kerana ia sangat tidak menepati ciri-ciri novel yang boleh diterbitkan. Namun ada penerbit yang sudi menerbitkan dengan pindaan dan pengubahsuaian namun saya masih tiada kekuatan untuk merubah karya sulung saya itu.

Apapun, saya berterima kasih kepada beliau kerana permintaannya antara yang menyebabkan saya sedar akan sedikit kekuatan dan kelebihan dalam dunia penulisan dan akhirnya pada hari ini saya bergelar seorang penulisa dan berdakwah melalui penulisan.

Habis cerita beliau kepada saya. Komentar saya adalah, “Kepada adik-adik Muslimat di luar sana yang sudah dirisik oleh mana-mana Muslimin, mohon proposal daripada mereka bagi membuat penilaian asas mengenai sikap dan komitmen mereka terhadap sebuah tanggungjawab yang bernama perkahwinan. Kalau proppsal pun tidak sanggup mereka tulis, jangan sangka mereka sanggup untuk menanggung dan bersabar dengan cabaran sebuah pelayaran rumahtangga!”

Kisah 1

SEMENJAK saya kecil, saya perasan Umi saya sentiasa menulis dalam sebuah buku. Asasnya buku itu adalah buku kira-kira perbelanjaan bulanan kami sekeluarga yang beliau uruskan. Pada bahagian-bahagian tertentu selepas beliau membuat kira-kira tersebut aka nada patah-patah kata berangkap yang tersusun indah.

Apabila saya cuba baca, seakan faham. Namun kemudian terfikir, betulkan saya faham. Ini kerana patah-patah ringkas yang padat, jitu dan padu itu seakan-akan membawa maksud dan makna yang sangat pelbagai dan berlapis-lapis. Menjadi kebiasaan, di samping patah-patah kata itu, akan ada lakaran bunga-bungaan bagi melengkapkan karya beliau itu.

Tabiat itu menjadi ikutan saya, ketika berada di Matriks UIAM Petaling Jaya (namun kemudian saya bergraduasi ijazah sarjana muda saya di UUM). Saya juga mempunyai sebuah buku catatan khas (masa itu blog, Facebook dan Twitter tiada lagi, yang ada hanya Friendster) yang juga saya catatkan patah-patah kata pandak dan mempunyai jumlah tertentu dengan rangkap yang tertentu.

Segala yang dilalui sehari-hari dicatatkan dalam buku dan bentuk begitu, ironinya ketika itu saya tidak tahu sama ada yang ditulis itu apakah sajak, puisi, syair, gurindam, pantun atau apa sahaja. Namun saya tetap menulisnya.

Pada suatu hari, dalam satu program yang memerlukan setiap kumpulan dan peserta membentangkan hasil mereka, saya membuat permintaan tambahan iaitu persembahan bacaan sajak.

Saya memilih dua orang rakan kumpulan yang seorangnya adalah rakan sekelas saya dan seorang lagi siswa. Persembahan dimulakan dengan sajak dideklamasikan oleh siswi tersebut dan ternyata kerana kegugupan dan tiada pengalaman, ia menjadi persembahan biasa.

Kemudian sahabat saya, Firdaus mendeklamasikan sajak berjudul Dosa Ilmuku. Firdaus boleh dikatakan seorang yang berhati lembut dan sangat romantis orangnya secara semula jadi (boleh dikatakan budak skema). Justeru, apabila beliau mendeklamasikan sajak tersebut yang berkisarkan mengenai dosa seorang siswa yang mengkhianati amanah ilmu daripada Allah, Rasulullah s.a.w. dan kedua ibu bapanya kerana gagal dalam pelajaran ternyata memukau hadirin!

Saat beliau dengan mendeklamasikan sajak itu, saya perhatikan wajah-wajah yang sedang menumpukan perhatian kepada beliau. Saya terfikir, “Subhana-Allah, betapa patah-patah kata yang pendek ini mampu mempengaruhi manusia jika kena pada tempat, waktu dan suasananya.”

Tepukan gemuruh diterima oleh Firdaus atas bacaan tadi dan ada genangan air mata di sana sini.

Kemudian giliran saya pula….

Dengan penuh berhati-hati, saya ungkapkan satu per satu patah-patah kata tersebut dan namun akhirnya penghayatannya tidak menjadi kerana saya hampir tergelak disebabkan membaca sajak tulisan sendiri di hadapan penonton.

Selesai sahaja persembahan kami bertiga, soalan daripada penonton datang bertalu-talu.

“Siapakah penulis sajak itu?”

“Apakah ia diciplak dari mana-mana?”

“Dari mana datang idea menulis sajak itu?”

Dan banyak lagi….

Selepas dijelaskan ia adalah karya ciptaan saya sendiri, ada beberapa siswa dan siswi datang menemui saya dan bertanya lanjut mengenai proses penulisan sajak-sajak tersebut. Saya jadi keliru kerana tidak tahu hendak jelaskan apa kepada mereka? Saya cuma katakan, bila timbul rasa mahu menulis, maka saya akan menulis dalam buku catatan tersebut.

Kemudian saya jelaskan mengenai buku catatan yang menjadi medan luahan dan penulisan saya itu. Hal ini berlanjutan apabila ada sahabat-sahabat siswa dan siswi terus berhubung melalui Friendster pada masa itu yang bertukar-tukar sajak dan puisi mereka dengan saya malah meminta saya komen karya mereka.

Kadang-kadang mahu tergelak pun ada juga. Tapi demi meraikan mereka, saya tetap berkomunikasi dan bertukar buah fikiran dengan mereka. 

Pada suatu hari, seorang siswi datang berjumpa dengan saya dan minta untuk meminjam buku catatan itu. Pada mulanya saya rasa keberatan kerana ia bersifat peribadi, namun beliau terus mendesak kerana katanya beliau sangat sukakan sajak dan ingin belajar daripada tulisan-tulisan saya.

Tiada alasan kukuh untuk menolak, selain daripada janji beliau akan memulangkannya dengan segera, saya mengalah. Namun saya terlupa bahawa saya tiada sebarang nombor telefon atau Friendster dengan siswi tersebut. Malah saya tidak pernah kenal beliau – namanya, kos dan tinggal di kolej mana.

Tertekan juga pada masa itu, kerana kebanyakan catatan saya yang tidak mungkin ada galang gantinya tertumpah dalam buku catatan itu. Malah emosi dan jiwa yang mengiringi setiap penulisan itu adalah istimewa dan sangat khas, hanya Tuhan yang tahu.

Harapan saya, semoga saya terserempak dengan beliau di mana-mana dan beliau ingat bahawa beliau belum memulangkan buku catatan saya tersebut. Namun sehingga saya keluar daripada Matrik UIAM Petaling Jaya, beliau tidak pernah saya jumpa lagi dan buku catatan tersebut menjadi suatu memori sejarah buat diri ini.

Namun kenangan yang paling indah adalah, apabila pihak pejabat pengurusan melalui pegawai psikologinya memohon saya memberikan salinan beberapa sajak saya untuk disimpan dan digunakan bagi program-program kemudiannya. Saya bahagia dengan pengiktirafan tersebut. Setidak-tidaknya, ada sumbangan peribadi saya kepada pusat pengajian itu.

Kadang-kadang apabila saya masuk ke pejabat pentadbiran, akan ada pgawai yang menegur, “Oh, yang inilah yang menulis sajak itu?”

Saya akan terpinga-pinga.

Kemudian saya ingat kembali, memang ada rakaman sepanjang program tersebut dan saya syak mereka semua menonton rakaman tersebut sebagai bahan laporan atau analisis terhadap karakter-karakter dalam video itu.