Monday 22 July 2013

Bab 9 - Model Penulisan Dakwah yang Berkesan

APAKAH model yang terbaik dalam penulisan bagi menyampaikan dakwah Islam khususnya kepada masyarakat masa kini yang sesetengahnya agak alergik dengan istilah-istilah Arab yang dikatakan terlalu Islamik, namun dalam masa yang sama mereka menginginkan hikmah dan kebaikan daripada agama itu sendiri. Justeru kita akan bincangkan secara kritis dan terbuka akan isu ini. 

Apakah yang terbaik antara sebuah penulisan yang tidak jelas khususnya daripada sudut istilah dan rujukan bahawa ia adalah sebuah tulisan bernafas Islam namun sarat dengan ruh Islam dengan sebuah tulisan yang penuh dengan jargon Arab yang menunjukkan keislamannya namun menyebabkan pembaca rimas untuk membacanya?

Sebenarnya semua jenis penulisan berperanan kerana sasaran dakwah yakni mad’u adalah berlainan. Mereka yang suka membaca tulisan-tulisan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr. Zaharuddin Abd. Rahman yang disampaikan dengan ilmiah dan akademik adalah daripada kelompok mereka yang sudah terbiasa membaca tulisan begitu dan begitu juga mereka yang selesa membaca dan menghayati tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Hilal Asyraf akan selesa dengan penulisan yang sebegitu. 

Namun ada juga kalangan pembaca yang boleh dan selesa membaca dalam bentuk apa sahaja tulisan tersebut. Malah mungkin ada yang biasa membaca tulisan bersifat penceritaan akhirnya akan berminat kepada tulisan gaya ilmiah dan begitu sebaliknya. Jadi, semuanya ada peranan masing-masing namun yang pastinya adalah apakah intipati penulisan yang mereka dapat? Apakah ia memenuhi keperluan emosi, spiritual dan intelektual para pembaca?

Penyataan fakta dan penceritaan fakta

Dalam setiap penulisan, menurut Dr. Raudah Haji Siren, pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sesebuah karya itu berinteraksi dengan empat komponen secara langsung iaitu:

1. Penulis
2. Pembaca
3. Mesej
4. Gaya

Seorang pendakwah seharusnya berfikir penulisan yang bagaimanakah yang mampu memberikan kesan dan membangkitkan rasa mahu kembali kepada Islam apabila mad’u membacanya. Ternyata ada beberapa cara yang boleh dikatakan amat praktikal bagi dijadikan sebagai gaya penulisan dalam menyampaikan hikmah dan Islam itu sendiri kepada masyarakat umum sama ada melalui laman sesawang atau bahan bercetak.

Pemerhatian bebas saya terhadap beberapa nama besar dalam penulisan tanah air dan juga terkait dengan buku-buku fenomena daripada Barat mengatakan bahawa ada unsur-unsur penting dalam penulisan yang mampu menangkap dan menyentuh hati para pembaca. Gaya penulisan ini ternyata dapat dilihat dalam karya-karya karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Zaid Akhtar, Dr. Haji Faisal Tehrani dan ramai lagi sebenarnya.

Persamaan dalam penulisan mereka meskipun sebahagian daripada mereka menulis novel, buku motivasi dan kedua-duanya sekali gus adalah penulisan mereka ada cerita dan cerita itu disulamkan dengan gaya bahasa dan mesej yang jelas di akhir setiap penulisan. Sememangnya penulisan sebegini tidak dianggap sebagai tulisan ilmiah kerana strukturnya yang tidak menepati syarat-syarat penulisan artikel jurnal di peringkat universiti, namun ini tidak mampu menafikan bahawa cerita yang mereka bawakan sarat dengan fakta yang sama dengan penulisan artikel jurnal ilmiah namun penulisan mereka lebih berjiwa dan ada ruhnya kerana cerita yang membawa fakta, nasihat dan hikmah itu dekat dengan pembaca.

Gaya penulisan begini amat rapat dan sesuai jika sasaran pembacanya adalah remaja dan ke bawah serta daripada kalangan wanita namun tidak menafikan ramai juga lelaki yang membaca penulisan gaya penceritaan ini. Ia seakan lebih luas cakupan kepembacaannya dan pembaca juga rasa selesa dengan perkongsian cerita, gaya bahasa yang santai berunsur emotif membangkitkan humor, sedih, kasihan dan seumpamanya. Mereka tenggelam dalam cerita yang disampaikan sekali gus menyedut bersama ilmu dan hikmah daripada tulisan tersebut tanpa mereka sedari.

Gaya penulisan yang berunsur akademik, penyataan fakta ala jurnal ilmiah dengan sedutan rujukan-rujukan daripada para sarjana dan buku-buku besar juga penting tambahan pula jika penulisan itu mahu diterbitkan dalam media cetak arus perdana. Bagi mengekalkan nilai akademik yang menjadikan fakta dan data sebagai keutamaan dalam penulisan, maka pembaca mendapat manfaat dariapda sudut tersebut. Cumanya, memang menjadi kebiasaan penulisan jenis ini kurang diminati dan hanya dibaca oleh segelintir pembaca sahaja.

Justeru, penggabungan antara kedua genre penulisan tersebut yang sebenarnya sudah dicontohkan melalui al-Quran dan Hadis sendiri. Di sini terdapat beberapa usaha menggali gaya dan uslub al-Quran dan hadis dalam menyampaikan pengajaran melalui kisah-kisah yang terdahulu, kisah alam ghaib dan kisah pada masa akan datang termasuk di padang mahsyar dan akhirat, syurga dan negara. Namun kisah-kisah yang dipaparkan dalam al-Quran dan hadis bukan untuk berseronok semata-mata seperti mana kefahaman para penulis cereka yang menjadikan cerita sebagai sumber hiburan semata-mata, malah menjadikan ia sebagai tempat melacurkan segala babak lucah dan pemikiran yang pelbagai sebagai wadah dakyah mereka.

Dalam al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Manna’ al-Qatthan dalam buku Mahabith fi Ulum al-Quran bahawa kisah dalam al-Quran sama sekali tidak sama dengan kisah-kisah ciptaan manusia kerana antara lain kisah dalam al-Quran adalah sahih dan bukan cerita rekaan ataupun cereka (fiksyen). Tujuan penceritaan pula tidak lain adalah untuk manusia mengambil iktibar ataupun ibrah daripadanya. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta  menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman” (Surah Yusuf, ayat 111)

Ibrah dan Iktibar

Menurut Syeikh Dr Fadhl Hassan, seorang ulama dalam bidang tafsir dan `ulum al-Quran di Jordan dalam bukunya Fenomena Al-Quran (terjemahan Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Yusof, pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), andai dikumpulkan semua ayat al-Quran nescaya satu pertiga daripadanya terdiri daripada ayat-ayat kisah. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, pastinya cerita atau kisah dalam al-Quran bukan sebarang kisah dan cerita kerana ia terlepas daripada reka cipta apatah lagi khayalan semata-mata. Cuma sifatnya masih kisah yang diceritakan.

Justeru, saya membuat kesimpulan bahawa penulisan gaya bercerita antara gaya dan teknik penulisan yang terbaik kerana ia dekat dengan manusia yang sememangnya suka cerita dan bercerita. Namun cerita yang dikarang bagi dikongsikan kepada masyarakat mestilah kisah yang mempunyai disiplin ilmu. Secara mudahnya cerita tersebut mesti juga bertindak sebagai penyampai kepada ilmu itu sendiri yang diceduk daripada al-Quran dan Sunnah serta kitab para ulama, dan semuanya perlu dipastikan sahih rujukannya sebagaimana penulisan akademik namun gaya penulisan dan penyampaiannya yang berbeza kerana ada unsur penulisan yang bercerita dan bukannya penulisan berunsur penyataan fakta semata-mata.

Gaya penulisan begini sebenarnya sudah dibuktikan berjaya oleh para penulis Barat khususnya para penulis dan penceramah motivasi, pembangunan diri dan seumpamanya. Malah kadang-kadang buku seberat topik ekonomi dan sosial disampaikan dalam bentuk bercerita tanpa mengabaikan unsure-unsur rujukan semestinya perlu ilmiah. Dale Carnigie yang tersohor dengan buku How To Win Friend and Influence People, John Gray dengan buku When Mars and Venus Collide, Brian Tracy dengan jujukan buku pemasarannya dan sebagainya.

Lebih memberangsangkan lagi apabila gaya penulisan yang sama digunakan oleh seorang ulama dan pendakwah terkenal yang sudah menulis jujukan buah buku iaitu Dr. Aidh Abdullah al-Qarni, penulis buku multi best-seller, La Tahzan. Karya-karya tulisan novel inspiratif oleh Mitch Alborn juga bagus dan penting untuk ditelaah dan diambil manfaat.

Di Malaysia, penerbit seperti Galeri Ilmu berjaya menjenamakan buku-buku motivasi kerohanian atau tarbiyah rohani terbitan mereka dengan gaya ini, malah nama-nama seperti Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Hilal Asyraf dan beberapa nama lain dalam menyampaikan kebaikan dan hikmah daripada al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Kita akan bincangkan lanjut mengenai gaya penulisan dalam bab akan datang.

Saya amat menyanjungi seorang tokoh agamawan, sasterawan sekali gus pujangga Muslim yang satu-satunya seperti dirinya, Prof. Dr. Hamka atau Buya Hamka! Tuan puan, jika mahu berjinak dan serius dalam ilmu Islam yang pemikiran dan kefahamannya dekat dengan kita sebagai Muslim di Nusantara, jawapannya adalah pada karya-karya beliau. Saya syorkan, tuan puan kumpul dan baca semua karya Prof. Dr. Hamka termasuk Tafsir Al-Azharnya!

No comments:

Post a Comment