Monday, 5 August 2013

‘Islam’ Sebagai Bahan Lacuran di Malaysia

AL-MARHUM Prof Dr Hamka dalam artikel beliau berjudul Syahwat Perut dan Syahwat Faraj, menerangkan bagaimana Karl Marx dan Sigmund Freud melihat punca kepada permasalahan manusia. Kedua mereka masing-masing mengatakan bahawa bertentangan sesama manusia dan kucar-kacir yang  berlaku kemudiannya adalah akibat daripada keduanya.

Karl Marx membuat kesimpulan bahawa masalah manusia berasal daripada ‘perut’. Perut yang lapar akan melakukan apa sahaja untuk diisi sehinggakan membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan waras akal kemanusiaan. Manakala Sigmund Freud pula membuat kesimpula bahawa masalah bagi manusia adalah organ di bawah perut yakni kemaluan.

Kata Prof Dr Hamka: “Seabad yang lalu Karl Marx menyatakan bahawasanya yang menentukan perang dan damai di dunia ini, yang hidup bertentangan di antara manusia ialah perebutan mencari makanan ataupun mengisi perut.

“Segala soal dalam dunia ini, berpusat kepada perut. Semua orang ingin kenyang dan tak mahu lapar lalu merebut makanan. Maka terjadilah pertentangan yang tidak dapat dielakkan., suatu hukum besi di antara golongan yang mempunyai (have) dengan yang tidak mempunyai (have not).

“Dan setengah abad yang lalu datang pula seorang lelaki bernama Sigmund Freud, menyatakan bahawasanya bukan urusan perut yang menjadi sebab timbulnya pertentangan dan perebutan di dalam dunia ini. Bukan perut, melainkan faraj (kelamin). Kecerdasan berfikir menurut Freud, atau kegoblokannya (kebodohannya), sukses (berjaya) atau gagal, soalnya hanya satu iaitu soal libido! Iaitu soal keinginan jantan kepada betina dan betina kepada jantan. Lebih popular lagi, adalah soal seks. [lihat (2009), Tuntutan Puasa, Tarawih & Shalat Aidilfitri, Shah Alam: Pustaka Dini, hlm. 23]

Menariknya adalah, jauh sebelum kedua ahli falsafah Barat yang berketurunan Yahudi ini muncul dengan idea-idea falsafah melalui karya mereka, Hujjatul Islam Imam Abu Hamid bin Muhammad al-Ghazzali r.h. sudah jauh membicarakan hal yang sama malah menyatakan bahawa keduanya amat penting bagi kelangsungan hidup manusia di muka bumi.

Keduanya, yakni syahwat perut dan faraj adalah fitrah dan anugerah Allah kepada manusia ciptaannya. Keduanya tidak dicipta untuk tujuan yang sia-sia melainkan ada tujuan khusus buat manusia. Bayangkan manusia tanpa syahwat makan dan faraj, ternyata dunia ini akan gersang dan kering kontang sekali gus menunjukkan kelemahan Allah Ta`ala sebagai Pencipta dan Pentadbir yang Agung.

Di sinilah, menurut Imam al-Ghazzali peranan akal (al-`aql) sangat penting bagi menjadi penimbang tara antara kebaikan dan keburukan dalam diri manusia. Seiring dengan penciptaan kedua syahwat tersebut Allah juga menganugerahkan manusia dengan sifat berfikir dengan aqal bagi menimbang baik dan buruk sesuatu perkara, inilah yang membezakan manusia dengan ciptaan Allah yang selain daripada mereka (baca khususnya binatang!). [lihat hlm. 24-25]

 Situasi di Malaysia, suatu pandangan

Saya tertarik dengan komentar seorang penulis muda yang membuat ulasan mengenai buku yang beliau baca tulisan seorang Muslim rakyat Amerika dan beliau antara jutaan umat Islam di Amerika yang mempunyai peranan penting dalam menghadapi apa yang sedang dihadapi oleh umat Islam khususnya di Amerika sendiri. Beliau adalah Imam Feisal Abdul Rauf, beliuu dikenali melalui kontroversi sebagai imam masjid yang dicadangkan dibina di Ground Zero, tapak runtuhan WTC.

Dalam buku terbaru beliau yang berjudul Moving the Mountain: Beyond Ground Zero to a New Vision of Islam in America (2012), beliau ada memberikan komentar terhadap amalan Islam di Malaysia sementelah beliau pernah tinggal di Malaysia selama beberapa tahun sebelum ini.

Antara lain beliau hairan bagaimana Muslim di Malaysia sangat mudah mengaitkan sesuatu dengan Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam, Perubatan Islam, Sastera Islam dan pelbagai lagi. 

Ternyata apa yang dipelikkan oleh Imam Feisal Abdul Rauf ada benarnya apabila pelbagai produk muncul dengan galak mutakhir ini dengan menisbahkannya dengan sesuatu yang mempunyai unsur Islam seperti kurma nabi, capal nabi, jubah nabi, tasbih kayu kokka bahtera Nabi Nuh dan mutakhir berkenaan isu air campuran pelbagai jenis unsur yang kononnya mempunyai kemujaraban tertentu termasuk anai-anai yang memakan 22 juzuk ayat al-Qur’an serta air bikarbonat berperisa oren yang dibacakan 30 juzuk al-Qur’an!

Apa hujah dan dalilnya, apakah penyataan daripada kajian saintifiknya, apakah rasionalnya kesemua perkara ini sehinggakan hanya di Malaysia barangkali dijumpai hal-hal yang seumpama? Timbul persoalan apakah tahap pemikiran dan iman orang Islam di Malaysia mudah diperlecehkan sehingga ada yang berani terus menerus menggunakan kaedah dan teknik yang sama bagi tujuan tertentu. Dalam kes ini jelas ia bagi tujuan keuntungan perniagaan. 

Apakah ini bukan satu daripada unsur melacurkan agama dan unsur berkaitan dengannya?

Islam terfitnah kerana penyalahgunaan istilah

Apabila penisbahan berlaku secara wewenang khususnya kepada istilah Islam yang merupakan agama yang ditanzilkan oleh Allah dan bukan konsep-konsep pemikiran, falsafah atau budaya, maka implikasi penisbahan itu sangat besar dan jika tidak kena pada konteksnya akan menimbulkan fitnah dan persepsi yang begitu sekali buruk kepada Islam itu sendiri.

Sebagai contoh mudah, sebuah universiti yang dinisbahkan kepada Islam yang pelajarnya pelbagai. Jika seorang pakcik kampung datang melawat anaknya di universiti dan terlihat sekumpulan siswa sedang bermain bola sepak dengan mamakai seluar pendek, barangkali di benaknya terfikir, “Eh, kata universiti Islam. Main bola pun pakai seluar pendek.” 

Bayangkan jika institusi lain yang dinisbahkan dengan Islam namun tidak pernah berjaya menzahir akhlak Islamiyyah yang wasath (terbaik) dan hikmah (yang paling tepat) dengan kehendak Islam itu sendiri, maka fitnahnya adalah kepada Islam itu sendiri. Menyalahkan non-Muslim yang mempunyai persepsi buruk kepada Islam khususnya di Malaysia perlu dinilai dengan adil di manakah puncanya yang sebenar.

Maka tidak hairan di belah Asia Barat yang meskipun di sana bermulanya agama Islam tersebut, sehingga kini agak susah mahu mencari institusi atau produk yang dinisbahkan kepada Islam secara langsung sekalipun dari sudut istilah. Sebagai contoh Ikhwan Muslimin, mereka menggunakan Muslimin yang bermaksud orang Islam tetapi tidak Ikhwan Islamiyyin. 

Meskipun mereka menubuhkan parti, juga tidak digunakan istilah Islam melainkan Hizb al-Hurriyyah wa al-`Adalah. Hal yang sama kepada parti pimpinan Erdogan yang menguasai Turki pada masa ini. Tapi di Malaysia kita ada Parti Islam se-Malaysia (PAS), ini istimewanya Malaysia meskipun nama asalnya yang diharamkan penjajah adalah Hizb al-Muslimin.

Apa masalahnya dengan istilah tersebut?

Apabila ‘Perubatan Islam’ digunakan untuk merujuk kepada perawatan kaedah ruqyah (jampi) yang menggunakan al-Qur’an, pada asasnya memang kaedah perawatan tersebut tidak ada masalah kerana memang Islam mengajarkan bahawa memang wujud unsur ghaibiyyat yang jahat seperti jin dan iblis yang mampu merasuk manusia dan sebagainya selain unsur sihir yang disebut dalam banyak tempat dalam al-Qur’an dan al-Hadith sendiri.

Namun apabila ia dijenamakan sebagai Perubatan Islam ia seolah menggambarkan bahawa kaedah perubatan selain daripada perubatan Islam adalah perubatan kafir! Perubatan moden di hospital adalah sama dengan ‘perubatan kafir’. Kita kembali ke tahun-tahun sebelum merdeka, apabila para tuan guru pondok kebanyakannya mengatakan bahawa sekolah-sekolah yang dibina oleh Inggeris adalah sekolah kafir sekali gus ilmu-ilmu yang diajar di sekolah tersebut.

Ini tidak tepat kerana perubatan moden hari ini juga adalah merupakan sumbangan sarjana dan `ulama’ Islam seperti Ibn Sina yang terkenal dengan kitabnya al-Qanūn fi al-Ṭib yang kemudian menjadi karya penting dan utama dalam perkembangan ilmu perubatan di Barat. Begitu juga ilmu-ilmu sains tabi`i (fizik, biologi, kimia dan lain-lain), sains teknologi dan matematik serta ilmu-ilmu sains sosial lain. Hakikatnya, Islam tidak pernah memisahkan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu akidah, sharī`ah dan tasawwuf. 

Menyalahkan generasi agamawan sebelum merdeka yang hidup dalam tekanan penjajah juga adalah tidak wajar kerana suasana pada masa itu telah membentuk pemikiran dan kefahaman mereka sehingga berlakunya pertentangan yang begitu – semua yang berasal daripada penjajah atau Barat adalah tidak baik dan bertentangan dengan Islam.

Dalam isu perubatan Islam istilah yang sebaiknya digunakan adalah ‘Ruqyah Shar`iyyah’ atau Perubatan Alternatif sebagaimana yang digunakan oleh sebahagian daripada pengamalnya. Menggunakan istilah perubatan Islam namun kemudian melakukan penipuan dan jenayah seksual sebagaimana yang banyak dilaporkan dalam akhbar hanya menimbulkan fitnah kepada Islam secara umumnya, apatah lagi dalam negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.

Hikmah pesnyariatan puasa

Kesimpulan mudah boleh dibuat secara umum adalah, manusia berusaha dan menggunakan daya kreatif mereka bagi memenuhi syahwat perut dan faraj sehinggakan agama yang sepatutnya dianugerahkan kepada mereka sebagai al-Din yakni panduan dalam kehidupan kemudian dimanipulasi untuk kepentingan kedua syahwat tersebut.

Pernahkah kita terfikir mengapa puasa disyariatkan dan mengapakah perkara yang perlu dipuasakan adalah syahwat perut dan faraj? Antara lain adalah untuk melatih dan mendidik manusia khususnya Muslim bagi menjinakkan keduanya, sehinggakan tiada lagi alasan yang boleh diberikan jika dosa yang dibuat berpunca daripada keduanya dilakukan oleh mereka kelak.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.malaysiakini.com di alamathttp://www.malaysiakini.com/news/236293 dengan tajuk “Islam Sebagai Jenama Perniagaan di Malaysia”

Nota Kecil di Akhir Ramadan

ALHAMDULILLAH, sudah masuk tajuk ke-12 penulisan di blog ini dan saya akan terus menulisnya hingga selesai menjadi sebuah manuskrip yang layak dibukukan kelak. Sebenarnya, kesemua tajuk dalam penulisan ini adalah berasal daripada tajuk pada slaid perbentangan saya dalam bengkel penulisan yang dikendalikan sebelum ini di kebanyakan IPTA termasuk beberapa masjid.

Saya mengjangkakan ia mampu ditulis hingga ke bab ke-35 atau 40. Hurain-huraian dalam penulisan ini adalah penerangan-penerangan yang disampaikan dalam bengkel tersebut, jadi saya terfikir kenapa tidak saya olah dan jadikan ia sebuah buku perkongsian dan panduan kepada masyarakat awam?

Sebenarnya saya masih tercari-cari indentiti penulisan saya sendiri sebagaimana para pendakwah dan intelektual yang sudah bertapak kukuh atas manhaj ilmu dan pemikiran mereka seperti Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), Dr Zaharuddin Abd. Rahman (Dr Uzar), Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Abu Saif), Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Hilal Asyraf dan beberapa nama lagi.

Saya mula menulis dalam bidang kreatif seperti puisi, cerpen, novel, motivasi, esei dan artikel namun mutakhir ini semenjak saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengajian Islam pengkhususan Sejarah dan Tamadun Islam, kecenderungan untuk menulis sesuatu yang bersifat wacana dan pemikiran kritis melalui penulisan bentuk penghujahan mula menguasai diri.

Penulisan begitu memang berisiko, lagi kritis lagi berisiko. Risiko dilabel malah dikafiryahudikan oleh saudara sesama Muslim malah disalah anggap oleh kawan-kawan sendiri. Namun itulah harga yang perlu dibayar bagi sebuah wacana yang jujur dan tidak berkepentingan. Menelaah karya-karya Prof Dr Hamka dan Dr Aidh Abdullah al-Qarni mengajarkan saya seni berdakwah melalui penulisan dengan memahami dan membujuk masyarakat dengan santun bahasa yang  terbaik.

Membaca buku-buku wacana tinggi oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, buku-buku dan makalah-makalah ilmiyyah daripada gagasan Prof al-Attas dan pemikir-pemikir lain di dunia ini menghadirkan nalar wacana dalam bidang pemikiran, sejarah dan tamadun yang kritis dan berjiwa besar. Menghargai warisan ulama silam dan mendalami serta memahami kekeliruan Barat lantas menawarkan penawar yang terbaik bagi menyelesaikan isu-isu yang muncul.

Perjalanan  masih panjang, saya akan terus menulis dan menulis dan menulis. Sama ada dalam lapangan sastera mahupun akademik, sama ada dalam samar kepopularan atau wacana tinggi. Bak kata Prof Dr Hamka, sampaikan kebenaran sama melalui lisan atau penulisan. Mohon doa penulisan-penulisan ini akhirnya berjaya dibukukan dan ada penerbit yang sudi menerbitkannya.

Kepada Allah kita berserah dan semoga yang terbaik daripada-Nya kepada kita dan semoga Nabi Muhammad salla'Llahu `alayhi wasallam tidak malu mengakui kita umat baginda di akhirat kelak. Mohon doa daripada sahabat sekalian agar saya dapat menamatkan pengajian tepat pada masanya dan terus menyambung ke peringkat PhD, Insha'ALlah.

Sekian, terima kasih.

ZAHIRUDDIN ZABIDI
Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sunday, 28 July 2013

Bab 12 – Menjadi Penulis Yang Baik

KAMI pernah bertanya dalam kelas kepada Dr. Haji Faisal Tehrani, “Bagaimanakah mahu menjadi penulis yang bagus?”

Beliau terdiam, kemudian tersenyum dengan pandangan yang sepi. Beberapa ketika kemudian barulah beliau membuka mulut.

Beliau mula bercerita, “Sewaktu saya mula-mula mahu menulis dahulu, selepas menjalani pengajian peringkat asasi di UM Nilam Puri dan tahun-tahun awal berada di UM. Saya mula serius menulis dan ingin mendapat tunjuk ajar daripada orang lama sastera. Bagi mendapatkan tunjuk ajar tersebut, saya berusaha mendapatkan nombor telefon Pak Samad Said. Akhirnya saya mendapat nombor telefon beliau dan saya kemudian menelefon beliau menyatakan hajat ingin berjumpa dengan beliau.”

“Pak Samad telah meminta saya datang ke Masjid Negara pada hari Jumaat dan berjumpa dengannya selepas solat Jumaat. Kami berjumpa dan antara banyak-banyak soalan yang saya tanya adalah soalah yang kamu tanya saya tadi – bagaimana mahu menjadi penulis yang bagus?”

“Beliau berkata kepada saya, ‘Ada lima syarat semuanya: Yang pertama membaca, kedua membaca, ketiga juga membaca, keempat membaca dan kelima... barulah menulis.

“Saya kemudian bertanya lagi, ‘Bapak, kalau yang kelima juga membaca?’ 

Beliau menjawab, ‘Nah, jadilah dia seorang pembaca bukan seorang penulis!’”

Friday, 26 July 2013

Bab 11 - Iqra... Iqra... Iqra

PERNAHKAH kita terfikir kenapa wahyu yang pertama Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah arahan untuk membaca, malah sebagaimana yang tercatat Jibril saat hadir ke Gua Hira’ tanpa memaklumkan kehadirannya dan memeluk dan seolah memaksa baginda menyuruh baginda membaca dan dijawab dirinya tidak pandai membaca. 

Adegan itu berlaku sebanyak tiga kali. Maka ada sesetengah ulama berpendapat ia adalah isyarat bahawa apa yang bakal Nabi Muhammad s.a.w. terima dan bawa adalah suatu perkara yang berat dan besar. Namun persoalan kenapa Iqra – bacalah? 

Kalau tujuan wahyu diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk baginda menjadi seorang Islam atau beriman, maka sepatutnya wahyu Allah adalah Islamlah kamu wahai Muhammad atau berimanlah kamu wahai Muhammad, namun hakikatnya adalah Nabi Muhammad s.a.w. telah dipaksa untuk membaca dan itu adalah kalimah pertama dalam wahyu yang pertama daripada Allah. Pasti ada satu perkara yang signifikan dan besar dengan kalimah perintah itu – bacalah!

Al-Quran adalah mukjizat daripada Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang diwariskan kepada umatnya, namun mengapakah al-Quran tidak menjadi mukjizat kepada kita sedangkan dengan jelas Allah menyatakan al-Quran juga adalah adalah al-Shifa’ yakni penawar. Jawapannya adalah kerana manusia pada hari ini tidak memahami al-Quran.

Apabila kalimah dalam wahyu yang pertama adalah Iqra maka ia signifikan dengan membaca al-Quran itu sendiri sebagai asasnya. Namun baca sahaja tidak cukup oleh kerana ramai orang Islam pada masa ini tidak memahami bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran, justeru Allah juga bertanyakan kepada kaum Muslim – kenapakah kamu tidak mentadabburkan al-Quran?

Apakah tadabbur? Secara ringkasnya tadabbur adalah suatu proses refleksi, mencerap, memahami, menghayati, mengambil intipati dan seumpamanya. Selepas arahan pertama Iqra sebagai kalimah pertama dalam ayat dan wahyu yang pertama Allah datangkan pula persoalan mengenai tadabbur, apakah maknanya ini?

Ustaz Abdullah Bukhari al-Hafiz, seorang pensyarah subjek al-Quran dan Qiraat di UIAM menyatakan dalam satu forum sambil dipengerusikan oleh penulis, bahawa janganlah kita terlalu ‘ambitious’ dalam mentadabburkan al-Quran. Cukup 5 ayat sehari semalam, baca matan Arabnya, baca terjemahan dan refleksikan dengan diri sendiri intipati ayat tersebut. Jika ada kitab tafsir lebih bagus.

Ini berdasarkan pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa Allah lebih suka amalan yang sedikit namun konsisten berbanding amalan yang banyak namun hanya sekali sahaja.

Kenapa Iqra’? 

Ini adalah kerana membaca adalah pintu kepada ilmu. Membaca adalah suatu amalan yang signifikan dengan ilmu. Islam malah adalah agama yang meletakkan keilmuan melalui wahyu, logik dan sains di tempat yang tinggi dan saling tidak bertentangan antara satu sama lain.

Dalam kebanyakan kitab para ulama muktabar, bab ilmu antara yang dipilih dan diletakkan sebagai bab awal. Malah bagi menjadi seorang Islam, seseorang itu perlu belajar dan mempunyai ilmu mengenai syahadah. Islam adalah agama ilmu, Islam itu adalah ilmu. Oleh yang demikian, menuntut ilmu adalah kewajipan kepada lelaki dan perempuan penganut agama Islam.

Banyak buku dikarang bagi menceritakan bagaimana kecintaan para ulama muktabar dalam Islam terhadap membaca dan kitab. Bahkan ada daripada mereka yang mati ditimpa kitab mereka sendiri, ada yang membujang sehingga mati kerana sibuk dengan membaca, menelaah dan menyantuni buku. Kerana mereka bahagia dengan ilmu yang Allah janjikan kedudukannya istimewa bagi mereka yang cintakannya.

Buku dan membaca tidak pernah boleh berpisah daripada ilmu. Justeru,apabila membincangkan mengenai betapa masyakarat Malaysia khususnya orang Melayu tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Apakah rakyat Malaysia tidak suka membaca? Mohon baca artikel saya di bawah yang sudah diterbitkan oleh majala Milenia Muslim:

Cabaran 28,000 Judul dan Budaya Membaca di Malaysia
Oleh Zahiruddin Zabidi
JIKA diperhatikan kajian terakhir  yang dikemukan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), sudah ada peningkatan dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu daripada hanya dua buah buku setahun dengan nisbah seorang warganegara kepada 8-12 buah buku setahun bagi rakyat yang berumur 10 tahu ke atas, ini berdasarkan Kajian Olahan Semula Profil membaca Rakyat Malaysia 2010. 
Menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia sudah banyak meningkat melihat kepada kerancakan penerbitan buku masa kini, mustahil rakyat Malaysia secara purata cuma membaca dua buah buku setahun. Kata beliau:
“Tidak mungkin rakyat Malaysia masih lagi membaca dua buku setahun. Industri buku negara telah meningkat dengan purata 16,000 judul buku diterbitkan setahun. Jadi kita merumuskan keadaan itu sudah berubah kini.”
Malah beliau juga membuat kenyataan bahawa nilai industri buku tanah air adalah bernilai RM400 juta setahun bagi menguatkan lagi hujah bahawa budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sudah meningkat. Antara kategori pilihan utama rakyat Malaysia pula adalah buku berkaitan agama, sastera dan novel.
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah, ya, budaya membaca sedang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini juga terbukti dengan munculnya penerbit-penerbit swasta bagai cendawan selepas hujan. Logiknya, bagaimana mungkin kalau buku tidak punya nilai komersial, tidak dapat dijual dan tidak dapat memulangkan keuntungan, ramai pula usahawan yang sanggup mengambil risiko. Bukan sahaja syarikat buku malah majalah berunsur agama juga semakin banyak menghiasi rak-rak majalah di mana-mana sahaja sekarang.
Namun berasa puas hati dengan kadar percetakan buku, pertambahan penubuhan syarikat penerbitan termasuk ITBM yang dahulunya adalah ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), hakikatnya masih tidak menggambarkan sebuah masyarakat yang membaca dan sebuah masyarakat yang membudayakan membaca. Ini jelas dengan melihat kepada jenis apa buku yang dibaca, kenapa mereka membaca dan lama mana sebuah buku habis dibaca sedangkan kadar celik huruf di Malaysia secara umum adalah hampir  90 peratus.
Ini pula tidak beerti mereka tidak membaca langsung, andai kajian dan data khusus boleh didapati menerusi jumlah jualan buku-buku komik dan majalah hiburan, pasti kita akan tahu betapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang membaca namun sayangnya bahan bacaan mereka adalah bahan bacaan yang tidak dapat membina wacana dan daya fikir melainkan lebih terarah kepada budaya hedonisme semasa dan gossip-gosipan sahaja.
Ini ditambah apabila mutakhir ini dunia terus dilanda kemajuan alatan komunikasi tanpa wayar yang memungkin di mana sahaja mereka mampu mencapai apa sahaja bahan bacaan di laman maya.  
Ukuran yang Tepat
Berdasarkan laporan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga, berdasarkan kajian semasa yang dijalankan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan diperkerapkan lagi daripada setiap 10 tahun sekali kepada tiga tahun sekali kerana menurut beliau 10 tahun adalah suatu jangka masa yang agak lama bagi kajian tersebut. 
Namun persoalan yang muncul adalah apakah bentuk kajian yang digunakan? Apakah dengan kajian lapangan berbentuk kuantitatif/soal-jawab kepada sampel yang ditentukan kemudian mengeluarkan statistik kesimpulan, atau berdasarkan kepada jumlah kehadiran pengunjung ke PNM, atau jumlah peminjaman buku daripada PNM, atau berdasarkan kepada permintaan nombor International Standart Book Number (ISBN) semata-mata? Mungkin persoalan ini patut diserahkan kepada pelajar Fakulti Pengkhususan Maklumat bagi memberikan jawapannya.
Bagi penerbit, kiraan adalah berdasarkan jumlah sesuatu judul buku itu terjual. Anggarapan kami, sebuah buku yang terjual akan dibaca paling kurang oleh dua orang dan bagi sesetengah cetakan yang mencecah 10,000 dan ke atas ia dikira sebagai best-seller dalam konteks Malaysia. 
Melihat kepada perkembangan penerbit swasta seperti PTS Publication Sdn. Bhd., Utusan Publication, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan banyak lagi penerbit-penerbit lain yang mengamalkan Teori 4P, tidak mustahil sesebuah judul buku itu dapat dijual lebih daripada 10,000 naskhah dalam masa setahun. 4P adalah merujuk kepada:
· Product
· Price
· Placing
· Promotion
Sebagai nilai tambah, seorang penulis yang mempunyai nama besar atau tokoh selebriti sama ada dalam lapangan agama atau motivasi serta sasterawan yang mesra di kaca televiyen, sambutan terhadap buku mereka sentiasa ada dan malar hijau. Sebab itu ITBM tidak teragak-agak bagi menerbitkan kembali karya-karya sastera dan umum ilmiah yang berat, yang tidak berani diterbitkan oleh penerbit buku swasta lain.

Jumlah Judul vs Jumlah Jualan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perasmian Pesta Buku 1Malaysia pada bulan Februari yang lalu berkata dalam ucapan perasmian beliau:
“Malaysia kini mempunyai jumlah penduduk kira-kira 28 juta orang, mestilah sekurang-sekurangnya menerbitkan 28,000 judul buku baru.”
Ucapan beliau itu berdasarkan kepada saranan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang meletakkan sekurang-kurang 0.1 peratus daripada populasi penduduk. Ini dianggap sebagai cabaran kepada rakyat Malaysia seluruhnya dalam mencapai ketetapan yang disarankan itu. Setakat ini, berdasarkan laporan daripada pihak PNM, jumlah cetakan buku pada tahun 2011 adalah sebanyak 16,000 judul buku.
Persoalannya adalah, apakah kuantiti penerbitan judul melambangkan budaya membaca itu di kalangan rakyat Malaysia? Bagaimana pula, jika angka penerbitan mencapai sebagaimana yang disarankan namun nilai jualan bagi setiap judul adalah sangat rendah? Bayangkan setiap judul buku hanya terjual tidak sampai 500 buah dengan nisbah rakyat Malaysia 27 juta orang? Bagaimana pula dengan kadar 27,000 judul itu hanya berapa peratus sahaja buku ilmiah dan buku pelengkap ilmu? Bayangkan kalau 20,000 judul adalah daripada buku popular berbentuk novel dan buku bukan ilmiah, manakala hanya 7,000 sahaja judul berunsur semi ilmiah dan ilmiah tinggi?
Kesimpulannya, jumlah penerbitan yang banyak bukanlah penanda aras atau indikator yang terbaik dalam mengukur budaya membaca dalam negara kita yang tercinta ini. Bagi kami yang lebih menunjukkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat adalah kuantiti jualan sesebuah judul buku yang diterbitkan. Andai kata bagi setiap judul yang diterbitkan berjaya terjual melebihi 10,000 naskhah dalam masa setahun dan ia semakin meningkat dari masa ke semasa, insya-Allah kita akan melihat sebuah tamadun kegemilangan Malaysia akan terealisasi seiring dengan Wawasan 2020.

Membaca dalam Talian
Hakikatnya, sama ada seseorang minta atau mencintai buku sekali gus membaca atau tidak, mereka semua adalah seorang pembaca. Cuma pembacaan mereka terbatas kepada perkara sekeliling yang berbentuk maklumat sahaja dan bukan ilmu. Pembacaan akhbar, majalah, papan kenyataan, alih bahasa di televisyen, sistem pesanan ringkas di telefon bimbit dan banyak lagi yang memerlukan seseorang itu membaca. Ini termasuklah fenomena terbaru dengan muncul Facebook, sebelumnya Frindster dan Myspase serta pelbagai lagi jenis program jaringan sosial dalam talian, tanpa sempadan, langit terbuka dan alam maya ini.
Namun membaca yang kita bicarakan di sini adalah membaca yang berlandaskan kepada wahyu pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Jibril a.s. di Gua Hirak, sebuah ayat yang begitu bermakna dan menggambarkan betapa Islam sebuah agama yang meletakkan ilmu di tempat yang paling utama. Allah berkata kepada Nabi Muhammad melalui Saidina Jibril a.s. yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
Jelas difahami daripada wahyu di atas, membaca yang merupakan kunci kepada ilmu diletakkan sebagai perkataan pertama dalam wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sesetengah ulama mensyarahkan, Iqra’ dalam ayat ini bermaksud baca, kaji, selidik, dalami, huraikan dan sebagainya. Ini membawa maksud membaca itu bukan hanya sekadar membaca namun dengan membaca ia membawa manusia kepada suatu dimensi yang lebih luas, besar dan dalam dan pengenalan mutlak kepada Sang Pencipta.
Banyak ayat al-Quran dan Hadis menggambarkan kelebihan dan keutamaan orang berilmu berbanding dengan ahli ibadah yang tidak berilmu. Pastinya orang yang berilmu itu antara tabiat utama mereka adalah membaca, membaca dan membaca. Tamadun Islam terus berkembang dengan meminjam teknologi kertas dan dakwat yang  terlebih dahulu dijumpai dalam Tamadun China dan begitulah seterusnya Islam berkembang seiring dengan perkembang keilmuan dan ilmuwannya.
Ironinya pada hari segala sumber ini dapat dicari dan dibaca tanpa sebarang kepayahan, sambil bersandar di kerusi atau sambil meniarap dengan menggunakan segala macam jenis alatan komukinasi terkini selain komputer riba. Semuanya di hujung jari, dengan hanya menaip beberapa kata kunci kepada subjek carian pada ruangan carian enjin pencarian Google.
Bagi yang ingin membeli buku-buku luar negara yang sangat payah dijumpai dan terpaksa diimport, mereka kini mempunyai dua pilihan, mereka boleh sama ada membuat belian buku fizikal daripada Amazon.com namun terpaksa menunggu lama selain daripada kosnya berlipat beberapa kali ganda. Namun dengan mempunya peranti seperti iPAD atau Galaxy Tab, mereka juga boleh membeli e-Buku dalam format PDF buku yang sama dengan kelebihan perkhidmatan penghataran jauh lebih cepat dan berlipat kali ganda lebih murah. Cumanya ia tidak dapat dipegang, ditilik dan dicium malah dilihat tersusun rapi di rak peribadi rumah atau bilik khusus bagi sesetengah pencinta buku tegar.
Tidak pelik, pada masa kini kebanyakan mereka yang menulis tesis ijazah sarjana ataupun doktor falsafah bila ditanya mana buku yang mereka rujuk, mereka hanya akan menunjukkan iPAD mereka sahaja. Ini ditambah pula dengan banyaknya laman ‘halal’ atau ‘haram’ yang menyediakan muat turun bermacam judul PDF buku rujukan dan ilmiah secara percuma seperti 4Shared.com dan Scribd. Pastinya ini adalah suatu fenomena yang positif dalam aspek tersebut khususnya aspek ekonomi.
Nor Azleenda Abdul Hadi (2012) dalam ruangan Bingkisan Editor, Majalah Dewan Masyarakat edisi April 2012 menyatakan:
“Setelah berabad-abad lamanya manusia menggunakan kertas dan menerbitkan pelbagai bahan bacaa melelaui penerbitan secara bercetak, dunia penerbitan kini berubah pula kepada gaya penerbitan secara eletronik yang tidak memerlukan kertas sebagai medium penyampaiannya. Sekali lagi dunia penerbitan mengalami perubahan seiring dengan teknologi yang dicipta oleh manusia sendiri.
Penerbitan bahan bacaan secara eletronik atau penerbitan dalam talian telah menjadi pilihan banyak orang yang gemar membaca menerusi internet. Pembaca tidak perlu lagi mencari bahan bacaan di kedai buku atau pergi ke perpustakaan. Para pembaca hanya memerlukan peranti tertentu, seperti komputer, iPAD atau telefon pintar, untuk membaca bahan yang diterbitkan secara eletronik. Penggunaan e-buku, pada awalnya, hanya tersedar secara meluas untuk buku teks kegunaan murid sekolah. Setelah teknologi ini mendapat perhatian masyarakat, akhbar, majalah, jurnal dan buku untuk bacaan umum telah diterbitkan secara eletronik.Contohnya, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang telah diterbitkan dalam talian.
Penerbitan eletronik lebih cepat berbanding dengan penerbitan bercetak kerana bahan tersebut tidak melalui proses percetakan. Apabila tidak melalui proses percetakan kos menerbitkan buku tersebut juga semakin berkurangan. Bahan penerbitan eletronik juga mempunyai pelbagai nilai tambah, seperti boleh disertakan dengan audio visual yang menarik perhatian pembaca. Pengedaran pula berlaku dalam alam maya. Kaedah pengedaran begini dapat menyebarkan pasaran judul buku tempatan ke seluruh dunia.”
Ternyata fenomena ini bakal menjadi budaya apabila unsur ini menjadi kebiasaan dan pengulangan dalam kalangan masyarakat. Apakah ia positif atau sebaliknya? Inilah persoalan yang wajar kita cermati pada hari ini. 
Namun fenomena global pada hari adalah, apabila menaiki komuter dan kenderaan, antara perkara yang disedari adalah rakyat Eropah yang dahulunya sangat tersohor dengan budaya dan dilihat membaca buku di manapun mereka berada, dalam erti kata sentiasa punya buku di tangan dan membaca di mana sahaja kelihatan seimbang dan sama banyak dengan mereka yang membawa dan membaca melalui alat peranti seperti iPAD dan Galaxy Tab. 
Fenomena ini semakin hari semakin merebak ke negara kita dan pasti juga akan menjadi budaya di sini. Sehingga kini pun kita sudah tidak pelik melihat sesiapa sahaja mengepit iPAD dan Galaxy Tab sambil minum santai di Starbuck, Bangi Kopitiam dan lain-lain tempat seumpanya.

Kesimpulan
Kesimpulanya adalah, buku fizikal meskipun mendapat cabaran hebat daripada buku-buku eletronik dalam media baru ia tetap akan menjadi pilihan bagi mereka yang benar-benar mencintai buku sekali gus ilmu itu sendiri. Ini adalah kerana, kepuasan membaca, memegang, membelek, mencium dan mengaturletak buku fizikal tidak dapat dirasai selain daripada alatan tersebut adalah bersifat eletronik yang boleh bila-bila masa sahaja rosak, namun dalam masa yang sama menafikan buku-buku dalam media adalah suatu alternatif terbaik daripada sudut ekonomi dan masa.
Buku cetak, fizikal sudah wujud di dunia ini ribuan tahun sebelum buku eletronik dan alatannya muncul, pasti bukan sesuatu yang mudah bagi manusia melupakannya langsung. Dalam masa yang sama, kami sebagai penerbit pastinya tidak mahu ketinggalan dalam persaingan dunia maya, maka selepas ini kami juga akan menyediakan kepada para pencinta buku dan ilmu alternatif kepada mereka, sama ada mahu membeli buku fizikal atau buku eletronik, kerana kami menerbitkan kedua-duanya sekali gus.
Tinggal lagi untuk kita semua fikirkan adalah, bukan berapa judul boleh diterbitkan setahun, bukan berapa naskhah dapat terjual setahun namun yang perlu diberi perhatian oleh kita semua adalah sejauh manakah kemampuan kita melahirkan para pencinta buku dan ilmu daripada generasi masa depan, sejauh mana kita mampu membina sebuah keluarga yang cintakan buku dan ilmu, sejauh mana kita mampu membina sebuah komuniti dan masyarakat yang cintakan ilmu dan sejauh mana kita mampu membina sebuah negara yang cintakan buku dan ilmu?

Wednesday, 24 July 2013

Bab 10 - Memahami Sasaran Pembaca

SEBAGAI seorang pendakwah khususnya yang ingin berdakwah melalui penulisan, antara yang mustahak adalah memahami sasaran pembaca kita secara umum. Ini antara juga kaedah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. apabila menyampaikan dakwah kepada orang awam. Mana mungkin kita boleh samakan laras bahasa sama ada berucap dan menulis jika sasarannya adalah kanak-kanak dan orang tua?

Puan Ainon Mohd, pengerusi kepada PTS Media Group Sdn. Bhd., sebuah syarikat penerbitan buku berbahasa Melayu terbesar di Malaysia menjadikan asas kepada memahami sasaran dakwah dan pasaran dengan melihat kepada pembahagian fasa Makkah dan fasa Madinah. Maksudnya, buku-buku terbitan syarikat beliau menetapkan kriteria yang khusus bagi kelompok sasaran fasa Makkah dan fasa Madinah.

Menurut beliau, Allah taala dalam proses penurunan ayat al-Quran membezakan dengan jelas pengisian kepada orang Islam fasa Makkah dan orang Islam fasa Madinah. Ayat-ayat al-Quran dan surah yang diturunkan di kota Makkah biasanya adalah pendek-pendek, bahasa yang mudah dan fokus kepada persoalan akidah. 

Namun ayat-ayat al-Quran fasa Madinah pula biasanya panjang-panjang, ayat yanglebih kompleks dan fokus ayat lebih luas seperti isu hukum-hakam, muamalat, sejarah, perkara ghaib dan sebagainya.

Ini dijadikan asas kepada Puan Ainon Mohd dalam menegaskan mengapa perlu ada buku agama yang bersifat mesra pembaca, kerana menjadi kebiasaan buku agama yang ditulis oleh para ustaz adalah kuat pengaruh langgam bahasa Arab dan tidak ekonomikal dari sudut persembahan penulisan. 

Jadi formula yang terbaik adalah, penulisan buku agama mesti dalam Bahasa Melayu Tinggi yang menggunakan tatabahasa Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), ini adalah kerana tatabahasa bahasa Melayu yang diselaraskan oleh DBP yang menjadi silibus pengajian di seluruh sekolah sama ada rendah atau menengah, sama ada IPTA atau IPTS.

Sebagai seorang pendakwah yang ingin meraikan kedua golongan khususnya golongan pemula yang terdiri daripada mereka yang non-Muslim namun berminat mengkaji dan membaca mengenai Islam, mereka yang baru kembali kepada fitrah Islam, mereka yang Islam melalui keturunan namun tidak pernah belajar secara serius mengenai Islam kebanyakannya daripada kelompok profesionalis dan aristokrat serta yang seumpama dengannya.

Kelompok ini khususnya kelompok urban dan aglo-English (Melayu yang berbudaya Barat) biasanya kerana mereka dan keluarga mereka lebih banyak tinggal di Barat atau mendapat pendidikan langsung daripada Barat tanpa mendapat bekalan ilmu agama yang cukup semasa di tanah air. Biasanya, kelompok ini juga terikut-ikut dengan budaya Barat yang sangat suka bertanya, mengkaji dan membaca.

Justeru di sinilah peluang dakwah wujud, kadang-kadang ceramah yang panjang penuh dengan ayat al-Quran dan hadis juga tidak memberi kesan kepada mereka melainkan sesuatu perkara boleh dihujahkan dengan saintifik dan logik serta dirasai melalui pengalaman kerohanian mereka sendiri. Justeru, menyediakan pelbagai buku yang sesuai untuk kelompok ini adalah satu kemestian malah mampu membuka pintu hidayah yang lebih terang kepada mereka.

Antara bentuk penulisan yang sudah terbukti memudahkan pembaca untuk memahami dalam masa yang sama seronok membaca sesebuah penulisan khususnya buku adalah:

1. Penulisan mesti menggunakan Bahasa Melayu Tinggi iaitu menggunakan ejaan penuh dan juga tatabahasa yang betul (begitu juga dalam bahasa Inggeris).

2. Penggunaan istilah pinjaman daripada bahasa lain khususnya Arab dan Inggeris mesti dikurangkan dan jika terpaksa juga menggunakannya maka perlu menerangkan maksud dan konteks kalimah tersebut.

3. Setiap ayat tidak kurang 12 patah perkataan.

4. Setiap perenggan tidak lebih daripada enam baris.

5. Menggunakan gaya penulisan informatif (menyatakan maklumat) bukan argumentatif (menghujahkan yang ini betul dan yang itu salah).

6. Buku tidak terlalu tebal, yang terbaik bawah 200 muka surat dengan fon tulisan yang selesa dibaca (tidak terlalu kecil atau besar termasuk saiznya).

7. Dibantu dengan gambar rajah dan jadual bagi memudahkan perbandingan dan keperluan seumpama.

8. Setiap bab tidak lebih lima muka surat kerana biasanya golongan tersebut adalah golongan yang sibuk dengan kerjaya dan terpaksa mencuri masa yang untuk membaca.

9. Sebuah buku dengan satu fokus khusus, tidak mencampurkan banyak isu dalam satu buku sekali gus.

10. Menyantuni apa yang mereka perlukan bukan menulis apa yang kita mahukan. Perlu ada sifat emphasis dengan memahami keperluan semasa sasaran dakwah terlebih dahulu.

Teknik-teknik di atas bukan sahaja terpakai dalam penulisan buku, namun bagi penulisan-penulisan di blog dan FB juga adalah penting. Berjaya menarik minat masyarakat atas talian untuk membaca dan menyebarkan tulisan kita insya-Allah dikira sebagai sesuatu yang bermanfaat di sisi Allah.

Banyak lagi teknik-teknik penulisan yang boleh dijadikan panduan bagi meningkatkan teknik penulisan berkesan bagi seorang pendakwah. Apapun persediaan seorang daie adalah paling penting iaitu ilmu. Justeru, menjadi syarat utama para daie belajar ilmu agama dan ilmu sains teknologi untuk memantapkan strategi dakwah mereka.

Monday, 22 July 2013

Bab 9 - Model Penulisan Dakwah yang Berkesan

APAKAH model yang terbaik dalam penulisan bagi menyampaikan dakwah Islam khususnya kepada masyarakat masa kini yang sesetengahnya agak alergik dengan istilah-istilah Arab yang dikatakan terlalu Islamik, namun dalam masa yang sama mereka menginginkan hikmah dan kebaikan daripada agama itu sendiri. Justeru kita akan bincangkan secara kritis dan terbuka akan isu ini. 

Apakah yang terbaik antara sebuah penulisan yang tidak jelas khususnya daripada sudut istilah dan rujukan bahawa ia adalah sebuah tulisan bernafas Islam namun sarat dengan ruh Islam dengan sebuah tulisan yang penuh dengan jargon Arab yang menunjukkan keislamannya namun menyebabkan pembaca rimas untuk membacanya?

Sebenarnya semua jenis penulisan berperanan kerana sasaran dakwah yakni mad’u adalah berlainan. Mereka yang suka membaca tulisan-tulisan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr. Zaharuddin Abd. Rahman yang disampaikan dengan ilmiah dan akademik adalah daripada kelompok mereka yang sudah terbiasa membaca tulisan begitu dan begitu juga mereka yang selesa membaca dan menghayati tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Hilal Asyraf akan selesa dengan penulisan yang sebegitu. 

Namun ada juga kalangan pembaca yang boleh dan selesa membaca dalam bentuk apa sahaja tulisan tersebut. Malah mungkin ada yang biasa membaca tulisan bersifat penceritaan akhirnya akan berminat kepada tulisan gaya ilmiah dan begitu sebaliknya. Jadi, semuanya ada peranan masing-masing namun yang pastinya adalah apakah intipati penulisan yang mereka dapat? Apakah ia memenuhi keperluan emosi, spiritual dan intelektual para pembaca?

Penyataan fakta dan penceritaan fakta

Dalam setiap penulisan, menurut Dr. Raudah Haji Siren, pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sesebuah karya itu berinteraksi dengan empat komponen secara langsung iaitu:

1. Penulis
2. Pembaca
3. Mesej
4. Gaya

Seorang pendakwah seharusnya berfikir penulisan yang bagaimanakah yang mampu memberikan kesan dan membangkitkan rasa mahu kembali kepada Islam apabila mad’u membacanya. Ternyata ada beberapa cara yang boleh dikatakan amat praktikal bagi dijadikan sebagai gaya penulisan dalam menyampaikan hikmah dan Islam itu sendiri kepada masyarakat umum sama ada melalui laman sesawang atau bahan bercetak.

Pemerhatian bebas saya terhadap beberapa nama besar dalam penulisan tanah air dan juga terkait dengan buku-buku fenomena daripada Barat mengatakan bahawa ada unsur-unsur penting dalam penulisan yang mampu menangkap dan menyentuh hati para pembaca. Gaya penulisan ini ternyata dapat dilihat dalam karya-karya karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Zaid Akhtar, Dr. Haji Faisal Tehrani dan ramai lagi sebenarnya.

Persamaan dalam penulisan mereka meskipun sebahagian daripada mereka menulis novel, buku motivasi dan kedua-duanya sekali gus adalah penulisan mereka ada cerita dan cerita itu disulamkan dengan gaya bahasa dan mesej yang jelas di akhir setiap penulisan. Sememangnya penulisan sebegini tidak dianggap sebagai tulisan ilmiah kerana strukturnya yang tidak menepati syarat-syarat penulisan artikel jurnal di peringkat universiti, namun ini tidak mampu menafikan bahawa cerita yang mereka bawakan sarat dengan fakta yang sama dengan penulisan artikel jurnal ilmiah namun penulisan mereka lebih berjiwa dan ada ruhnya kerana cerita yang membawa fakta, nasihat dan hikmah itu dekat dengan pembaca.

Gaya penulisan begini amat rapat dan sesuai jika sasaran pembacanya adalah remaja dan ke bawah serta daripada kalangan wanita namun tidak menafikan ramai juga lelaki yang membaca penulisan gaya penceritaan ini. Ia seakan lebih luas cakupan kepembacaannya dan pembaca juga rasa selesa dengan perkongsian cerita, gaya bahasa yang santai berunsur emotif membangkitkan humor, sedih, kasihan dan seumpamanya. Mereka tenggelam dalam cerita yang disampaikan sekali gus menyedut bersama ilmu dan hikmah daripada tulisan tersebut tanpa mereka sedari.

Gaya penulisan yang berunsur akademik, penyataan fakta ala jurnal ilmiah dengan sedutan rujukan-rujukan daripada para sarjana dan buku-buku besar juga penting tambahan pula jika penulisan itu mahu diterbitkan dalam media cetak arus perdana. Bagi mengekalkan nilai akademik yang menjadikan fakta dan data sebagai keutamaan dalam penulisan, maka pembaca mendapat manfaat dariapda sudut tersebut. Cumanya, memang menjadi kebiasaan penulisan jenis ini kurang diminati dan hanya dibaca oleh segelintir pembaca sahaja.

Justeru, penggabungan antara kedua genre penulisan tersebut yang sebenarnya sudah dicontohkan melalui al-Quran dan Hadis sendiri. Di sini terdapat beberapa usaha menggali gaya dan uslub al-Quran dan hadis dalam menyampaikan pengajaran melalui kisah-kisah yang terdahulu, kisah alam ghaib dan kisah pada masa akan datang termasuk di padang mahsyar dan akhirat, syurga dan negara. Namun kisah-kisah yang dipaparkan dalam al-Quran dan hadis bukan untuk berseronok semata-mata seperti mana kefahaman para penulis cereka yang menjadikan cerita sebagai sumber hiburan semata-mata, malah menjadikan ia sebagai tempat melacurkan segala babak lucah dan pemikiran yang pelbagai sebagai wadah dakyah mereka.

Dalam al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Manna’ al-Qatthan dalam buku Mahabith fi Ulum al-Quran bahawa kisah dalam al-Quran sama sekali tidak sama dengan kisah-kisah ciptaan manusia kerana antara lain kisah dalam al-Quran adalah sahih dan bukan cerita rekaan ataupun cereka (fiksyen). Tujuan penceritaan pula tidak lain adalah untuk manusia mengambil iktibar ataupun ibrah daripadanya. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta  menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman” (Surah Yusuf, ayat 111)

Ibrah dan Iktibar

Menurut Syeikh Dr Fadhl Hassan, seorang ulama dalam bidang tafsir dan `ulum al-Quran di Jordan dalam bukunya Fenomena Al-Quran (terjemahan Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Yusof, pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), andai dikumpulkan semua ayat al-Quran nescaya satu pertiga daripadanya terdiri daripada ayat-ayat kisah. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, pastinya cerita atau kisah dalam al-Quran bukan sebarang kisah dan cerita kerana ia terlepas daripada reka cipta apatah lagi khayalan semata-mata. Cuma sifatnya masih kisah yang diceritakan.

Justeru, saya membuat kesimpulan bahawa penulisan gaya bercerita antara gaya dan teknik penulisan yang terbaik kerana ia dekat dengan manusia yang sememangnya suka cerita dan bercerita. Namun cerita yang dikarang bagi dikongsikan kepada masyarakat mestilah kisah yang mempunyai disiplin ilmu. Secara mudahnya cerita tersebut mesti juga bertindak sebagai penyampai kepada ilmu itu sendiri yang diceduk daripada al-Quran dan Sunnah serta kitab para ulama, dan semuanya perlu dipastikan sahih rujukannya sebagaimana penulisan akademik namun gaya penulisan dan penyampaiannya yang berbeza kerana ada unsur penulisan yang bercerita dan bukannya penulisan berunsur penyataan fakta semata-mata.

Gaya penulisan begini sebenarnya sudah dibuktikan berjaya oleh para penulis Barat khususnya para penulis dan penceramah motivasi, pembangunan diri dan seumpamanya. Malah kadang-kadang buku seberat topik ekonomi dan sosial disampaikan dalam bentuk bercerita tanpa mengabaikan unsure-unsur rujukan semestinya perlu ilmiah. Dale Carnigie yang tersohor dengan buku How To Win Friend and Influence People, John Gray dengan buku When Mars and Venus Collide, Brian Tracy dengan jujukan buku pemasarannya dan sebagainya.

Lebih memberangsangkan lagi apabila gaya penulisan yang sama digunakan oleh seorang ulama dan pendakwah terkenal yang sudah menulis jujukan buah buku iaitu Dr. Aidh Abdullah al-Qarni, penulis buku multi best-seller, La Tahzan. Karya-karya tulisan novel inspiratif oleh Mitch Alborn juga bagus dan penting untuk ditelaah dan diambil manfaat.

Di Malaysia, penerbit seperti Galeri Ilmu berjaya menjenamakan buku-buku motivasi kerohanian atau tarbiyah rohani terbitan mereka dengan gaya ini, malah nama-nama seperti Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Hilal Asyraf dan beberapa nama lain dalam menyampaikan kebaikan dan hikmah daripada al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Kita akan bincangkan lanjut mengenai gaya penulisan dalam bab akan datang.

Saya amat menyanjungi seorang tokoh agamawan, sasterawan sekali gus pujangga Muslim yang satu-satunya seperti dirinya, Prof. Dr. Hamka atau Buya Hamka! Tuan puan, jika mahu berjinak dan serius dalam ilmu Islam yang pemikiran dan kefahamannya dekat dengan kita sebagai Muslim di Nusantara, jawapannya adalah pada karya-karya beliau. Saya syorkan, tuan puan kumpul dan baca semua karya Prof. Dr. Hamka termasuk Tafsir Al-Azharnya!

Bab 8 - Apakah Tujuan Menulis?

ISLAM mengajar umatnya agar menetapkan matlamat dari awal setiap sesuatu itu dilakukan. Ini berdasarkan hadis yang masyhur berkenaan dengan niat daripada riwayat Ibnu Umar r.h. Mafhum hadis tersebut adalah berbunyi:

“Sesungguhnya setiap sesuatu amalan bermula dengan niat...” (Riwayat Muslim)

Sebagai seorang Muslim, sebelum melaksanakan sesuatu amalan yang mana diyakini setiap daripada amalan ada nilai dosa  dan pahalanya, perlu ia mengetahui matlamat dan kesan daripada perbuatan dan amalan yang akan dilaksanakan itu. Dalam kes menulis, ternyata seorang penulis dari awal lagi perlu faham apakah yang menjadi dustur mereka dalam menulis.

Sebenarnya ramai ulama dan sarjana Islam memberikan takrif dan pandangan mereka mengenai hal ini. Namun saya secara peribadi tertarik bagi mengangkat buah fikir dan susunan seorang ulama mujtahid zaman ini bagi dijadikan panduan dalam meletakkan matlamat dalam penulisan bagi seorang pendakwah. Beliau adalah Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

Dalam buku Anatomi al-Quran (2008, PTS Islamika Sdn. Bhd.) karangan Prof. Madya Dr. Ammar Fadzil, beliau mendatangkan pandangan dan susunan Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam memperkatakan maqasid atau matlamat penurunan al-Quran kepada manusia. 

Jadi Maqasid itulah yang saya secara peribadi fikir juga wajar menjadi dustur dan panduan bagi menjawab apakah tujuan seseorang itu menjadi seorang penulis. Menurut al-Qaradawi, ada lapan maqasid nuzul al-Quran iaitu tujuan penurunan al-Quran oleh Allah dan kelapan-lapan ini juga wajar dianggap sebagai matlamat penulisan seorang pendakwah itu.

Bagi mendapatkan huraian yang sebenar mengenai maqasid nuzul al-Quran, disarankan pembaca merujuk buku tersebut kerana dalam tulisan ini saya akan menghuraikan lapan poin daripada prinsip tersebut sesuai dengan konteks matlamat penulisan sebagai seorang pendakwah.

1. Membetulkan akidah

Islam adalah agama yang bertunjangkan akidah yang sahih, justeru dalam penulisan seorang pendakwah matlamatnya semestinya sentiasa berada dalam landasan akidah yang jelas dan bertujuan ke arah itu.

2. Memperakui kemuliaan manusia

Penulisan semestinya perlu meletakan manusia dan sifat kemanusiaan itu pada tempatnya. Sama ada untuk menegur atau menasihati, sifat kemanusiaan tetap perlu diraikan.

3. Pengabdian kepada Allah

Setiap daripada perkongsian dan penyampaian dalam penulisan sentiasa berada dalam lingkuangan pengabdian kepada Allah dan mendorong para pembaca kea rah tersebut.

4. Pembinaan sakhsiah

Akhlak dan sakhsiah adalah antara perkara penting yang ditekankan dalam Islam. Keduanya pula terkait secara langsung dengan tahapan kelilmuan seseorang. Penulisan yang mampu mendorong pembinaan sakhsiah adalah suatu keperluan kepada masyarakat.

5. Pembentukan keluarga

Institusi kekeluargaan adalah tunjang dalam sebuah sistem sosial. Kebobrokan institusi kekeluargaan akan membawa impak yang besar kepada masyarakat dan negara umumnya. Justeru, penulisan yang mendorong kearah pembentukan keluarga mawaddah wa rahmah menurut lunas al-Quran dan Sunnah adalah suatu keperluan kepada masyarakat.

6. Pembersihan jiwa

Pembersihan jiwa juga dikenali sebagai tazkiyat al-naf yang menjadi seakan topic wajib bagi sekian ramai ulama dan sarjana Islam dalam penulisan mereka. Ia bersifat nasihat dan muhasabah diri, bermula daripada diri sendiri kemudian kepada masyarakat sekeliling.

7. Dakwah

Dakwah adalah warisan kerasulan, melalui penulisan risalah dakwah itu dapayt disampaikan dengan cakupan dan kesan yang lebih signifikan. Justeru penulisan berteraskan dakwah adalah suatu keperluan dalam masyarakat.

8. Toleransi kepada bukan Muslim

Islam sebagai agama rahmat dan mengharamkan kezaliman sesama manusia sekalipun mereka bukan orang Islam. Justeru penulisan yang meraikan bukan Islam dalam konteks yang dibenarkan oleh agama adalah keperluan bagi umat Islam dan bukan Islam fahama akan kedudukan mereka dalam neraca adil agama Islam itu sendiri.

Kesimpulan

Menulis tanpa matlamat yang jelas malah tidak dimulakan dengan niat kerana Allah boleh sahaja menjadikan penulisan kita itu sia-sia, sewajarnya kita sentias amemastikan setiap daripada penulisan kita sama ada dalam bentul ilmiah atau popular, dalam media cetak atau media baru semua perlu dipastikan menjadi saham kebajikan di akhirat kelak.

Justeru dengan memahami maqasid nuzul al-Quran yang kemudian kita angkat menjadi panduan dan matlamat penulisan dalwah dakwah itu sendiri, maka diharapkan setiap daripada penulisan daie itu sentiasa menepati apa yang disarankan oleh al-Quran dan Sunnah itu sendiri sementelah pengisian yang digunakan dalam penulisan tersebut juga adalah daripada al-Quran dan Sunnah juga.