Saturday 23 November 2013

Umat hebat jika suka membaca

ANTARA bukti masyarakat Malaysia khususnya Melayu Islam semakin minat membaca buku berunsur agama adalah pertumbuhan penerbit buku berunsurkan agama yang begitu subur beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini juga jelas dapat dilihat dengan jumlah jualan per judul buku dan juga jumlah penerbitan buku-buku berunsur agama oleh para penerbit. Selain itu, jumlah kehadiran ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun meningkat, sama ada dari segi jumlah kehadiran dan juga memberikan impak kepada jumlah dagangan.

Secara umumnya, buku agama dan peralatan ibadah dikuasai sekian lama oleh para peniaga yang daripada kalangan India-Muslim sejak zaman berzaman. Ini tidak terkecuali dalam bidang penerbitan buku dan juga majalah berunsur agama.

Namun mutakhir ini, semakin ramai Bumiputera Melayu-Islam terlibat, malah mencuba pelbagai formula bagi memastikan buku-buku terbitan mereka berjaya menarik minat masyarakat membelinya.

Hakikatnya sumber dalam penulisan dan perbahasan ilmu Islam itu sama sahaja atau sudah sangat banyak dan tidak berubah melainkan hanya dalam beberapa isu. Ini adalah kerana al-Quran dan al-Hadis tetap menjadi rujukan utama dalam asas perbahasan diikuti dengan kitab tafsir dan syarahnya dan kemudian kitab-kitab ijtihad para ulama salaf al-salih dan seterusnya.

Terlalu banyak karya ditinggalkan oleh para alim ulama dari dulu sehingga kini dan itulah sebenarnya asas kepada kehebatan tamadun dan sejarah Islam yang tidak diberikan perhatian serius bagi dikaji dengan mendalam.

Perbezaan penafsiran terhadap nas-nas itu pula adalah rahmat selagi mana ia tidak membawa ke luar batas usul aqidah dan usul ibadat sebagaimana terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Dalam Islam, bukan hanya bangunan dan mercu tanda hebat yang dibanggakan seperti tamadun lain, namun insan dan ilmuwan yang beradab dan berakhlak tinggi hasil daripada kefahaman yang amalan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah itulah kuncinya.

Justeru, bagi mengembalikan kegemilangan tersebut masyarakat Muslim mesti menjadi masyarakat pembaca sesuai dengan arahan ALLAH dalam Surah al-`Alaq, ayat 1-5. Sudah saya jelaskan pada tulisan yang lalu mengapa kalimah Iqra’ menjadi kalimah pertama dalam ayat pertama, sekali gus surah yang pertama.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam perbahasan mengenai budaya ilmu dalam buku Budaya Ilmu: Satu Penjelasan memanjangkan hujah Prof Dr Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa masalah umat yang mendasar pada hari ini adalah kerana masalah kekeliruan akan ilmu yang benar.

Namun, sebelum ilmu itu menjadi masalah kepada umat Islam - masalah yang terlebih dahulu perlu difikirkan adalah masalah budaya membaca atau berkaitan iqra’ itu sendiri. Ini kerana masyarakat yang berbudaya ilmu secara automatik adalah masyarakat membaca. Justeru, mana mungkin ilmu menjadi masalah kepada masyarakat yang tidak membaca dan memahami falsafah iqra’ itu sendiri.

Sebagai penerbit buku berunsur agama, antara formula yang Karya Bestari laksanakan dan sudah menunjukkan kejayaan adalah dengan menyanggahi fahaman ‘don’t judge a book by it cover’. Ini adalah kerana budaya dan selera rakyat Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan manusia di Barat - membaca buku sudah menjadi budaya mereka.

Justeru, sesebuah buku memerlukan persembahan kulit yang cantik menawan sekalipun ia adalah buku akademik, semi ilmiah atau seumpama selain daripada persembahan reka letak yang sesuai serta persembahan laras bahasa yang menyantuni daya baca masyarakat awam tanpa mengabaikan dapatan dan muatan ilmiahnya.

Dan, pastinya antara kunci kejayaan budaya membaca di Barat adalah kerana harga bukunya sangat murah. Ini adalah kerana kos bahan penerbitannya murah, namun peliknya kita di Malaysia masih mengenakan cukai kepada import kertas yang sekali gus termasuk dalam kos penerbitan!

*Rencana ini sudah diterbitkan tabloid Sinar Harian, hari Jumaat, 22 November 2013. Lihat di sini untuk versi dalam talian http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/umat-hebat-jika-suka-membaca-1.223460

No comments:

Post a Comment