Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Monday, 9 December 2013

Kerjasama institusi agama, media

TAHNIAH diucapkan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) kerana berjaya menghimpunkan sejumlah karyawan belakang tabir media seperti editor, wartawan dan penerbit TV dalam satu program yang cukup bermakna.

Bengkel Diskusi Isu Islam Semasa yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap pada 20-21 November lalu turut menghimpunkan agamawan dan ilmuwan daripada panel pemikir isu Islam semasa PMWP sendiri.

Pengisian hari pertama antaranya oleh Ustaz Muhammad Ariffin bin Ismail dengan tajuk Peranan Wartawan Dalam Menghadapi Isu Semasa, Encik Mafis bin Mohd. Samuri dengan tajuk Perkembangan Dakyah dan Musuh-musuh Islam.

Pada sebelah petang peserta ditayangkan filem My Name Is Khan dan pada belah malamnya sesi analisis dan bedah filem dijalankan dengan perkongsian daripada semua peserta. Asasnya adalah untuk melihat bagaimana pemikiran pluralisme agama yang jelas dipromosikan dalam filem tersebut dan menilainya daripada perspektif Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dengan kritis. Sesi tersebut dikemudikan oleh kedua penceramah sebelumnya.

Pada hari kedua, sesi dimulakan dengan penyampaian oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin dengan tajuk Fahaman-fahaman Menyeleweng Daripada Ahli Sunnah wal Jamaah diikuti dengan penyampaian oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah kanan di Pusat Kajian Tinggi Islam dan Sains (CASIS), UTM dengan tajuk Konsep Pluralisme Agama Daripada Perspektif Islam dan Barat.

Program pada hari kedua ditutup dengan ucapan penangguhan daripada SS Dato’ Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan selepas sesi soal-jawab dan dialog antara pembentang dan peserta. Rata-rata peserta yang merupakan karyawan media berpuas hati dan menyatakan keperluan bagi program sebegini diteruskan pada masa depan dengan pengisian dan perbahasan yang lebih mendasar dan ilmiah.

Secara umumnya tujuan program ini adalah bagi menjelaskan kepada pihak media agar berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu berita atau bahan selain perlu merujuk kepada autoriti yang sahih serta selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab akidah Asy`ari/Maturidi, mazhab fikah Syafi`i dan ilmu tasawuf aliran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h.

Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kekeliruan dan bertembungan berterusan dalam masyarakat akibat daripada pandangan-pandangan yang tidak biasa terpakai dalam negara ini. Selain daripada itu, keutamaan kita adalah fokus kepada isu-isu yang lebih besar seperti ancaman golongan pro liberalisme, pulralisme agama, feminisme, LGBT, ajaran-ajaran sesat dan seumpamanya.

Dalam masa yang sama, menurut Ustaz Muhammad Ariffin sewajarnya kesesatan-kesesatan isme-isme yang pelbagai ini dilawan dengan hujah-hujah ilmiah daripada disiplin pengajian ilmu Islam dan kajian-kajian saintifik serta sains sosial semasa. Tindakan undang-undang bagi terus mengharamkan hanya akan mempopularkan lagi mereka malah kadang-kadang itulah yang mereka mahukan.

Jika golongan tersebut sengaja mencabar kesucian akidah dan syariat Islam lalu menyerangnya melalui buku, justeru perlu dilawan dan dihujah kembali dengan buku. Begitu juga jika mereka menggunakan media baru, justeru tulisan-tulisan bersifat memurnikan dan menjelaskan mengenai ajaran Islam yang hakiki perlu juga disebarkan dan diperbanyakkan dalam media baru.

Mengehadkan masyarakat awam kepada satu sumber dan aliran juga sudah tidak lagi relevan mengenangkan fenomena langit terbuka mutakhir ini. Apa yang lebih tepat adalah membuka ruang hujah dan perbincangan secara bertingkat sesama ahli ilmu sebelum disebarkan kepada masyarakat secara terbuka.

Khilaf adalah rahmat jika kena cara menguruskannya, namun jika masfadahnya lebih besar dan menyebabkan masyarakat semakin berpecah lebih baik ia hanya dibincangkan dalam kelompok tertentu sahaja seperti komuniti di universiti yang tugas mereka sememangnya berfikir dan mengkaji bagi mengemukakan solusi yang terbaik buat umat. 

Walau bagaimanapun, umat perlu didedahkan kepada disiplin pengajian dua sumber utama dalam Islam jika mereka benar-benar mengaku ASWJ iaitu al-Quran dan ilmu-ilmunya serta al-Hadith yang sahih dan ilmu-ilmunya selain daripada ilmu-ilmu pemikiran dahulu dan kini bagi memastikan penilaian yang dibuat tidak bersalahan dengan wahyu dan logik akal kewarasan. 

Ini adalah kerana ASWJ yang sejati adalah mereka yang menjadikan manhaj al-Quran dan al-Hadith sebagai rujukan utama dalam perbincangan usul akidah dan usul ibadah selain menggunakan akal yang sihat dan cerdas dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara yang bersifat semasa seperti dalam isu politik partisan. 

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi berpegang teguh akan keduanya, iaitu kitab ALLAH dan sunnah Rasul-NYA.” (Imam Malik, dalam al-Muwatta’)

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 4 Disember 2013, edisi atas talian boleh dibaca di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/kerjasama-institusi-agama-media-1.227153

Saturday, 23 November 2013

Umat hebat jika suka membaca

ANTARA bukti masyarakat Malaysia khususnya Melayu Islam semakin minat membaca buku berunsur agama adalah pertumbuhan penerbit buku berunsurkan agama yang begitu subur beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini juga jelas dapat dilihat dengan jumlah jualan per judul buku dan juga jumlah penerbitan buku-buku berunsur agama oleh para penerbit. Selain itu, jumlah kehadiran ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun meningkat, sama ada dari segi jumlah kehadiran dan juga memberikan impak kepada jumlah dagangan.

Secara umumnya, buku agama dan peralatan ibadah dikuasai sekian lama oleh para peniaga yang daripada kalangan India-Muslim sejak zaman berzaman. Ini tidak terkecuali dalam bidang penerbitan buku dan juga majalah berunsur agama.

Namun mutakhir ini, semakin ramai Bumiputera Melayu-Islam terlibat, malah mencuba pelbagai formula bagi memastikan buku-buku terbitan mereka berjaya menarik minat masyarakat membelinya.

Hakikatnya sumber dalam penulisan dan perbahasan ilmu Islam itu sama sahaja atau sudah sangat banyak dan tidak berubah melainkan hanya dalam beberapa isu. Ini adalah kerana al-Quran dan al-Hadis tetap menjadi rujukan utama dalam asas perbahasan diikuti dengan kitab tafsir dan syarahnya dan kemudian kitab-kitab ijtihad para ulama salaf al-salih dan seterusnya.

Terlalu banyak karya ditinggalkan oleh para alim ulama dari dulu sehingga kini dan itulah sebenarnya asas kepada kehebatan tamadun dan sejarah Islam yang tidak diberikan perhatian serius bagi dikaji dengan mendalam.

Perbezaan penafsiran terhadap nas-nas itu pula adalah rahmat selagi mana ia tidak membawa ke luar batas usul aqidah dan usul ibadat sebagaimana terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Dalam Islam, bukan hanya bangunan dan mercu tanda hebat yang dibanggakan seperti tamadun lain, namun insan dan ilmuwan yang beradab dan berakhlak tinggi hasil daripada kefahaman yang amalan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah itulah kuncinya.

Justeru, bagi mengembalikan kegemilangan tersebut masyarakat Muslim mesti menjadi masyarakat pembaca sesuai dengan arahan ALLAH dalam Surah al-`Alaq, ayat 1-5. Sudah saya jelaskan pada tulisan yang lalu mengapa kalimah Iqra’ menjadi kalimah pertama dalam ayat pertama, sekali gus surah yang pertama.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam perbahasan mengenai budaya ilmu dalam buku Budaya Ilmu: Satu Penjelasan memanjangkan hujah Prof Dr Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa masalah umat yang mendasar pada hari ini adalah kerana masalah kekeliruan akan ilmu yang benar.

Namun, sebelum ilmu itu menjadi masalah kepada umat Islam - masalah yang terlebih dahulu perlu difikirkan adalah masalah budaya membaca atau berkaitan iqra’ itu sendiri. Ini kerana masyarakat yang berbudaya ilmu secara automatik adalah masyarakat membaca. Justeru, mana mungkin ilmu menjadi masalah kepada masyarakat yang tidak membaca dan memahami falsafah iqra’ itu sendiri.

Sebagai penerbit buku berunsur agama, antara formula yang Karya Bestari laksanakan dan sudah menunjukkan kejayaan adalah dengan menyanggahi fahaman ‘don’t judge a book by it cover’. Ini adalah kerana budaya dan selera rakyat Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan manusia di Barat - membaca buku sudah menjadi budaya mereka.

Justeru, sesebuah buku memerlukan persembahan kulit yang cantik menawan sekalipun ia adalah buku akademik, semi ilmiah atau seumpama selain daripada persembahan reka letak yang sesuai serta persembahan laras bahasa yang menyantuni daya baca masyarakat awam tanpa mengabaikan dapatan dan muatan ilmiahnya.

Dan, pastinya antara kunci kejayaan budaya membaca di Barat adalah kerana harga bukunya sangat murah. Ini adalah kerana kos bahan penerbitannya murah, namun peliknya kita di Malaysia masih mengenakan cukai kepada import kertas yang sekali gus termasuk dalam kos penerbitan!

*Rencana ini sudah diterbitkan tabloid Sinar Harian, hari Jumaat, 22 November 2013. Lihat di sini untuk versi dalam talian http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/umat-hebat-jika-suka-membaca-1.223460

Saturday, 9 November 2013

Muslim dan ilmu berpisah tiada

SENTIASA saya lontarkan persoalan ini sama ada dalam ceramah, kuliah, penulisan dan sembang-sembang dengan rakan-rakan sewacana iaitu – kenapa ALLAH dalam menurunkan pada wahyu pertama, dalam surah pertama, pada ayat pertama, kalimahnya yang pertama adalah IQRA’?

Jika tujuan ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk Baginda menjadi seorang Muslim atau Mukmin, kenapa tidak wahyu yang pertama adalah “Islamlah kamu”, atau “Berimanlah kamu”, atau “Sujudlah kamu” Wahai Muhammad? Namun ALLAH memilih kalimah Iqra’ bagi dijadikan kalimah pertama dalam wahyu yang pertama.

Ini tidak lain adalah kerana Islam merupakan agama yang meletakkan ilmu dan keilmuan pada tempat yang tertinggi dalam hierarkinya. Mustahil seseorang yang jahil mengenai Islam khususnya rukun Islam dan Iman boleh menjadi seorang Muslim.

Ini adalah kerana seseorang yang ingin menjadi seorang Muslim wajib mengucap dua kalimah syahadah dan paling tidak memahami maksudnya. Mereka perlu belajar yakni mendengar dan memahami apa itu Islam dan juga makna kalimah syahadah sebelum sah menjadi seorang Muslim daripada seorang Muslim yang lain, nah… itu adalah suatu proses pembelajaran persis sahaja saat Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Jibril as.

Begitu juga dalam hadis-hadis banyak dinukilkan mengenai akidah daripada Rasulullah SAW yang bermula dengan kalimah fa`lam annahu Lailahailla Allah yang bermaksud “Maka ketahuilah” atau yang lebih tepat – “Maka berilmulah kamu akan (makna) Tiada ILAH melainkan ALLAH”.

Para ulama salaf al-salih yang memahami makna dan tafsiran Iqra’ dengan mendalam menterjemahkan dalam amalan kehidupan mereka dan ini jelas terbukti apabila mereka mula cenderung terhadap pengkajian ilmu-ilmu Islam bermula daripada al-Quran dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya dan al-Hadis dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya sehinggalah lahir karya-karya agung yang masih dirujuk sehingga pada hari ini.

Imam al-Bukhari rh memulakan penyusunan kitab sahihnya dengan hadis-hadis mengenai keutamaan ilmu dalam Islam, begitu juga dengan Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali rh dalam Ihya Ulumuddinnya yang diringkaskan dan dikemas kini pula oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisy rh bertajuk Mukhtasar Minhaj al-Qasidin.

Ternyata kehebatan ketamadunan dan budaya ilmu dalam sejarah Islam terhasil daripada kefahaman yang jitu terhadap falsafah Iqra’ lantas membawa agama Islam menjadi suatu kuasa dan pusat kepada perkembangan ketamadunan dunia pada suatu masa dahulu.

Kesan-kesan daripada budaya ilmu yang bertitik-tolak daripada kecintaan yang mendalam terhadap budaya membaca, berfikir, mengkaji, kritis inilah yang hilang daripada jiwa dan minda umat Islam hari ini khususnya di Malaysia.

Justeru penerbitan buku-buku agama termasuk al-Quran dengan persembahan kontemporari seperti 7 dalam 1 sebagai yang diterbitkan oleh Karya Bestari adalah tepat pada masanya.

Al-Quran Cordoba merupakan penerbitan menggunakan metodologi persembahan terkini dengan menggabung unsur-unsur cabang ilmu daripada al-Quran seperti hukum tajwid, terjemahan, tafsir daripada tafsir muktabar, huraian dengan hadis-hadis yang berkaitan, nota-nota fakta berkenaan dengan sejarah dan sebagainya dalam hanya satu naskhah.

Selain itu, Karya Bestari juga akan merancakkan penerbitan buku-buku agama dengan muatan perbahasan daripada sumber ilmu-ilmu Islam dengan persembahan luar dan dalam yang menarik sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini.

Dengan persembahan kulit yang cantik dan gaya penulisan menggunakan bahasa Melayu standard, ia akan melancarkan proses pembacaan, seterusnya meningkatkan daya faham serta mendekatkan seseorang pembaca kepada ilmu Islam, sekali gus kepada ALLAH dan Rasul-NYA, Insya-ALLAH.

Dengan penerbitan buku-buku agama dan al-Quran yang berkualiti tinggi lagi murah harganya ini (antara sebab budaya membaca di Barat sukses adalah kerana bukunya yang murah!), kita mengharapkan budaya ilmu semakin menyemarak dalam masyarakat kita, seterusnya mengembalikan kehebatan umat Islam dan Melayu sebagai umat berbudaya ilmu.

*Penulis adalah Editor Kanan Buku, Karya Bestari, Karangkraf Hubungi zahiruddin@karangkraf.com


*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian, 8 November 2013. Lihat di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/muslim-dan-ilmu-berpisah-tiada-1.218755

Monday, 2 September 2013

Fenomena Universiti Terbuka Atas Talian

PADA hari Ahad bersamaan 25 Ogos 2013 yang lalu, satu simposium telah berlangsung di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM). Simposium tersebut diberi nama Simposium UTAM.

UTAM adalah akronim kepada Universiti Terbuka Anak Muda, mereka sebenarnya terdiri daripada anak muda Malaysia yang kini merupakan siswa di pelbagai universiti di pelbagai negara sama ada di United Kingdom, Amerika, Jepun, Jordan, Mesir, Arab Saudi dan pelbagai lagi termasuk Malaysia.

Anak muda ini bergabung hanya melalui atas talian dan membuka laman Facebook rasmi mereka, laman sesawang dan akaun Youtube atas nama Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM). Antara aktiviti teras mereka adalah syarahan individu daripada ahli-ahli organisasi bebas tanpa hieraki itu secara atas talian pada masa dan hari yang sudah ditetapkan.

Individu dan tajuk perbentangan adalah bebas berdasarkan kepada kesuaian dan kecenderungan ahli tersebut dan biasanya mereka banyak membicarakan dan berkongsi ulasan mengenai buku-buku yang mereka sudah baca tanpa batasan genre tertentu. Bermula daripada buku genre agama, falsafah, sejarah, pemikiran sehinggalah genre travelog.

Mereka sokong-menyokong antara satu sama lain walaupun saya yakin ada di antara mereka hanya berkenalan melalui atas talian sahaja atas nama bagi membudayakan wacana intelektual. Bukan sahaja kru, namun sesiapa sahaja yang punya kemahuan dan idea bagi dikongsikan akan diberi peluang bagi memberikan syarahan malah mereka juga menjemput tokoh-tokoh tertentu yang sudi.

Tokoh politik pelbagai warna

Simposium Ahad lalu memperlihatkan komitmen kru UTAM bagi mendatangkan satu budaya wacana intelektual yang sudah lama hilang dari kalangan siswa Malaysia. UTAM berusaha mengembalikan budaya intelektual kritis, ini terpancar jelas daripada tajuk yang menjadi fokus simposium dan juga tokoh-tokoh yang dijemput.

Bermula dengan ucapan perasmian oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kemudian diikuti ucaptama bertajuk “Budaya Ilmu dalam Tajdid Politik Malaysia” oleh Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman, profesor dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam yang juga merupakan seorang daripada pentadbir Centre for Advance Studies On Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia.

Program diteruskan dengan perbentangan kertas kerja oleh jurnalis, pengkritik sosial dan penganalisis politik bebas tanah air, Fathi Aris Omar dengan perbentangannya yang bertajuk “Demokrasi, Melayu dan Islam”. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Dr Mohammad Alinor, mantan pensyarah dan kini aktivis intelektual bebas khusus dalam bidang matematik dengan tajuk “Pendidikan Kritis dan Kreatif Berasaskan Budaya Sendiri”.

Sesi petang pula telah diadakan sebuah forum yang juga mendatangkan tokoh-tokoh politik sekali gus intelektualis seperti Wan Saiful Wan Jan, ketua pegawai eksekutif  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Profesor Dr Tajuddin Rasdi, seorang akademia dan YB Liew Chin Tong, kedua mereka daripada DAP. Forum bertajuk “Intelektual Awam dan Politik: Merentas Semangat Partisan” di pengerusikan oleh Anas Alam Fazli, kru UTAM.

Tiba-tiba saya tertanya, di manakah wakil daripada PAS (atau Dewan Pemuda PAS Pusat)? Apakah mereka memang tidak menjadi pilihan utama kru UTAM bagi program ini atau ada yang sudah dijemput tiada yang dapat memenuhi jemputan atau bagaimana? Hanya kru UTAM tahu jawapannya!

Dimensi politik baru

Melihat kepada gelagat anak muda UTAM yang semuanya adalah ulat buku dan lebih selesa berbicara hal-hal serius berkaitan masa depan agama, politik dan ekonomi negara rentas pragmatisme taksub partisan secara kritis dan analitis, seakan ada sinar yang begitu cemerlang untuk generasi baru Malaysia menuju ke atas keadilan sosial yang sejagat selari dengan tuntutan Islam.

Ironinya semester baru universiti tempatan akan berlangsung tidak lama lagi, ia akan memperlihatkan gelagat siswa tempatan sama ada yang  berjenama jemaah atau persatuan masih terbelenggu dan pening bagi memikirkan program apa semester ini yang mahu mereka anjurkan. Ini kerana mungkin pilihan yang terlintas di benak majoriti daripada mereka - forum dengan tajuk Monyetnya Cinta Kita atau Berukkah Cinta Mereka!

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian dengan tajuk UTAM Cetus Fenomena Baru di alamat http://www.sinarharian.com.my/karya/entri-blog/utam-cetus-fenonema-baru-1.197701.