Monday 9 December 2013

Kerjasama institusi agama, media

TAHNIAH diucapkan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) kerana berjaya menghimpunkan sejumlah karyawan belakang tabir media seperti editor, wartawan dan penerbit TV dalam satu program yang cukup bermakna.

Bengkel Diskusi Isu Islam Semasa yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap pada 20-21 November lalu turut menghimpunkan agamawan dan ilmuwan daripada panel pemikir isu Islam semasa PMWP sendiri.

Pengisian hari pertama antaranya oleh Ustaz Muhammad Ariffin bin Ismail dengan tajuk Peranan Wartawan Dalam Menghadapi Isu Semasa, Encik Mafis bin Mohd. Samuri dengan tajuk Perkembangan Dakyah dan Musuh-musuh Islam.

Pada sebelah petang peserta ditayangkan filem My Name Is Khan dan pada belah malamnya sesi analisis dan bedah filem dijalankan dengan perkongsian daripada semua peserta. Asasnya adalah untuk melihat bagaimana pemikiran pluralisme agama yang jelas dipromosikan dalam filem tersebut dan menilainya daripada perspektif Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dengan kritis. Sesi tersebut dikemudikan oleh kedua penceramah sebelumnya.

Pada hari kedua, sesi dimulakan dengan penyampaian oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin dengan tajuk Fahaman-fahaman Menyeleweng Daripada Ahli Sunnah wal Jamaah diikuti dengan penyampaian oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah kanan di Pusat Kajian Tinggi Islam dan Sains (CASIS), UTM dengan tajuk Konsep Pluralisme Agama Daripada Perspektif Islam dan Barat.

Program pada hari kedua ditutup dengan ucapan penangguhan daripada SS Dato’ Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan selepas sesi soal-jawab dan dialog antara pembentang dan peserta. Rata-rata peserta yang merupakan karyawan media berpuas hati dan menyatakan keperluan bagi program sebegini diteruskan pada masa depan dengan pengisian dan perbahasan yang lebih mendasar dan ilmiah.

Secara umumnya tujuan program ini adalah bagi menjelaskan kepada pihak media agar berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu berita atau bahan selain perlu merujuk kepada autoriti yang sahih serta selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab akidah Asy`ari/Maturidi, mazhab fikah Syafi`i dan ilmu tasawuf aliran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h.

Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kekeliruan dan bertembungan berterusan dalam masyarakat akibat daripada pandangan-pandangan yang tidak biasa terpakai dalam negara ini. Selain daripada itu, keutamaan kita adalah fokus kepada isu-isu yang lebih besar seperti ancaman golongan pro liberalisme, pulralisme agama, feminisme, LGBT, ajaran-ajaran sesat dan seumpamanya.

Dalam masa yang sama, menurut Ustaz Muhammad Ariffin sewajarnya kesesatan-kesesatan isme-isme yang pelbagai ini dilawan dengan hujah-hujah ilmiah daripada disiplin pengajian ilmu Islam dan kajian-kajian saintifik serta sains sosial semasa. Tindakan undang-undang bagi terus mengharamkan hanya akan mempopularkan lagi mereka malah kadang-kadang itulah yang mereka mahukan.

Jika golongan tersebut sengaja mencabar kesucian akidah dan syariat Islam lalu menyerangnya melalui buku, justeru perlu dilawan dan dihujah kembali dengan buku. Begitu juga jika mereka menggunakan media baru, justeru tulisan-tulisan bersifat memurnikan dan menjelaskan mengenai ajaran Islam yang hakiki perlu juga disebarkan dan diperbanyakkan dalam media baru.

Mengehadkan masyarakat awam kepada satu sumber dan aliran juga sudah tidak lagi relevan mengenangkan fenomena langit terbuka mutakhir ini. Apa yang lebih tepat adalah membuka ruang hujah dan perbincangan secara bertingkat sesama ahli ilmu sebelum disebarkan kepada masyarakat secara terbuka.

Khilaf adalah rahmat jika kena cara menguruskannya, namun jika masfadahnya lebih besar dan menyebabkan masyarakat semakin berpecah lebih baik ia hanya dibincangkan dalam kelompok tertentu sahaja seperti komuniti di universiti yang tugas mereka sememangnya berfikir dan mengkaji bagi mengemukakan solusi yang terbaik buat umat. 

Walau bagaimanapun, umat perlu didedahkan kepada disiplin pengajian dua sumber utama dalam Islam jika mereka benar-benar mengaku ASWJ iaitu al-Quran dan ilmu-ilmunya serta al-Hadith yang sahih dan ilmu-ilmunya selain daripada ilmu-ilmu pemikiran dahulu dan kini bagi memastikan penilaian yang dibuat tidak bersalahan dengan wahyu dan logik akal kewarasan. 

Ini adalah kerana ASWJ yang sejati adalah mereka yang menjadikan manhaj al-Quran dan al-Hadith sebagai rujukan utama dalam perbincangan usul akidah dan usul ibadah selain menggunakan akal yang sihat dan cerdas dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara yang bersifat semasa seperti dalam isu politik partisan. 

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi berpegang teguh akan keduanya, iaitu kitab ALLAH dan sunnah Rasul-NYA.” (Imam Malik, dalam al-Muwatta’)

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 4 Disember 2013, edisi atas talian boleh dibaca di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/kerjasama-institusi-agama-media-1.227153

Saturday 23 November 2013

Umat hebat jika suka membaca

ANTARA bukti masyarakat Malaysia khususnya Melayu Islam semakin minat membaca buku berunsur agama adalah pertumbuhan penerbit buku berunsurkan agama yang begitu subur beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini juga jelas dapat dilihat dengan jumlah jualan per judul buku dan juga jumlah penerbitan buku-buku berunsur agama oleh para penerbit. Selain itu, jumlah kehadiran ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun meningkat, sama ada dari segi jumlah kehadiran dan juga memberikan impak kepada jumlah dagangan.

Secara umumnya, buku agama dan peralatan ibadah dikuasai sekian lama oleh para peniaga yang daripada kalangan India-Muslim sejak zaman berzaman. Ini tidak terkecuali dalam bidang penerbitan buku dan juga majalah berunsur agama.

Namun mutakhir ini, semakin ramai Bumiputera Melayu-Islam terlibat, malah mencuba pelbagai formula bagi memastikan buku-buku terbitan mereka berjaya menarik minat masyarakat membelinya.

Hakikatnya sumber dalam penulisan dan perbahasan ilmu Islam itu sama sahaja atau sudah sangat banyak dan tidak berubah melainkan hanya dalam beberapa isu. Ini adalah kerana al-Quran dan al-Hadis tetap menjadi rujukan utama dalam asas perbahasan diikuti dengan kitab tafsir dan syarahnya dan kemudian kitab-kitab ijtihad para ulama salaf al-salih dan seterusnya.

Terlalu banyak karya ditinggalkan oleh para alim ulama dari dulu sehingga kini dan itulah sebenarnya asas kepada kehebatan tamadun dan sejarah Islam yang tidak diberikan perhatian serius bagi dikaji dengan mendalam.

Perbezaan penafsiran terhadap nas-nas itu pula adalah rahmat selagi mana ia tidak membawa ke luar batas usul aqidah dan usul ibadat sebagaimana terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Dalam Islam, bukan hanya bangunan dan mercu tanda hebat yang dibanggakan seperti tamadun lain, namun insan dan ilmuwan yang beradab dan berakhlak tinggi hasil daripada kefahaman yang amalan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah itulah kuncinya.

Justeru, bagi mengembalikan kegemilangan tersebut masyarakat Muslim mesti menjadi masyarakat pembaca sesuai dengan arahan ALLAH dalam Surah al-`Alaq, ayat 1-5. Sudah saya jelaskan pada tulisan yang lalu mengapa kalimah Iqra’ menjadi kalimah pertama dalam ayat pertama, sekali gus surah yang pertama.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam perbahasan mengenai budaya ilmu dalam buku Budaya Ilmu: Satu Penjelasan memanjangkan hujah Prof Dr Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa masalah umat yang mendasar pada hari ini adalah kerana masalah kekeliruan akan ilmu yang benar.

Namun, sebelum ilmu itu menjadi masalah kepada umat Islam - masalah yang terlebih dahulu perlu difikirkan adalah masalah budaya membaca atau berkaitan iqra’ itu sendiri. Ini kerana masyarakat yang berbudaya ilmu secara automatik adalah masyarakat membaca. Justeru, mana mungkin ilmu menjadi masalah kepada masyarakat yang tidak membaca dan memahami falsafah iqra’ itu sendiri.

Sebagai penerbit buku berunsur agama, antara formula yang Karya Bestari laksanakan dan sudah menunjukkan kejayaan adalah dengan menyanggahi fahaman ‘don’t judge a book by it cover’. Ini adalah kerana budaya dan selera rakyat Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan manusia di Barat - membaca buku sudah menjadi budaya mereka.

Justeru, sesebuah buku memerlukan persembahan kulit yang cantik menawan sekalipun ia adalah buku akademik, semi ilmiah atau seumpama selain daripada persembahan reka letak yang sesuai serta persembahan laras bahasa yang menyantuni daya baca masyarakat awam tanpa mengabaikan dapatan dan muatan ilmiahnya.

Dan, pastinya antara kunci kejayaan budaya membaca di Barat adalah kerana harga bukunya sangat murah. Ini adalah kerana kos bahan penerbitannya murah, namun peliknya kita di Malaysia masih mengenakan cukai kepada import kertas yang sekali gus termasuk dalam kos penerbitan!

*Rencana ini sudah diterbitkan tabloid Sinar Harian, hari Jumaat, 22 November 2013. Lihat di sini untuk versi dalam talian http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/umat-hebat-jika-suka-membaca-1.223460

Saturday 9 November 2013

Muslim dan ilmu berpisah tiada

SENTIASA saya lontarkan persoalan ini sama ada dalam ceramah, kuliah, penulisan dan sembang-sembang dengan rakan-rakan sewacana iaitu – kenapa ALLAH dalam menurunkan pada wahyu pertama, dalam surah pertama, pada ayat pertama, kalimahnya yang pertama adalah IQRA’?

Jika tujuan ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk Baginda menjadi seorang Muslim atau Mukmin, kenapa tidak wahyu yang pertama adalah “Islamlah kamu”, atau “Berimanlah kamu”, atau “Sujudlah kamu” Wahai Muhammad? Namun ALLAH memilih kalimah Iqra’ bagi dijadikan kalimah pertama dalam wahyu yang pertama.

Ini tidak lain adalah kerana Islam merupakan agama yang meletakkan ilmu dan keilmuan pada tempat yang tertinggi dalam hierarkinya. Mustahil seseorang yang jahil mengenai Islam khususnya rukun Islam dan Iman boleh menjadi seorang Muslim.

Ini adalah kerana seseorang yang ingin menjadi seorang Muslim wajib mengucap dua kalimah syahadah dan paling tidak memahami maksudnya. Mereka perlu belajar yakni mendengar dan memahami apa itu Islam dan juga makna kalimah syahadah sebelum sah menjadi seorang Muslim daripada seorang Muslim yang lain, nah… itu adalah suatu proses pembelajaran persis sahaja saat Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Jibril as.

Begitu juga dalam hadis-hadis banyak dinukilkan mengenai akidah daripada Rasulullah SAW yang bermula dengan kalimah fa`lam annahu Lailahailla Allah yang bermaksud “Maka ketahuilah” atau yang lebih tepat – “Maka berilmulah kamu akan (makna) Tiada ILAH melainkan ALLAH”.

Para ulama salaf al-salih yang memahami makna dan tafsiran Iqra’ dengan mendalam menterjemahkan dalam amalan kehidupan mereka dan ini jelas terbukti apabila mereka mula cenderung terhadap pengkajian ilmu-ilmu Islam bermula daripada al-Quran dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya dan al-Hadis dan ilmu-ilmu pecahan daripadanya sehinggalah lahir karya-karya agung yang masih dirujuk sehingga pada hari ini.

Imam al-Bukhari rh memulakan penyusunan kitab sahihnya dengan hadis-hadis mengenai keutamaan ilmu dalam Islam, begitu juga dengan Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali rh dalam Ihya Ulumuddinnya yang diringkaskan dan dikemas kini pula oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisy rh bertajuk Mukhtasar Minhaj al-Qasidin.

Ternyata kehebatan ketamadunan dan budaya ilmu dalam sejarah Islam terhasil daripada kefahaman yang jitu terhadap falsafah Iqra’ lantas membawa agama Islam menjadi suatu kuasa dan pusat kepada perkembangan ketamadunan dunia pada suatu masa dahulu.

Kesan-kesan daripada budaya ilmu yang bertitik-tolak daripada kecintaan yang mendalam terhadap budaya membaca, berfikir, mengkaji, kritis inilah yang hilang daripada jiwa dan minda umat Islam hari ini khususnya di Malaysia.

Justeru penerbitan buku-buku agama termasuk al-Quran dengan persembahan kontemporari seperti 7 dalam 1 sebagai yang diterbitkan oleh Karya Bestari adalah tepat pada masanya.

Al-Quran Cordoba merupakan penerbitan menggunakan metodologi persembahan terkini dengan menggabung unsur-unsur cabang ilmu daripada al-Quran seperti hukum tajwid, terjemahan, tafsir daripada tafsir muktabar, huraian dengan hadis-hadis yang berkaitan, nota-nota fakta berkenaan dengan sejarah dan sebagainya dalam hanya satu naskhah.

Selain itu, Karya Bestari juga akan merancakkan penerbitan buku-buku agama dengan muatan perbahasan daripada sumber ilmu-ilmu Islam dengan persembahan luar dan dalam yang menarik sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini.

Dengan persembahan kulit yang cantik dan gaya penulisan menggunakan bahasa Melayu standard, ia akan melancarkan proses pembacaan, seterusnya meningkatkan daya faham serta mendekatkan seseorang pembaca kepada ilmu Islam, sekali gus kepada ALLAH dan Rasul-NYA, Insya-ALLAH.

Dengan penerbitan buku-buku agama dan al-Quran yang berkualiti tinggi lagi murah harganya ini (antara sebab budaya membaca di Barat sukses adalah kerana bukunya yang murah!), kita mengharapkan budaya ilmu semakin menyemarak dalam masyarakat kita, seterusnya mengembalikan kehebatan umat Islam dan Melayu sebagai umat berbudaya ilmu.

*Penulis adalah Editor Kanan Buku, Karya Bestari, Karangkraf Hubungi zahiruddin@karangkraf.com


*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian, 8 November 2013. Lihat di sini http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/muslim-dan-ilmu-berpisah-tiada-1.218755

Sunday 3 November 2013

Apa selepas konflik Asia Barat kini?

Dalam media baru khususnya Facebook dan Whatapp beredar satu ‘printscreen’ daripada ruangan surat pembaca akhbar berbahasa Inggeris luar negara yang menarik bagi diberi perhatian. Ia semacam sifir ringkas dan padat yang menggambarkan keseluruhan krisis politik antarabangsa yang sedang berlaku pada ketika ini di Asia Barat.

A Short Guide to Middle East                              
From Mr KN Al-Sabah. 
Sir, Iran is backing Assad. Gulf States are against Assad! 
Assad is against Muslim Brotherhood. Muslim Brotherhood and Obama are against General Sisi. 
But Gulf states are pro-Sisi! Which means they are against Muslim Brotherhood?                
Iran is pro-Hamas, but Hamas is backing Muslim Brotherhood! 
Obama is backing Muslim Brotherhood, yet Hamas are against the US! 
Gulf States are pro-US. But Turkeyis with Gulf states are against Assad; yet Turkey                 is pro-Muslim Brotherhood against General Sisi. And General Sisi is being backed by Gulf States!
Welcome to the Middle East and have a nice day.              
K N Al-Sabah, 
London EC4, UK

Suasana politik di Asia Barat melibatkan negara-negara bangsa Arab yang majoritinya rakyatnya beragama Islam adalah rumit untuk difahami bagi mereka yang tidak mendalaminya secara menyeluruh berdasarkan sejarahnya yang panjang. Bermula dengan kelahiran Islam di kota Makkah sekitar 610 Masihi, apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada keagungan sejarah, tamadun, kebangkitan, kejatuhan sepanjang 1400 tahun sebelumnya.

Bagaimana mungkin untuk membicarakan apa yang berlaku pada hari ini tanpa mengetahui daripada mana krisis ini timbul, mengapakah ia timbul dan apakah matlamat yang mahu dicapai daripada pihak yang terlibat dalam krisis yang berpanjangan ini? Terlalu banyak persoalan dan terlalu banyak kekaburan. Apa yang pasti kezaliman sesiapa pun yang mengakibatkan kematian lelaki, wanita, tua, muda, kanak-kanak dan kemusnahan infrastruktur serta alam ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam malah agama apa pun di dunia ini! 
    
Relevankah lagi feudal monarki di Haramain

Jika diperhalusi secara teliti dalam sirah nabawiyyah, kita akan mendapati bahawa antara hikmah daripada pelantikan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin pertama sebuah pemerintahan berdaulat atas nama Islam adalah secara syura yakni persetujuan orang ramai daripada Aus dan Khazraj serta Ansar dan Muhajirin.

Cara pelantikan Rasulullah s.a.w. menyanggahi adat kebiasaan kerajaan-kerajaan sebelumnya kerana tamadun-tamadun agung sebelumnya seperti tamadun Yunani, Parsi, Mesir kuno, India dan China melantik pemerintah atau pemimpin berdasarkan kepada pewarisan keturunan meskipun anak mereka masih lagi seorang bayi.

Pelantikan empat orang Khulafa al-Rasyidin iaitu Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan dan Ali bin Abi Talib radiya’Llahu `anhum ajma`in juga tidak menjadikan sistem pewarisan takhta sebagaimana yang diamalkan dalam sistem feudal monarki sebelumnya. Hanya sehingga ke zaman Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufyan sistem pewarisan kembali berfungsi atas sebab-sebab permasalahan semasa yang tidak dapat dielakkan.

Al-Quran dan al-Sunnah tidak meninggalkan cara yang qat`i bagi proses pelantikan seseorang pemimpin namun menyatakan cirri-ciri yang perlu pada seorang pemimpin dengan jelas melalui keduanya.

Demokrasi mempunyai ruh syura

Intipati syura adalah mengambil kira pendapat ramai dan khusus dalam pembuatan sesuatu keputusan khususnya dalam persoalan kepimpinan, demikian para ulama fiqh membincangkan dengan rencam mengenai demokrasi khususnya setelah jatuh Khilafah Turki Uthmaniyyah yang merupakan khilafah terakhir Islam pada tahun 1924.

Sesetengah ulama yang menyandarkan diri mereka kepada manhaj salaf dan berada di sekitar negara-negara Arab di Asia Barat yang sistem pemerintahannya adalah feudal monarki sehingga kini dengan keras menolak demokrasi dengan alasan ia adalah suatu program dan sistem yang dicipta Barat dan ia adalah haram di sisi Islam.

Manakalah para ulama, sarjana dan pemikir Islam yang berada di negara-negara yang pernah dijajah oleh negara Barat mula membincangkan dan melahirkan idea-idea di luar konteks turath dan meraikan waqi`i zaman bagi memastikan maslahah umat Islam terjaga sehingga melahirkan penulisan-penulisan idea dan pemikiran yang tidak kurang kontroversinya antaranya oleh Shaykh Ali Abdul Raziq berjudul al-Islam wa Usul al-Hukm.

Kemudian perbincangan mengenai demokrasi dalam konteks Islam menjadi begitu meluas sementelah ia sudah menjadi realiti dan sebahagian daripada sistem masyarakat di hampir semua negara umat Islam yang pernah dijajah oleh Barat. Namun tiada satu penulisan pun yang mengatakan bahawa demokrasi adalah cara yang terbaik dan tepat menurut al-Quran dan al-Sunnah melainkan mengatakan bahawa demokrasi adalah sistem yang sesuai dengan keperluan zaman dan ia mempunyai ruh syura itu sendiri dalam aspek meraikan suara orang ramai dan Muslim perlu bijaksana dalam menggunakannya.

Malik ben Nabi yakin demokrasi adalah suatu ruang mendidik masyarakat untuk membuat pemilihan yang terbaik melalui sistem, begitu juga Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi secara jelas menulis dalam kitab Fiqh Dawlah bahawa demokrasi ada nilai syura dan harus dipraktiskan, malah Shaykh Rashid Ghanoushi selaku ikon kepada gerakan Islam Tunisia begitu sekali memperjuangkan hak-hak Islam dan keadilan melalui demokrasi. Demokrasi juga terbukti berjaya menaikkan nilai Islam di Turki di bawah pemerintahan Presiden Reccep Tayyib Erdogan yang menang pilihanraya Turki semenjak tahun 2003 melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Menggunakan sistem sekular liberal untuk Islamis berkuasa

Perkara yang sama berlaku di Mesir, apabila Presiden Mohammed Mursi berjaya menjadi presiden pertama Mesir melalui pilihanraya dan sistem demokrasi yang bersih. Namun ia kini dikhianati sendiri oleh golongan sekular-liberal yang mengagungkan demokrasi, hak kebebasan bersuara dan lain-lain.

Bukan sistem demokrasi itu sendiri yang bermasalah namun manusia yang terus-menerus melihat Islam dan Ikhwan Muslimin sebagai ancaman kepada mereka adalah punca di sebalik kekacauan di Mesir. Suara-suara yang mengkritik bahawa sistem demokrasi adalah punca kepada apa yang berlaku itu perlu bertanya kepada diri mereka, jika Mohammed Mursi naik daripada sistem yang mereka rasa betul itu, apakah puak sekular-liberal ini akan bersetuju dan tidak menentang?

Jelas ia bukan berkaitan dengan sistem, namun ia berkaitan dengan manusia yang tidak menjadikan kemanusiaan, ilmu dan adab sebagai pakaian hidup melainkan kepentingan khusus merekalah yang diutamakan. Benarlah Karl Marx apabila mengatakan bahawa krisis manusia berpunca daripada perut dan Sigmund Freud pula mengatakan berasal daripada kemaluan. Lama sebelum keduanya membincangkan mengenainya, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahu’Llah sudah membincangkan dalam karangan-karangan beliau dengan jelas dan detil mengenai persoalan hawa nafsu, ruh, jiwa dan akal.

Keduanya adalah berkaitan dengan nafsu dan kepentingan individu serta kelompok eksklusif. Jelas Islam serta kemanusiaan menentang kejahatan ini. Ironinya gejala inilah yang sedang berlegar di sekitar Asia Barat yang mana negara yang diperintah secara feudal monarki khususnya Arab Saudi. Kebangkitan Ikhwan Muslimin melalui Mohammed Mursi merisaukan raja-raja ini dan tidak hairan jika mereka dingin saatnya Mursi menjadi presiden secara sah dan segera memberikan bantuan billion dolar kepada junta yang mengganas sekarang atas nama bagi mengekalkan keamanan.

Sekilas mengenai Arab Saudi

Keluarga Ibn Saud setelah berjaya menundukkan semua kabilah Arab supaya tunduk kepada mereka dan dengan bantuan pelbagai pihak sama ada ulama dan penjajah berjaya menobatkan dirinya sebagai raja kepada Hijaz merangkumi beberapa jajahan termasuk Makkah dan Madinah. Mereka kemudian menamakan jajahan dan kekuasaan baru mereka itu sempena nama keluarga mereka iaitu Saudi, Arab Saudi.

Saban tahun mereka mengaut banyak keuntungan daripada gelaran ‘Pemberi Minum Jemaah Haji’ hasil daripada kebanjiran umat Islam seluruh dunia sama ada untuk menunaikan umrah dan juga haji. Selain daripada itu, Allah juga menganugerahkan mereka telaga-telaga minyak yang banyak dan bernilai tinggi menjadi kegilaan kuasa-kuasa Barat.

Segala kekayaan ini menjadi hak milik peribadi keluarga diraja Ibn Saud (boleh menonton dokumentari di Youtube) tanpa pernah kita mendengar duit yang banyak itu digunakan untuk menolong negara-negara umat Islam seperti mereka yang kebuluran di Darfur, Sudan.

Mereka yang dihimpit kekejaman pemerintah negara mereka sendiri di seperti Rohignya di Myanmar dan Uighur di China. Bukahkah sepatutnya duit daripada umat Islam seluruh dunia yang bernilai entah berapa trillion saban tahun itulah sebenar sumber utama bagi program memperkasakan umat Islam seluruh dunia tanpa prejudis bangsa dan batas kenegaraan? Namun kebanyakan kekayaan tersebut menjadi hak milik peribadi keluarga mereka sehingga mereka berbangga termasuk dalam nama orang-orang paling kaya di dunia.

Kesimpulan

Perang sudah berlaku, sama ada ia akan memakan masa yang panjang atau berhenti secara tiba-tiba, ia adalah segala kemungkinan yang boleh terjadi. Di sana masih ramai umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati kalimah Islam yang berasal daripada perkataan salam itu khususnya mereka yang benar-benar menghayati tarbiyyah Ikhwan Muslimin.

Membaca biografi tokoh utama Ikhwan Muslimin seperti Inside The Muslim Broterhood (sudah terbit dalam terjemahan bahasa Melayu dengan judul – Di Sebalik Ikhwan Muslimin) oleh Youssef Nada dan Douglas Thompson menyedarkan kita bahawa di sana ada ramai lagi mereka yang lahir daripada fikrah yang sejahtera yang sentiasa mencari jalan keamanan yang berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama manusia sejagat apatah lagi sesama Muslim, sesama bangsa dan antara rakyat negara itu sendiri.

Masanya akan tiba, saat raja-raja zalim yang berkepentingan peribadi ini dijatuhkan daripada takhta mereka dan kekayaan umat diserahkan sebagai dana membangunkan semula negara-negara Islam yang hancur kerana perang dan revolusi. Dunia ini bukan hanya seputar kegilaan para penguasa, ahli politik dan parti politik, Timur dan Barat sahaja… namun ia adalah berkenaan dengan kesejahteraan manusia sejagat.

Dengan kekayaan dan sumber tenaga yang dapat dikembalikan kepada penguasaan umat Islam dan diuruskan secara adil, Barat boleh dikekang dan ditundukkan dengan perjanjian-perjanjian bersifat kepentingan bersama atas nama ekonomi sebagaimana yang pernah dipraktiskan dalam sirah dan sejarah kegemilangan Islam lampau. Pastinya kuasa ekonomi sentiasa berjaya mengekang kuasa politik, yang diperlukan adalah seorang pemimpin yang disegani oleh semua orang Islam… di manakah beliau dan bilakah beliau akan muncul?

*Artikel ini diterbitkan oleh Majalah I, Karangkraf, bil. 132/Ok. 2013 

Monday 16 September 2013

Perjuangan Dunia Buku di Malaysia

UNESCO menetapkan antara kriteria sebuah negara maju adalah penerbitan jumlah judul buku setahun bagi negara tersebut adalah 1% daripada jumlah keseluruhan populasi rakyatnya. Justeru Malaysia yang jumlah penduduknya dianggarkan seramai 27 juta orang mesti menerbitkan 27 ribu judul setahun.

Angka tersebut tidak pernah dicapai menurut rekod pengeluaran nombor siri ISBN buku yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Meskipun mutakhir ini, penerbit buku termasuk majalah muncul dengan mendadak yang pastinya meningkatkan jumlah penerbitan buku namun apakah alat pengukuran tersebut relevan bagi dinisbahkan dengan budaya membaca rakyat Malaysia?

Jumlah judul penerbitan vs jumlah jualan

Apakah jika Malaysia berjaya mencapai jumlah penerbitan buku yang disyaratkan oleh Unesco itu bermaksud rakyatnya sudah menjadikan membaca sebagai suatu budaya? Saya secara peribadi tida bersetuju dengan andaian tersebut.

Menerbitkan buku adalah kerja teknikal di mana dengan suntikan modal yang tinggi daripada mana-mana pihak khususnya kerajaan ia boleh dilakukan. Namun selepas jumlah penerbitan itu mencapai jumlah 27 ribu judul kemudian apa? Apakah jaminan yang boleh diberikan semua judul buku tersebut akan dibaca dan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia?

Namun bagi sebuah rumah penerbitan swasta sebagai contoh, apabila mereka menerbitkan satu judul buku dan buku tersebut berjaya dijual dalam masa kurang setahun sebanyak lebih 10 ribu naskhah dan sering diulang cetak, secara mudah satu judul buku tersebut boleh dianggap sudah dibaca oleh 10 ribu orang tidak termasuk yang berada di perpustakaan dan yang dipinjamkan sesama mereka.

Sewajarnya kita memahami bahawa perjuangan sebenar bagi seorang penulis, penerbit dan pengedar buku pada masa kini adalah bagaimana untuk memastikan buku-buku  yang ditulis, diterbitkan dan dijual dibeli oleh masyarakat umum dengan meluas.

Ironinya

Antara perkembangan bagus yang boleh dibanggakan adalah, rakyat Malaysia semakin suka membaca. Ini dibuktikan dengan jumlah jualan buku oleh penerbit dan kemunculan penerbit-penerbit baru yang agak meriah kebelakangan ini. Segmen buku berorientasikan agama antara yang menunjukkan lonjatan yang mendadak.

Namun pertambahan judul buku dan rumah penerbitan ini tidak selari dengan pertumbuhan kedai buku yang rata-ratanya semakin mengecil. Persaingan sesama buku dan penerbit dalam ruangan yang kecil itu sering menjadikan buku-buku yang bagus juga tidak dapat sampai ke tangan pembaca.

Sebagai alternatif, pemasaran atas talian mengambil tempat dan perlu diperkasakan kerana menjadi fenomena juga para pembaca lebih suka membeli melalui atas talian dan membayar sahaja caj servis penghantaran berbanding mereka terpaksa ke kedai buku atau pasar raya semata-mata untuk membeli sebuah buku.

Isu sebenar

Di sebalik pertumbuhan dan pengeluaran buku yang semakin meningkat itu, tiba-tiba penawaran produk yakni buku sudah melebih permintaan dan keperluan, ini kerana meskipun perkembangan di peringkat penerbit buku adalah positif namun pertumbuhan pembaca-pembaca sekali gus pencinta ilmu di Malaysia adalah amat lembap.

Kebanyakan mereka yang saban bulan pergi ke kedai buku dan membeli buku adalah orang yang sama. Justeru kuasa beli akibat daripada pertumbuhan pembaca yang tidak meningkat inilah yang menjadi masalah utama dalam pertumbuhan masa depan dunia buku selain daripada faktor-faktor lain seperti harga buku yang masih dikira mahal kerana secara teorinya jika harga buku boleh dijual dengan murah seperti di Barat maka kuasa belinya akan meningkat.

Para sarjana di universiti, pemikir-pemikir bebas, penerbit-penerbit buku baru dan lama, penulis-penulis buku ilmiah dan popular dan juga pekedai-pekedai perlu memikirkan bagaimana caranya untuk membina para pembaca buku tegar yang baru sekali gus pencinta ilmu. Barangkali ia boleh dikaitkan dengan Teori Domino, dan jangan berharap sangat dengan orang politik dalam bab ini!

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh The Malaysia Insider dengan tajuk yang sama di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/perjuangan-dunia-buku-di-malaysia-zahiruddin-zabidi

Friday 6 September 2013

Kesusasteraan Sebagai Alat Hegemoni Pemikiran Barat

DR. AHMAD AMIN (1886-1954), seorang intelektual Arab Mesir dalam buku Al-Yawm fi Al-Islam yang diterjemahkan oleh Haji Dusuki Haji Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman telah memberikan perhatian yang khusus kepada seni budaya khususnya sastera dalam membincangkan mengenai faktor jatuh bangun sesebuah tamadun khususnya dalam sejarah dan tamadun Islam. 

Antara lain beliau memberikan contoh bagaimana pada era kejatuhan Turki Uthmaniyah dan zaman kebangkitan sekularisme tajaan Kamal Attarturk. Attarturk dijelaskan menggunakan ruang yang wujud dalam kesenian dan kebudayaan bagi dijadikan sebagai alat hegemoni dan indoktrinisasi kepada masyarakat Turki pada masa itu.

Proses sekularisasi ala Attarturk meskipun hasil daripada kekeliruan dan salah faham dirinya sendiri kepada konsep sekularisme yang dicedok daripada Barat, semakin hari semakin berjaya menjauhkan umat Islam Turki kepada Islam yang dianggap sebagai kolot dan tidak bertamadun. Bermula dengan memusnahkan sistem dan penggunakan tulisan dan bahasa Arab dalam apa jua urusan kepada tulisan Rumi dan bahasa Turki sahaja. Dr. Ahmad Amin menulis:
Kemudian bahasa Arab dan Parsi dihapuskan dari bahasa Turki. Sebagai gantinya dicari perkataan-perkataan yang terdapat dalam bahasa Toghrul yang lama, sehingga nama-nama seperti Mustaffa Kamal telah ditukar kepada perkataan Ataturk. Pada tahun 1928 Mustaffa Kamal telah menjemput seorang ahli penggubah muzik berbangsa Hungary untuk mengajar di Maktab Muzik di Istanbul dengan tujuan untuk menyerapkan anasir-anasir Eropah dalam seni muzik Turki.  
Adalah menjadi perkara biasa bahawa sastera pada masa itu bergerak selaras dengan zaman kebangkitan ini, seperti seorang ahli sastera wanita Khalidah Adib yang menyertai Mustaffa Kamal di Anadul dan mengikutnya dalam peperangan pembebasan. Beliau menggambarkan peristiwa ini secara indah sekali dalam novelnya Baju Api
Mustaffa Kamal memberikan perhatian yang besar kepada seni dan sastera, kerana beliau sedar bahawa kedua-duanya dapat mendokong cita-cita dan aliran barunya. Dengan sebab itulah beliau menggalakkan arkitek-arkitek Turki supaya membina bangunan yang tersergam besar setanding dengan bangunan yang paling baru sekali yang muncul di Eropah. Beliau juga menggesa tukang-tukang pahat bangsa Jerman supaya memahat patung seperti yang terdapat di Eropah. Antara patung yang terpenting ialah patung Ataturk sendiri.  
Di samping itu beliau juga menjemput pelukis-pelukis Perancis untuk mengajar orang Turki teknik lukisan moden. Begitu juga dijemputnya ahli-ahli muzik yang masyhur, mereka ditugaskan untuk mengajar di maktab di Istanbul. Beliau memberikan galakan kepada sasterawan bergerak selaras dengan cita-citanya, seperti penyair ulung Abdullah Hamid dan penyair Ahmad bin Hasyim, begitu juga novelis Yaakub Kudri yang menulis novel-novel dalam bentuk moden. [Lihat Dr. Ahmad Amin (1985), Al-Yawm fi Al-Islam, terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Hj. Dusuki Hj. Ahmad dengan tajuk Islam Sepanjang Zaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, h. 154]
Dr. Ahmad Amin juga bersetuju bahawa sastera merupakan cabang pendidikan yang wajar diberi perhatian besar di sekolah-sekolah. Ini kerana pihak Barat setelah menjajah negara umat Islam mula menjadikan sumber sastera mereka sebagai sukatan pelajaran dan diajarkan secara meluas kepada masyarakat tempatan. Karya sastera tersebut sekali gus secara halus menjadi alat menyalurkan nilai dan falsafah yang berakar daripada Barat sendiri sehingga kesannya jelas kepada generasi muda sama ada di Barat atau Timur, iaitu hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Dr. Ahmad Amin menjelaskan:
Di dalam bidang sastera dan sejarah, sukatan mata pelajaran yang terdapat di sekolah kita seharusnya berlainan daripada yang terdapat di sekolah-sekolah mereka. Mereka telah meracun fikiran kita dalam banyak perkara, umpamanya sukatan pelajaran dengan kata-kata bahawa “Seni untuk seni”, atau kata-kata mereka “Bahawa seorang sasterawan itu bebas, ia boleh berkata dengan apa yang ia suka”. Mereka meracunkan pemikiran kita dengan sukatan pelajaran sejarah mereka yang menegaskan bahawa pusat dunia berada di tangan orang putih, orang lain hanya menjadi pengikutnya sahaja. 
Jadi kita berkehendakkan satu program berpusat pada perasaan cinta kepad akemanusiaan seluruhnya, sasterawan hendaklah memperjuangkan dan cuba mencetuskan hasil sasteranya bukan semata-mata untuk melagukan keindahan dan kecantikan dan bukan untuk memuaskan hawa nafsu atau akan mendapatkan kekayaan. Nilai ukuran sastera ialah sejauh mana faedahnya untuk manusia. Sasterawan-sasterawan hendaklah menyintai kemanusiaan sekiranya ia dapat melupakan dirinya, penderitaannya dan juga kebendaan. Mereka seharusnya mempunyai perasaan yang mengandungi unsur yang menarik dan menakjubkan, tongkat seperti Nabi Musa yang apabila disentuh sesuatu perkara akan menggerakkannya, dan dapat menghidupkan batu yang mati apabila menerima sentuhannya, atau seperti perasaan iman yang menyentuh batu-batu untuk didirikan masjid-masjid dan kesan-kesan seni yang memberi faedah. 
Dusta sekali orang yang mengatakan bahawa ulama dan sasterawan mempunyai kelebihan kerana ilmu pengetahuan, maklumat yang banyak, kecerdikan yang tinggi, perasaan yang halus, kata-kata yang tersusun dan fikiran yang bernas dan ahli-ahli penyelidik pula mempunyai kelebihan kerana pengolahan mereka secara mendalam dan kesabaran dalam membuat kajian. Salah sekali orang menganggap bahawa kelebihan mereka itu dalam aspek tersebut, tetapi kelebihan mereka ialah kerana perasaan cinta dan ikhlas mereka terhadap kemanusiaan. 
Suatu keadaan yang mendukacitakan kita ialah bahawa tamadun moden telah merosakkan sains dan sastera, perasaan kemanusiaan telah dilenyapkan daripadanya. Sebagai ganti diletakkan semangat kebangsaan melulu yang dipenuhkan dengan perasaan kepentingan kebendaan. Perhatian tidak lagi diberikan kepada nilai-nilai yang tinggi, budi pekerti yang mulia, keindahan ma’nawi dan sebagainya. Dengan sebab itulah ia telah melahirkan muda-mudi yang hakikatnya adalah batu-bata yang tidak mempunyai perasaan dan hati, tanpa cita-cita dan perasaan sakit, baik muda-mudi Eropah mahupun muda-mudi Timur. [Ibid, h. 223-224]
Kemudian Dr. Ahmad Amin menjelaskan mengenai peranan sebarang mereka yang bergelar sasterawan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan kelebihan dan bakat yang Allah berikan kepada mereka. Beliau menjelaskan:
Seseorang sasterawan itu mestilah menyampaikan risalah untuk memberikan faedah kepada dunia. Dakwah yang digunakan oleh penanya mestilah merupakan api yang membakar, bukan untuk tujuan memenuhi kehendak-kehendak orang kaya dan bukan juga menjadi alat untuk hiburan semata-mata. Sasterawan-sasterawan yang hanya memenuhi kehendak-kehendak begini adalah sasterawan palsu. 
Sastera kita pada hari ini baik di Timur mahupun di Barat menjadikan wanita sebagai bahan sama ada dalam puisi, prosa atau novel, kesemuanya memuja dan membuat gambaran-gambaran yang terperinci tentang kecantikan dan kejelitaannya. Seni juga memuja dan menggambarkan wanita dan kejelitaan mereka di suratkhabar, majalah-majalah dan buku-buku, seolah-olah tidak ada perkara lain yang wujud kecuali wanita dan ini dengan jelas membayangkan aliran moden sekatang. [Ibid., h. 227]
*Sebahagian daripada rencana ini diterbitkan oleh bahagian Sastera, Mingguan Malaysia.

Monday 2 September 2013

Fenomena Universiti Terbuka Atas Talian

PADA hari Ahad bersamaan 25 Ogos 2013 yang lalu, satu simposium telah berlangsung di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM). Simposium tersebut diberi nama Simposium UTAM.

UTAM adalah akronim kepada Universiti Terbuka Anak Muda, mereka sebenarnya terdiri daripada anak muda Malaysia yang kini merupakan siswa di pelbagai universiti di pelbagai negara sama ada di United Kingdom, Amerika, Jepun, Jordan, Mesir, Arab Saudi dan pelbagai lagi termasuk Malaysia.

Anak muda ini bergabung hanya melalui atas talian dan membuka laman Facebook rasmi mereka, laman sesawang dan akaun Youtube atas nama Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM). Antara aktiviti teras mereka adalah syarahan individu daripada ahli-ahli organisasi bebas tanpa hieraki itu secara atas talian pada masa dan hari yang sudah ditetapkan.

Individu dan tajuk perbentangan adalah bebas berdasarkan kepada kesuaian dan kecenderungan ahli tersebut dan biasanya mereka banyak membicarakan dan berkongsi ulasan mengenai buku-buku yang mereka sudah baca tanpa batasan genre tertentu. Bermula daripada buku genre agama, falsafah, sejarah, pemikiran sehinggalah genre travelog.

Mereka sokong-menyokong antara satu sama lain walaupun saya yakin ada di antara mereka hanya berkenalan melalui atas talian sahaja atas nama bagi membudayakan wacana intelektual. Bukan sahaja kru, namun sesiapa sahaja yang punya kemahuan dan idea bagi dikongsikan akan diberi peluang bagi memberikan syarahan malah mereka juga menjemput tokoh-tokoh tertentu yang sudi.

Tokoh politik pelbagai warna

Simposium Ahad lalu memperlihatkan komitmen kru UTAM bagi mendatangkan satu budaya wacana intelektual yang sudah lama hilang dari kalangan siswa Malaysia. UTAM berusaha mengembalikan budaya intelektual kritis, ini terpancar jelas daripada tajuk yang menjadi fokus simposium dan juga tokoh-tokoh yang dijemput.

Bermula dengan ucapan perasmian oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kemudian diikuti ucaptama bertajuk “Budaya Ilmu dalam Tajdid Politik Malaysia” oleh Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman, profesor dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam yang juga merupakan seorang daripada pentadbir Centre for Advance Studies On Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia.

Program diteruskan dengan perbentangan kertas kerja oleh jurnalis, pengkritik sosial dan penganalisis politik bebas tanah air, Fathi Aris Omar dengan perbentangannya yang bertajuk “Demokrasi, Melayu dan Islam”. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Dr Mohammad Alinor, mantan pensyarah dan kini aktivis intelektual bebas khusus dalam bidang matematik dengan tajuk “Pendidikan Kritis dan Kreatif Berasaskan Budaya Sendiri”.

Sesi petang pula telah diadakan sebuah forum yang juga mendatangkan tokoh-tokoh politik sekali gus intelektualis seperti Wan Saiful Wan Jan, ketua pegawai eksekutif  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Profesor Dr Tajuddin Rasdi, seorang akademia dan YB Liew Chin Tong, kedua mereka daripada DAP. Forum bertajuk “Intelektual Awam dan Politik: Merentas Semangat Partisan” di pengerusikan oleh Anas Alam Fazli, kru UTAM.

Tiba-tiba saya tertanya, di manakah wakil daripada PAS (atau Dewan Pemuda PAS Pusat)? Apakah mereka memang tidak menjadi pilihan utama kru UTAM bagi program ini atau ada yang sudah dijemput tiada yang dapat memenuhi jemputan atau bagaimana? Hanya kru UTAM tahu jawapannya!

Dimensi politik baru

Melihat kepada gelagat anak muda UTAM yang semuanya adalah ulat buku dan lebih selesa berbicara hal-hal serius berkaitan masa depan agama, politik dan ekonomi negara rentas pragmatisme taksub partisan secara kritis dan analitis, seakan ada sinar yang begitu cemerlang untuk generasi baru Malaysia menuju ke atas keadilan sosial yang sejagat selari dengan tuntutan Islam.

Ironinya semester baru universiti tempatan akan berlangsung tidak lama lagi, ia akan memperlihatkan gelagat siswa tempatan sama ada yang  berjenama jemaah atau persatuan masih terbelenggu dan pening bagi memikirkan program apa semester ini yang mahu mereka anjurkan. Ini kerana mungkin pilihan yang terlintas di benak majoriti daripada mereka - forum dengan tajuk Monyetnya Cinta Kita atau Berukkah Cinta Mereka!

*Rencana ini sudah diterbitkan oleh Sinar Harian dengan tajuk UTAM Cetus Fenomena Baru di alamat http://www.sinarharian.com.my/karya/entri-blog/utam-cetus-fenonema-baru-1.197701.

Tuesday 27 August 2013

Menuju PAS Baru vs Politik Baru: Salahkah Pemimpin Mengkritik Parti Sendiri?

MENUJU PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme (2009) adalah buku karangan Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar. Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2010 oleh The Malaysia Insider Sdn. Bhd. Pada tahun 2012, sebuah lagi buku sebagai kesinambungan buku yang pertama itu pula terbit dengan tajuk Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa (2012) terbitan Ilham Centre.

Sebelum kedua buah buku Dr Mujahid ini terbit, sebuah buku dwi-bahasa berjudul Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia (2009) terlebih dahulu diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia – ITBN (kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku Malaysia – ITBM), pengarangnya adalah Dato’ Saifuddin Abdullah yang pada masa itu merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Temerloh dan merupakan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Istimewanya ketiga-tiga buku ini, ia ditulis oleh politikus yang merupakan pimpinan tertinggi parti masing-masing dan merupakan ahli parlimen dalam masa yang sama. Kedua-duanya juga agak aktif menulis di media massa sehingga sekarang sama ada atas talian atau cetak meskipun kini, Dato’ Saifuddin Abdullah tidak lagi bergelar YB bagi kawasan Temerloh kerana tewas kepada YB Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi merangkap Ketua Pemuda PAS  pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Dato’ Saifuddin Abdullah

Kedua mereka tidak perlu diperkenalkan lagi kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air khususnya bagi ahli PAS dan UMNO. Masing-masing mereka punya kekuatan dan kelebihan ketara berbanding dengan pimpinan lain dalam parti mereka masing-masing dalam beberapa aspek iaitu daya ketahanan yang sudah teruji di medan aktivisme politik dan intelektual.

Kedua penulis buku ini selain merupakan ahli politik sepenuh masa merupakan aktivis sekali gus pekerja intelektual di universiti sebelum masing-masing terjun dengan membawa gagasan dan idealisme politik ilmu atau intelektual dalam parti masing-masing. Maka tidak hairan, dalam apa jua program wacana, perdebatan yang kritikal dan memerlukan daya analisis dan penghujahan yang kritis serta bersangkut dengan realiti politik tanah air dan antarabangsa, maka wajah kedua penulis inilah antara yang kerap kelihatan.

Pendekatan politik mereka berdua juga berjaya menarik minat anak muda khususnya para siswa di universiti bagi membincangkan politik bukan atas nilai sentimen dan ikut-ikutan namun lebih kepada politik yang berbumbu asas kepada ilmu dan maklumat yang dianalisis rencam, sebagaimana layaknya seorang siswa universiti yang wajar berfikir dalam setiap apa isu sementelah universiti adalah taman tumbesaran dan pengasahan pemikiran para siswa bukan sebaliknya.

Justeru kedua siri buku yang mereka karang, iaitu Menuju PAS Baru I dan II serta Politik Baru sarat dengan analisis, pandangan dan pemikiran menyangkut situasi realiti yang berlaku dalam parti masing-masing. Tidak ramai ahli malah pimpinan yang sudi meluangkan masa berfikir apatah lagi menulis bagi menghadirkan sesuatu idea besar dan kontruktif kepada organisasi mereka melainkan benar-benar mempunyai daya dan desakan kuat dari dalam diri masing-masing.

Ini kerana menulis adalah kerja berfikir yang memerlukan proses pembacaan, penelitian, pengamatan, perbandingan, analisis dan pemilihan yang teliti dan tepat faktanya namun berceramah khususnya ceramah politik, barangkali adalah semudah makan nasi lemak atau roti canai di gerai mamak bagi seseorang ahli politik menjenamakan retorik diri masing-masing. 

Sewajarnya adalah satu kredit yang besar bagi seorang pimpinan yang sibuk dengan aktiviti politiknya namun masih lagi punya masa untuk menulis sebuah rencana sepanjang 500 patah perkataan saban minggu apatah lagi menulis sebuah buku!

Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia oleh Dato’ Saifuddin Abdullah

Dato’ Saifuddin Abdullah dengan jelas menyatakan bahawa antara lain sebab beliau menulis buku tersebut bukan sebagai refleksi prestasi teruk UMNO pada PRU12. BN hilang empat negeri dan gagal menakluk Kelantan, hilang majoriti 2/3 dalam parlimen dan PRU tersebut dinisbahkan sebagai PRU paling buruk dalam sejarah BN-UMNO. Sesuatu perlu dilakukan dan Dato’ Saifuddin memulakan kata pengantar buku tersebut dengan berkata:
“Idea menulis buku ini tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu yang telah lama sebati dalam diri saya sejak dulu lagi, supaya dapat diamalkan ketika saya terlibat dalam politik secara sepenuh masa sejak Mac 2008” [Saifuddin Abdullah (2009), Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, h. xi]
Dato’ Saifuddin Abdullah kemudian menghuraikan lanjut dalam buku tersebut mengenai idea, idealisme dan harapan beliau dalam berpolitik dalam buku ini. Buku tersebut disusun dalam dua bahagian yang mana Bahagian Pertama perbincangannya berkisarkan topik Intergriti Politik dan Kebahagiaan manakala Bahagian Kedua pula berkisarkan topik Kerangka Governence Baru.

Bahagian Pertama memuatkan empat bab seperti Idealisme Politik, Politik Ilmu, Politik Hikmah dan Politik Bakti. Bahagian Kedua pula sarat dengan lima bab perbincangan seputar Tiga Sektor Pembangunan Negara, Generasi Muda dan Masyarakat Sivil, Keperluan Kepada Governance Baru, Penghakupayaan Perniagaan dan Masyarakat Sivil serta Perwakilan Perniagaan dan bab terakhir Perwakilan Perniagaan dan Masyarakat Sivil. 

Meskipun buku ini dwi-bahasa iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bagi setiap bahasa pula tidak sampai 100 muka surat penulisannya, namun itu sudah cukup memberikan sesuatu bagi mereka yang berjiwa besar dan mengimpikan politik Malaysia mencapai tahap politik ilmu dan terbebas daripada politik sentimen yang selama ini mendamping rakyat Malaysia.

Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme dan Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa

Kedua-kedua buah buku Dr Mujahid ini adalah estrak hasil daripada penulisan PhD beliau di Universiti Malaya (UM). Beliau yang berkelulusan ijazah pertama dari Universiti Al-Azhar, Mesir kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum meneruskan PhD di UM dalam bidang Siyasah Syar`iyyah dengan fokus kepada kajian terhadap konflik PAS.

Sebagai seorang akademia pada peringkat awalnya dan dalam masa yang sama membawa nama sebagai anak bongsu kepada mantan presiden seterusnya Mursyidul Am PAS yang pertama, Dr Mujahid tidak pernah sama sekali terpisah daripada aktivisme parti malah menjadikan PAS Melaka sebagai subjek kajian mengenai konflik dalam tesis PhDnya itu.

Dr Mujahid memperkenalkan pendekatan Teori Pembelajaran dan Keluk ‘S’ dalam menilai turun naik perkembangan PAS secara umum dan menyatakan bahawa PAS sekarang di ambang keluk yang ketiga selepas hampir 60 tahun tertubuh sejak tahun 1953. Lekuk pertama mewakili zaman permulaan hingga ke zaman krisis dan konflik era Dato’ Asri Muda sebagai presiden (1953-1981). 

Lekuk kedua pula bermula dari era Kepimpinan Ulama yang digagaskan pada tahun 1982 oleh ayahanda beliau sendiri, Ustaz Yusuf Rawa sebagai presiden yang kemudian diangkat menjadi Mursyidul Am PAS yang pertama. Ternyata dasar dan idea yang dikatakan mendapat pengaruh besar daripada semangat Revolusi Iran itu berjaya menarik orang Melayu yang tinggi nilai sentimen Islamnya untuk bersama dengan PAS sehingga menatijahkan kemenangan besar di beberapa negeri bermula dengan Kelantan (1990-sekarang), Terengganu (1998-2002) dan Kedah (2008-2012).

Selepas genap 30 tahun (1982-2013), Dr Mujahid maramalkan akan berlaku lonjakan pada lekuk ketiga selepas era Kepimpinan Ulama yang sudah berjaya menjadi dasar utuh dalam PAS malah sudah dipraktiskan di Kelantan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 23 tahun. Dengan konflik yang sedia ada, PAS seolah-olahnya memerlukan sesuatu yang baru atau sebarang bentuk pembaharuan bagi mengekalkan ia sebagai sebuah parti alternatif pilihan di peringkat nasional bukan lagi di peringkat negeri-negeri tertentu  dan untuk bangsa serta penganut agama tertentu sahaja.

Demikian lahirnya judul buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS sehingga menimbulkan kontroversi malah dilawakkan oleh masyarakat sebagai buku yang ditulis oleh AJK PAS Pusat tapi diharamkan untuk dibaca oleh ahli. Kedua judul tersebut hanya menggambar suatu pengharapan dan gagasan yang sudah sebati dalam Islam sendiri iaitu tajdid. Menuju PAS Baru dalam erti kata bukanlah membina PAS baru dan meruntuhkan yang lama, begitu juga Rejuvenasi yang bermaksud meremajakan itu.

Dasar yang lama dan sudah utuh dan mantap malah terbukti kejayaannya wajib diteruskan dan diperkemaskan secara istiqamah namun perkembangan politik semasa yang sentiasa berubah mengikut zaman memerlukan sesebuah parti untuk berfikir dan mengoreksi diri bagi mengekalkan kerelevenannya di persada politik tanah air kerana yang paling penting adalah kerana jutaan pengundi baru saban lima tahun muncul dan mereka bukannya semua ahli PAS yang perlu diyakinkan bahawa PAS adalah pilihan yang terbaik bagi memperjuangkan hak sivil masyarakat plural di Malaysia ini.

Justeru, kedua naskhah Dr Mujahid ini menganalisis konflik yang muncul dalam PAS dan menawarkan pula solusi bagi parti untuk masa depan. Ia bukan sekadar membebel segala fakta yang nostalgik namun lebih kepada fokus apa yang perlu parti buat selepas ini. Ini jelas dilihat dalam kandungan kedua buku tersebut.

Menuju PAS Baru bermula dengan perbincangan mengenai Konflik Parti Islam, Krisis Awal, Lekuk Pertama: Kocakan Idealisme, Era Dua Batu Nisan, Lekuk Kedua: Kepimpinan Ulama, Ketokohan Yusuf Rawa, Krisis Identiti, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti, Rasional Lekuk Ketiga dan Menuju Hala Tuju Baru.

Manakalah buku kedua, Rejuvenasi PAS pula selain memuatkan kata pengantar daripada Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pandang sisi daripada Abdul Shukur Harun (Pak Shukur) serta Dr Maszlee Malik, perbahasan dipecahkan kepada tiga bahagian besar iaitu Bahagian 1: Sorotan Menuju PAS Baru, Bahagian 2: PAS & Realiti Masa Kini dan Bahagian 3: Rejuvenasi PAS.

Dalam bahagian pertama perbahasa berkisarkan tajuk Sorotan Teori Dalam Buku Menuju PAS Baru, Perkembangan Konflik dan Teori Pembelajaran, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti dan Rasional Kemunculan Lekuk Ketiga.

Bahagian kedua pula membahaskan tajuk seperti Dari Tesis Menjadi Buku, Penjelasan Istilah PAS Baru, Landasan Pemikiran Politik Islam, Tajdid Yang Diperlukan, Tajdid Organisasi, Manhaj Wasathiyah, Panduan Fiqh Baru, Fiqh Kenegaraan, Membuat Keputusan, Konsep Kolektif, Manifestasi Islam Hari Ini, Politik Islam Pasca Khilafah Uthmaniyah, Pengolahan Daulah Islam, Islam Dalam Kerangka Perlembagaan dan Perincian Keluk Ketiga.

Manakala dalam bahagian ketiga, tajuk-tajuk yang dibahaskan adalah Menuju Rejuvenasi PAS, PAS Menjadi Multi-Racial, Kepimpinan Inklusif, Rejuvenasi Organisasi PAS, Model Pendekatan Organisasi, Pemerkasaan Organisasi PAS, Politik Dalaman dan terakhir Inisiatif Perubahan.

Kesimpulan

Persoalannya adalah sejauh mana ahli-ahli parti politik kedua pimpinan ini menghargai penulisan yang bersifat wacana terbuka dan penuh dengan idealisme ini? Sama ada mereka bersetuju atau tidak itu isu yang seterusnya, namun sikap ahli dalam menghadapi wacana kritis daripada kalangan pimpinan mereka sendiri itu bagaimana?

Banyak mana sudah ahli UMNO yang membaca naskhah Politik Baru karya Dato’ Saifuddin Abdullah yang mewakili idealisme diri dan harapannya kepada ahli, pimpinan dan parti UMNO keseluruhannya? Seramai mana pula ahli dan pimpinan PAS yang sudah menghadam lumat hujah, perbahasan dan analisis dalam kedua buah buku Dr Mujahid sebelum ‘fatwa’ haram bagi ahli membacanya dikeluarkan? Penulis fikir buku-buku inilah sesuai dijadikan bahan perbincangan dalam usrah di peringkat apapun.

Kita masih jauh daripada budaya politik sihat jika penulisan buku-buku sebegini juga ditanggapi dengan emosi dan bukan juga dengan hujah sedangkan budaya ilmu yang tinggi dan mantap menjadi intisari kepada kehebatan sejarah dan tamadun Islam dahulu kala. Di sini, usaha mewacanakan karya Dr Mujahid oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor melalui karyanya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan wajar dipuji dan menunjukkan bahawa generasi pimpinan pelapis PAS lebih bersedia berwacana mengenai isu parti sesama mereka berbasiskan ilmu dan hujah. Bagaimana dengan UMNO?

Dan, perlu difahami bahawa wacana di Facebook dan Twitter tidak dikira menepati sidang wacana sihat dan ilmiah itu sendiri.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh Malaysia Kini di alamat http://www.malaysiakini.com/letters/239525 dengan tajuk Salahkah Pemimpin Kritik Parti Sendiri?.

Wednesday 21 August 2013

Shi`ah: Betul atau Salah Serah Kepada Masyarakat?

ISLAM adalah agama yang menetapkan umatnya agar bersikap wasath. Meskipun wasatiyyah kemudian diterjemahkan sebagai kesederhaan atau moderate namun ia tidak menepati dimensi wasath yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan yang dipraktiskan dalam al-Sunnah. Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi antara yang banyak menulis dan memberikan komentar terhadap konsep pemikiran wasatiyyah dalam buku-buku beliau.

Al-Wasath menurut Imam Ibn Kathir r.h. dalam tafsirnya adalah ‘pilihan yang terbaik’, ummatan wasath adalah umat yang sentiasa membuat pilihan yang terbaik berdasarkan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Seerti dengannya adalah khayra ummah yakni umat yang terbaik. Wasath juga seringkali dinisbahkan sebagai al-`Adl (keadilan) dan al-Hikmah (kebijaksanaan). Kesemuanya berkenaan dengan melakukan sesuatu pada tempat yang terbaik, masa yang terbaik, keadaan yang terbaik, pemilihan yang terbaik dan seumpama.

Kesemua sifat dan sikap di atas hanya dapat dicapai dengan ilmu, dan sebagai seorang Muslim yang mana Islam adalah agama yang meletakkan ilmu dan aktiviti keilmuan (intelektual) di tempat yang sangat utama dan tinggi, istilah murid (mim-waw-ra-ya-dal) yang bermaksud orang yang berkehendak (barangkali istilah ini kemudian dipinjamkan dalam bahasa Melayu menjadi ‘murid-murid’) adalah istilah yang sesuai bagi seorang Muslim yang sentiasa cintakan ilmu secara kolektif dan bukan secara partikal sahaja.

Justeru sebagai seorang murid paling tidak ada empat perkara yang mesti dihapuskan dalam diri seseorang itu:

1. Taqlid buta: Mengikuti seseorang, amalan atau pemikiran tanpa ilmu yakni hujah dan dalil yang sahih daripada al-Qur'an dan al-Sunnah khususnya dalam bab aqidah dan ibadah
2. Ta`asub: Kepada diri sendiri, individu (biasanya dalam ajaran sesat dan para pengikut memang dimanipulasi untuk ta`asub kepada kesaktian yang direka-reka, kumpulan (biasanya dalam jemaah atau parti politik) dan ideologi (Komunisme, Nasionalisme, Liberalisme, Feminisme dll.) 
3. Jumud: Menyempitkan ajaran agama yang luas berdasarkan kefahaman sendiri yang tidak menepati Islam sebagai agama rahmat
4. Ghuluw: Melampau dalam segenap segi sama ada dalam memudahkan dan menyusahkan, menghalalkan pertumpahan darah atas nama agama dan melakukan sesuatu atas nama agama sedangkan tidak menepati langsung ajaran agama itu sendiri.

Apabila bertaqlid buta tanpa ilmu yang sahih berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah, seseorang akan menjadi ta`asub secara membabi buta, seterusnya menjadi sangat jumud dan akhirnya membuahkan tindak-tindakan ekstrem/melampau yang mungkin diyakininya atas nama agama namun hakikatnya atas kehendak nafsu individu yang berkepentingan.

Keempat-empat ciri ini adalah antara berpunca daripada kejahilan individu dan masyarakat yang akhirnya menyebabkan fitnahnya terpalit kepada Islam semula. Banyak perkara yang terpesong daripada aqidah dan syariat Islam berpunca daripada empat sikap ini yang menguasai individu dan masyarakat Muslim. Contoh yang paling mudah adalah dengan meninjau modus operandi ajaran-ajaran sesat yang muncul selama ini.

Syria, Shi`ah dan Malaysia

Krisis kemanusiaan di Syria yang masih berlanjutan menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam mencerap apakah isu sebenar di sana dan apakah pula jalan penyelesaiannya? Secara umum ada tiga isu yang berlegar di sana iaitu; 1. Pertembungan Shi`ah dan Sunni, 2. Pertembungan negara blok Sosialis dan blok Kapitalis, 3. Pertembungan mauqif (ketetapan pendapat) sesama para ulama sunni sendiri termasuk gerakan Islam dalam isu Syria.

Lebih menarik, isu Syria juga menyemarakkan kembali isu komuniti Shi`ah di Malaysia sehingga ia semakin diberi perhatian dan dibincangkan di media dan masyarakat awam. Komuniti Shi`ah dan ajarannya dianggap sebagai ancaman kepada kedamaian dan kerukunan masyakarat Muslim Malaysia yang berpegang kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Masyarakat awam dikejutkan dengan pelbagai data yang mengkhabarkan bagaimana ramainya dan suburnya ajaran Shi`ah di Malaysia bahkan pihak komuniti Shi`ah sendiri mendakwa penganut Shi`ah sudah mencecah ratusan ribu orang meskipun dinafikan oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam negeri dan peringkat kerajaan pusat.

Terbaru, pihak berkuasa berkaitan agama Islam melakukan penangkapan dua orang lelaki yang disyakki penganut Shi`ah kerana hanya memiliki bahan-bahan bacaan Shi`ah. Ini menimbulkan respon yang pelbagai. Sebelum ini juga ada beberapa tangkapan dan serbuan dibuat terhadap komuniti dan tempat ibadah ritual (hauzah) penganut Shi`ah malah ada yang didakwa.

Persoalannya, apakah ada undang-undang untuk menyekat penganut fahaman Shi`ah dan apakah tindakan undang-undang adalah jalan yang terbaik bagi mengekang fahaman Shi`ah terus berkembang dalam masyarakat Malaysia?

Respon di media massa

Meskipun media massa perdana milik kerajaan giat mengadakan bual bicara dan laporan berita bagi memberikan penerangan kepada rakyat Malaysia secara umum mengenai Shi`ah namun media-media alternatif yang menjadi tumpuan utama generasi gajet dan jalur lebar banyak menerbitkan artikel, rencana mahupun surat pembaca yang menyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa kepada komuniti Shi`ah di Malaysia.

Kebanyakan tulisan tersebut ditulis dengan nada bahasa undang-undang dan hak asasi manusia (HAM) yang dilihat membela dengan mengatakan bahawa komuniti Shi`ah mempunyai hak untuk mempraktiskan dan mengamalkan kepercayaan mereka. Sedangkan bagi pihak berkuasa berkaitan agama Islam (kerana hanya Malaysia yang ada!) dan masyarakat awam di Malaysia mereka adalah ancaman.  

Atas dasar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, tindakan bersifat undang-undang yang diambil kepada penganut ajaran Shi`ah dilihat sebagai suatu bentuk penindasan kepada komuniti minoriti dan amalan ajaran yang berlainan dengan pegangan umum Muslim di Malaysia. 

Sedangkan hujah-hujah yang digunakan untuk melawan mereka adalah hujah yang bersifat keagamaan (theology) yang mana hanya dipandang sebagai bersifat berkepentingan dan manipulatif oleh pihak berkuasa agama. Hujah-hujah agamawan dan pegawai kerajaan ini juga pastinya dipandang lekeh dan pesimis oleh golongan yang cenderung kepada perjuangan HAM dan kebebasan bersuara mutlak.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden PAS dilihat cuba meredakan ketegangan dengan mengajak pihak kerajaan dan masyarakat menilai isu Shi`ah secara ilmiah dan akademik bukan daripada perspektif politik semata-mata. PAS sentiasa dilihat lunak dalam menangani isu Shi`ah dan konsisten dengannya manakala UMNO melalui jentera kerajaan dilihat oleh PAS sedang menangguk di air keruh dalam isu Shi`ah di Malaysia ini. [lihat http://bm.harakahdaily.net/]

Masyarakat perlu dibijakkan melalui wacana

Shi`ah adalah realiti yang wujud ribuan tahun malah tidak dapat dipisahkan lagi daripada sejarah dan ketamadunan Islam dan dunia itu sendiri. Meskipun ada usaha dan pendapat menyatakan Shi`ah bukan daripada Islam kerana perbezaan ketara dalam usul `aqidah (fundamental) dan ritual-ritual ibadat mereka yang pelik dan ekstrem (dari kaca mata ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah malah fitrah kemanusiaan sekalipun), namun untuk menghapuskannya sama sekali adalah suatu kemustahilan.

Ini adalah kerana Shi`ah adalah entiti sejarah yang seiring dengan sejarah perkembangan Islam itu sendiri dan pihak Shi`ah juga dari awal menjenamakan diri mereka sebagai sebahagian daripada Islam melalui penggunaan istilah seperti - Muslim Shi`i, Islamic Republic of Iran (Republik Islam Iran), Mullah, Ayatullah, Hizbullah dan seumpamanya. Dari sudut aqidah, meskipun Sunni dan Shi`ah mempunyai beza yang ketara, namun Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. tetap adalah Tuhan dan Rasul yang diimani bersama.

Hal berkaitan istilah ini bertepatan dengan ulasan Prof Dr Tariq Ramadan dalam artikelnya berjudul Beyond Islamism di mana beliau menyatakan kekeliruan istilah telah menyebabkan kesan yang besar dan fatal kepada Islam secara keseluruhannya. Menurut beliau dalam mengulas mengenai politik dan gerakan Islam:
“Second: the problem of terminology. Confusion is rampant; no one knows exactly who or what “Islamism” means. The term, which has now become powerfully pejorative, can be applied to movements ranging from al-Qaeda (worldwide, and most recently in northern Mali) to the legalists of Ennadha and the Muslim Brotherhood by way of the Justice and Development parties in Turkey and Morocco (with certain reservations), and up to and including the Iranian regime. It is hard to believe that the confusion is being maintained, and the terminology being utilized purely by chance. Meanwhile the petro-monarchies of the Gulf, those wealthy allies of the West, whose authorities affirm that democracy is un-Islamic, regimes that apply the Shari’a in its most legalistic and repressive form and that forbid women from social and political participation, are never described as “Islamists” even though their policies and practices form the essence of political Islam.” [lihat http://tariqramadan.com/, Monday, 5 Ogos 2013]
Justeru, tindakan yang tepat dalam memikirkan bagaimana mengekang Shi`ah agar ia tidak menjadi ancaman kepada kestabilan beragama dan politik di Malaysia adalah melalui kesedaran ilmu. Menggunakan undang-undang pastinya bukan cara yang terbaik malah hanya memberikan kredit dan meningkatkan simpatisme kepada mereka. Jalan yang terbaik adalah dialog dan wacana terbuka antara ilmuwan kedua belah pihak versi Malaysia.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada akhir siaran langsung mengenai Shi`ah dalam TV1 beberapa minggu lepas meminta secara terbuka kepada RTM agar melakukan wacana dan debat secara terbuka dengan pihak Shi`ah di Malaysia. Permintaan itu wajar disambut oleh RTM dan mana-mana agensi media kerajaan kalau mereka mahu dilihat serius dalam menangani isu ini dan tidak hanya bersifat retorik politik semata, jika tidak kerajaan akan dinilai sebagai tidak ikhlas dalam isu ini dan hanya memikirkan political milleage pimpinan dan parti politik tertentu sahaja.

Dalam masa yang sama, penulis mendapat maklumat bahawa ada usaha yang sedang dilakukan bagi dianjurkan dialog, wacana malah debat oleh agensi media bebas seperti Karangkraft melalui Wacana Sinar Harian yang boleh dikatakan sebagai fenomena baru kepada dimensi wacana intelektual masyarakat Malaysia mutakhir ini. 

Karangkraft melalui akhbar Sinar Harian dilihat menjuarai hal tersebut dan tidak pelik mengapa kini Sinar Harian menjadi akhbar alternatif yang paling laris di pasaran berbanding akhbar perdana lain. Kita doakan supaya usaha serius dapat dilakukan bagi wacana terbuka antara sarjana yang mewakili blok Sunni dan Shi`ah menjadi kenyataan dan pihak Shi`ah juga bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

Mendorong masyarakat membaca tentang Shi`ah

Hendak dapat tidak masyarakat mesti didedahkan malah mereka sendiri perlu dididik untuk meningkat daya inkuiri (ingin tahu) mereka secara semulajadi dan tidak hanya bergantung kepada sumber-sumber media popular yang bersulam propaganda, bias dan bersifat politik. Masyarakat perlu diberi wacana ilmiah bagi mendorong mereka berfikir untuk mencari jawapan melalui pembacaan dan penilaian mereka sendiri.

Ya, tanpa menafikan bahawa bukan semua orang mempunyai asas ilmu dalam Islam khususnya mengenai perkembangan dalam sejarah, aliran pemikiran, mazhab dan apa sahaja mengenai Shi`ah kerana kebanyakan sumber adalah dalam bahasa Arab dan rujukan utamanya dalam bahasa Parsi.

Bahasa Arab sudah dikira sebagai bahasa kedua manakala bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga dalam membicarakan mengenai Shi`ah. Mengkaji dan membaca tulisan daripada ulama Sunni pastinya menyebabkan sesuatu penilaian akan bersifat satu hala sahaja, apatah lagi jika ulama tersebut tidak dapat merujuk kepada sumber primer Shi`ah dalam bahasa Parsi itu sendiri. Bacaan jurnal-jurnal ilmiah berimpak tinggi adalah satu kemestian bagi mereka yang serius ingin memahami Shi`ah namun tetap bergantung kepada objektiviti pengkajinya.

Bagi berlaku adil dalam penilaian ini, sewajarnya sumber-sumber Shi`ah dalam bahasa Parsi dirujuk sama bagi menilai apakah sebenarnya kedudukan Shi`ah itu. Justeru, kemunculan sarjana-sarjana Nusantara yang mengkaji secara serius mengenai Shi`ah di peringkat pengajian tinggi adalah suatu perkembangan yang wajar dihargai. Namun bagi bacaan awal, buku-buku dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris bagi orang awam sedikit sebanyak akan membantu membuka dimensi yang lebih luas dalam perbincangan ini.

Antara buku popular yang boleh disyorkan dan mudah didapati di pasaran berbahasa Melayu dan Indonesia adalah Apa Itu Syiah? tulisan Prof Dr H. M. Rasjidi terbitan Al-Hidayah Publisher Sdn. Bhd., Kenapa Aku Keluar Syiah? tulisan Syeikh al-`Allamah Dr Hussain al-Musawi terbitan kerajaan negeri Kedah semasa pemerintahan PAS (dapatkan juga versi Indonesia dengan judul Mengapa Saya Keluar Dari Syiah: Kesaksian Penulis Sebelum Dibunuh), Agenda Politik Syiah: Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat tulisan Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin terbitan PTS Media Group Sdn. Bhd. Dan antara yang paling menarik dan ilmiah adalah Jurnal Pemikiran dan Peradaban ISLAMIA terbitan INSIST, Vol. viii, No. 1, April 2013 dengan tajuk Ahlusunnah dan Shi`ah: Beda Akidah, Shari`ah atau Politik?.

Kesimpulan

Barangkali ada pihak beranggapan bahawa wacana terbuka hanya menjadi pentas bagi mempromosi dan mengiktiraf Shi`ah itu sendiri, pastinya tidak salah hujah dan pemikiran yang begitu, namun fikirkan manfaat yang sebaliknya jika wacana diadakan dan persediaan yang rapi dan mantap dari sudut ilmiah dan intelektual dilakukan oleh kedua-dua pihak, kenapakah mereka (wakil Sunni dan Shi`ah) perlu takut untuk masyarakat awam termasuk bukan Islam menjadi hakim kepada kebenaran jika benar mereka masing-masing di pihak yang benar?

Penulis yakin sarjana-sarjana yang mempunyai autoriti dalam mendokong Shi`ah di Malaysia adalah cukup layak untuk dipertemukan dengan sarjana-sarjana Sunni di Malaysia. Keyakinan tinggi kedua-dua belah pihak ini akan melahirkan wacana tinggi yang berkualiti dan ini adalah budaya intelektual yang menguntungkan masyarakat secara umumnya. 

Dengan padang yang sama rata dan sikap matang rakyat dengan terlebih dahulu melenyapkan pengaruh emosi hasil daripada taqlid buta, ta`sub, jumud dan ghuluw masyarakat Malaysia menuju ke era budaya ilmu yang sihat, budaya ilmu tinggi dan mengembalikan kegemilangan tamadun dengan membina manusia yang mencintai ilmu. 

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.thelamaysianinsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/syiahbetul-atau-salah-serah-kepada-masyarakat-zahiruddin-zabidi dengan tajuk yang sama.

Saturday 17 August 2013

Masih Relevankah Feudal Monarki di Haramayn?

BAGUSNYA Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab adalah apabila beliau bergabung dengan Ibnu Saud yang kemudian menyatukan seluruh kabilah Arab di Jazirah Arab dan melakukan pembersihan terhadap unsur-unsur khurafat yang banyak berlaku pada zaman tersebut seperti pemujaan di kubur-kuburan shuyukh sufi seperti Shaykh Abdul Qadir al-Jailani dan lain-lain

Tanpa menafikan di sana tiada masalah bagi tasawwuf dan sufi yang bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta para sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in seperti Shaykh Junaid al-Baghdadi, Shaykh Ibrahim bin Adham, Shaykh Sufyan al-Tsauri dan lain-lain diamalkan namun pada waktu tersebut kepincangan dalam amalan sufi, tariqat tasawwuf sangat ketara dan banyak terkeluar daripada pedoman al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri maka ia tertolak dan di sini Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab serta Ibn Saud selaku kafilah Arab terbesar dan paling berpengaruh bergabung dan melakukan dakwah dan penentangan terhadap golongan tersebut khususnya di Jazirah Arab selepas mereka berkuasa. 

Namun dari sudut sejarah dan politik, penggabungan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Saud yang kemudian melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan khilafah Uthmaniyah di Turki (yang sangat mesra sufi, tariqat dan tasawwuf) juga perlu dibincangkan secara telus. Gabungan ini dikatakan berjaya meniupkan semangat Asabiyyah Arab sehingga berlaku Revolusi Arab yang memberontak kepada khilafah Uthamiyyah yang sudah sedia lemah dan di ambang kejatuhan (selepas tahun 1900). Antara penentangan yang dilakukan adalah dengan memusnahkan landasan kereta api yang dibina oleh khalifah yang menghubungkan negara-negara Islam dengan Haramayn bagi memudahkan urusan pentadbiran dan juga urusan ibadah haji umat Islam khususnya.

Dikatakan juga pemberontakan yang berjaya menjadi revolusi ini mendapat bantuan dan sokongan Barat (British) yang kemudian berlakunya perjanjian yakni Ibn Saud dilantik menjadi pemerintah (raja monarki feudal dan boleh dikatakan satu-satunya negara dalam dunia sempenan nama pemerintahnya iaitu Arab SAUDI) dengan imbalannya segala hasil mahsul minyak Arab Saudi perlu diserahkan dan diusahakan oleh pihak berkepentingan dari Barat (benarkah tidak begitu sekarang ini di sana?). Dalam masa yang sama, Amerika juga dibenarkan membina dua buah pengkalan tentera di Laut Merah atas sebab-sebab tertentu.

Justeru, di sebalik jasa dan kejayaan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab, ijtihad politik beliau telah memberikan implikasi yang lebih besar pada hari ini yang mana pemerintahan feudal monarki keturunan Ibn Saud menggunakan kekayaan hasil mahsul tanah Makkah dengan sewenang-wenangnya (tanpa menafikan sumbangan mereka juga seperti universiti di sana semua percuma dan ditanggung) namun ia dilihat sudah tidak menepati apa yang dikehendaki oleh al-Quran dan Sunnah yang sebenarnya. 

Monarki feudal di sana menjadi sangat kebal yang mana meskipun hudud dilaksanakan, ia hanya tegas dilaksanakan kepada rakyat marhaen sahaja sedangkan penyelewengan, kemaksiatan dan kebobrokan yang dilakukan oleh ahli keluarga diraja (boleh rujuk Youtube kelakuan anak-anak raja Saudi di kelab malam bersama penari gelek dan menghabiskan berbilion riyal untuk permainan itu - taip sahaja Prince of Saudi dan beliakkan mata!) akan dibiarkan begitu sahaja.  

Para ulama juga seakan tiada kuasa dan peluang untuk menegur (Dr Aidh Abdullah al-Qarni segera dipenjara selama lima tahun selepas menegur secara umum dalam televisyem mengapa 'kita' hanya berdiam diri melihat saudara kita di Palestine tertindas sedangkan kita punya duit yang banyak), meskipun Arab Saudi paling banyak mengeluarkan ulama khususnya beraliran ahlul hadith beraliran salaf namun dalam bab politik dan pemerintahan boleh kata tidak ada yang mengarang kitab mengenainya fiqh al-siyasah kecuali kitab mengenai kewajipan mentaati pemimpin sahaja (tidak seperti Ibnu Taimiyyah r.h. - rujukan utama dalam aliran mereka di sana yang banyak mengarang kitab mengenai siasah dan pemerintahan seperti Siyasah Syar'iyyah fi Islahi al-Ra'yi wa al-Ra'iyyah dan banyak lagi).

Ini adalah ketidakadilan sosial dan bertentangan dengan firman Allah seperti 'Inna'Llaha ya'murukum bi'l 'adl wa'l ihsan', 'idilu huwa akrabbu li at-taqwa' dan banyak hadith mengenai kepimpinan yang adil demi kemaslahatan ummah. Sesungguhnya Haramayn adalah milik umat Islam seluruh dunia dan perlu dipulangkan kepada mereka bukan hanya kepada kerabat Ibn Saud. Kekayaan yang melampau menyebabkan mereka sangat selesa dan keterikatan mereka dengan kepentingan kapitalis dan politikus Barat antara yang menyebabkan umat Islam hari ini tidak boleh bersatu.

Feudal monarki adalah liabiliti umat Islam

Shaykh `Abd al-Rahman al-Kawakibi menulis sebuah kitab yang berjudul Ummu al-Qura dan memberikan cadangan bahawa setiap kali musim haji adalah sebagai perhimpunan agung umat Islam seluruh dunia dan para pemimpin dunia Islam membincangkan mengenai kemaslahatan umat Islam sejagat. Bagaimana mungkin ia akan terjadi selagi mana kerabat Ibn Saud menguasai Jazirah Arab dan hasil mahsulnya kebanyakan digunakan untuk kepentingan peribadi mereka (pembaziran yang melampau dalam banyak hal). 

Sedangkan umat Islam yang juga mengucap dua kalimah syahadah seluruh dunia menghadapi krisis kemanusiaan seperti kebulursan dan hanya makan pasir di belah Afrika sehingga sekarang tidak selesai kerana tiada suntikan kewangan daripada pihak berwajib, isu etnik Rohingya di Arakan yang dibantai dan isu Paletine yang tidak berkesudahan dibantai Zionis la`natu'Llah, isu di Selatan Thailand, isu di Filiphina dan banyak lagi yang asasnya tiada tekanan kuasa besar yang bersatu sesama umat Islam (PBB dan OIC tidak boleh diharap) kerana tiadanya kuasa ekonomi. 

Tertanya kita di manakah suara kerabat Ibn Saud dan ulama-ulama di sana dalam isu-isu ini? Mungkin saya tidak tahu kerana tiada akses maklumat ke sana. Cuma kita juga tertanya sudah berapa banyak jumlah dana sumbangan daripada Arab Saudi kepada umat Islam yang saya nyatakan di atas? Sedangkan mereka menjana bilion dolar setahun hasil daripada berjuta umat Islam melaksanakan haji dan umrah di sana saban tahun (terfikir kita, apakah itu bukan satu daripada hikmah Allah mewajibkan haji bagi mereka yang mampu hanya di Makkah bukan di tempat lain?)? 

Feudal monarki hanya dilaksanakan dalam Islam setelah era Rasulu'Llah salla'Llahu `alayhi wasallam dan Khulafa al-Rashidin. Sebelumnya pemilihan secara shura yang lebih telus dan demokratik diamalkan. Haramayn adalah harapan penyatuan umat Islam dan sumber dana yang sangat besar dan utama. Selagi mana kerabat Ibn Saud (yang merupakan boneka Amerika pada hari ini) memerintah, pasti hal ini tidak akan berlaku.

Kesimpulan

Perjuangan Aqidah al-Tahawiyah gagasan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab dalam menyambung perjuangan Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah yang bermazhab Hanbali adalah murni dan berjaya dilaksanakan khususnya di Jazirah Arab dan dunia Islam amnya.

Namun dalam urusan dan ijtihad politik telah berlaku sesuatu di luar duga beliau sendiri mungkin, betapa feudal monarki adalah liabiliti kepada seluruh umat Islam di dunia pada hari ini. 

Satu revolusi baru perlu dilakukan di sana agar ia dianggap milik oleh seluruh umat Islam di dunia bukan hanya milik kerabat Ibn Saud. Bukan OIC namun satu pakatan baru yang diserahkan mengurus kelola untuk jangka masa tertentu sebagaimana yang dilaksanakan dalam sistem demokratik pada hari ini, pemilihan setiap lima tahun bagi sesiapa yang menguruskan haramain dan melaksanakan tugasnya menggunakan segala sumber mahsulnya untuk kemaslahatan umat Islam seluruh dunia bukan untuk mereka dan keluarga mereka sebagaimana sepanjang abad lalu. 

* Artikel ini telah diterbitkan di www.detikdaily.net di alamat http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=23693 dengan tajuk sama. Penerbitan semula artikel ini adalah sebagai respon kepada respon Raja Abdullah terhadap situasi yang berlaku di Mesir pada hari, menurut Al-Jazeera Raja Abdullah menyeru 'pengganas' dibanteras, rujuk http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2013/08/201381615196784361.html