Tuesday 27 August 2013

Menuju PAS Baru vs Politik Baru: Salahkah Pemimpin Mengkritik Parti Sendiri?

MENUJU PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme (2009) adalah buku karangan Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar. Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2010 oleh The Malaysia Insider Sdn. Bhd. Pada tahun 2012, sebuah lagi buku sebagai kesinambungan buku yang pertama itu pula terbit dengan tajuk Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa (2012) terbitan Ilham Centre.

Sebelum kedua buah buku Dr Mujahid ini terbit, sebuah buku dwi-bahasa berjudul Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia (2009) terlebih dahulu diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia – ITBN (kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku Malaysia – ITBM), pengarangnya adalah Dato’ Saifuddin Abdullah yang pada masa itu merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Temerloh dan merupakan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Istimewanya ketiga-tiga buku ini, ia ditulis oleh politikus yang merupakan pimpinan tertinggi parti masing-masing dan merupakan ahli parlimen dalam masa yang sama. Kedua-duanya juga agak aktif menulis di media massa sehingga sekarang sama ada atas talian atau cetak meskipun kini, Dato’ Saifuddin Abdullah tidak lagi bergelar YB bagi kawasan Temerloh kerana tewas kepada YB Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi merangkap Ketua Pemuda PAS  pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Dato’ Saifuddin Abdullah

Kedua mereka tidak perlu diperkenalkan lagi kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air khususnya bagi ahli PAS dan UMNO. Masing-masing mereka punya kekuatan dan kelebihan ketara berbanding dengan pimpinan lain dalam parti mereka masing-masing dalam beberapa aspek iaitu daya ketahanan yang sudah teruji di medan aktivisme politik dan intelektual.

Kedua penulis buku ini selain merupakan ahli politik sepenuh masa merupakan aktivis sekali gus pekerja intelektual di universiti sebelum masing-masing terjun dengan membawa gagasan dan idealisme politik ilmu atau intelektual dalam parti masing-masing. Maka tidak hairan, dalam apa jua program wacana, perdebatan yang kritikal dan memerlukan daya analisis dan penghujahan yang kritis serta bersangkut dengan realiti politik tanah air dan antarabangsa, maka wajah kedua penulis inilah antara yang kerap kelihatan.

Pendekatan politik mereka berdua juga berjaya menarik minat anak muda khususnya para siswa di universiti bagi membincangkan politik bukan atas nilai sentimen dan ikut-ikutan namun lebih kepada politik yang berbumbu asas kepada ilmu dan maklumat yang dianalisis rencam, sebagaimana layaknya seorang siswa universiti yang wajar berfikir dalam setiap apa isu sementelah universiti adalah taman tumbesaran dan pengasahan pemikiran para siswa bukan sebaliknya.

Justeru kedua siri buku yang mereka karang, iaitu Menuju PAS Baru I dan II serta Politik Baru sarat dengan analisis, pandangan dan pemikiran menyangkut situasi realiti yang berlaku dalam parti masing-masing. Tidak ramai ahli malah pimpinan yang sudi meluangkan masa berfikir apatah lagi menulis bagi menghadirkan sesuatu idea besar dan kontruktif kepada organisasi mereka melainkan benar-benar mempunyai daya dan desakan kuat dari dalam diri masing-masing.

Ini kerana menulis adalah kerja berfikir yang memerlukan proses pembacaan, penelitian, pengamatan, perbandingan, analisis dan pemilihan yang teliti dan tepat faktanya namun berceramah khususnya ceramah politik, barangkali adalah semudah makan nasi lemak atau roti canai di gerai mamak bagi seseorang ahli politik menjenamakan retorik diri masing-masing. 

Sewajarnya adalah satu kredit yang besar bagi seorang pimpinan yang sibuk dengan aktiviti politiknya namun masih lagi punya masa untuk menulis sebuah rencana sepanjang 500 patah perkataan saban minggu apatah lagi menulis sebuah buku!

Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia oleh Dato’ Saifuddin Abdullah

Dato’ Saifuddin Abdullah dengan jelas menyatakan bahawa antara lain sebab beliau menulis buku tersebut bukan sebagai refleksi prestasi teruk UMNO pada PRU12. BN hilang empat negeri dan gagal menakluk Kelantan, hilang majoriti 2/3 dalam parlimen dan PRU tersebut dinisbahkan sebagai PRU paling buruk dalam sejarah BN-UMNO. Sesuatu perlu dilakukan dan Dato’ Saifuddin memulakan kata pengantar buku tersebut dengan berkata:
“Idea menulis buku ini tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu yang telah lama sebati dalam diri saya sejak dulu lagi, supaya dapat diamalkan ketika saya terlibat dalam politik secara sepenuh masa sejak Mac 2008” [Saifuddin Abdullah (2009), Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, h. xi]
Dato’ Saifuddin Abdullah kemudian menghuraikan lanjut dalam buku tersebut mengenai idea, idealisme dan harapan beliau dalam berpolitik dalam buku ini. Buku tersebut disusun dalam dua bahagian yang mana Bahagian Pertama perbincangannya berkisarkan topik Intergriti Politik dan Kebahagiaan manakala Bahagian Kedua pula berkisarkan topik Kerangka Governence Baru.

Bahagian Pertama memuatkan empat bab seperti Idealisme Politik, Politik Ilmu, Politik Hikmah dan Politik Bakti. Bahagian Kedua pula sarat dengan lima bab perbincangan seputar Tiga Sektor Pembangunan Negara, Generasi Muda dan Masyarakat Sivil, Keperluan Kepada Governance Baru, Penghakupayaan Perniagaan dan Masyarakat Sivil serta Perwakilan Perniagaan dan bab terakhir Perwakilan Perniagaan dan Masyarakat Sivil. 

Meskipun buku ini dwi-bahasa iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bagi setiap bahasa pula tidak sampai 100 muka surat penulisannya, namun itu sudah cukup memberikan sesuatu bagi mereka yang berjiwa besar dan mengimpikan politik Malaysia mencapai tahap politik ilmu dan terbebas daripada politik sentimen yang selama ini mendamping rakyat Malaysia.

Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme dan Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa

Kedua-kedua buah buku Dr Mujahid ini adalah estrak hasil daripada penulisan PhD beliau di Universiti Malaya (UM). Beliau yang berkelulusan ijazah pertama dari Universiti Al-Azhar, Mesir kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum meneruskan PhD di UM dalam bidang Siyasah Syar`iyyah dengan fokus kepada kajian terhadap konflik PAS.

Sebagai seorang akademia pada peringkat awalnya dan dalam masa yang sama membawa nama sebagai anak bongsu kepada mantan presiden seterusnya Mursyidul Am PAS yang pertama, Dr Mujahid tidak pernah sama sekali terpisah daripada aktivisme parti malah menjadikan PAS Melaka sebagai subjek kajian mengenai konflik dalam tesis PhDnya itu.

Dr Mujahid memperkenalkan pendekatan Teori Pembelajaran dan Keluk ‘S’ dalam menilai turun naik perkembangan PAS secara umum dan menyatakan bahawa PAS sekarang di ambang keluk yang ketiga selepas hampir 60 tahun tertubuh sejak tahun 1953. Lekuk pertama mewakili zaman permulaan hingga ke zaman krisis dan konflik era Dato’ Asri Muda sebagai presiden (1953-1981). 

Lekuk kedua pula bermula dari era Kepimpinan Ulama yang digagaskan pada tahun 1982 oleh ayahanda beliau sendiri, Ustaz Yusuf Rawa sebagai presiden yang kemudian diangkat menjadi Mursyidul Am PAS yang pertama. Ternyata dasar dan idea yang dikatakan mendapat pengaruh besar daripada semangat Revolusi Iran itu berjaya menarik orang Melayu yang tinggi nilai sentimen Islamnya untuk bersama dengan PAS sehingga menatijahkan kemenangan besar di beberapa negeri bermula dengan Kelantan (1990-sekarang), Terengganu (1998-2002) dan Kedah (2008-2012).

Selepas genap 30 tahun (1982-2013), Dr Mujahid maramalkan akan berlaku lonjakan pada lekuk ketiga selepas era Kepimpinan Ulama yang sudah berjaya menjadi dasar utuh dalam PAS malah sudah dipraktiskan di Kelantan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 23 tahun. Dengan konflik yang sedia ada, PAS seolah-olahnya memerlukan sesuatu yang baru atau sebarang bentuk pembaharuan bagi mengekalkan ia sebagai sebuah parti alternatif pilihan di peringkat nasional bukan lagi di peringkat negeri-negeri tertentu  dan untuk bangsa serta penganut agama tertentu sahaja.

Demikian lahirnya judul buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS sehingga menimbulkan kontroversi malah dilawakkan oleh masyarakat sebagai buku yang ditulis oleh AJK PAS Pusat tapi diharamkan untuk dibaca oleh ahli. Kedua judul tersebut hanya menggambar suatu pengharapan dan gagasan yang sudah sebati dalam Islam sendiri iaitu tajdid. Menuju PAS Baru dalam erti kata bukanlah membina PAS baru dan meruntuhkan yang lama, begitu juga Rejuvenasi yang bermaksud meremajakan itu.

Dasar yang lama dan sudah utuh dan mantap malah terbukti kejayaannya wajib diteruskan dan diperkemaskan secara istiqamah namun perkembangan politik semasa yang sentiasa berubah mengikut zaman memerlukan sesebuah parti untuk berfikir dan mengoreksi diri bagi mengekalkan kerelevenannya di persada politik tanah air kerana yang paling penting adalah kerana jutaan pengundi baru saban lima tahun muncul dan mereka bukannya semua ahli PAS yang perlu diyakinkan bahawa PAS adalah pilihan yang terbaik bagi memperjuangkan hak sivil masyarakat plural di Malaysia ini.

Justeru, kedua naskhah Dr Mujahid ini menganalisis konflik yang muncul dalam PAS dan menawarkan pula solusi bagi parti untuk masa depan. Ia bukan sekadar membebel segala fakta yang nostalgik namun lebih kepada fokus apa yang perlu parti buat selepas ini. Ini jelas dilihat dalam kandungan kedua buku tersebut.

Menuju PAS Baru bermula dengan perbincangan mengenai Konflik Parti Islam, Krisis Awal, Lekuk Pertama: Kocakan Idealisme, Era Dua Batu Nisan, Lekuk Kedua: Kepimpinan Ulama, Ketokohan Yusuf Rawa, Krisis Identiti, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti, Rasional Lekuk Ketiga dan Menuju Hala Tuju Baru.

Manakalah buku kedua, Rejuvenasi PAS pula selain memuatkan kata pengantar daripada Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pandang sisi daripada Abdul Shukur Harun (Pak Shukur) serta Dr Maszlee Malik, perbahasan dipecahkan kepada tiga bahagian besar iaitu Bahagian 1: Sorotan Menuju PAS Baru, Bahagian 2: PAS & Realiti Masa Kini dan Bahagian 3: Rejuvenasi PAS.

Dalam bahagian pertama perbahasa berkisarkan tajuk Sorotan Teori Dalam Buku Menuju PAS Baru, Perkembangan Konflik dan Teori Pembelajaran, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti dan Rasional Kemunculan Lekuk Ketiga.

Bahagian kedua pula membahaskan tajuk seperti Dari Tesis Menjadi Buku, Penjelasan Istilah PAS Baru, Landasan Pemikiran Politik Islam, Tajdid Yang Diperlukan, Tajdid Organisasi, Manhaj Wasathiyah, Panduan Fiqh Baru, Fiqh Kenegaraan, Membuat Keputusan, Konsep Kolektif, Manifestasi Islam Hari Ini, Politik Islam Pasca Khilafah Uthmaniyah, Pengolahan Daulah Islam, Islam Dalam Kerangka Perlembagaan dan Perincian Keluk Ketiga.

Manakala dalam bahagian ketiga, tajuk-tajuk yang dibahaskan adalah Menuju Rejuvenasi PAS, PAS Menjadi Multi-Racial, Kepimpinan Inklusif, Rejuvenasi Organisasi PAS, Model Pendekatan Organisasi, Pemerkasaan Organisasi PAS, Politik Dalaman dan terakhir Inisiatif Perubahan.

Kesimpulan

Persoalannya adalah sejauh mana ahli-ahli parti politik kedua pimpinan ini menghargai penulisan yang bersifat wacana terbuka dan penuh dengan idealisme ini? Sama ada mereka bersetuju atau tidak itu isu yang seterusnya, namun sikap ahli dalam menghadapi wacana kritis daripada kalangan pimpinan mereka sendiri itu bagaimana?

Banyak mana sudah ahli UMNO yang membaca naskhah Politik Baru karya Dato’ Saifuddin Abdullah yang mewakili idealisme diri dan harapannya kepada ahli, pimpinan dan parti UMNO keseluruhannya? Seramai mana pula ahli dan pimpinan PAS yang sudah menghadam lumat hujah, perbahasan dan analisis dalam kedua buah buku Dr Mujahid sebelum ‘fatwa’ haram bagi ahli membacanya dikeluarkan? Penulis fikir buku-buku inilah sesuai dijadikan bahan perbincangan dalam usrah di peringkat apapun.

Kita masih jauh daripada budaya politik sihat jika penulisan buku-buku sebegini juga ditanggapi dengan emosi dan bukan juga dengan hujah sedangkan budaya ilmu yang tinggi dan mantap menjadi intisari kepada kehebatan sejarah dan tamadun Islam dahulu kala. Di sini, usaha mewacanakan karya Dr Mujahid oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor melalui karyanya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan wajar dipuji dan menunjukkan bahawa generasi pimpinan pelapis PAS lebih bersedia berwacana mengenai isu parti sesama mereka berbasiskan ilmu dan hujah. Bagaimana dengan UMNO?

Dan, perlu difahami bahawa wacana di Facebook dan Twitter tidak dikira menepati sidang wacana sihat dan ilmiah itu sendiri.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh Malaysia Kini di alamat http://www.malaysiakini.com/letters/239525 dengan tajuk Salahkah Pemimpin Kritik Parti Sendiri?.

No comments:

Post a Comment