Wednesday 21 August 2013

Shi`ah: Betul atau Salah Serah Kepada Masyarakat?

ISLAM adalah agama yang menetapkan umatnya agar bersikap wasath. Meskipun wasatiyyah kemudian diterjemahkan sebagai kesederhaan atau moderate namun ia tidak menepati dimensi wasath yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan yang dipraktiskan dalam al-Sunnah. Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi antara yang banyak menulis dan memberikan komentar terhadap konsep pemikiran wasatiyyah dalam buku-buku beliau.

Al-Wasath menurut Imam Ibn Kathir r.h. dalam tafsirnya adalah ‘pilihan yang terbaik’, ummatan wasath adalah umat yang sentiasa membuat pilihan yang terbaik berdasarkan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Seerti dengannya adalah khayra ummah yakni umat yang terbaik. Wasath juga seringkali dinisbahkan sebagai al-`Adl (keadilan) dan al-Hikmah (kebijaksanaan). Kesemuanya berkenaan dengan melakukan sesuatu pada tempat yang terbaik, masa yang terbaik, keadaan yang terbaik, pemilihan yang terbaik dan seumpama.

Kesemua sifat dan sikap di atas hanya dapat dicapai dengan ilmu, dan sebagai seorang Muslim yang mana Islam adalah agama yang meletakkan ilmu dan aktiviti keilmuan (intelektual) di tempat yang sangat utama dan tinggi, istilah murid (mim-waw-ra-ya-dal) yang bermaksud orang yang berkehendak (barangkali istilah ini kemudian dipinjamkan dalam bahasa Melayu menjadi ‘murid-murid’) adalah istilah yang sesuai bagi seorang Muslim yang sentiasa cintakan ilmu secara kolektif dan bukan secara partikal sahaja.

Justeru sebagai seorang murid paling tidak ada empat perkara yang mesti dihapuskan dalam diri seseorang itu:

1. Taqlid buta: Mengikuti seseorang, amalan atau pemikiran tanpa ilmu yakni hujah dan dalil yang sahih daripada al-Qur'an dan al-Sunnah khususnya dalam bab aqidah dan ibadah
2. Ta`asub: Kepada diri sendiri, individu (biasanya dalam ajaran sesat dan para pengikut memang dimanipulasi untuk ta`asub kepada kesaktian yang direka-reka, kumpulan (biasanya dalam jemaah atau parti politik) dan ideologi (Komunisme, Nasionalisme, Liberalisme, Feminisme dll.) 
3. Jumud: Menyempitkan ajaran agama yang luas berdasarkan kefahaman sendiri yang tidak menepati Islam sebagai agama rahmat
4. Ghuluw: Melampau dalam segenap segi sama ada dalam memudahkan dan menyusahkan, menghalalkan pertumpahan darah atas nama agama dan melakukan sesuatu atas nama agama sedangkan tidak menepati langsung ajaran agama itu sendiri.

Apabila bertaqlid buta tanpa ilmu yang sahih berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah, seseorang akan menjadi ta`asub secara membabi buta, seterusnya menjadi sangat jumud dan akhirnya membuahkan tindak-tindakan ekstrem/melampau yang mungkin diyakininya atas nama agama namun hakikatnya atas kehendak nafsu individu yang berkepentingan.

Keempat-empat ciri ini adalah antara berpunca daripada kejahilan individu dan masyarakat yang akhirnya menyebabkan fitnahnya terpalit kepada Islam semula. Banyak perkara yang terpesong daripada aqidah dan syariat Islam berpunca daripada empat sikap ini yang menguasai individu dan masyarakat Muslim. Contoh yang paling mudah adalah dengan meninjau modus operandi ajaran-ajaran sesat yang muncul selama ini.

Syria, Shi`ah dan Malaysia

Krisis kemanusiaan di Syria yang masih berlanjutan menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam mencerap apakah isu sebenar di sana dan apakah pula jalan penyelesaiannya? Secara umum ada tiga isu yang berlegar di sana iaitu; 1. Pertembungan Shi`ah dan Sunni, 2. Pertembungan negara blok Sosialis dan blok Kapitalis, 3. Pertembungan mauqif (ketetapan pendapat) sesama para ulama sunni sendiri termasuk gerakan Islam dalam isu Syria.

Lebih menarik, isu Syria juga menyemarakkan kembali isu komuniti Shi`ah di Malaysia sehingga ia semakin diberi perhatian dan dibincangkan di media dan masyarakat awam. Komuniti Shi`ah dan ajarannya dianggap sebagai ancaman kepada kedamaian dan kerukunan masyakarat Muslim Malaysia yang berpegang kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Masyarakat awam dikejutkan dengan pelbagai data yang mengkhabarkan bagaimana ramainya dan suburnya ajaran Shi`ah di Malaysia bahkan pihak komuniti Shi`ah sendiri mendakwa penganut Shi`ah sudah mencecah ratusan ribu orang meskipun dinafikan oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam negeri dan peringkat kerajaan pusat.

Terbaru, pihak berkuasa berkaitan agama Islam melakukan penangkapan dua orang lelaki yang disyakki penganut Shi`ah kerana hanya memiliki bahan-bahan bacaan Shi`ah. Ini menimbulkan respon yang pelbagai. Sebelum ini juga ada beberapa tangkapan dan serbuan dibuat terhadap komuniti dan tempat ibadah ritual (hauzah) penganut Shi`ah malah ada yang didakwa.

Persoalannya, apakah ada undang-undang untuk menyekat penganut fahaman Shi`ah dan apakah tindakan undang-undang adalah jalan yang terbaik bagi mengekang fahaman Shi`ah terus berkembang dalam masyarakat Malaysia?

Respon di media massa

Meskipun media massa perdana milik kerajaan giat mengadakan bual bicara dan laporan berita bagi memberikan penerangan kepada rakyat Malaysia secara umum mengenai Shi`ah namun media-media alternatif yang menjadi tumpuan utama generasi gajet dan jalur lebar banyak menerbitkan artikel, rencana mahupun surat pembaca yang menyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa kepada komuniti Shi`ah di Malaysia.

Kebanyakan tulisan tersebut ditulis dengan nada bahasa undang-undang dan hak asasi manusia (HAM) yang dilihat membela dengan mengatakan bahawa komuniti Shi`ah mempunyai hak untuk mempraktiskan dan mengamalkan kepercayaan mereka. Sedangkan bagi pihak berkuasa berkaitan agama Islam (kerana hanya Malaysia yang ada!) dan masyarakat awam di Malaysia mereka adalah ancaman.  

Atas dasar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, tindakan bersifat undang-undang yang diambil kepada penganut ajaran Shi`ah dilihat sebagai suatu bentuk penindasan kepada komuniti minoriti dan amalan ajaran yang berlainan dengan pegangan umum Muslim di Malaysia. 

Sedangkan hujah-hujah yang digunakan untuk melawan mereka adalah hujah yang bersifat keagamaan (theology) yang mana hanya dipandang sebagai bersifat berkepentingan dan manipulatif oleh pihak berkuasa agama. Hujah-hujah agamawan dan pegawai kerajaan ini juga pastinya dipandang lekeh dan pesimis oleh golongan yang cenderung kepada perjuangan HAM dan kebebasan bersuara mutlak.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden PAS dilihat cuba meredakan ketegangan dengan mengajak pihak kerajaan dan masyarakat menilai isu Shi`ah secara ilmiah dan akademik bukan daripada perspektif politik semata-mata. PAS sentiasa dilihat lunak dalam menangani isu Shi`ah dan konsisten dengannya manakala UMNO melalui jentera kerajaan dilihat oleh PAS sedang menangguk di air keruh dalam isu Shi`ah di Malaysia ini. [lihat http://bm.harakahdaily.net/]

Masyarakat perlu dibijakkan melalui wacana

Shi`ah adalah realiti yang wujud ribuan tahun malah tidak dapat dipisahkan lagi daripada sejarah dan ketamadunan Islam dan dunia itu sendiri. Meskipun ada usaha dan pendapat menyatakan Shi`ah bukan daripada Islam kerana perbezaan ketara dalam usul `aqidah (fundamental) dan ritual-ritual ibadat mereka yang pelik dan ekstrem (dari kaca mata ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah malah fitrah kemanusiaan sekalipun), namun untuk menghapuskannya sama sekali adalah suatu kemustahilan.

Ini adalah kerana Shi`ah adalah entiti sejarah yang seiring dengan sejarah perkembangan Islam itu sendiri dan pihak Shi`ah juga dari awal menjenamakan diri mereka sebagai sebahagian daripada Islam melalui penggunaan istilah seperti - Muslim Shi`i, Islamic Republic of Iran (Republik Islam Iran), Mullah, Ayatullah, Hizbullah dan seumpamanya. Dari sudut aqidah, meskipun Sunni dan Shi`ah mempunyai beza yang ketara, namun Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. tetap adalah Tuhan dan Rasul yang diimani bersama.

Hal berkaitan istilah ini bertepatan dengan ulasan Prof Dr Tariq Ramadan dalam artikelnya berjudul Beyond Islamism di mana beliau menyatakan kekeliruan istilah telah menyebabkan kesan yang besar dan fatal kepada Islam secara keseluruhannya. Menurut beliau dalam mengulas mengenai politik dan gerakan Islam:
“Second: the problem of terminology. Confusion is rampant; no one knows exactly who or what “Islamism” means. The term, which has now become powerfully pejorative, can be applied to movements ranging from al-Qaeda (worldwide, and most recently in northern Mali) to the legalists of Ennadha and the Muslim Brotherhood by way of the Justice and Development parties in Turkey and Morocco (with certain reservations), and up to and including the Iranian regime. It is hard to believe that the confusion is being maintained, and the terminology being utilized purely by chance. Meanwhile the petro-monarchies of the Gulf, those wealthy allies of the West, whose authorities affirm that democracy is un-Islamic, regimes that apply the Shari’a in its most legalistic and repressive form and that forbid women from social and political participation, are never described as “Islamists” even though their policies and practices form the essence of political Islam.” [lihat http://tariqramadan.com/, Monday, 5 Ogos 2013]
Justeru, tindakan yang tepat dalam memikirkan bagaimana mengekang Shi`ah agar ia tidak menjadi ancaman kepada kestabilan beragama dan politik di Malaysia adalah melalui kesedaran ilmu. Menggunakan undang-undang pastinya bukan cara yang terbaik malah hanya memberikan kredit dan meningkatkan simpatisme kepada mereka. Jalan yang terbaik adalah dialog dan wacana terbuka antara ilmuwan kedua belah pihak versi Malaysia.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada akhir siaran langsung mengenai Shi`ah dalam TV1 beberapa minggu lepas meminta secara terbuka kepada RTM agar melakukan wacana dan debat secara terbuka dengan pihak Shi`ah di Malaysia. Permintaan itu wajar disambut oleh RTM dan mana-mana agensi media kerajaan kalau mereka mahu dilihat serius dalam menangani isu ini dan tidak hanya bersifat retorik politik semata, jika tidak kerajaan akan dinilai sebagai tidak ikhlas dalam isu ini dan hanya memikirkan political milleage pimpinan dan parti politik tertentu sahaja.

Dalam masa yang sama, penulis mendapat maklumat bahawa ada usaha yang sedang dilakukan bagi dianjurkan dialog, wacana malah debat oleh agensi media bebas seperti Karangkraft melalui Wacana Sinar Harian yang boleh dikatakan sebagai fenomena baru kepada dimensi wacana intelektual masyarakat Malaysia mutakhir ini. 

Karangkraft melalui akhbar Sinar Harian dilihat menjuarai hal tersebut dan tidak pelik mengapa kini Sinar Harian menjadi akhbar alternatif yang paling laris di pasaran berbanding akhbar perdana lain. Kita doakan supaya usaha serius dapat dilakukan bagi wacana terbuka antara sarjana yang mewakili blok Sunni dan Shi`ah menjadi kenyataan dan pihak Shi`ah juga bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

Mendorong masyarakat membaca tentang Shi`ah

Hendak dapat tidak masyarakat mesti didedahkan malah mereka sendiri perlu dididik untuk meningkat daya inkuiri (ingin tahu) mereka secara semulajadi dan tidak hanya bergantung kepada sumber-sumber media popular yang bersulam propaganda, bias dan bersifat politik. Masyarakat perlu diberi wacana ilmiah bagi mendorong mereka berfikir untuk mencari jawapan melalui pembacaan dan penilaian mereka sendiri.

Ya, tanpa menafikan bahawa bukan semua orang mempunyai asas ilmu dalam Islam khususnya mengenai perkembangan dalam sejarah, aliran pemikiran, mazhab dan apa sahaja mengenai Shi`ah kerana kebanyakan sumber adalah dalam bahasa Arab dan rujukan utamanya dalam bahasa Parsi.

Bahasa Arab sudah dikira sebagai bahasa kedua manakala bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga dalam membicarakan mengenai Shi`ah. Mengkaji dan membaca tulisan daripada ulama Sunni pastinya menyebabkan sesuatu penilaian akan bersifat satu hala sahaja, apatah lagi jika ulama tersebut tidak dapat merujuk kepada sumber primer Shi`ah dalam bahasa Parsi itu sendiri. Bacaan jurnal-jurnal ilmiah berimpak tinggi adalah satu kemestian bagi mereka yang serius ingin memahami Shi`ah namun tetap bergantung kepada objektiviti pengkajinya.

Bagi berlaku adil dalam penilaian ini, sewajarnya sumber-sumber Shi`ah dalam bahasa Parsi dirujuk sama bagi menilai apakah sebenarnya kedudukan Shi`ah itu. Justeru, kemunculan sarjana-sarjana Nusantara yang mengkaji secara serius mengenai Shi`ah di peringkat pengajian tinggi adalah suatu perkembangan yang wajar dihargai. Namun bagi bacaan awal, buku-buku dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris bagi orang awam sedikit sebanyak akan membantu membuka dimensi yang lebih luas dalam perbincangan ini.

Antara buku popular yang boleh disyorkan dan mudah didapati di pasaran berbahasa Melayu dan Indonesia adalah Apa Itu Syiah? tulisan Prof Dr H. M. Rasjidi terbitan Al-Hidayah Publisher Sdn. Bhd., Kenapa Aku Keluar Syiah? tulisan Syeikh al-`Allamah Dr Hussain al-Musawi terbitan kerajaan negeri Kedah semasa pemerintahan PAS (dapatkan juga versi Indonesia dengan judul Mengapa Saya Keluar Dari Syiah: Kesaksian Penulis Sebelum Dibunuh), Agenda Politik Syiah: Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat tulisan Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin terbitan PTS Media Group Sdn. Bhd. Dan antara yang paling menarik dan ilmiah adalah Jurnal Pemikiran dan Peradaban ISLAMIA terbitan INSIST, Vol. viii, No. 1, April 2013 dengan tajuk Ahlusunnah dan Shi`ah: Beda Akidah, Shari`ah atau Politik?.

Kesimpulan

Barangkali ada pihak beranggapan bahawa wacana terbuka hanya menjadi pentas bagi mempromosi dan mengiktiraf Shi`ah itu sendiri, pastinya tidak salah hujah dan pemikiran yang begitu, namun fikirkan manfaat yang sebaliknya jika wacana diadakan dan persediaan yang rapi dan mantap dari sudut ilmiah dan intelektual dilakukan oleh kedua-dua pihak, kenapakah mereka (wakil Sunni dan Shi`ah) perlu takut untuk masyarakat awam termasuk bukan Islam menjadi hakim kepada kebenaran jika benar mereka masing-masing di pihak yang benar?

Penulis yakin sarjana-sarjana yang mempunyai autoriti dalam mendokong Shi`ah di Malaysia adalah cukup layak untuk dipertemukan dengan sarjana-sarjana Sunni di Malaysia. Keyakinan tinggi kedua-dua belah pihak ini akan melahirkan wacana tinggi yang berkualiti dan ini adalah budaya intelektual yang menguntungkan masyarakat secara umumnya. 

Dengan padang yang sama rata dan sikap matang rakyat dengan terlebih dahulu melenyapkan pengaruh emosi hasil daripada taqlid buta, ta`sub, jumud dan ghuluw masyarakat Malaysia menuju ke era budaya ilmu yang sihat, budaya ilmu tinggi dan mengembalikan kegemilangan tamadun dengan membina manusia yang mencintai ilmu. 

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.thelamaysianinsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/syiahbetul-atau-salah-serah-kepada-masyarakat-zahiruddin-zabidi dengan tajuk yang sama.

No comments:

Post a Comment