Friday 26 July 2013

Bab 11 - Iqra... Iqra... Iqra

PERNAHKAH kita terfikir kenapa wahyu yang pertama Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah arahan untuk membaca, malah sebagaimana yang tercatat Jibril saat hadir ke Gua Hira’ tanpa memaklumkan kehadirannya dan memeluk dan seolah memaksa baginda menyuruh baginda membaca dan dijawab dirinya tidak pandai membaca. 

Adegan itu berlaku sebanyak tiga kali. Maka ada sesetengah ulama berpendapat ia adalah isyarat bahawa apa yang bakal Nabi Muhammad s.a.w. terima dan bawa adalah suatu perkara yang berat dan besar. Namun persoalan kenapa Iqra – bacalah? 

Kalau tujuan wahyu diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk baginda menjadi seorang Islam atau beriman, maka sepatutnya wahyu Allah adalah Islamlah kamu wahai Muhammad atau berimanlah kamu wahai Muhammad, namun hakikatnya adalah Nabi Muhammad s.a.w. telah dipaksa untuk membaca dan itu adalah kalimah pertama dalam wahyu yang pertama daripada Allah. Pasti ada satu perkara yang signifikan dan besar dengan kalimah perintah itu – bacalah!

Al-Quran adalah mukjizat daripada Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang diwariskan kepada umatnya, namun mengapakah al-Quran tidak menjadi mukjizat kepada kita sedangkan dengan jelas Allah menyatakan al-Quran juga adalah adalah al-Shifa’ yakni penawar. Jawapannya adalah kerana manusia pada hari ini tidak memahami al-Quran.

Apabila kalimah dalam wahyu yang pertama adalah Iqra maka ia signifikan dengan membaca al-Quran itu sendiri sebagai asasnya. Namun baca sahaja tidak cukup oleh kerana ramai orang Islam pada masa ini tidak memahami bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran, justeru Allah juga bertanyakan kepada kaum Muslim – kenapakah kamu tidak mentadabburkan al-Quran?

Apakah tadabbur? Secara ringkasnya tadabbur adalah suatu proses refleksi, mencerap, memahami, menghayati, mengambil intipati dan seumpamanya. Selepas arahan pertama Iqra sebagai kalimah pertama dalam ayat dan wahyu yang pertama Allah datangkan pula persoalan mengenai tadabbur, apakah maknanya ini?

Ustaz Abdullah Bukhari al-Hafiz, seorang pensyarah subjek al-Quran dan Qiraat di UIAM menyatakan dalam satu forum sambil dipengerusikan oleh penulis, bahawa janganlah kita terlalu ‘ambitious’ dalam mentadabburkan al-Quran. Cukup 5 ayat sehari semalam, baca matan Arabnya, baca terjemahan dan refleksikan dengan diri sendiri intipati ayat tersebut. Jika ada kitab tafsir lebih bagus.

Ini berdasarkan pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa Allah lebih suka amalan yang sedikit namun konsisten berbanding amalan yang banyak namun hanya sekali sahaja.

Kenapa Iqra’? 

Ini adalah kerana membaca adalah pintu kepada ilmu. Membaca adalah suatu amalan yang signifikan dengan ilmu. Islam malah adalah agama yang meletakkan keilmuan melalui wahyu, logik dan sains di tempat yang tinggi dan saling tidak bertentangan antara satu sama lain.

Dalam kebanyakan kitab para ulama muktabar, bab ilmu antara yang dipilih dan diletakkan sebagai bab awal. Malah bagi menjadi seorang Islam, seseorang itu perlu belajar dan mempunyai ilmu mengenai syahadah. Islam adalah agama ilmu, Islam itu adalah ilmu. Oleh yang demikian, menuntut ilmu adalah kewajipan kepada lelaki dan perempuan penganut agama Islam.

Banyak buku dikarang bagi menceritakan bagaimana kecintaan para ulama muktabar dalam Islam terhadap membaca dan kitab. Bahkan ada daripada mereka yang mati ditimpa kitab mereka sendiri, ada yang membujang sehingga mati kerana sibuk dengan membaca, menelaah dan menyantuni buku. Kerana mereka bahagia dengan ilmu yang Allah janjikan kedudukannya istimewa bagi mereka yang cintakannya.

Buku dan membaca tidak pernah boleh berpisah daripada ilmu. Justeru,apabila membincangkan mengenai betapa masyakarat Malaysia khususnya orang Melayu tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Apakah rakyat Malaysia tidak suka membaca? Mohon baca artikel saya di bawah yang sudah diterbitkan oleh majala Milenia Muslim:

Cabaran 28,000 Judul dan Budaya Membaca di Malaysia
Oleh Zahiruddin Zabidi
JIKA diperhatikan kajian terakhir  yang dikemukan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), sudah ada peningkatan dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu daripada hanya dua buah buku setahun dengan nisbah seorang warganegara kepada 8-12 buah buku setahun bagi rakyat yang berumur 10 tahu ke atas, ini berdasarkan Kajian Olahan Semula Profil membaca Rakyat Malaysia 2010. 
Menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia sudah banyak meningkat melihat kepada kerancakan penerbitan buku masa kini, mustahil rakyat Malaysia secara purata cuma membaca dua buah buku setahun. Kata beliau:
“Tidak mungkin rakyat Malaysia masih lagi membaca dua buku setahun. Industri buku negara telah meningkat dengan purata 16,000 judul buku diterbitkan setahun. Jadi kita merumuskan keadaan itu sudah berubah kini.”
Malah beliau juga membuat kenyataan bahawa nilai industri buku tanah air adalah bernilai RM400 juta setahun bagi menguatkan lagi hujah bahawa budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sudah meningkat. Antara kategori pilihan utama rakyat Malaysia pula adalah buku berkaitan agama, sastera dan novel.
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah, ya, budaya membaca sedang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini juga terbukti dengan munculnya penerbit-penerbit swasta bagai cendawan selepas hujan. Logiknya, bagaimana mungkin kalau buku tidak punya nilai komersial, tidak dapat dijual dan tidak dapat memulangkan keuntungan, ramai pula usahawan yang sanggup mengambil risiko. Bukan sahaja syarikat buku malah majalah berunsur agama juga semakin banyak menghiasi rak-rak majalah di mana-mana sahaja sekarang.
Namun berasa puas hati dengan kadar percetakan buku, pertambahan penubuhan syarikat penerbitan termasuk ITBM yang dahulunya adalah ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), hakikatnya masih tidak menggambarkan sebuah masyarakat yang membaca dan sebuah masyarakat yang membudayakan membaca. Ini jelas dengan melihat kepada jenis apa buku yang dibaca, kenapa mereka membaca dan lama mana sebuah buku habis dibaca sedangkan kadar celik huruf di Malaysia secara umum adalah hampir  90 peratus.
Ini pula tidak beerti mereka tidak membaca langsung, andai kajian dan data khusus boleh didapati menerusi jumlah jualan buku-buku komik dan majalah hiburan, pasti kita akan tahu betapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang membaca namun sayangnya bahan bacaan mereka adalah bahan bacaan yang tidak dapat membina wacana dan daya fikir melainkan lebih terarah kepada budaya hedonisme semasa dan gossip-gosipan sahaja.
Ini ditambah apabila mutakhir ini dunia terus dilanda kemajuan alatan komunikasi tanpa wayar yang memungkin di mana sahaja mereka mampu mencapai apa sahaja bahan bacaan di laman maya.  
Ukuran yang Tepat
Berdasarkan laporan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga, berdasarkan kajian semasa yang dijalankan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan diperkerapkan lagi daripada setiap 10 tahun sekali kepada tiga tahun sekali kerana menurut beliau 10 tahun adalah suatu jangka masa yang agak lama bagi kajian tersebut. 
Namun persoalan yang muncul adalah apakah bentuk kajian yang digunakan? Apakah dengan kajian lapangan berbentuk kuantitatif/soal-jawab kepada sampel yang ditentukan kemudian mengeluarkan statistik kesimpulan, atau berdasarkan kepada jumlah kehadiran pengunjung ke PNM, atau jumlah peminjaman buku daripada PNM, atau berdasarkan kepada permintaan nombor International Standart Book Number (ISBN) semata-mata? Mungkin persoalan ini patut diserahkan kepada pelajar Fakulti Pengkhususan Maklumat bagi memberikan jawapannya.
Bagi penerbit, kiraan adalah berdasarkan jumlah sesuatu judul buku itu terjual. Anggarapan kami, sebuah buku yang terjual akan dibaca paling kurang oleh dua orang dan bagi sesetengah cetakan yang mencecah 10,000 dan ke atas ia dikira sebagai best-seller dalam konteks Malaysia. 
Melihat kepada perkembangan penerbit swasta seperti PTS Publication Sdn. Bhd., Utusan Publication, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan banyak lagi penerbit-penerbit lain yang mengamalkan Teori 4P, tidak mustahil sesebuah judul buku itu dapat dijual lebih daripada 10,000 naskhah dalam masa setahun. 4P adalah merujuk kepada:
· Product
· Price
· Placing
· Promotion
Sebagai nilai tambah, seorang penulis yang mempunyai nama besar atau tokoh selebriti sama ada dalam lapangan agama atau motivasi serta sasterawan yang mesra di kaca televiyen, sambutan terhadap buku mereka sentiasa ada dan malar hijau. Sebab itu ITBM tidak teragak-agak bagi menerbitkan kembali karya-karya sastera dan umum ilmiah yang berat, yang tidak berani diterbitkan oleh penerbit buku swasta lain.

Jumlah Judul vs Jumlah Jualan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perasmian Pesta Buku 1Malaysia pada bulan Februari yang lalu berkata dalam ucapan perasmian beliau:
“Malaysia kini mempunyai jumlah penduduk kira-kira 28 juta orang, mestilah sekurang-sekurangnya menerbitkan 28,000 judul buku baru.”
Ucapan beliau itu berdasarkan kepada saranan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang meletakkan sekurang-kurang 0.1 peratus daripada populasi penduduk. Ini dianggap sebagai cabaran kepada rakyat Malaysia seluruhnya dalam mencapai ketetapan yang disarankan itu. Setakat ini, berdasarkan laporan daripada pihak PNM, jumlah cetakan buku pada tahun 2011 adalah sebanyak 16,000 judul buku.
Persoalannya adalah, apakah kuantiti penerbitan judul melambangkan budaya membaca itu di kalangan rakyat Malaysia? Bagaimana pula, jika angka penerbitan mencapai sebagaimana yang disarankan namun nilai jualan bagi setiap judul adalah sangat rendah? Bayangkan setiap judul buku hanya terjual tidak sampai 500 buah dengan nisbah rakyat Malaysia 27 juta orang? Bagaimana pula dengan kadar 27,000 judul itu hanya berapa peratus sahaja buku ilmiah dan buku pelengkap ilmu? Bayangkan kalau 20,000 judul adalah daripada buku popular berbentuk novel dan buku bukan ilmiah, manakala hanya 7,000 sahaja judul berunsur semi ilmiah dan ilmiah tinggi?
Kesimpulannya, jumlah penerbitan yang banyak bukanlah penanda aras atau indikator yang terbaik dalam mengukur budaya membaca dalam negara kita yang tercinta ini. Bagi kami yang lebih menunjukkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat adalah kuantiti jualan sesebuah judul buku yang diterbitkan. Andai kata bagi setiap judul yang diterbitkan berjaya terjual melebihi 10,000 naskhah dalam masa setahun dan ia semakin meningkat dari masa ke semasa, insya-Allah kita akan melihat sebuah tamadun kegemilangan Malaysia akan terealisasi seiring dengan Wawasan 2020.

Membaca dalam Talian
Hakikatnya, sama ada seseorang minta atau mencintai buku sekali gus membaca atau tidak, mereka semua adalah seorang pembaca. Cuma pembacaan mereka terbatas kepada perkara sekeliling yang berbentuk maklumat sahaja dan bukan ilmu. Pembacaan akhbar, majalah, papan kenyataan, alih bahasa di televisyen, sistem pesanan ringkas di telefon bimbit dan banyak lagi yang memerlukan seseorang itu membaca. Ini termasuklah fenomena terbaru dengan muncul Facebook, sebelumnya Frindster dan Myspase serta pelbagai lagi jenis program jaringan sosial dalam talian, tanpa sempadan, langit terbuka dan alam maya ini.
Namun membaca yang kita bicarakan di sini adalah membaca yang berlandaskan kepada wahyu pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Jibril a.s. di Gua Hirak, sebuah ayat yang begitu bermakna dan menggambarkan betapa Islam sebuah agama yang meletakkan ilmu di tempat yang paling utama. Allah berkata kepada Nabi Muhammad melalui Saidina Jibril a.s. yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
Jelas difahami daripada wahyu di atas, membaca yang merupakan kunci kepada ilmu diletakkan sebagai perkataan pertama dalam wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sesetengah ulama mensyarahkan, Iqra’ dalam ayat ini bermaksud baca, kaji, selidik, dalami, huraikan dan sebagainya. Ini membawa maksud membaca itu bukan hanya sekadar membaca namun dengan membaca ia membawa manusia kepada suatu dimensi yang lebih luas, besar dan dalam dan pengenalan mutlak kepada Sang Pencipta.
Banyak ayat al-Quran dan Hadis menggambarkan kelebihan dan keutamaan orang berilmu berbanding dengan ahli ibadah yang tidak berilmu. Pastinya orang yang berilmu itu antara tabiat utama mereka adalah membaca, membaca dan membaca. Tamadun Islam terus berkembang dengan meminjam teknologi kertas dan dakwat yang  terlebih dahulu dijumpai dalam Tamadun China dan begitulah seterusnya Islam berkembang seiring dengan perkembang keilmuan dan ilmuwannya.
Ironinya pada hari segala sumber ini dapat dicari dan dibaca tanpa sebarang kepayahan, sambil bersandar di kerusi atau sambil meniarap dengan menggunakan segala macam jenis alatan komukinasi terkini selain komputer riba. Semuanya di hujung jari, dengan hanya menaip beberapa kata kunci kepada subjek carian pada ruangan carian enjin pencarian Google.
Bagi yang ingin membeli buku-buku luar negara yang sangat payah dijumpai dan terpaksa diimport, mereka kini mempunyai dua pilihan, mereka boleh sama ada membuat belian buku fizikal daripada Amazon.com namun terpaksa menunggu lama selain daripada kosnya berlipat beberapa kali ganda. Namun dengan mempunya peranti seperti iPAD atau Galaxy Tab, mereka juga boleh membeli e-Buku dalam format PDF buku yang sama dengan kelebihan perkhidmatan penghataran jauh lebih cepat dan berlipat kali ganda lebih murah. Cumanya ia tidak dapat dipegang, ditilik dan dicium malah dilihat tersusun rapi di rak peribadi rumah atau bilik khusus bagi sesetengah pencinta buku tegar.
Tidak pelik, pada masa kini kebanyakan mereka yang menulis tesis ijazah sarjana ataupun doktor falsafah bila ditanya mana buku yang mereka rujuk, mereka hanya akan menunjukkan iPAD mereka sahaja. Ini ditambah pula dengan banyaknya laman ‘halal’ atau ‘haram’ yang menyediakan muat turun bermacam judul PDF buku rujukan dan ilmiah secara percuma seperti 4Shared.com dan Scribd. Pastinya ini adalah suatu fenomena yang positif dalam aspek tersebut khususnya aspek ekonomi.
Nor Azleenda Abdul Hadi (2012) dalam ruangan Bingkisan Editor, Majalah Dewan Masyarakat edisi April 2012 menyatakan:
“Setelah berabad-abad lamanya manusia menggunakan kertas dan menerbitkan pelbagai bahan bacaa melelaui penerbitan secara bercetak, dunia penerbitan kini berubah pula kepada gaya penerbitan secara eletronik yang tidak memerlukan kertas sebagai medium penyampaiannya. Sekali lagi dunia penerbitan mengalami perubahan seiring dengan teknologi yang dicipta oleh manusia sendiri.
Penerbitan bahan bacaan secara eletronik atau penerbitan dalam talian telah menjadi pilihan banyak orang yang gemar membaca menerusi internet. Pembaca tidak perlu lagi mencari bahan bacaan di kedai buku atau pergi ke perpustakaan. Para pembaca hanya memerlukan peranti tertentu, seperti komputer, iPAD atau telefon pintar, untuk membaca bahan yang diterbitkan secara eletronik. Penggunaan e-buku, pada awalnya, hanya tersedar secara meluas untuk buku teks kegunaan murid sekolah. Setelah teknologi ini mendapat perhatian masyarakat, akhbar, majalah, jurnal dan buku untuk bacaan umum telah diterbitkan secara eletronik.Contohnya, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang telah diterbitkan dalam talian.
Penerbitan eletronik lebih cepat berbanding dengan penerbitan bercetak kerana bahan tersebut tidak melalui proses percetakan. Apabila tidak melalui proses percetakan kos menerbitkan buku tersebut juga semakin berkurangan. Bahan penerbitan eletronik juga mempunyai pelbagai nilai tambah, seperti boleh disertakan dengan audio visual yang menarik perhatian pembaca. Pengedaran pula berlaku dalam alam maya. Kaedah pengedaran begini dapat menyebarkan pasaran judul buku tempatan ke seluruh dunia.”
Ternyata fenomena ini bakal menjadi budaya apabila unsur ini menjadi kebiasaan dan pengulangan dalam kalangan masyarakat. Apakah ia positif atau sebaliknya? Inilah persoalan yang wajar kita cermati pada hari ini. 
Namun fenomena global pada hari adalah, apabila menaiki komuter dan kenderaan, antara perkara yang disedari adalah rakyat Eropah yang dahulunya sangat tersohor dengan budaya dan dilihat membaca buku di manapun mereka berada, dalam erti kata sentiasa punya buku di tangan dan membaca di mana sahaja kelihatan seimbang dan sama banyak dengan mereka yang membawa dan membaca melalui alat peranti seperti iPAD dan Galaxy Tab. 
Fenomena ini semakin hari semakin merebak ke negara kita dan pasti juga akan menjadi budaya di sini. Sehingga kini pun kita sudah tidak pelik melihat sesiapa sahaja mengepit iPAD dan Galaxy Tab sambil minum santai di Starbuck, Bangi Kopitiam dan lain-lain tempat seumpanya.

Kesimpulan
Kesimpulanya adalah, buku fizikal meskipun mendapat cabaran hebat daripada buku-buku eletronik dalam media baru ia tetap akan menjadi pilihan bagi mereka yang benar-benar mencintai buku sekali gus ilmu itu sendiri. Ini adalah kerana, kepuasan membaca, memegang, membelek, mencium dan mengaturletak buku fizikal tidak dapat dirasai selain daripada alatan tersebut adalah bersifat eletronik yang boleh bila-bila masa sahaja rosak, namun dalam masa yang sama menafikan buku-buku dalam media adalah suatu alternatif terbaik daripada sudut ekonomi dan masa.
Buku cetak, fizikal sudah wujud di dunia ini ribuan tahun sebelum buku eletronik dan alatannya muncul, pasti bukan sesuatu yang mudah bagi manusia melupakannya langsung. Dalam masa yang sama, kami sebagai penerbit pastinya tidak mahu ketinggalan dalam persaingan dunia maya, maka selepas ini kami juga akan menyediakan kepada para pencinta buku dan ilmu alternatif kepada mereka, sama ada mahu membeli buku fizikal atau buku eletronik, kerana kami menerbitkan kedua-duanya sekali gus.
Tinggal lagi untuk kita semua fikirkan adalah, bukan berapa judul boleh diterbitkan setahun, bukan berapa naskhah dapat terjual setahun namun yang perlu diberi perhatian oleh kita semua adalah sejauh manakah kemampuan kita melahirkan para pencinta buku dan ilmu daripada generasi masa depan, sejauh mana kita mampu membina sebuah keluarga yang cintakan buku dan ilmu, sejauh mana kita mampu membina sebuah komuniti dan masyarakat yang cintakan ilmu dan sejauh mana kita mampu membina sebuah negara yang cintakan buku dan ilmu?

No comments:

Post a Comment