Thursday 18 July 2013

Bab 6 - Kepentingan Media dalam Dakwah

MEDIA menurut Kamu Dewan ke-IV bermaksud: (média) alat atau perantara komunikasi (perhubungan), seperti radio, televisyen dan akhbar; ~ am pelbagai jenis saluran atau perantara komunikasi, alat atau saluran komunikasi amnya atau keseluruhannya; ~ cetak alat atau saluran komunikasi yg berupa bahan cetakan atau terbitan (seperti surat khabar, majalah, dll); ~ elektronik alat atau saluran komunikasi yang berupa atau yang menggunakan alat-alat elek­tron moden (spt radio, televisyen, dll); ~ massa pelbagai jenis alat komunikasi (spt televisyen, radio, surat khabar, majalah, dsb) yang dapat menyampaikan maklumat (berita dsb) kepada orang ramai dengan cepat (dalam masa yang singkat), sebaran am.

Melalui takrifan umum di atas dapat kita simpulkan bahawa media sememang adalah sebahagian daripada kehidupan manusia pada masa kini dan mustahil bagi manusia masa kini dan masa hadapan hidup tanpa media bagi sebarang urusan sama ada urusan rasmi yang melibatkan kehidupan kerjaya atau dalam kehidupan sosial masing-masing.

Globalisasi atau dunia tanpa sempadan pada hari ini yang dihubungkan dengan pelbagai jenis alatan berbetuk perisian dan program dalam media eletronik benar-benar memberikan suatu kehidupan baru kepada manusia seluruh dunia. Segalanya di hujung jari. Justeru sebagai seorang Islam yang sedar akan taklif dirinya sebagai pendakwah malah cenderung kepada menjadikan penulisan sebagai lapangan dakwah mereka maka hal ini adalah peluang dan lubuk yang begitu terbuka untuk diterokai oleh sesiapa sahaja.

Ini adalah kerana, meskipun media itu luas dan medium atau alatan berbeza-beza antara satu sama lain sama ada media cetak dan eletronik dan cabang-cabangnya yang lain, namun kesemua mereka ada satu persamaan yang mutlak yakni penulisan. Semua instrumen media ini adalah berkaitan dengan penulisan secara langsung yang menjadi pengisian dan asas kepada media untuk menyampaikan maklumat. Maklumat meskipun disampaikan dalam pelbagai bentuk sama ada secara verbal atau bukan verbal ternyata semuanya berkaitan dengan huruf dan abjad.

Menurut seorang ahli perniagaan dan pemikir pemasaran yang berjaya khususnya dalam dunia buku, media adalah ‘tool’ iaitu alat bagi menyampaikan ‘content’ iaitu pengisian. Justeru bagi seorang pendakwah yang menjadikan lapangan penulisan sebagai wadah dakwah mereka maka pengisian dakwah yang tepat perlu dikenal pasti, dengan itu ada lebih kurang tujuah jenis media yang boleh digunakan untuk menyampaikan pengisian dakwah secara efektif iaitu:

Melihat kepada apa yang dinyatakan oleh Syaizul Amal, ternyata kesemua jenis media tersebut adalah tidak terlepas daripada aktiviti penulisan. Secara asasnya lagi kesemua alat media tersebut memerlukan bahan berbentuk penulisan bagi menjadi isi penyampaian, dan di sinilah para pendakwah moden perlu memberikan perhatian yang khusus kerana menjadi sifat seorang pendakwah dan cendekiawan adalah mencari ruang yang lompong dalam isu masyarakat lantas memikirkan dan mengkaji apakah penawar yang terbaik untuk hal yang tersebut.

Ternyata pengisian di media-media ini khususnya sebelum ada internet adalah terhad dan tidak banyak pula yang menjadikan ajaran Islam dan nilai-nilainya sebagai pengisian untuk dijadikan bahan sebaran. Ini jelas jika dilihat apa sahaja media sama percetakan atau yang berbentuk visual seperti dalam filem dan drama. Apakah isu dan masalah yang sebenar sehinggakan kebanyakan drama, filem dan seumpamanya yang sering ditayangkan di media massa ini begitu sekali mengabaikan nilai-nilai murni agama Islam? Mohon lihat carta di bawah, dalam kes pembikinan karya kreatif dalam penulis novel, skrip seterus penghasilan visual:

Perbincangan Kritis

Dua carta aliran di atas menunjukkan proses biasa pada hari ini dalam proses penghasilan sesuatu karya khususnya karya visual sama filem, drama dan seumpamanya yang lebih mudah diperolehi oleh masyarakat dan lebih berpengaruh kepada mereka berbanding dengan membaca yang agak meletihkan dan memakan masa. Justeru menonton karya kreatif visual menjadi suatu kegemaran majoriti masyarakat berbanding membaca itu sendiri.

Paling tidak secara umum ada dua jenis proses penghasilan karya yakni penulisan yang berkaitan dengan karya visual itu. Yang pertama, sebagai mana yang ditunjukkan dalam Carta 1, ia bermula daripada penulisan novel, seterusnya diangkat menjadi skrip oleh penulis skrip dan seterusnya divisualkan melalui pengarah filem/drama dan seumpamanya. Atau sebagaimana yang dinyatakan dalam Carta 2, ia bermula daripada penulisan skrip terus kepada pemvisualan oleh pengarah dan kemudian baru diadaptasi menjadi novel.

Apa yang paling penting di belakang penulisan novel, skrip dan pengarahan adalah manusia yang berbeza meskipun dalam beberapa keas penulis novel dan skrip adalah orang yang sama. Namun perkara ini jarang berlaku kerana biasanya, penulis novel akan fokus dengan penulisan kreatif dalam genre novel dan begitu juga kepada penulis skrip yang lebih suka fokus kepada penulisan skrip berdasarkan kepada keselesaan masing-masing. Insan-insan di sebalik ketiga-tiga peranan inilah yang menentukan sama ada karya mereka adalah patuh syariah ataupun tidak, namun sering kali berlaku sebaliknya kerana sebenarnya ketiga-tiga genre ini adalah ruang lingkup kuasa pengkaryaan yang berbeza meskipun idea asal cerita atau karya kreatif adalah sama.

Secara mudahnya adalah sebuah novel yang digarap oleh seorang penulis novel yang bagus fikrah Islamnya belum tentu setelah diadaptasi menjadi skrip ia akan menjadi selari dengan idea dan cerita asal yang patuh syariah, begitu juga apabila diadaptasi dan diterjemahkan menjadi visual oleh si pengarah filem/drama. Ini kerana meskipun karya asal yakni novel adalah patuh syariah kerana penulisnya yang faham taklif dosa dan pahala dalam penulisan sekali gus kehidupan, tidak semestinya si penulis skrip dan si pengarah visual mempunyai dan memahami pemikiran berlandaskan Islam dan patuh syariah seperti penulis novel.

Sebuah novel apabila diadaptasi menjadi skrip, ia bukan lagi karya asli di penulis novel melainkan sudah menjadi karya si penulis skrip, kemudian apabila ia diangkat untuk divisualkan, ia sudah menjadi karya di pengarah meskipun idea asalnya adalah sama. Karya tersebut tidak lagi asli dan barangkali mampu jauh menyimpang daripada naskhah novel yang mengandungi idea asal yang murni dan paruh syariah. Antara contoh terbaik dalam kes ini boleh dirujuk dengan kes Habiburrahman el-Shirazy melalui novel beliau Ayat-Ayat Cinta yang menjadi fenomena kemudian difilemkan. Namun hasil filemnya yang ditulis skrip oleh orang lain dan diarahkan filemnya oleh pengarah lain telah menyebabkan filemnya jauh tersimpang daripada idea dan naskhah asal novel tersebut.

Ini menyebabkan Kang Abik (panggilan kepada Habiburrahman el-Shirazy) mengambil keputusan untuk berkecimpung secara langsung dalam dunia media bukan lagi hanya penulisan kreatif novel. Apabila novel-novel beliau yang seterusnya mula diangkat menjadi filem atau drama, beliau sendiri yang bertanggungjawab terhadap penulisan skrip malah menjadi pengarah bagi memastikan hasilnya menepati idea asal dan paling penting patuh syariah dan layak diangkat menjadi karya dakwah bukan sebaliknya.

Bila ditelesuri kisah bagaimana Kang Abik sendiri yang berkelulusan daripada Universiti al-Azhar al-Syarif di Mesir akhirnya kembali menjadi penulis novel, ia adalah kerana sebuah perancangan yang agak terperinci bagi menghalang budaya penulisan dan penerbitan novel yang berlandaskan ideologi liberal sekular yang semakin galak di Indonesia pasca kejatuhan regim Suharto. Kebebasan bersuara dijadikan sebagai premis untuk golongan sasterawan Utan Kayu menghamburkan melalui penulisan mereka karya-karya bebas menceritakan akan perihal hubungan seksual, babak ranjang, gay, lesbian, biseksual dan transeksual dengan bebas.

Oleh kerana karya perlu ditentang dengan karya dan bukan kuasa, Kang Abik dan rakan-rakan Komuniti Lingkaran Pena yang kebanyakannya adalah lulusan agama sama ada di peringkat pasantren mahupun universiti mua memikirkan perlunya mereka mencipta fenomena terhadap novel yang mempunyai unsur tarbiyah dan kerohanian untuk menjadi pilihan masyrakat sekali gus mengimbangi kegilaan kepada sastera wangi atau lendir yang semakin membarah. Dengan strategi pemasaran dan media yang berkesan, boleh dikatakan karya pertama Kang Abik yakni Ayat-Ayat Cinta adalah berjaya, dan sekali gus memberi kesan yang positif juga kepada negara jiran mereka iaitu Malaysia.

Hasil ini tidak boleh dibuat dengan pembahagian secara selektif, ini adalah kerana bagi menghasilkan sebuah karya yang patuh syariah pastinya semua yang terlibat secara internal ataupun eksternal perlu mempunyai kefahaman yang jitu terhadap fikrah dan hadaf Islam malah mempunyai jiwa tarbiyah bagi menjadikan setiap daripada karya mereka adalah sebagai wadah menyampaikan dakwah Islam bukan sebaliknya. 

Kesimpulan

Justeru, jelas sekali bahawa media dan instrumen di bawahnya adalah alat yang begitu sekali bergantung kepada pengisian yang disediakan oleh manusia-manusia di belakangnya. Jika baik manusia itu maka baiklah hasil yang dikeluarkan oleh alatan ini, begitu juga sebaliknya. Justeru tidak salah jika dikatakan betapa perlu media itu dikusai oleh mereka yang memahami halal dan haram dan sentiasa memastikan setiap daripada rancangan dan hasil kreatif mereka itu adalah patuh syariah.

Pentarbiyahan sebenar perlu dihalakan kepada para pengkarya dan bukan media itu sendiri kerana ia adalah alatan yang bergantung kepada manipulasi manusia juga. Justeru, jika manusia yang berkuasa ke atasnya adalah manusia yang beriman dan berakhlak serta mempunyai ilmu dalam memahami halal dan haram dalam konteks pengkaryaan kreatif maka tidak mustahil karya-karya yang bakal dipaparkan di masa hadapan adalah yang patuh syariah sahaja.

Dengan kelahiran saluran TV bercorak Islam seperti TVAlHijrah, Astro Oasis, TV9 dan sebagainya ia akan menyemarakkan lagi pengkaryaan daripada kalangan pengkarya yang fikrah dan hadafnya jelas mahu menegakkan syiar Islam dan karya mereka sekali gus menjadi agen dakwah yang penting kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, jikapun para pengkarya dalam tiga genre yang berbeza ini tidak mempunyai latar pengajian agama yang baik, antara lain yang boleh mereka buat adalah mendapatkan nasihat dan panduan daripada agamawan yang mendalami dunia pengkaryaan kreatif itu sendiri. Hakikatnya setakat ini hampir tiada yang serius secara akademik menggauli bidang ini namun perkembangan semasa memperlihatkan ada suatu gelombang baru yang sedang berlaku.

No comments:

Post a Comment