Monday 22 July 2013

Bab 8 - Apakah Tujuan Menulis?

ISLAM mengajar umatnya agar menetapkan matlamat dari awal setiap sesuatu itu dilakukan. Ini berdasarkan hadis yang masyhur berkenaan dengan niat daripada riwayat Ibnu Umar r.h. Mafhum hadis tersebut adalah berbunyi:

“Sesungguhnya setiap sesuatu amalan bermula dengan niat...” (Riwayat Muslim)

Sebagai seorang Muslim, sebelum melaksanakan sesuatu amalan yang mana diyakini setiap daripada amalan ada nilai dosa  dan pahalanya, perlu ia mengetahui matlamat dan kesan daripada perbuatan dan amalan yang akan dilaksanakan itu. Dalam kes menulis, ternyata seorang penulis dari awal lagi perlu faham apakah yang menjadi dustur mereka dalam menulis.

Sebenarnya ramai ulama dan sarjana Islam memberikan takrif dan pandangan mereka mengenai hal ini. Namun saya secara peribadi tertarik bagi mengangkat buah fikir dan susunan seorang ulama mujtahid zaman ini bagi dijadikan panduan dalam meletakkan matlamat dalam penulisan bagi seorang pendakwah. Beliau adalah Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

Dalam buku Anatomi al-Quran (2008, PTS Islamika Sdn. Bhd.) karangan Prof. Madya Dr. Ammar Fadzil, beliau mendatangkan pandangan dan susunan Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam memperkatakan maqasid atau matlamat penurunan al-Quran kepada manusia. 

Jadi Maqasid itulah yang saya secara peribadi fikir juga wajar menjadi dustur dan panduan bagi menjawab apakah tujuan seseorang itu menjadi seorang penulis. Menurut al-Qaradawi, ada lapan maqasid nuzul al-Quran iaitu tujuan penurunan al-Quran oleh Allah dan kelapan-lapan ini juga wajar dianggap sebagai matlamat penulisan seorang pendakwah itu.

Bagi mendapatkan huraian yang sebenar mengenai maqasid nuzul al-Quran, disarankan pembaca merujuk buku tersebut kerana dalam tulisan ini saya akan menghuraikan lapan poin daripada prinsip tersebut sesuai dengan konteks matlamat penulisan sebagai seorang pendakwah.

1. Membetulkan akidah

Islam adalah agama yang bertunjangkan akidah yang sahih, justeru dalam penulisan seorang pendakwah matlamatnya semestinya sentiasa berada dalam landasan akidah yang jelas dan bertujuan ke arah itu.

2. Memperakui kemuliaan manusia

Penulisan semestinya perlu meletakan manusia dan sifat kemanusiaan itu pada tempatnya. Sama ada untuk menegur atau menasihati, sifat kemanusiaan tetap perlu diraikan.

3. Pengabdian kepada Allah

Setiap daripada perkongsian dan penyampaian dalam penulisan sentiasa berada dalam lingkuangan pengabdian kepada Allah dan mendorong para pembaca kea rah tersebut.

4. Pembinaan sakhsiah

Akhlak dan sakhsiah adalah antara perkara penting yang ditekankan dalam Islam. Keduanya pula terkait secara langsung dengan tahapan kelilmuan seseorang. Penulisan yang mampu mendorong pembinaan sakhsiah adalah suatu keperluan kepada masyarakat.

5. Pembentukan keluarga

Institusi kekeluargaan adalah tunjang dalam sebuah sistem sosial. Kebobrokan institusi kekeluargaan akan membawa impak yang besar kepada masyarakat dan negara umumnya. Justeru, penulisan yang mendorong kearah pembentukan keluarga mawaddah wa rahmah menurut lunas al-Quran dan Sunnah adalah suatu keperluan kepada masyarakat.

6. Pembersihan jiwa

Pembersihan jiwa juga dikenali sebagai tazkiyat al-naf yang menjadi seakan topic wajib bagi sekian ramai ulama dan sarjana Islam dalam penulisan mereka. Ia bersifat nasihat dan muhasabah diri, bermula daripada diri sendiri kemudian kepada masyarakat sekeliling.

7. Dakwah

Dakwah adalah warisan kerasulan, melalui penulisan risalah dakwah itu dapayt disampaikan dengan cakupan dan kesan yang lebih signifikan. Justeru penulisan berteraskan dakwah adalah suatu keperluan dalam masyarakat.

8. Toleransi kepada bukan Muslim

Islam sebagai agama rahmat dan mengharamkan kezaliman sesama manusia sekalipun mereka bukan orang Islam. Justeru penulisan yang meraikan bukan Islam dalam konteks yang dibenarkan oleh agama adalah keperluan bagi umat Islam dan bukan Islam fahama akan kedudukan mereka dalam neraca adil agama Islam itu sendiri.

Kesimpulan

Menulis tanpa matlamat yang jelas malah tidak dimulakan dengan niat kerana Allah boleh sahaja menjadikan penulisan kita itu sia-sia, sewajarnya kita sentias amemastikan setiap daripada penulisan kita sama ada dalam bentul ilmiah atau popular, dalam media cetak atau media baru semua perlu dipastikan menjadi saham kebajikan di akhirat kelak.

Justeru dengan memahami maqasid nuzul al-Quran yang kemudian kita angkat menjadi panduan dan matlamat penulisan dalwah dakwah itu sendiri, maka diharapkan setiap daripada penulisan daie itu sentiasa menepati apa yang disarankan oleh al-Quran dan Sunnah itu sendiri sementelah pengisian yang digunakan dalam penulisan tersebut juga adalah daripada al-Quran dan Sunnah juga.

No comments:

Post a Comment