Thursday 18 July 2013

Bab 7 - Menulis: Keperluan atau Kehendak

MENULIS adalah satu aktiviti yang memerlukan penumpuan kepada proses berfikir dan penterjemahan pemikiran itu dalam bentuk perkataan yang kemudian membentuk ayat, seterusnya perenggan dalam bahasa yang difahami oleh si penulis dan kepada bakal pembaca. Justeru sering kali kerjaya sebagai penulis atau yang berkait dengan penulisan dilihat sebagai kerja yang melibatkan keintelektualan dan eksklusif. Malah ada sesetengah orang beranggapan kerjaya menulis adalah kerja yang bersifat khayali semata-mata khususnya apabila melibatkan penulisan kreatif dan sastera.

Aktiviti penulisan itu sendiri secara umum bukan suatu pilihan dan kehendak melainkan satu keperluan sebenarnya dalam semua peringkat kehidupan manusia pada hari ini dan masa lalu. Cuma kerjaya sebagai penulis dan aktiviti menulis itu secara khusus yang masih belum diterima secara serius di Malaysia sebagai suatu kerjaya profesional yang mampu menjana pendapatan yang melebihi puluhan ribu sebulan kalau kena caranya.

Namun dalam konteks dakwah, bukan nilai ringgit yang menjadi asas dan teras kepada perbincangan namun sejauh manakah keperluan penulisan dalam dunia dakwah? Apakah ia keperluan atau sekadar kehendak si pendakwah itu sendiri? Di sini saya akan kongsikan pandangan dan pengalaman khususnya dalam dunia penulisan dan penerbitan selama hampir lima tahun ini kepada pembaca.

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, asasnya penulisan adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia pada hari ini. Dari awal pagi seseorang itu celik mata di pagi hari hingga dia tidur kembali sebenarnya dipenuhi dengan elemen penulisan itu sendiri sama ada dalam bentuk eletronik mahupun bercetak. Dunia komunikasi tanpa batasan pada hari ini sangat bergantung kepada penulisan bagi manusia berkomunikasi sesama mereka atau dalam memberi dan menerima maklumat.

Bermula daripada penulisan mesej eletronik di telefon bimbit masing-masing, penulisan e-mel dalam urusan peribadi atau rasmi di pejabat, seterusnya laman sosial seperti Facebook, Twitter dan seumpamanya, semuanya bergantung kepada penulisan bagi menghubungkan sesama penggunanya. Justeru sebenarnya, sesiapa yang terlibat dalam apa sahaja instrument komunikasi eletronik yang saya sebutkan tadi memang terlibat dalam aktviti penulisan saban hari dan masa sebenarnya.

Sikap Seorang Pendakwah Terhadap Penulisan

Sebagaimana yang kita semua sudah sedia maklum bahawa tugasan dakwah adalah tanggungjawab semua umat Islam, khususnya dakwah ke jalan Allah kepada yang bukan Islam. Di sini para ulama dan tokoh gerakan Islam banyak mengarang mengenai dakwah malah di universiti yang mempunyai fakulti atau jabatan pengajian Islam pasti ada pengkhususan dalam dakwah itu sendiri.

Ini menandakan dakwah sudah menjadi satu bidang pengajian ilmu Islam meskipun kebanyakan perbincangan di universiti adalah bersifat teoritikal. Dari satu perspektif, tidak sewajarnya dakwah menjadi suatu cabang ilmu khusus seakan Islam mengehadkan aktiviti dakwah kepada pelajar dan pensyarah jabatan dakwah serta mereka yang mempunyai label sebagai pendakwah sahaja yang perlu melakukan kerja dakwah sedangkan semua umat Islam adalah bertanggungjawab dalam urusan kerasulan ini.

Antara gerakan Islam moden yang boleh dikatakan sebagai ibu dan bapa kepada semua gerakan Islam yang berorientasikan dakwah pada era moden ini adalah Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan oleh al-Syahid Imam Hassan al-Banna di Mesir. Dengan menjadikan dakwah sebagai agenda utama gerakan mereka yang kemudian mendapat sambutan yang sangat hebat dalam kalangan umat Islam bukan sahaja di Mesir malah merebak ke seluruh negara Arab dan seluruh negara umat Islam di dunia pada masa itu termasuk ke Tanah Melayu.

Buku-buku mengenai dakwah dan keutamaannya mula dikarang oleh para ulama dan sarjana Islam dalam Ikhwan Muslimin dan menjadi rujukan dan bahan perbincangan sesama ahli. Naskhah-naskhah penting ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk ke dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah tulisan Imam Hassan al-Banna sendiri seperti Usul al-`Iysrin (Usul 20) dan juga yang menjadi fenomena dan menjadi rujukan ilmiah sehingga hari ini iaitu Usul al-Da`wah karangan Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan.

Dakwah kemudian dipecahkan kepada pelbagai cabang antaranya dakwah bil hal (berdakwah dengan langsung), dakwah bil mal (berdakwah dengan harta) dan dakwah bil kitabah (berdakwah melalui penulisan). Sudah diceritakan betapa pentingnya penulisan itu kepada Islam dalam bab 5 yang lalu. Bayangkan dakwah tanpa aktiviti penulisan? Apakah dapat segala wacana dan buah fikiran yang mampu membangkit rasa di jiwa manusia untuk kembali menelaah Islam sebagai jalan kehidupan hakiki itu berfungsi? 

Ini kerana bukan semua manusia sempat bertemu dan berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., para sahabat baginda, tabien, tabie tabien dan para ulama salaf al-salih mutaqaddimin dan mutaakhirin. Namun penulisan mengenai mereka dan tulisan mereka menjadi penghubung tanpa batasan zaman bagi umat Islam pada masa kini mendapat manfaat daripada hasil usaha dan ketekunan mereka dalam menulis sekalipun kini mereka sudah ratusan malah seribu tahun sudah meninggalkan dunia ini. Namun mereka kekal, dalam karya-karya mereka yang pastinya adalah ilmu yang bermanfaat kepada umat selepas mereka.

Antara keperluan dan kehendak?

Sewajarnya penulisan menjadi keperluan sekali gus kehendak para pendakwah masa kini apabila mereka mendakwa diri mereka serius dalam berdakwah. Ini adalah kerana seorang pendakwah yang bijaksana bukan hanya perlu bijak menyampaikan seruan melalui lidah namun mereka juga perlu membekalkan dan memberikan panduan kepada masyarakat umum yang lebih luas mengenai idea dan pemikiran mereka agar menjadi suatu sumber inspirasi kepada masyarakat awam.

Sebagaimana yang kita nyatakan tadi, bukan semua orang dapat bertemu dan mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar secara langsung daripada seorang pendakwah itu. Namun dengan menulis dan buku atau pada hari ini melalui laman web dan blog serta paling mutakhir Facebook dan Twitter, seorang pendakwah itu mampu menyampaikan pengisian dakwahnya malah berinteraksi dengan masyarakat awam. Ini memberi ruang untuk capaian dakwah yang lebih luas dan panjang kepada seorang daie.

Kepentingan dakwah melalui media eletronik sudah mula dibincangkan secara serius di universiti malah mula menjadi topik kajian secara ilmiah di peringkat pengajian tinggi. Adalah amat penting untuk memahamkan masyarakat bahawa walau siapapun mereka, taklif dakwah adalah terpundak di bahu mereka dan penulisan mereka di mana-mana sahaja sewajarnya mempunyai unsur yang dianjurkan oleh agama seperti nasihat dan teguran serta muhasabah di samping laporan-laporan biasa dalam kehidupan seharian.

Itu dalam bab media komunikasi sosial, namun bagi satu dimensi media yang lebih besar dan berpengaruh seperti industri penulisan kreatif sama ada novel, skrip dan pengarahan filem, lain pula keadaannya. Ini adalah kerana, di Malaysia ternyata masih amat kurang para pengkarya kreatif yang berfikrah serta memahami kehendak Islam itu sendiri dalam berkarya. Malah mereka yang berkelulusan agama juga tidak memilih bidang penulisan novel, skrip dan pengarahan drama/filem sebagai wadah perjuangan hidup mereka. 

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kelompongan tersebut sedang cuba diisi namun ia adalah mata rantai perjuangan yang panjang kerana ia seolah percubaan mereformkan kebiasaan yang sudah lebih 50 tahun. Para pengkarya dan artis seakan tidak dapat menerima jika mereka diarahkan berlakon tanpa perlu apa yang mereka sudah biasa buat sebelum ini sedangkan banyak sudah contoh mutakhir ini betapa dengan daya pengkaryaan yang lebih kreatif banyak filem yang bagus, berisi dan bermakna berjaya difilemkan malah memenangi anugerah antarabangsa meskipun tiada unsur mungkar padanya. Sudah sampai masanya, kita berubah! 

Perkongsian hasil daripada pemerhatian

Sebagai seorang pendakwah sewajarnya mereka menjadikan penulisan sebagai sebahagian daripada kerjaya dakwah mereka. Bayangkan seorang pendakwah yang dikurniakan Allah lidah yang fasih dalam menyampaikan dakwah, dalam masa yang sama beliau juga Allah kurniakan kerajinan dan ketekunan dalam menulis, kebaikan dakwah itu berkali ganda berbanding mereka hanya mahir dalam satu bidang sahaja.

Dalam satu kuliah di surau dan masjid atau agensi yang menjemput, kehadiran biasanya hanya sekitar 20-100 orang dalam satu-satu masa. Namun dengan teknologi penulisan melalui media eletronik pada hari ini yang pelbagai itu, satu penulisan atau titipan ringkas berbentuk tazkirah mampu diakses dan dibaca seterus dimanfaatkan oleh puluhan malah ratusan ribu orang. Lihat sahaja kejayaan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil melalui www.saifulislam.com, Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman melalui www.zaharuddin.net, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui www.drmaza.com dan banyak lagi laman web tokoh yang menjadi rujukan masyarakat masa kini.

Ini menjadi bukti betapa pentingnya penulisan di laman media eletronik hari ini kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia bermaklumat pada hari ini. Hendak dapat tidak seorang Muslim dan pendakwah perlu cekap dan pantas dalam menguasai segala teknologi ini agar ia mampu dimanipulasikan untuk kebaikan Islam itu sendiri.

Kadang-kadang melalui nasihat dan ceramah seseorang itu payah mahu menerima dan menghayati nasihat-nasihat agama, namun melalui penulisan yang kemudian mereka baca barangkali hinggap rasa keinsafan kerana sifat pembacaan itu adalah sangat peribadi, antara kita dan bahan bacaan sahaja. Sebagai contoh, dua rakan sebilik yang salih dengan sahabatnya yang nakal namun bersahabat baik. Hakikatnya payah untuk menegur sahabat baik kita, apatah lagi ahli keluarga sendiri seperti emak, ayah, adik beradik dan sebagainya melalui lisan kerana dikhuatiri kesannya akan menjadi lebih buruk, apatah lagi teguran diberikan dengan konotasi dan nada yang tidak sesuai pada masa yang tidak tepat pula.

Melalui penulisan, sama ada melalui sms, nota, surat, e-mel, PM di FB dan sebagainya, teguran dapat dihantar dengan lebih berhikmah dan tertutup sehingga tidak mengaibkan mereka. Malah tanpa lisan yang berisiko mencaci maki, membuat pengadilan melulu dan memaksa-maksa, melalui penulisan setiap teguran dan dakwah yang disampaikan dapat disampaikan dengan bahasa yang terbaik kerana menulis memberikan kita ruang untuk berfikir sedalamnya apabila proses penulisan berlangsung. Patah kata dan ayat, lenggok bahasa dan sebagainya perlu netral, berhikmah dan mendorong, bukan menghukum.

Antara buku yang menarik bagi membincangkan topik ini adalah buku Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berjudul Facebook: Ledakan Pahala dan Dosa. Selain daripada mengulas mengenai hukum-hakam dalam menggunakan sistem komunikasi maya ini, beliau juga membuat perkongsian bagaiamana para ulama dan pendakwah sepatutnya menggunakan medium ini untuk lebih rapat dengan masyarakat. Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi juga menyebut secara jelas dan langsung dalam Fiqh al-Jihad beliau mengenai kepentingan berdakwah melalui laman eletronik malah beliau sendiri ada menyumbang sejumlah wang yang besar untuk pembangunan sebuah laman web berintikan ilmu Islam.

Pertautan yang erat antara para agamawan dan pengkarya insya-Allah mampu memberikan nafas baru kepada dunia industri kreatif tanah air, lagi bagus dan wajar ada sebilangan agamawan yang serius dalam jalur ini secara akademik mahupun praktis agar menjadi penanda aras malah membuktikan kepada para pengkritik dan mereka yang tidak yakin kepada dengan patuhnya kepada syariat, filem yang lebih berkualiti dapat dihasilkan dan bukan dengan menayangkan dan melakukan adegan babak mungkar!

Kesimpulan

Seorang pendakwah perlu mempersiapkan diri sebagai seorang penulis khususnya di era media tanpa sempadan supaya juga dapat memberikan sumbangan kepada pemahaman Islam dalam komuniti maya yang majoritinya adalah dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Kelahiran para pendakwah sekali gus pendakwah tanah air yang banyak memberi kesan melalui penulisan mereka juga adalah melalui penulisan di laman sesawang masing-masing. Nama-nama seperti Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Hilal Asyraf, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustazah Fatimah Syarha dan ramai lagi bermula dengan menulis di laman sesawang sebelum penulisan mereka dibukukan. Justeru, ia wajar menjadi inspirasi kepada para pelajar dan pendakwah muda dalam menetapkan sumbangan mereka kepada Islam itu bagaimana… dan dunia industri kreatif tanah air sangat mendambakan anda!

No comments:

Post a Comment