Sunday 28 July 2013

Bab 12 – Menjadi Penulis Yang Baik

KAMI pernah bertanya dalam kelas kepada Dr. Haji Faisal Tehrani, “Bagaimanakah mahu menjadi penulis yang bagus?”

Beliau terdiam, kemudian tersenyum dengan pandangan yang sepi. Beberapa ketika kemudian barulah beliau membuka mulut.

Beliau mula bercerita, “Sewaktu saya mula-mula mahu menulis dahulu, selepas menjalani pengajian peringkat asasi di UM Nilam Puri dan tahun-tahun awal berada di UM. Saya mula serius menulis dan ingin mendapat tunjuk ajar daripada orang lama sastera. Bagi mendapatkan tunjuk ajar tersebut, saya berusaha mendapatkan nombor telefon Pak Samad Said. Akhirnya saya mendapat nombor telefon beliau dan saya kemudian menelefon beliau menyatakan hajat ingin berjumpa dengan beliau.”

“Pak Samad telah meminta saya datang ke Masjid Negara pada hari Jumaat dan berjumpa dengannya selepas solat Jumaat. Kami berjumpa dan antara banyak-banyak soalan yang saya tanya adalah soalah yang kamu tanya saya tadi – bagaimana mahu menjadi penulis yang bagus?”

“Beliau berkata kepada saya, ‘Ada lima syarat semuanya: Yang pertama membaca, kedua membaca, ketiga juga membaca, keempat membaca dan kelima... barulah menulis.

“Saya kemudian bertanya lagi, ‘Bapak, kalau yang kelima juga membaca?’ 

Beliau menjawab, ‘Nah, jadilah dia seorang pembaca bukan seorang penulis!’”

No comments:

Post a Comment