Monday 5 August 2013

‘Islam’ Sebagai Bahan Lacuran di Malaysia

AL-MARHUM Prof Dr Hamka dalam artikel beliau berjudul Syahwat Perut dan Syahwat Faraj, menerangkan bagaimana Karl Marx dan Sigmund Freud melihat punca kepada permasalahan manusia. Kedua mereka masing-masing mengatakan bahawa bertentangan sesama manusia dan kucar-kacir yang  berlaku kemudiannya adalah akibat daripada keduanya.

Karl Marx membuat kesimpulan bahawa masalah manusia berasal daripada ‘perut’. Perut yang lapar akan melakukan apa sahaja untuk diisi sehinggakan membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan waras akal kemanusiaan. Manakala Sigmund Freud pula membuat kesimpula bahawa masalah bagi manusia adalah organ di bawah perut yakni kemaluan.

Kata Prof Dr Hamka: “Seabad yang lalu Karl Marx menyatakan bahawasanya yang menentukan perang dan damai di dunia ini, yang hidup bertentangan di antara manusia ialah perebutan mencari makanan ataupun mengisi perut.

“Segala soal dalam dunia ini, berpusat kepada perut. Semua orang ingin kenyang dan tak mahu lapar lalu merebut makanan. Maka terjadilah pertentangan yang tidak dapat dielakkan., suatu hukum besi di antara golongan yang mempunyai (have) dengan yang tidak mempunyai (have not).

“Dan setengah abad yang lalu datang pula seorang lelaki bernama Sigmund Freud, menyatakan bahawasanya bukan urusan perut yang menjadi sebab timbulnya pertentangan dan perebutan di dalam dunia ini. Bukan perut, melainkan faraj (kelamin). Kecerdasan berfikir menurut Freud, atau kegoblokannya (kebodohannya), sukses (berjaya) atau gagal, soalnya hanya satu iaitu soal libido! Iaitu soal keinginan jantan kepada betina dan betina kepada jantan. Lebih popular lagi, adalah soal seks. [lihat (2009), Tuntutan Puasa, Tarawih & Shalat Aidilfitri, Shah Alam: Pustaka Dini, hlm. 23]

Menariknya adalah, jauh sebelum kedua ahli falsafah Barat yang berketurunan Yahudi ini muncul dengan idea-idea falsafah melalui karya mereka, Hujjatul Islam Imam Abu Hamid bin Muhammad al-Ghazzali r.h. sudah jauh membicarakan hal yang sama malah menyatakan bahawa keduanya amat penting bagi kelangsungan hidup manusia di muka bumi.

Keduanya, yakni syahwat perut dan faraj adalah fitrah dan anugerah Allah kepada manusia ciptaannya. Keduanya tidak dicipta untuk tujuan yang sia-sia melainkan ada tujuan khusus buat manusia. Bayangkan manusia tanpa syahwat makan dan faraj, ternyata dunia ini akan gersang dan kering kontang sekali gus menunjukkan kelemahan Allah Ta`ala sebagai Pencipta dan Pentadbir yang Agung.

Di sinilah, menurut Imam al-Ghazzali peranan akal (al-`aql) sangat penting bagi menjadi penimbang tara antara kebaikan dan keburukan dalam diri manusia. Seiring dengan penciptaan kedua syahwat tersebut Allah juga menganugerahkan manusia dengan sifat berfikir dengan aqal bagi menimbang baik dan buruk sesuatu perkara, inilah yang membezakan manusia dengan ciptaan Allah yang selain daripada mereka (baca khususnya binatang!). [lihat hlm. 24-25]

 Situasi di Malaysia, suatu pandangan

Saya tertarik dengan komentar seorang penulis muda yang membuat ulasan mengenai buku yang beliau baca tulisan seorang Muslim rakyat Amerika dan beliau antara jutaan umat Islam di Amerika yang mempunyai peranan penting dalam menghadapi apa yang sedang dihadapi oleh umat Islam khususnya di Amerika sendiri. Beliau adalah Imam Feisal Abdul Rauf, beliuu dikenali melalui kontroversi sebagai imam masjid yang dicadangkan dibina di Ground Zero, tapak runtuhan WTC.

Dalam buku terbaru beliau yang berjudul Moving the Mountain: Beyond Ground Zero to a New Vision of Islam in America (2012), beliau ada memberikan komentar terhadap amalan Islam di Malaysia sementelah beliau pernah tinggal di Malaysia selama beberapa tahun sebelum ini.

Antara lain beliau hairan bagaimana Muslim di Malaysia sangat mudah mengaitkan sesuatu dengan Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam, Perubatan Islam, Sastera Islam dan pelbagai lagi. 

Ternyata apa yang dipelikkan oleh Imam Feisal Abdul Rauf ada benarnya apabila pelbagai produk muncul dengan galak mutakhir ini dengan menisbahkannya dengan sesuatu yang mempunyai unsur Islam seperti kurma nabi, capal nabi, jubah nabi, tasbih kayu kokka bahtera Nabi Nuh dan mutakhir berkenaan isu air campuran pelbagai jenis unsur yang kononnya mempunyai kemujaraban tertentu termasuk anai-anai yang memakan 22 juzuk ayat al-Qur’an serta air bikarbonat berperisa oren yang dibacakan 30 juzuk al-Qur’an!

Apa hujah dan dalilnya, apakah penyataan daripada kajian saintifiknya, apakah rasionalnya kesemua perkara ini sehinggakan hanya di Malaysia barangkali dijumpai hal-hal yang seumpama? Timbul persoalan apakah tahap pemikiran dan iman orang Islam di Malaysia mudah diperlecehkan sehingga ada yang berani terus menerus menggunakan kaedah dan teknik yang sama bagi tujuan tertentu. Dalam kes ini jelas ia bagi tujuan keuntungan perniagaan. 

Apakah ini bukan satu daripada unsur melacurkan agama dan unsur berkaitan dengannya?

Islam terfitnah kerana penyalahgunaan istilah

Apabila penisbahan berlaku secara wewenang khususnya kepada istilah Islam yang merupakan agama yang ditanzilkan oleh Allah dan bukan konsep-konsep pemikiran, falsafah atau budaya, maka implikasi penisbahan itu sangat besar dan jika tidak kena pada konteksnya akan menimbulkan fitnah dan persepsi yang begitu sekali buruk kepada Islam itu sendiri.

Sebagai contoh mudah, sebuah universiti yang dinisbahkan kepada Islam yang pelajarnya pelbagai. Jika seorang pakcik kampung datang melawat anaknya di universiti dan terlihat sekumpulan siswa sedang bermain bola sepak dengan mamakai seluar pendek, barangkali di benaknya terfikir, “Eh, kata universiti Islam. Main bola pun pakai seluar pendek.” 

Bayangkan jika institusi lain yang dinisbahkan dengan Islam namun tidak pernah berjaya menzahir akhlak Islamiyyah yang wasath (terbaik) dan hikmah (yang paling tepat) dengan kehendak Islam itu sendiri, maka fitnahnya adalah kepada Islam itu sendiri. Menyalahkan non-Muslim yang mempunyai persepsi buruk kepada Islam khususnya di Malaysia perlu dinilai dengan adil di manakah puncanya yang sebenar.

Maka tidak hairan di belah Asia Barat yang meskipun di sana bermulanya agama Islam tersebut, sehingga kini agak susah mahu mencari institusi atau produk yang dinisbahkan kepada Islam secara langsung sekalipun dari sudut istilah. Sebagai contoh Ikhwan Muslimin, mereka menggunakan Muslimin yang bermaksud orang Islam tetapi tidak Ikhwan Islamiyyin. 

Meskipun mereka menubuhkan parti, juga tidak digunakan istilah Islam melainkan Hizb al-Hurriyyah wa al-`Adalah. Hal yang sama kepada parti pimpinan Erdogan yang menguasai Turki pada masa ini. Tapi di Malaysia kita ada Parti Islam se-Malaysia (PAS), ini istimewanya Malaysia meskipun nama asalnya yang diharamkan penjajah adalah Hizb al-Muslimin.

Apa masalahnya dengan istilah tersebut?

Apabila ‘Perubatan Islam’ digunakan untuk merujuk kepada perawatan kaedah ruqyah (jampi) yang menggunakan al-Qur’an, pada asasnya memang kaedah perawatan tersebut tidak ada masalah kerana memang Islam mengajarkan bahawa memang wujud unsur ghaibiyyat yang jahat seperti jin dan iblis yang mampu merasuk manusia dan sebagainya selain unsur sihir yang disebut dalam banyak tempat dalam al-Qur’an dan al-Hadith sendiri.

Namun apabila ia dijenamakan sebagai Perubatan Islam ia seolah menggambarkan bahawa kaedah perubatan selain daripada perubatan Islam adalah perubatan kafir! Perubatan moden di hospital adalah sama dengan ‘perubatan kafir’. Kita kembali ke tahun-tahun sebelum merdeka, apabila para tuan guru pondok kebanyakannya mengatakan bahawa sekolah-sekolah yang dibina oleh Inggeris adalah sekolah kafir sekali gus ilmu-ilmu yang diajar di sekolah tersebut.

Ini tidak tepat kerana perubatan moden hari ini juga adalah merupakan sumbangan sarjana dan `ulama’ Islam seperti Ibn Sina yang terkenal dengan kitabnya al-Qanūn fi al-Ṭib yang kemudian menjadi karya penting dan utama dalam perkembangan ilmu perubatan di Barat. Begitu juga ilmu-ilmu sains tabi`i (fizik, biologi, kimia dan lain-lain), sains teknologi dan matematik serta ilmu-ilmu sains sosial lain. Hakikatnya, Islam tidak pernah memisahkan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu akidah, sharī`ah dan tasawwuf. 

Menyalahkan generasi agamawan sebelum merdeka yang hidup dalam tekanan penjajah juga adalah tidak wajar kerana suasana pada masa itu telah membentuk pemikiran dan kefahaman mereka sehingga berlakunya pertentangan yang begitu – semua yang berasal daripada penjajah atau Barat adalah tidak baik dan bertentangan dengan Islam.

Dalam isu perubatan Islam istilah yang sebaiknya digunakan adalah ‘Ruqyah Shar`iyyah’ atau Perubatan Alternatif sebagaimana yang digunakan oleh sebahagian daripada pengamalnya. Menggunakan istilah perubatan Islam namun kemudian melakukan penipuan dan jenayah seksual sebagaimana yang banyak dilaporkan dalam akhbar hanya menimbulkan fitnah kepada Islam secara umumnya, apatah lagi dalam negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.

Hikmah pesnyariatan puasa

Kesimpulan mudah boleh dibuat secara umum adalah, manusia berusaha dan menggunakan daya kreatif mereka bagi memenuhi syahwat perut dan faraj sehinggakan agama yang sepatutnya dianugerahkan kepada mereka sebagai al-Din yakni panduan dalam kehidupan kemudian dimanipulasi untuk kepentingan kedua syahwat tersebut.

Pernahkah kita terfikir mengapa puasa disyariatkan dan mengapakah perkara yang perlu dipuasakan adalah syahwat perut dan faraj? Antara lain adalah untuk melatih dan mendidik manusia khususnya Muslim bagi menjinakkan keduanya, sehinggakan tiada lagi alasan yang boleh diberikan jika dosa yang dibuat berpunca daripada keduanya dilakukan oleh mereka kelak.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.malaysiakini.com di alamathttp://www.malaysiakini.com/news/236293 dengan tajuk “Islam Sebagai Jenama Perniagaan di Malaysia”

No comments:

Post a Comment