Tuesday 13 August 2013

Ramadan Membangkitkan Intelektual dan Kerohanian Umat Islam

“BULAN Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ada tiga asas penting dalam ayat ini selepas penyataan bahawa Allah menurunkan al-Qur’an dalam bulan Ramadan iaitu bagi:

1. Menjadi petunjuk kepada sekalian manusia
2. Menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
3. (Menjelaskan) Perbezaan antara yang benar dengan yang salah

Ketiga-ketiga penyataan ini mempunyai signifikasi yang jelas mengenai fungsi al-Qur’an diturunkan kepada manusia melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad salla'Llahu `alayhi wasallam. Semuanya berkaitan dengan manusia dan semuanya melibatkan zahir dan batin manusia itu sendiri khususnya daya intelektual.

Ketiga-tiga elemen ini kemudian mengingatkan penulis kepada sebuah buku yang dikarang oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas yang khusus membicarakan mengenai golongan intelektual, melalui bukunya yang berjudul Intelektual Masyarakat Membangun, terjemahan daripada versi asal dalam bahasa Inggeris, Intellectuals in Developing Society

Antara istilah yang banyak digunakan dalam buku tersebut adalah ‘bebal’ sebagai lawan kepada golongan intelektual yang kemudian diungkapkan sebagai ‘bebalisme’.

Antara lain, dalam kata pengantar oleh anakanda Prof Dr Syed Hussein Alatas sendiri iaitu Prof Dr Syed Farid Alatas, beliau telah menulis: 

“Sepanjang kehidupan intelektualnya, Syed Hussein Alatas khuatir akan penguasaan masyarakat sedang membangun ‘oleh orang-orang bebal’ (nota penulis: lawan kepada kaum intelektual), iaitu, revolusi orang-orang bebal. Antara ciri-ciri orang-orang bebal termasuklah (nota penulis: pembahagian dan penomboran dibuat bagi memudahkan bacaan):

1. Ketidakmampuan menganalisis masalah,

2. ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah tersebut dikemukakan kepadanya,

3. ketidakmampuan belajar apa yang diperlukan,

4. ketidakmampuan belajar seni belajar, dan

5. tidak mengakui kebodohannya.” [lihat Syed Hussein Alatas (2009), Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, h. xv]

Barangkali tidak salah jika dinyatakan bahawa, antara golongan yang dapat memanfaatkan al-Qur’an dan daya fungsinya yang sudah ditetapkan secara mutlak (absolute) oleh Allah adalah golongan intelektual itu sendiri, khususnya yang memahami dan berserah diri kepada haqiqat Islam dan Iman. Orang bebal pastinya tidak memahami fungsi al-Qur’an atau meskipun mereka tahu, mereka tidak mahu mengambil manfaat.

Bukankah fungsi intelektual itu akhirnya adalah untuk membuahkan penyelesaian-penyelesaian kepada masalah manusia di dunia dan akhirat berbasis kepada wahyu Allah, dan mengembali jiwa-jiwa dan akal kepada perhambaan Allah yang mutlak? Bukankah itu kebijaksanaan bagi seorang manusia yang mukallaf?

Ini dilengkapkan lagi apabila wahyu yang pertama diturunkan adalah Surah al-`Alaq ayat satu hingga lima, dan Allah telah memilih kalimah ‘Iqra’ sebagai kalimah yang berbentuk arahan (fi`il amar) kepada Rasulullah s.a.w. sebagai kalimah yang pertama dalam wahyu yang pertama itu. Rasulullah s.a.w. malah terpaksa bersusah payah dipeluk dan dilepaskan sebanyak tiga kali sebelum kalimah tersebut benar-benar diajarkan kepadanya.

Persoalannya kenapa Iqra? Kenapa tidak ‘Berimanlah (kamu wahai Muhammad)’, ‘Islamlah (kamu wahai Muhammad) atau ‘Sujudlah (kamu wahai Muhammad)’? Ya, kenapa Iqra?

Fenomena Ramadan

Sebelum Ramadan menjelang, pada bulan Jun yang lalu penulis telah menulis sebuah artikel dalam Majalah I terbitan Karangkraft Sdn. Bhd. sebuah artikel berjudul Strategi Mantap Hadapi Ramadan dengan mendatang cadangan bagi dilakukan suatu amalan yang sedikit berbeza dengan amalan kebiasaan khususnya dalam tiga aspek iaitu solat tarawih, infaq Ramadan dan tadarrus al-Qur’an.

Dalam bab solat tarawih, isu khilaf sama ada lapan atau dua puluh rakaat bukanlah satu isu yang besar malah sudah selesai sejak lama dahulu dibahaskan oleh para `alim `ulama’ yang jauh lebih hebat daripada yang ada pada hari ini. Namun ada beberapa elemen yang begitu istimewa dengan tarawih pada bulan Ramadan yang wajar dikaji dari perspektif yang sedikit berbeza.

Antara keistimewaan tarawih pada bulan Ramadan khususnya pada malam 10 awal, antara fenomenanya adalah orang Islam yang entah daripada mana memenuhi masjid-masjid seluruh negara malah seluruh dunia bagi melaksanakan solat sunat tarawih.

Tanpa ada paksaan, tanpa ada bayaran, tanpa didakwah oleh sesiapapun, tanpa mengira latar belakang pengajian, umur, rupa, jantina dan latar belakang kehidupan sosial, ramai yang teruja hendak ke masjid. Malah sesetengah masjid atau surau terpaksa memasang khemah khas bagi menampung jemaah.

Ini fenomena yang hanya terjadi setahun sekali dan paling kritikal adalah 10 malam awal (barangkali terkesan dengan ungkapan – Ramadan awwaluhu rahmah!). Fenomena masjid yang penuh ini tidak boleh dibandingkan dengan solat Jumaat kerana solat Jumaat hanya lelaki sahaja yang ramai, namun 10 malam awal Ramadan; ayah, emak, anak kecil, anak remaja, datuk, nenek, cucu dan hampir semuanya teruja hendak ke masjid dan surau.

Namun, selepas habis 10 malam awal dan masuk malam ke 15 Ramadan, jemaah semakin surut mendadak khususnya di masjid-masjid yang melaksanakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakat tambah tiga solat witir.

Penulis pernah menulis status di Facebook yang berbunyi, “Sayang... jemaah yang ramah dengan Ramadan dibiarkan berlalu kerana keegoan angka tarawih.”

Psikologi angka dalam menyantuni manusia

Muslim rata-rata malas solat, ya, ini terbukti dalam beberapa siri perkongsian penulis melalui ceramah dan tazkirah, apabila ditanya mereka bersetuju atau tidak secara umumnya orang Islam malas solat, jawapannya adalah rata-rata mereka bersetuju walaupun malu-malu kucing.

Bahkan barangkali, ada yang terfikir setelah mendengar hadith mengenai Rasulullah salla'Llahu `alayhi wasallam mikraj ke langit ketujuh bertemu Allah di sidratul muntaha untuk menerima solat, kemudian berlaku penawaran jumlah solat daripada 50 hingga jadi 5 rakaat atas nasihat Nabi Musa `alayhi'l-salam Barangkali ada yang terfikir, “Alangkah bagusnya Rasulullah salla'Llahu `alayhi wasallam naik sekali lagi sebagaimana yang disarankan oleh Nabi Musa!”

Hujjat al-Islam Imam al-Ghazzali rahimahu'Llah juga pernah membayangkan dalam teka-teki berhikmah dengan murid-murid beliau tatkala bertanya apakah perkara yang paling ringan atas dunia ini, daripada jawapan seperti kapas, debu, bulu dan lain-lain daripada anak muridnya – solat menjadi jawapan.

Persoalannya, bagaimana mahu menyantuni orang Islam yang kurang rajin solat ini? Terletak pada jumlah angka solat yang mahu dilaksanakan. Perlu difahami bahawa hadirin pada 10 malam awal adalah daripada pelbagai latar belakang sosial, barangkali ada yang tidak pernah solat langsung, barangkali ada yang pertama kali datang masjid, barangkali ada yang terpaksa datang kerana baru berkahwin dan tinggal bersama mertua yang warak lagi suka ke masjid. 

Macam-macam ada! Apakah kita mengharapkan mereka akan terus mahu dan seronok untuk menunaikan solat sunat tarawih 20 rakaat bersama dengan jemaah tegar masjid yang salih lagi warak?

Justeru, jika pada malam pertama imam terus mengumumkan bahawa masjid tersebut melaksanakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dengan tiga witir, ternyata ramai yang mengeluh dan kedengaran ada yang berkata, “Kita silap masjid. Sepatutnya kita pergi ke masjid sana.”

Tapi jika imam mengisytiharkan, “Masjid kita hanya buat lapan rakaat sahaja….” Pastinya ramai yang tersenyum dan berasa tidak ada masalah untuk mereka menyelesaikannya, kerana ia adalah lapan dan bukan 20. 

Meskipun kemudian lapan rakaat tersebut dipenuhi dengan bacaan yang tartil oleh imam jemputan dan bagi setiap rakaat satu muka al-Qur’an yang menjadi hidangan jemaah. Di antara empat rakaat pula berhenti sejenak dalam 20-30 minit bagi pengisian tazkirah yang terfokus dan terpilih layaknya diatur dengan kemas dan strategik oleh pihak pengurusan masjid.

Ternyata, masjid yang buat 20 rakaat dan kebanyakannya dilakukan dalam keadaan yang agak tergesa dan laju, sama ada bacaan dan gerakan (malah ada imam yang membaca al-Fatihah hanya senafas sahaja!) dibandingkan dengan masjid dan surau yang buat lapan rakaat dengan tiga witir namun tartil beserta dengan tazkirah, yang manakah lebih bermakna dalam menyantuni manusia yang kurang rajin solatnya itu?

Itulah dakwah, menyantuni mad’u yang datang menyerah diri kepada Allah dengan hikmah bukan dengan keegoan angka dan kuasa.

Tazkirah platform pencetus kesedaran intelektual dan rohani

Tazkirah semasa solat sunat tarawih menjadi polemik kerana sudah digaul aduk dalam mangkun politik kepartian. Malah beberapa mufti dan MP sama ada daripada BN dan PR memberikan pandangan mereka.

Benarlah ungkapan, “Dalam politik kepartian, sesiapa yang tidak bersama kita dan bersekutu dengan kita adalah musuh (meskipun kemudian orang itu juga boleh lompat masuk parti lawannya dahulu dan dianggap hero pula!). Namun dalam dakwah, semua manusia adalah mad’u yang berpotensi untuk diajak ke jalan Allah.” 

Ketidaksetujuan pihak tertentu adalah kerana mereka tahu golongan yang paling banyak mengisi ruang tazkirah di surau dan masjid di seluruh negara adalah ustaz-ustaz yang sama ada terang-terang adalah orang PAS termasuk pimpinan tertinggi, ADUN dan MP atau pendokong PAS. 

Tanpa mengira dan memahami latar belakang jemaah masjid dan surau yang pelbagai, sesetengah ustaz yang terlalu kuat parti masing-masing tanpa segan silu menjadikan platform tazkirah untuk menghentam musuh-musuh parti mereka sehingga ada yang berlebih-lebihan (ghuluw) dalam ‘mengata’ musuh politik mereka itu.
  
Keadaan ini mendatangkan rasa tidak selesa segelintir jemaah yang sememangnya datang bagi beribadah dan mendapatkan secebis pengajaran, semangat dan dorongan daripada tazkirah tapi sebaliknya yang mereka dapat adalah sesak dada dan keliru. Akhirnya mungkin sahaja itu kali pertama dan terakhir dia ke surau dan masjid. 

Modul tazkirah yang berkesan

“Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna)” (Surah al-`Ala, ayat 9)

Ada empat tempat dalam al-Qur’an menggunakan kalimah fa dhakkir yang bermaksud maka berilah peringatan. Memberi peringatan adalah tugas kenabian dan kerasulan, ia adalah tugas dakwah yang diwarisi daripada para anbiya’ dan ulama salafus salih. Dalam kes tazkirah pada bulan Ramadan ia perlu strategik dan pastikan ia sesuai dan berkesan kepada jemaah yang pelbagai tadi khususnya pada 10 malam awal.

KPI pihak pengurusan masjid adalah bagi memenangi hati para jemaah agar berasa seronok dan selesa berjemaah di masjid dan mampu mengekalkan mereka sehingga 10 malam akhir seterus menambah jumlah jemaah tetap masjid dan surau mereka itu. Justeru beberapa perkata perlu dilakukan iaitu:

1. Memberikan taklimat ringkas mengenai latar belakang sosial secara umum jemaah masjid dan surau dan apakah objektif yang mahu diperolehi daripada tazkirah tersebut.

2. Pastikan hanya ustaz-ustaz yang benar-benar berkualiti ilmunya bagi menyampaikan tazkirah dan diyakini mampu membujuk dengan hikmah hati-hati jemaah masjid untuk kekal berjemaah di masjid.

3. Pastikan ustaz-ustaz diberi panduan fokus tazkirah yang perlu mereka sampaikan, sama ada tadabbur ayat al-Qur’an yang dibaca oleh imam tarawih atau menghuraikan hadith-hadith tertentu.

4. Mengingatkan pada ustaz ini agar menepati masa, paling maksimum adalah 30 minit sahaja.

Dengan sedikit panduan ini, ustaz-ustaz akan lebih bersedia bagi menyampaikan tazkirah dan mereka juga akan berusaha memahami dan melakukan yang terbaik bagi menyantuni masyarakat yang pelbagai itu. 10 malam awal wajar dipenuhi dengan pentazkirah yang dengan lemah lembut memujuk dan menyiramkan hati jemaah agar dibasahi dengan hikmah.

Menyampaikan kebaikan-kebaikan dan keindahan Islam kepada mereka melalui ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith sahih dengan mendatangkan cerita tentang keluasan rahmat Islam dan Allah. 

Cerita-cerita daripada hadith seperti cerita seorang lelaki yang membunuh 99 orang yang akhirnya masuk syurga, kisah seorang pelacur yang memberi seekor anjing minum lantas dikurniakan syurga adalah antara bentuk cerita yang wajar dikemukakan kepada jemaah kerana cerita daripada hadith-hadith itu akan membibitkan rasa mengharap kepada rahmat dan rahim Allah `Azzawajal yang maha luas itu.

*Artikel ini telah diterbitkan oleh www.malaysiakini.com di alamat http://www.malaysiakini.com/news/236774 dengan tajuk Ramadan Bangkitkan Intelektual Umat Islam.

No comments:

Post a Comment