Thursday 15 August 2013

Jiwa Besar Pimpinan Kerajaan dan Parti Didambakan

SHAYKH `Abd al-Rahman al-Kawakibi (1854-1902) merupakan seorang pemikir dunia Islam akhir abad ke-19 yang banyak melahirkan idea-idea yang menentang arus perdana dunia Islam yang bernaung bawah pemerintahan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah pada masa itu.

Al-Kawakibi amat kritikal kepada pemerintahan khilafah Turki Uthmaniyyah yang menurut beliau terlalu banyak korupsi dan kezaliman yang berlaku atas nama ketaatan kepada sultan yakni pemerintah yang berkuasa secara feudal monarki sepanjang sejarah khilafah Islam itu.

Maka tidak hairan mengapa ada pendapat mengatakan bahawa al-Kawakibi adalah antara faktor penyumbang kejatuhan khilafah Islamiyyah Turki pada 1923. Atas dasar kritikan kerasnya itu juga, al-Kawabiki pernah dipenjarakan oleh pihak berkuasa Turki Uthmaniyyah sebanyak dua kali.

Namun apa yang menarik adalah, dua buah kitab karya al-Kawakibi yang ditinggalkannya iaitu kitab Taba`i al-Istibdad (Ciri-ciri Kediktatoran)  dan Umm al-Qura yang merujuk kepada Makkah al-Mukarramah mempunyai beberapa pandangan dan idea yang bernas dan relevan dalam konteks suasana politik umat Islam pada hari ini.

Umm al-Qura adalah sebuah fiksyen

Umm al-Qura adalah sebuah karya fiksyen di mana al-Kawakibi membayangkan bahawa suatu persidangan para pemimpin negara umat Islam yang berlaku pada setiap kali musim haji, seluruh pemimpin umat Islam (baca negara umat Islam) akan berkumpul dan mengadakan persidangan bagi berbincang mengenai masalah umat Islam.

Dalam naskhah tersebut, al-Kawakibi membayangkan seolah watak-watak pemimpin tersebut benar-benar wujud dan berwacana malah menyampaikan kritikan dan idea kepada pihak yang sepatutnya. Al-Kawakibi sendiri muncul malah beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai satu daripada watak yang mengikuti persidangan khayalan itu. Watak-watak pemimpin negara umat Islam telah berdebat dan mengemukakan persoalan serta masalah umat Islam berdasarkan waqi`i negara masing-masing selain isu umum.

Meskipun pendekatan penulisan al-Kawakibi dalam Umm al-Qura adalah fiksyen, namun pengisiannya telah berjaya melahirkan usul idea dan gagasan pemikiran yang empiris dan praktis pada masa kini. Ini medorong penulis sendiri kemudian menulis sebuah artikel berjudul ‘Relevankah Lagi Feudal Monarki di Haramayn?’ bagi menyentuh isu betapa feudal monarki di Arab Saudi pada hari ini antara halangan kepada bersatunya umat Islam khususnya negera-negara Arab. [lihat http://www.detikdaily.net/]

Menurut pendapat penulis, selagi keluarga Ibn Saud yang berkuasa di Haramayn, maka kesatuan umat Islam sebagaimana yang dibayangkan oleh al-Kawakibi akan kekal sebagai fiksyen dalam tulisannya sahaja. Penguasaan mutlak kepada hasil mahsul sama ada berbentuk minyak ataupun hasil daripada caj perkhidmatan umrah dan haji umat Islam seluruh dunia kemudian menjadi hak peribadi feudal monarki di Arab Saudi sedangkan hasil tersebut yang tersangat banyak wajar digunakan dalam misi pembebasan Palestin, menolong kebuluran di belah Afrika,menolong pelarian perang di Iraq, Syria dan kini Mesir malah menolong kembali negara-negara umat Islam membina kehidupan selepas kehancuran perang.

Khayalan tentang pemerintahan baru di Kelantan

100 hari pemerintahan baru Negeri Kelantan sudah berlalu, beberapa polemik antara para sarjana dan pemegang amanah kuasa penerus legasi 23 tahun Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul. 100 hari pertama yang hambar dan tidak bersemangat menurut Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, seorang sarjana dalam bidang politik sains yang juga anak jati Kelantan.

Menurut beliau lagi, pimpinan baru kerajaan negeri bukan sahaja dilihat ‘kekeringan idea’ malah lebih teruk tidak mampu mengekalkan serta meneruskan beberapa projek yang sudah dirangka oleh pimpinan sebelumnya dan ini membuat rakyat tertanya-tanya apakah kesudahan episod semua projek yang sudah dirasmikan malah digembar-gemburkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tempoh hari?

Beberapa lagi sarjana seperti Prof Dr Abu Hassan Hasbullah yang kini bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga senada dengan Prof Dr Mohammad Agus Yusoff dengan melahirkan kritikan (baca teguran) secara terbuka, beberapa blogger dan rakyat Kelantan sendiri mula tertanya-tanya akan hal yang sama dan ini boleh dibaca di laman-laman sosial seperti FB, Twitter dan seumpama.

Kritikan berhemah daripada Prof Mohammad Agus Yusoff telah dijawab oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari masing-masing melalui media dan juga laman sosial. Ternyata kenyataan tindak balas daripada kedua orang tokoh utama dalam pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan juga PAS itu agak ‘bengkeng’ nadanya.

Teguran Prof Dr Mohammad Agus Yusoff tentang kekeringan idea telah dijawab dengan agak kasar oleh TMB yang mengatakan bagaimana mungkin ada bangunan yang boleh dibina dalam masa 100 hari. Ini sekali gus memancarkan sikap defensif dan tidak terbuka terhadap kritikan orang-orang besar kerajaan Negeri Kelantan merangkap pimpinan tertinggi PAS tersebut. Kritikan adalah berkisar tentang idea namun dijawab dengan bahasa material.

Tulisan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, ‘Ustaz’ Mazlan Aliman bertajuk ‘Hala Tuju PAS Selepas PRU’ sedikit sebanyak menghantar mesej bahawa masih ada lagi pimpinan PAS yang agak terbuka dan sedia ditegur serta berhemah dalam menangani teguran dan kritikan khususnya daripada para sarjana dan ilmuwan tanah air. Kritikan dan teguran daripada para sarjana dan orang luar menurut beliau bermaksud kerajaan negeri Kelantan dan PAS mendapat perhatian istimewa yang khusus serta tanda kecaknaan yang wajar diucapkan terima kasih.

Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, keterbukaan dalam menerima kritikan adalah antara satu perkara yang penting dan sikap para pemimpin terhadap kritikan sudah cukup membina perspektif masyarakat awam kepada sikap sebenar para pimpinan dan sejauh mana mereka mampu menguruskan tadbir amanah yang diberikan kepada mereka.

TGNA dan imej ciptaannya

Kewibaan TGNA sebagai seorang ulama, murabbi, mu`allim dan juga pentadbir telah berjaya membentuk perspektif yang khas kepada rakyat Kelantan. Imej yang beliau bina selama 23 tahun ini paling tidak berjaya memberitahu rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan bahawa sepanjang beliau memerintah kes korupsi yang sabit di mahkhamah adalah sifar (kes cerai berai dan kes kahwin lebih seorang tidak termasuk dalam perbincangan ini!).

Dasar Membangun Bersama Islam dan Bersama Kepimpinan Ulama begitu sekali menjanjikan sesuatu yang baru dan segar serta melahirkan harapan buat rakyat Kelantan yang memang cenderung dan rapat dengan apa yang sahaja yang berorientasikan Islam dan ilmunya. Justeru, formula tersebut sangat berjaya sehinggakan TGNA berjaya dinobatkan menjadi Menteri Besar Kelantan selepas PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah menang besar pada tahun 1990.

Dalam satu wawancara oleh Dr Farish A. Noor, seorang ahli sejarah dan sosiologis daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) TGNA menjawab mengapa beliau kemudian menukar penampilan dirinya. Sebagaimana kebiasaan pada zaman tersebut, semasa TGNA mula-mula balik dari luar negara beliau juga berseluar slak, berkot dan bertali leher. Atas keperluan dakwah pada masa itu, TGNA kemudian mengubah imej kerana masyarakat luar bandar khususnya tidak akan menerima seorang ustaz yang bercakap tentang dakwah dan Islam dengan berpakaian Barat.

TGNA yang masih muda pada masa itu mula menukar penampilannya dengan memakai kain sarung, jubah, baju Melayu dan berserban. Imej tipikal ustaz-ustaz dan guru agama tersebut kemudian menjadi sebati dengan dirinya apatah lagi apabila masyarakat pula menganugerahkan gelaran ‘Tuan Guru’ kepadanya tanpa diminta dan diraih di mana-mana. Justeru, formula TGNA dalam mengimejkan dirinya itu berjaya sehinggalah PAS mengambil alih kuasa pemerintakan kerajaan Negeri Kelantan dan kekal 23 tahun kemudiannya.

Antara lain kerana rakyat melihat imej yang ditampilkan secara individu dan parti menawarkan sesuatu harapan yang baru dan meyakinkan untuk sebuah pemerintahan yang dirahmati Allah dan lebih sejahtera untuk kehidupan rakyat marhaen.

 Politik berkenaan imej, harapan dan keterbukaan

Hakikatnya, selepas 100 hari kerajaan baru PAS di Kelantan dengan pimpinan urus tadbir yang baru meskipun ada penambahan dan pengurangan yang kontroversional rakyat masih tertanya apakah pembaharuan dan harapan yang boleh mereka sandarkan kepada pimpinan baru ini?

Meneruskan dasar dan projek yang lama malah memantapkannya adalah suatu kewajipan dan keperluan dalam transformasi pentadbiran awam namun imej-imej baru mesti dibina bagi membentuk harapan baru kepada rakyat bagi menyegarkan sokongan dan dokongan mereka kepada kerajaan memerintah. Inilah barangkali maksud Prof Dr Mohammad Agus Yusoff apabila menyebut kerajaan negeri ‘kekeringan idea’.

Kepulangan penulis ke Kelantan sambil beraya, tidak lekang daripada mulut penulis bertanyakan kepada sanak saudara mengenai persepsi mereka kepada barisan pemerintah baru di Kelantan, rata-rata jawapan adalah bersifat dingin dan tidak memperlihatkan keterujaan mereka dengan barisan pimpinan baru kerajaan negeri. Ini menimbulkan persoalan yang berterusan dalam diri penulis sendiri.

Ya, sesuatu segera perlu dilakukan agar imej pimpinan kerajaan negeri dan PAS sendiri tidak terus menerus menyebabkan rakyat mempersoalkan apakah pimpinan kerajaan negeri ada atau tidak berfikir tentang mereka sebagai rakyat yang memilih kerajaan itu dan berjuang menaikkan pimpinan dalam kerajaan sekarang melalui PRU yang lalu.

Di sinilah keterbukaan dalam menerima kritikan penting dan masa untuk berlagak bodoh sombong dan berasa semua kritikan adalah untuk menjatuhkan kerajaan negeri semata-mata perlu dihapuskan.

Keterbukaan kepada kritikan malah menjemput para pengkritik

Penulis kira para alim ulama, ustaz dan pimpinan dalam PAS lebih alim dan tahu bagaimana kisahnya para Khulafa al-Rasyidin termasuk pemimpin hebat Islam seterusnya seperti Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz, Salehuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fateh dan ramai lagi dalam menghadapi kritikan. Mereka malah mencari dan mendambakan kritikan, kerana mereka tahu ia adalah suatu muhasabah yang menguntungkan dan mendidik keegoan diri seorang pemerintah!

Kita baca dan tahu bagaimana kisah-kisah khalifah agung Islam sentiasa bertanya secara terbuka dan berdepan dalam khutbah atau pidato umum mereka tentang sesiapa yang mahu mengkritik dan menegur mereka, apakah para ustaz ini sudah lupa atau mereka sudah terlalu sempurna selepas 23 tahun berkuasa dan tidak mungkin layak untuk dikritik lagi?

Jiwa besar yang praktikal bagi pemimpin baru

Satu daripada cara bagi kerajaan negeri Kelantan memperbaiki imej sekali gus dilihat segar dalam penawaran harapan dan khidmat kepada masyarakat Kelantan adalah dengan memperbaiki imej mereka di peringkat nasional dan lokal. Caranya adalah dengan membuka saluran cadangan dan kritikan secara terbuka kepada pimpinan kerajaan negeri sekarang khususnya daripada kalangan sarjana di universiti dan para ahli korporat dan tokoh-tokoh hebat dalam bidang masing-masing.

Seperti al-Kawakibi, penulis membayangkan kerajaan negeri menganjurkan sebuah majlis dengan menjemput dengan hormat dan bersungguh-sungguh semua sarjana dan cerdik pandai daripada kalangan anak Kelantan di universiti dalam dan luar negara, sama ada yang sudah berstatus Profesor, Profesor Madya, Dr daripada pelbagai bidang untuk bersemuka dan mendapatkan pandangan, saranan dan kritikan daripada mereka.

Dalam majlis tersebut, pihak kerajaan negeri tidak akan bersikap defensif atau memberikan penerangan dan menjawab segala kritikan dengan tujuan menegakkan benang yang basah atau kering namun pimpinanan kerajaan negeri mesti menjadi pendengar kepada sebarang kritikan, cadangan dan saranan daripada segala ahli cerdik pandai tersebut meskipun mereka dimaklumi cenderung kepada parti lawan. Bagi peluang para cerdik pandai ini bercakap dan memberikan apa yang mereka mahu tanpa halangan.

Bukan sahaja para sarjana, malah para ahli korporat dan juga mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing wajar dipanggil untuk memberikan pandangan idea mereka kepada kerajaan negeri Kelantan. Penulis yakin dengan jumlah anak Kelantan yang terdiri daripada ilmuwan dan tokoh hebat dalam pelbagai sektor, mereka akan seronok dan berasa dihargai oleh kerajaan negeri sekali gus penulis juga yakin mereka ikhlas sayangkan negeri tanah tumpah nenek moyang mereka ini dan menginginkan yang terbaik untuk rakyat jelata.

Jangan bazirkan pemikiran insan-insan hebat daripada kalangan anak Kelantan dengan menyisihkan mereka dan hanya mendengar pendapat ‘orang kita’ dan menganggap mereka yang tidak bersama kita sebagai bukan rakyat Kelantan, menyempitkan ruangan idea dan kritikan ini hanya akan merugikan kerajaan negeri untuk jangka masa yang pendek dan panjang.

Daripada majlis sebegini, selain daripada pihak kerajaan negeri boleh bermuhasabah dalam masa yang sama, bank idea pasti akan mewah untuk sebarang kemungkinan pada masa depan malah idea-idea yang bernilai jutaan malah billion ringgit mungkin dapat dilahirkan di samping pemulihan imej kerajaan negeri sebagai sebuah pemerintahan yang berjiwa besar dan terpuji.

Kesimpulan

Sesuatu perlu dilakukan segera untuk meningkatkan imej kerajaan negeri serta membina harapan baru kepada rakyat secara khusus. Menguruskan sebuah kerajaan negeri atau sebagai pekerja sivil yang memakan gaji daripada hasil cukai rakyat adalah berbeza sama sekali daripada mengurus sebuah organisasi politik partisan. Seseorang yang hebat dalam politik partisan (khususnya dalam ceramah!) tidak semestinya juga bijak dan bagus dalam urus tadbir bersifat eksekutif. Ini hakikat yang perlu diterima oleh para pimpinan dan rakyat jelata.

Justeru, memilih para pembantu dan pegawai yang tepat bukan atas dasar nepotisme dan ‘orang kita’ adalah suatu keperluan asas dalam sesebuah pengurusan dan pentadbiran yang sejahtera. Meletakkan seseorang bukan pada tempatnya ternyata ada tempias daripada takrif kezaliman, bukan hanya kepada dirinya namun kepada rakyat negeri Kelantan khususnya.

Kejatuhan kerajaan-kerajaan agung Islam sebagaimana yang dilaporkan dalam sejarah Islam juga adalah kerana pengabaian pihak umara’ kepada para ilmuwan yang tidak berkepentingan dan benar-benar ikhlas mahu memberikan sumbang saran dan idea demi kesejahteraan rakyat. Dalam masa yang sama, tidak dinafikan ramai juga ilmuwan cari makan melalui jalur politik sedangkan sumbangan mereka dalam bidang keilmuan tidak ke mana.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.themalaysianinsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/jiwa-besar-pimpinan-kerajaan-dan-parti-didambakan-zahiruddin-zabidi dengan tajuk yang sama.

No comments:

Post a Comment