Tuesday 27 August 2013

Menuju PAS Baru vs Politik Baru: Salahkah Pemimpin Mengkritik Parti Sendiri?

MENUJU PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme (2009) adalah buku karangan Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar. Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2010 oleh The Malaysia Insider Sdn. Bhd. Pada tahun 2012, sebuah lagi buku sebagai kesinambungan buku yang pertama itu pula terbit dengan tajuk Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa (2012) terbitan Ilham Centre.

Sebelum kedua buah buku Dr Mujahid ini terbit, sebuah buku dwi-bahasa berjudul Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia (2009) terlebih dahulu diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia – ITBN (kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku Malaysia – ITBM), pengarangnya adalah Dato’ Saifuddin Abdullah yang pada masa itu merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Temerloh dan merupakan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Istimewanya ketiga-tiga buku ini, ia ditulis oleh politikus yang merupakan pimpinan tertinggi parti masing-masing dan merupakan ahli parlimen dalam masa yang sama. Kedua-duanya juga agak aktif menulis di media massa sehingga sekarang sama ada atas talian atau cetak meskipun kini, Dato’ Saifuddin Abdullah tidak lagi bergelar YB bagi kawasan Temerloh kerana tewas kepada YB Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi merangkap Ketua Pemuda PAS  pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Dato’ Saifuddin Abdullah

Kedua mereka tidak perlu diperkenalkan lagi kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air khususnya bagi ahli PAS dan UMNO. Masing-masing mereka punya kekuatan dan kelebihan ketara berbanding dengan pimpinan lain dalam parti mereka masing-masing dalam beberapa aspek iaitu daya ketahanan yang sudah teruji di medan aktivisme politik dan intelektual.

Kedua penulis buku ini selain merupakan ahli politik sepenuh masa merupakan aktivis sekali gus pekerja intelektual di universiti sebelum masing-masing terjun dengan membawa gagasan dan idealisme politik ilmu atau intelektual dalam parti masing-masing. Maka tidak hairan, dalam apa jua program wacana, perdebatan yang kritikal dan memerlukan daya analisis dan penghujahan yang kritis serta bersangkut dengan realiti politik tanah air dan antarabangsa, maka wajah kedua penulis inilah antara yang kerap kelihatan.

Pendekatan politik mereka berdua juga berjaya menarik minat anak muda khususnya para siswa di universiti bagi membincangkan politik bukan atas nilai sentimen dan ikut-ikutan namun lebih kepada politik yang berbumbu asas kepada ilmu dan maklumat yang dianalisis rencam, sebagaimana layaknya seorang siswa universiti yang wajar berfikir dalam setiap apa isu sementelah universiti adalah taman tumbesaran dan pengasahan pemikiran para siswa bukan sebaliknya.

Justeru kedua siri buku yang mereka karang, iaitu Menuju PAS Baru I dan II serta Politik Baru sarat dengan analisis, pandangan dan pemikiran menyangkut situasi realiti yang berlaku dalam parti masing-masing. Tidak ramai ahli malah pimpinan yang sudi meluangkan masa berfikir apatah lagi menulis bagi menghadirkan sesuatu idea besar dan kontruktif kepada organisasi mereka melainkan benar-benar mempunyai daya dan desakan kuat dari dalam diri masing-masing.

Ini kerana menulis adalah kerja berfikir yang memerlukan proses pembacaan, penelitian, pengamatan, perbandingan, analisis dan pemilihan yang teliti dan tepat faktanya namun berceramah khususnya ceramah politik, barangkali adalah semudah makan nasi lemak atau roti canai di gerai mamak bagi seseorang ahli politik menjenamakan retorik diri masing-masing. 

Sewajarnya adalah satu kredit yang besar bagi seorang pimpinan yang sibuk dengan aktiviti politiknya namun masih lagi punya masa untuk menulis sebuah rencana sepanjang 500 patah perkataan saban minggu apatah lagi menulis sebuah buku!

Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia oleh Dato’ Saifuddin Abdullah

Dato’ Saifuddin Abdullah dengan jelas menyatakan bahawa antara lain sebab beliau menulis buku tersebut bukan sebagai refleksi prestasi teruk UMNO pada PRU12. BN hilang empat negeri dan gagal menakluk Kelantan, hilang majoriti 2/3 dalam parlimen dan PRU tersebut dinisbahkan sebagai PRU paling buruk dalam sejarah BN-UMNO. Sesuatu perlu dilakukan dan Dato’ Saifuddin memulakan kata pengantar buku tersebut dengan berkata:
“Idea menulis buku ini tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu yang telah lama sebati dalam diri saya sejak dulu lagi, supaya dapat diamalkan ketika saya terlibat dalam politik secara sepenuh masa sejak Mac 2008” [Saifuddin Abdullah (2009), Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, h. xi]
Dato’ Saifuddin Abdullah kemudian menghuraikan lanjut dalam buku tersebut mengenai idea, idealisme dan harapan beliau dalam berpolitik dalam buku ini. Buku tersebut disusun dalam dua bahagian yang mana Bahagian Pertama perbincangannya berkisarkan topik Intergriti Politik dan Kebahagiaan manakala Bahagian Kedua pula berkisarkan topik Kerangka Governence Baru.

Bahagian Pertama memuatkan empat bab seperti Idealisme Politik, Politik Ilmu, Politik Hikmah dan Politik Bakti. Bahagian Kedua pula sarat dengan lima bab perbincangan seputar Tiga Sektor Pembangunan Negara, Generasi Muda dan Masyarakat Sivil, Keperluan Kepada Governance Baru, Penghakupayaan Perniagaan dan Masyarakat Sivil serta Perwakilan Perniagaan dan bab terakhir Perwakilan Perniagaan dan Masyarakat Sivil. 

Meskipun buku ini dwi-bahasa iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bagi setiap bahasa pula tidak sampai 100 muka surat penulisannya, namun itu sudah cukup memberikan sesuatu bagi mereka yang berjiwa besar dan mengimpikan politik Malaysia mencapai tahap politik ilmu dan terbebas daripada politik sentimen yang selama ini mendamping rakyat Malaysia.

Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme dan Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa

Kedua-kedua buah buku Dr Mujahid ini adalah estrak hasil daripada penulisan PhD beliau di Universiti Malaya (UM). Beliau yang berkelulusan ijazah pertama dari Universiti Al-Azhar, Mesir kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum meneruskan PhD di UM dalam bidang Siyasah Syar`iyyah dengan fokus kepada kajian terhadap konflik PAS.

Sebagai seorang akademia pada peringkat awalnya dan dalam masa yang sama membawa nama sebagai anak bongsu kepada mantan presiden seterusnya Mursyidul Am PAS yang pertama, Dr Mujahid tidak pernah sama sekali terpisah daripada aktivisme parti malah menjadikan PAS Melaka sebagai subjek kajian mengenai konflik dalam tesis PhDnya itu.

Dr Mujahid memperkenalkan pendekatan Teori Pembelajaran dan Keluk ‘S’ dalam menilai turun naik perkembangan PAS secara umum dan menyatakan bahawa PAS sekarang di ambang keluk yang ketiga selepas hampir 60 tahun tertubuh sejak tahun 1953. Lekuk pertama mewakili zaman permulaan hingga ke zaman krisis dan konflik era Dato’ Asri Muda sebagai presiden (1953-1981). 

Lekuk kedua pula bermula dari era Kepimpinan Ulama yang digagaskan pada tahun 1982 oleh ayahanda beliau sendiri, Ustaz Yusuf Rawa sebagai presiden yang kemudian diangkat menjadi Mursyidul Am PAS yang pertama. Ternyata dasar dan idea yang dikatakan mendapat pengaruh besar daripada semangat Revolusi Iran itu berjaya menarik orang Melayu yang tinggi nilai sentimen Islamnya untuk bersama dengan PAS sehingga menatijahkan kemenangan besar di beberapa negeri bermula dengan Kelantan (1990-sekarang), Terengganu (1998-2002) dan Kedah (2008-2012).

Selepas genap 30 tahun (1982-2013), Dr Mujahid maramalkan akan berlaku lonjakan pada lekuk ketiga selepas era Kepimpinan Ulama yang sudah berjaya menjadi dasar utuh dalam PAS malah sudah dipraktiskan di Kelantan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 23 tahun. Dengan konflik yang sedia ada, PAS seolah-olahnya memerlukan sesuatu yang baru atau sebarang bentuk pembaharuan bagi mengekalkan ia sebagai sebuah parti alternatif pilihan di peringkat nasional bukan lagi di peringkat negeri-negeri tertentu  dan untuk bangsa serta penganut agama tertentu sahaja.

Demikian lahirnya judul buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS sehingga menimbulkan kontroversi malah dilawakkan oleh masyarakat sebagai buku yang ditulis oleh AJK PAS Pusat tapi diharamkan untuk dibaca oleh ahli. Kedua judul tersebut hanya menggambar suatu pengharapan dan gagasan yang sudah sebati dalam Islam sendiri iaitu tajdid. Menuju PAS Baru dalam erti kata bukanlah membina PAS baru dan meruntuhkan yang lama, begitu juga Rejuvenasi yang bermaksud meremajakan itu.

Dasar yang lama dan sudah utuh dan mantap malah terbukti kejayaannya wajib diteruskan dan diperkemaskan secara istiqamah namun perkembangan politik semasa yang sentiasa berubah mengikut zaman memerlukan sesebuah parti untuk berfikir dan mengoreksi diri bagi mengekalkan kerelevenannya di persada politik tanah air kerana yang paling penting adalah kerana jutaan pengundi baru saban lima tahun muncul dan mereka bukannya semua ahli PAS yang perlu diyakinkan bahawa PAS adalah pilihan yang terbaik bagi memperjuangkan hak sivil masyarakat plural di Malaysia ini.

Justeru, kedua naskhah Dr Mujahid ini menganalisis konflik yang muncul dalam PAS dan menawarkan pula solusi bagi parti untuk masa depan. Ia bukan sekadar membebel segala fakta yang nostalgik namun lebih kepada fokus apa yang perlu parti buat selepas ini. Ini jelas dilihat dalam kandungan kedua buku tersebut.

Menuju PAS Baru bermula dengan perbincangan mengenai Konflik Parti Islam, Krisis Awal, Lekuk Pertama: Kocakan Idealisme, Era Dua Batu Nisan, Lekuk Kedua: Kepimpinan Ulama, Ketokohan Yusuf Rawa, Krisis Identiti, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti, Rasional Lekuk Ketiga dan Menuju Hala Tuju Baru.

Manakalah buku kedua, Rejuvenasi PAS pula selain memuatkan kata pengantar daripada Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pandang sisi daripada Abdul Shukur Harun (Pak Shukur) serta Dr Maszlee Malik, perbahasan dipecahkan kepada tiga bahagian besar iaitu Bahagian 1: Sorotan Menuju PAS Baru, Bahagian 2: PAS & Realiti Masa Kini dan Bahagian 3: Rejuvenasi PAS.

Dalam bahagian pertama perbahasa berkisarkan tajuk Sorotan Teori Dalam Buku Menuju PAS Baru, Perkembangan Konflik dan Teori Pembelajaran, Kebangkitan PAS dan Pembentukan Identiti dan Rasional Kemunculan Lekuk Ketiga.

Bahagian kedua pula membahaskan tajuk seperti Dari Tesis Menjadi Buku, Penjelasan Istilah PAS Baru, Landasan Pemikiran Politik Islam, Tajdid Yang Diperlukan, Tajdid Organisasi, Manhaj Wasathiyah, Panduan Fiqh Baru, Fiqh Kenegaraan, Membuat Keputusan, Konsep Kolektif, Manifestasi Islam Hari Ini, Politik Islam Pasca Khilafah Uthmaniyah, Pengolahan Daulah Islam, Islam Dalam Kerangka Perlembagaan dan Perincian Keluk Ketiga.

Manakala dalam bahagian ketiga, tajuk-tajuk yang dibahaskan adalah Menuju Rejuvenasi PAS, PAS Menjadi Multi-Racial, Kepimpinan Inklusif, Rejuvenasi Organisasi PAS, Model Pendekatan Organisasi, Pemerkasaan Organisasi PAS, Politik Dalaman dan terakhir Inisiatif Perubahan.

Kesimpulan

Persoalannya adalah sejauh mana ahli-ahli parti politik kedua pimpinan ini menghargai penulisan yang bersifat wacana terbuka dan penuh dengan idealisme ini? Sama ada mereka bersetuju atau tidak itu isu yang seterusnya, namun sikap ahli dalam menghadapi wacana kritis daripada kalangan pimpinan mereka sendiri itu bagaimana?

Banyak mana sudah ahli UMNO yang membaca naskhah Politik Baru karya Dato’ Saifuddin Abdullah yang mewakili idealisme diri dan harapannya kepada ahli, pimpinan dan parti UMNO keseluruhannya? Seramai mana pula ahli dan pimpinan PAS yang sudah menghadam lumat hujah, perbahasan dan analisis dalam kedua buah buku Dr Mujahid sebelum ‘fatwa’ haram bagi ahli membacanya dikeluarkan? Penulis fikir buku-buku inilah sesuai dijadikan bahan perbincangan dalam usrah di peringkat apapun.

Kita masih jauh daripada budaya politik sihat jika penulisan buku-buku sebegini juga ditanggapi dengan emosi dan bukan juga dengan hujah sedangkan budaya ilmu yang tinggi dan mantap menjadi intisari kepada kehebatan sejarah dan tamadun Islam dahulu kala. Di sini, usaha mewacanakan karya Dr Mujahid oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor melalui karyanya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan wajar dipuji dan menunjukkan bahawa generasi pimpinan pelapis PAS lebih bersedia berwacana mengenai isu parti sesama mereka berbasiskan ilmu dan hujah. Bagaimana dengan UMNO?

Dan, perlu difahami bahawa wacana di Facebook dan Twitter tidak dikira menepati sidang wacana sihat dan ilmiah itu sendiri.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh Malaysia Kini di alamat http://www.malaysiakini.com/letters/239525 dengan tajuk Salahkah Pemimpin Kritik Parti Sendiri?.

Wednesday 21 August 2013

Shi`ah: Betul atau Salah Serah Kepada Masyarakat?

ISLAM adalah agama yang menetapkan umatnya agar bersikap wasath. Meskipun wasatiyyah kemudian diterjemahkan sebagai kesederhaan atau moderate namun ia tidak menepati dimensi wasath yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan yang dipraktiskan dalam al-Sunnah. Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi antara yang banyak menulis dan memberikan komentar terhadap konsep pemikiran wasatiyyah dalam buku-buku beliau.

Al-Wasath menurut Imam Ibn Kathir r.h. dalam tafsirnya adalah ‘pilihan yang terbaik’, ummatan wasath adalah umat yang sentiasa membuat pilihan yang terbaik berdasarkan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Seerti dengannya adalah khayra ummah yakni umat yang terbaik. Wasath juga seringkali dinisbahkan sebagai al-`Adl (keadilan) dan al-Hikmah (kebijaksanaan). Kesemuanya berkenaan dengan melakukan sesuatu pada tempat yang terbaik, masa yang terbaik, keadaan yang terbaik, pemilihan yang terbaik dan seumpama.

Kesemua sifat dan sikap di atas hanya dapat dicapai dengan ilmu, dan sebagai seorang Muslim yang mana Islam adalah agama yang meletakkan ilmu dan aktiviti keilmuan (intelektual) di tempat yang sangat utama dan tinggi, istilah murid (mim-waw-ra-ya-dal) yang bermaksud orang yang berkehendak (barangkali istilah ini kemudian dipinjamkan dalam bahasa Melayu menjadi ‘murid-murid’) adalah istilah yang sesuai bagi seorang Muslim yang sentiasa cintakan ilmu secara kolektif dan bukan secara partikal sahaja.

Justeru sebagai seorang murid paling tidak ada empat perkara yang mesti dihapuskan dalam diri seseorang itu:

1. Taqlid buta: Mengikuti seseorang, amalan atau pemikiran tanpa ilmu yakni hujah dan dalil yang sahih daripada al-Qur'an dan al-Sunnah khususnya dalam bab aqidah dan ibadah
2. Ta`asub: Kepada diri sendiri, individu (biasanya dalam ajaran sesat dan para pengikut memang dimanipulasi untuk ta`asub kepada kesaktian yang direka-reka, kumpulan (biasanya dalam jemaah atau parti politik) dan ideologi (Komunisme, Nasionalisme, Liberalisme, Feminisme dll.) 
3. Jumud: Menyempitkan ajaran agama yang luas berdasarkan kefahaman sendiri yang tidak menepati Islam sebagai agama rahmat
4. Ghuluw: Melampau dalam segenap segi sama ada dalam memudahkan dan menyusahkan, menghalalkan pertumpahan darah atas nama agama dan melakukan sesuatu atas nama agama sedangkan tidak menepati langsung ajaran agama itu sendiri.

Apabila bertaqlid buta tanpa ilmu yang sahih berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah, seseorang akan menjadi ta`asub secara membabi buta, seterusnya menjadi sangat jumud dan akhirnya membuahkan tindak-tindakan ekstrem/melampau yang mungkin diyakininya atas nama agama namun hakikatnya atas kehendak nafsu individu yang berkepentingan.

Keempat-empat ciri ini adalah antara berpunca daripada kejahilan individu dan masyarakat yang akhirnya menyebabkan fitnahnya terpalit kepada Islam semula. Banyak perkara yang terpesong daripada aqidah dan syariat Islam berpunca daripada empat sikap ini yang menguasai individu dan masyarakat Muslim. Contoh yang paling mudah adalah dengan meninjau modus operandi ajaran-ajaran sesat yang muncul selama ini.

Syria, Shi`ah dan Malaysia

Krisis kemanusiaan di Syria yang masih berlanjutan menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam mencerap apakah isu sebenar di sana dan apakah pula jalan penyelesaiannya? Secara umum ada tiga isu yang berlegar di sana iaitu; 1. Pertembungan Shi`ah dan Sunni, 2. Pertembungan negara blok Sosialis dan blok Kapitalis, 3. Pertembungan mauqif (ketetapan pendapat) sesama para ulama sunni sendiri termasuk gerakan Islam dalam isu Syria.

Lebih menarik, isu Syria juga menyemarakkan kembali isu komuniti Shi`ah di Malaysia sehingga ia semakin diberi perhatian dan dibincangkan di media dan masyarakat awam. Komuniti Shi`ah dan ajarannya dianggap sebagai ancaman kepada kedamaian dan kerukunan masyakarat Muslim Malaysia yang berpegang kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Masyarakat awam dikejutkan dengan pelbagai data yang mengkhabarkan bagaimana ramainya dan suburnya ajaran Shi`ah di Malaysia bahkan pihak komuniti Shi`ah sendiri mendakwa penganut Shi`ah sudah mencecah ratusan ribu orang meskipun dinafikan oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam negeri dan peringkat kerajaan pusat.

Terbaru, pihak berkuasa berkaitan agama Islam melakukan penangkapan dua orang lelaki yang disyakki penganut Shi`ah kerana hanya memiliki bahan-bahan bacaan Shi`ah. Ini menimbulkan respon yang pelbagai. Sebelum ini juga ada beberapa tangkapan dan serbuan dibuat terhadap komuniti dan tempat ibadah ritual (hauzah) penganut Shi`ah malah ada yang didakwa.

Persoalannya, apakah ada undang-undang untuk menyekat penganut fahaman Shi`ah dan apakah tindakan undang-undang adalah jalan yang terbaik bagi mengekang fahaman Shi`ah terus berkembang dalam masyarakat Malaysia?

Respon di media massa

Meskipun media massa perdana milik kerajaan giat mengadakan bual bicara dan laporan berita bagi memberikan penerangan kepada rakyat Malaysia secara umum mengenai Shi`ah namun media-media alternatif yang menjadi tumpuan utama generasi gajet dan jalur lebar banyak menerbitkan artikel, rencana mahupun surat pembaca yang menyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa kepada komuniti Shi`ah di Malaysia.

Kebanyakan tulisan tersebut ditulis dengan nada bahasa undang-undang dan hak asasi manusia (HAM) yang dilihat membela dengan mengatakan bahawa komuniti Shi`ah mempunyai hak untuk mempraktiskan dan mengamalkan kepercayaan mereka. Sedangkan bagi pihak berkuasa berkaitan agama Islam (kerana hanya Malaysia yang ada!) dan masyarakat awam di Malaysia mereka adalah ancaman.  

Atas dasar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, tindakan bersifat undang-undang yang diambil kepada penganut ajaran Shi`ah dilihat sebagai suatu bentuk penindasan kepada komuniti minoriti dan amalan ajaran yang berlainan dengan pegangan umum Muslim di Malaysia. 

Sedangkan hujah-hujah yang digunakan untuk melawan mereka adalah hujah yang bersifat keagamaan (theology) yang mana hanya dipandang sebagai bersifat berkepentingan dan manipulatif oleh pihak berkuasa agama. Hujah-hujah agamawan dan pegawai kerajaan ini juga pastinya dipandang lekeh dan pesimis oleh golongan yang cenderung kepada perjuangan HAM dan kebebasan bersuara mutlak.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden PAS dilihat cuba meredakan ketegangan dengan mengajak pihak kerajaan dan masyarakat menilai isu Shi`ah secara ilmiah dan akademik bukan daripada perspektif politik semata-mata. PAS sentiasa dilihat lunak dalam menangani isu Shi`ah dan konsisten dengannya manakala UMNO melalui jentera kerajaan dilihat oleh PAS sedang menangguk di air keruh dalam isu Shi`ah di Malaysia ini. [lihat http://bm.harakahdaily.net/]

Masyarakat perlu dibijakkan melalui wacana

Shi`ah adalah realiti yang wujud ribuan tahun malah tidak dapat dipisahkan lagi daripada sejarah dan ketamadunan Islam dan dunia itu sendiri. Meskipun ada usaha dan pendapat menyatakan Shi`ah bukan daripada Islam kerana perbezaan ketara dalam usul `aqidah (fundamental) dan ritual-ritual ibadat mereka yang pelik dan ekstrem (dari kaca mata ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah malah fitrah kemanusiaan sekalipun), namun untuk menghapuskannya sama sekali adalah suatu kemustahilan.

Ini adalah kerana Shi`ah adalah entiti sejarah yang seiring dengan sejarah perkembangan Islam itu sendiri dan pihak Shi`ah juga dari awal menjenamakan diri mereka sebagai sebahagian daripada Islam melalui penggunaan istilah seperti - Muslim Shi`i, Islamic Republic of Iran (Republik Islam Iran), Mullah, Ayatullah, Hizbullah dan seumpamanya. Dari sudut aqidah, meskipun Sunni dan Shi`ah mempunyai beza yang ketara, namun Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. tetap adalah Tuhan dan Rasul yang diimani bersama.

Hal berkaitan istilah ini bertepatan dengan ulasan Prof Dr Tariq Ramadan dalam artikelnya berjudul Beyond Islamism di mana beliau menyatakan kekeliruan istilah telah menyebabkan kesan yang besar dan fatal kepada Islam secara keseluruhannya. Menurut beliau dalam mengulas mengenai politik dan gerakan Islam:
“Second: the problem of terminology. Confusion is rampant; no one knows exactly who or what “Islamism” means. The term, which has now become powerfully pejorative, can be applied to movements ranging from al-Qaeda (worldwide, and most recently in northern Mali) to the legalists of Ennadha and the Muslim Brotherhood by way of the Justice and Development parties in Turkey and Morocco (with certain reservations), and up to and including the Iranian regime. It is hard to believe that the confusion is being maintained, and the terminology being utilized purely by chance. Meanwhile the petro-monarchies of the Gulf, those wealthy allies of the West, whose authorities affirm that democracy is un-Islamic, regimes that apply the Shari’a in its most legalistic and repressive form and that forbid women from social and political participation, are never described as “Islamists” even though their policies and practices form the essence of political Islam.” [lihat http://tariqramadan.com/, Monday, 5 Ogos 2013]
Justeru, tindakan yang tepat dalam memikirkan bagaimana mengekang Shi`ah agar ia tidak menjadi ancaman kepada kestabilan beragama dan politik di Malaysia adalah melalui kesedaran ilmu. Menggunakan undang-undang pastinya bukan cara yang terbaik malah hanya memberikan kredit dan meningkatkan simpatisme kepada mereka. Jalan yang terbaik adalah dialog dan wacana terbuka antara ilmuwan kedua belah pihak versi Malaysia.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada akhir siaran langsung mengenai Shi`ah dalam TV1 beberapa minggu lepas meminta secara terbuka kepada RTM agar melakukan wacana dan debat secara terbuka dengan pihak Shi`ah di Malaysia. Permintaan itu wajar disambut oleh RTM dan mana-mana agensi media kerajaan kalau mereka mahu dilihat serius dalam menangani isu ini dan tidak hanya bersifat retorik politik semata, jika tidak kerajaan akan dinilai sebagai tidak ikhlas dalam isu ini dan hanya memikirkan political milleage pimpinan dan parti politik tertentu sahaja.

Dalam masa yang sama, penulis mendapat maklumat bahawa ada usaha yang sedang dilakukan bagi dianjurkan dialog, wacana malah debat oleh agensi media bebas seperti Karangkraft melalui Wacana Sinar Harian yang boleh dikatakan sebagai fenomena baru kepada dimensi wacana intelektual masyarakat Malaysia mutakhir ini. 

Karangkraft melalui akhbar Sinar Harian dilihat menjuarai hal tersebut dan tidak pelik mengapa kini Sinar Harian menjadi akhbar alternatif yang paling laris di pasaran berbanding akhbar perdana lain. Kita doakan supaya usaha serius dapat dilakukan bagi wacana terbuka antara sarjana yang mewakili blok Sunni dan Shi`ah menjadi kenyataan dan pihak Shi`ah juga bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

Mendorong masyarakat membaca tentang Shi`ah

Hendak dapat tidak masyarakat mesti didedahkan malah mereka sendiri perlu dididik untuk meningkat daya inkuiri (ingin tahu) mereka secara semulajadi dan tidak hanya bergantung kepada sumber-sumber media popular yang bersulam propaganda, bias dan bersifat politik. Masyarakat perlu diberi wacana ilmiah bagi mendorong mereka berfikir untuk mencari jawapan melalui pembacaan dan penilaian mereka sendiri.

Ya, tanpa menafikan bahawa bukan semua orang mempunyai asas ilmu dalam Islam khususnya mengenai perkembangan dalam sejarah, aliran pemikiran, mazhab dan apa sahaja mengenai Shi`ah kerana kebanyakan sumber adalah dalam bahasa Arab dan rujukan utamanya dalam bahasa Parsi.

Bahasa Arab sudah dikira sebagai bahasa kedua manakala bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga dalam membicarakan mengenai Shi`ah. Mengkaji dan membaca tulisan daripada ulama Sunni pastinya menyebabkan sesuatu penilaian akan bersifat satu hala sahaja, apatah lagi jika ulama tersebut tidak dapat merujuk kepada sumber primer Shi`ah dalam bahasa Parsi itu sendiri. Bacaan jurnal-jurnal ilmiah berimpak tinggi adalah satu kemestian bagi mereka yang serius ingin memahami Shi`ah namun tetap bergantung kepada objektiviti pengkajinya.

Bagi berlaku adil dalam penilaian ini, sewajarnya sumber-sumber Shi`ah dalam bahasa Parsi dirujuk sama bagi menilai apakah sebenarnya kedudukan Shi`ah itu. Justeru, kemunculan sarjana-sarjana Nusantara yang mengkaji secara serius mengenai Shi`ah di peringkat pengajian tinggi adalah suatu perkembangan yang wajar dihargai. Namun bagi bacaan awal, buku-buku dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris bagi orang awam sedikit sebanyak akan membantu membuka dimensi yang lebih luas dalam perbincangan ini.

Antara buku popular yang boleh disyorkan dan mudah didapati di pasaran berbahasa Melayu dan Indonesia adalah Apa Itu Syiah? tulisan Prof Dr H. M. Rasjidi terbitan Al-Hidayah Publisher Sdn. Bhd., Kenapa Aku Keluar Syiah? tulisan Syeikh al-`Allamah Dr Hussain al-Musawi terbitan kerajaan negeri Kedah semasa pemerintahan PAS (dapatkan juga versi Indonesia dengan judul Mengapa Saya Keluar Dari Syiah: Kesaksian Penulis Sebelum Dibunuh), Agenda Politik Syiah: Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat tulisan Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin terbitan PTS Media Group Sdn. Bhd. Dan antara yang paling menarik dan ilmiah adalah Jurnal Pemikiran dan Peradaban ISLAMIA terbitan INSIST, Vol. viii, No. 1, April 2013 dengan tajuk Ahlusunnah dan Shi`ah: Beda Akidah, Shari`ah atau Politik?.

Kesimpulan

Barangkali ada pihak beranggapan bahawa wacana terbuka hanya menjadi pentas bagi mempromosi dan mengiktiraf Shi`ah itu sendiri, pastinya tidak salah hujah dan pemikiran yang begitu, namun fikirkan manfaat yang sebaliknya jika wacana diadakan dan persediaan yang rapi dan mantap dari sudut ilmiah dan intelektual dilakukan oleh kedua-dua pihak, kenapakah mereka (wakil Sunni dan Shi`ah) perlu takut untuk masyarakat awam termasuk bukan Islam menjadi hakim kepada kebenaran jika benar mereka masing-masing di pihak yang benar?

Penulis yakin sarjana-sarjana yang mempunyai autoriti dalam mendokong Shi`ah di Malaysia adalah cukup layak untuk dipertemukan dengan sarjana-sarjana Sunni di Malaysia. Keyakinan tinggi kedua-dua belah pihak ini akan melahirkan wacana tinggi yang berkualiti dan ini adalah budaya intelektual yang menguntungkan masyarakat secara umumnya. 

Dengan padang yang sama rata dan sikap matang rakyat dengan terlebih dahulu melenyapkan pengaruh emosi hasil daripada taqlid buta, ta`sub, jumud dan ghuluw masyarakat Malaysia menuju ke era budaya ilmu yang sihat, budaya ilmu tinggi dan mengembalikan kegemilangan tamadun dengan membina manusia yang mencintai ilmu. 

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.thelamaysianinsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/syiahbetul-atau-salah-serah-kepada-masyarakat-zahiruddin-zabidi dengan tajuk yang sama.

Saturday 17 August 2013

Masih Relevankah Feudal Monarki di Haramayn?

BAGUSNYA Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab adalah apabila beliau bergabung dengan Ibnu Saud yang kemudian menyatukan seluruh kabilah Arab di Jazirah Arab dan melakukan pembersihan terhadap unsur-unsur khurafat yang banyak berlaku pada zaman tersebut seperti pemujaan di kubur-kuburan shuyukh sufi seperti Shaykh Abdul Qadir al-Jailani dan lain-lain

Tanpa menafikan di sana tiada masalah bagi tasawwuf dan sufi yang bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta para sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in seperti Shaykh Junaid al-Baghdadi, Shaykh Ibrahim bin Adham, Shaykh Sufyan al-Tsauri dan lain-lain diamalkan namun pada waktu tersebut kepincangan dalam amalan sufi, tariqat tasawwuf sangat ketara dan banyak terkeluar daripada pedoman al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri maka ia tertolak dan di sini Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab serta Ibn Saud selaku kafilah Arab terbesar dan paling berpengaruh bergabung dan melakukan dakwah dan penentangan terhadap golongan tersebut khususnya di Jazirah Arab selepas mereka berkuasa. 

Namun dari sudut sejarah dan politik, penggabungan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Saud yang kemudian melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan khilafah Uthmaniyah di Turki (yang sangat mesra sufi, tariqat dan tasawwuf) juga perlu dibincangkan secara telus. Gabungan ini dikatakan berjaya meniupkan semangat Asabiyyah Arab sehingga berlaku Revolusi Arab yang memberontak kepada khilafah Uthamiyyah yang sudah sedia lemah dan di ambang kejatuhan (selepas tahun 1900). Antara penentangan yang dilakukan adalah dengan memusnahkan landasan kereta api yang dibina oleh khalifah yang menghubungkan negara-negara Islam dengan Haramayn bagi memudahkan urusan pentadbiran dan juga urusan ibadah haji umat Islam khususnya.

Dikatakan juga pemberontakan yang berjaya menjadi revolusi ini mendapat bantuan dan sokongan Barat (British) yang kemudian berlakunya perjanjian yakni Ibn Saud dilantik menjadi pemerintah (raja monarki feudal dan boleh dikatakan satu-satunya negara dalam dunia sempenan nama pemerintahnya iaitu Arab SAUDI) dengan imbalannya segala hasil mahsul minyak Arab Saudi perlu diserahkan dan diusahakan oleh pihak berkepentingan dari Barat (benarkah tidak begitu sekarang ini di sana?). Dalam masa yang sama, Amerika juga dibenarkan membina dua buah pengkalan tentera di Laut Merah atas sebab-sebab tertentu.

Justeru, di sebalik jasa dan kejayaan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab, ijtihad politik beliau telah memberikan implikasi yang lebih besar pada hari ini yang mana pemerintahan feudal monarki keturunan Ibn Saud menggunakan kekayaan hasil mahsul tanah Makkah dengan sewenang-wenangnya (tanpa menafikan sumbangan mereka juga seperti universiti di sana semua percuma dan ditanggung) namun ia dilihat sudah tidak menepati apa yang dikehendaki oleh al-Quran dan Sunnah yang sebenarnya. 

Monarki feudal di sana menjadi sangat kebal yang mana meskipun hudud dilaksanakan, ia hanya tegas dilaksanakan kepada rakyat marhaen sahaja sedangkan penyelewengan, kemaksiatan dan kebobrokan yang dilakukan oleh ahli keluarga diraja (boleh rujuk Youtube kelakuan anak-anak raja Saudi di kelab malam bersama penari gelek dan menghabiskan berbilion riyal untuk permainan itu - taip sahaja Prince of Saudi dan beliakkan mata!) akan dibiarkan begitu sahaja.  

Para ulama juga seakan tiada kuasa dan peluang untuk menegur (Dr Aidh Abdullah al-Qarni segera dipenjara selama lima tahun selepas menegur secara umum dalam televisyem mengapa 'kita' hanya berdiam diri melihat saudara kita di Palestine tertindas sedangkan kita punya duit yang banyak), meskipun Arab Saudi paling banyak mengeluarkan ulama khususnya beraliran ahlul hadith beraliran salaf namun dalam bab politik dan pemerintahan boleh kata tidak ada yang mengarang kitab mengenainya fiqh al-siyasah kecuali kitab mengenai kewajipan mentaati pemimpin sahaja (tidak seperti Ibnu Taimiyyah r.h. - rujukan utama dalam aliran mereka di sana yang banyak mengarang kitab mengenai siasah dan pemerintahan seperti Siyasah Syar'iyyah fi Islahi al-Ra'yi wa al-Ra'iyyah dan banyak lagi).

Ini adalah ketidakadilan sosial dan bertentangan dengan firman Allah seperti 'Inna'Llaha ya'murukum bi'l 'adl wa'l ihsan', 'idilu huwa akrabbu li at-taqwa' dan banyak hadith mengenai kepimpinan yang adil demi kemaslahatan ummah. Sesungguhnya Haramayn adalah milik umat Islam seluruh dunia dan perlu dipulangkan kepada mereka bukan hanya kepada kerabat Ibn Saud. Kekayaan yang melampau menyebabkan mereka sangat selesa dan keterikatan mereka dengan kepentingan kapitalis dan politikus Barat antara yang menyebabkan umat Islam hari ini tidak boleh bersatu.

Feudal monarki adalah liabiliti umat Islam

Shaykh `Abd al-Rahman al-Kawakibi menulis sebuah kitab yang berjudul Ummu al-Qura dan memberikan cadangan bahawa setiap kali musim haji adalah sebagai perhimpunan agung umat Islam seluruh dunia dan para pemimpin dunia Islam membincangkan mengenai kemaslahatan umat Islam sejagat. Bagaimana mungkin ia akan terjadi selagi mana kerabat Ibn Saud menguasai Jazirah Arab dan hasil mahsulnya kebanyakan digunakan untuk kepentingan peribadi mereka (pembaziran yang melampau dalam banyak hal). 

Sedangkan umat Islam yang juga mengucap dua kalimah syahadah seluruh dunia menghadapi krisis kemanusiaan seperti kebulursan dan hanya makan pasir di belah Afrika sehingga sekarang tidak selesai kerana tiada suntikan kewangan daripada pihak berwajib, isu etnik Rohingya di Arakan yang dibantai dan isu Paletine yang tidak berkesudahan dibantai Zionis la`natu'Llah, isu di Selatan Thailand, isu di Filiphina dan banyak lagi yang asasnya tiada tekanan kuasa besar yang bersatu sesama umat Islam (PBB dan OIC tidak boleh diharap) kerana tiadanya kuasa ekonomi. 

Tertanya kita di manakah suara kerabat Ibn Saud dan ulama-ulama di sana dalam isu-isu ini? Mungkin saya tidak tahu kerana tiada akses maklumat ke sana. Cuma kita juga tertanya sudah berapa banyak jumlah dana sumbangan daripada Arab Saudi kepada umat Islam yang saya nyatakan di atas? Sedangkan mereka menjana bilion dolar setahun hasil daripada berjuta umat Islam melaksanakan haji dan umrah di sana saban tahun (terfikir kita, apakah itu bukan satu daripada hikmah Allah mewajibkan haji bagi mereka yang mampu hanya di Makkah bukan di tempat lain?)? 

Feudal monarki hanya dilaksanakan dalam Islam setelah era Rasulu'Llah salla'Llahu `alayhi wasallam dan Khulafa al-Rashidin. Sebelumnya pemilihan secara shura yang lebih telus dan demokratik diamalkan. Haramayn adalah harapan penyatuan umat Islam dan sumber dana yang sangat besar dan utama. Selagi mana kerabat Ibn Saud (yang merupakan boneka Amerika pada hari ini) memerintah, pasti hal ini tidak akan berlaku.

Kesimpulan

Perjuangan Aqidah al-Tahawiyah gagasan Shaykh Muhammad bin Abdul Wahab dalam menyambung perjuangan Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah yang bermazhab Hanbali adalah murni dan berjaya dilaksanakan khususnya di Jazirah Arab dan dunia Islam amnya.

Namun dalam urusan dan ijtihad politik telah berlaku sesuatu di luar duga beliau sendiri mungkin, betapa feudal monarki adalah liabiliti kepada seluruh umat Islam di dunia pada hari ini. 

Satu revolusi baru perlu dilakukan di sana agar ia dianggap milik oleh seluruh umat Islam di dunia bukan hanya milik kerabat Ibn Saud. Bukan OIC namun satu pakatan baru yang diserahkan mengurus kelola untuk jangka masa tertentu sebagaimana yang dilaksanakan dalam sistem demokratik pada hari ini, pemilihan setiap lima tahun bagi sesiapa yang menguruskan haramain dan melaksanakan tugasnya menggunakan segala sumber mahsulnya untuk kemaslahatan umat Islam seluruh dunia bukan untuk mereka dan keluarga mereka sebagaimana sepanjang abad lalu. 

* Artikel ini telah diterbitkan di www.detikdaily.net di alamat http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=23693 dengan tajuk sama. Penerbitan semula artikel ini adalah sebagai respon kepada respon Raja Abdullah terhadap situasi yang berlaku di Mesir pada hari, menurut Al-Jazeera Raja Abdullah menyeru 'pengganas' dibanteras, rujuk http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2013/08/201381615196784361.html

Thursday 15 August 2013

Jiwa Besar Pimpinan Kerajaan dan Parti Didambakan

SHAYKH `Abd al-Rahman al-Kawakibi (1854-1902) merupakan seorang pemikir dunia Islam akhir abad ke-19 yang banyak melahirkan idea-idea yang menentang arus perdana dunia Islam yang bernaung bawah pemerintahan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah pada masa itu.

Al-Kawakibi amat kritikal kepada pemerintahan khilafah Turki Uthmaniyyah yang menurut beliau terlalu banyak korupsi dan kezaliman yang berlaku atas nama ketaatan kepada sultan yakni pemerintah yang berkuasa secara feudal monarki sepanjang sejarah khilafah Islam itu.

Maka tidak hairan mengapa ada pendapat mengatakan bahawa al-Kawakibi adalah antara faktor penyumbang kejatuhan khilafah Islamiyyah Turki pada 1923. Atas dasar kritikan kerasnya itu juga, al-Kawabiki pernah dipenjarakan oleh pihak berkuasa Turki Uthmaniyyah sebanyak dua kali.

Namun apa yang menarik adalah, dua buah kitab karya al-Kawakibi yang ditinggalkannya iaitu kitab Taba`i al-Istibdad (Ciri-ciri Kediktatoran)  dan Umm al-Qura yang merujuk kepada Makkah al-Mukarramah mempunyai beberapa pandangan dan idea yang bernas dan relevan dalam konteks suasana politik umat Islam pada hari ini.

Umm al-Qura adalah sebuah fiksyen

Umm al-Qura adalah sebuah karya fiksyen di mana al-Kawakibi membayangkan bahawa suatu persidangan para pemimpin negara umat Islam yang berlaku pada setiap kali musim haji, seluruh pemimpin umat Islam (baca negara umat Islam) akan berkumpul dan mengadakan persidangan bagi berbincang mengenai masalah umat Islam.

Dalam naskhah tersebut, al-Kawakibi membayangkan seolah watak-watak pemimpin tersebut benar-benar wujud dan berwacana malah menyampaikan kritikan dan idea kepada pihak yang sepatutnya. Al-Kawakibi sendiri muncul malah beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai satu daripada watak yang mengikuti persidangan khayalan itu. Watak-watak pemimpin negara umat Islam telah berdebat dan mengemukakan persoalan serta masalah umat Islam berdasarkan waqi`i negara masing-masing selain isu umum.

Meskipun pendekatan penulisan al-Kawakibi dalam Umm al-Qura adalah fiksyen, namun pengisiannya telah berjaya melahirkan usul idea dan gagasan pemikiran yang empiris dan praktis pada masa kini. Ini medorong penulis sendiri kemudian menulis sebuah artikel berjudul ‘Relevankah Lagi Feudal Monarki di Haramayn?’ bagi menyentuh isu betapa feudal monarki di Arab Saudi pada hari ini antara halangan kepada bersatunya umat Islam khususnya negera-negara Arab. [lihat http://www.detikdaily.net/]

Menurut pendapat penulis, selagi keluarga Ibn Saud yang berkuasa di Haramayn, maka kesatuan umat Islam sebagaimana yang dibayangkan oleh al-Kawakibi akan kekal sebagai fiksyen dalam tulisannya sahaja. Penguasaan mutlak kepada hasil mahsul sama ada berbentuk minyak ataupun hasil daripada caj perkhidmatan umrah dan haji umat Islam seluruh dunia kemudian menjadi hak peribadi feudal monarki di Arab Saudi sedangkan hasil tersebut yang tersangat banyak wajar digunakan dalam misi pembebasan Palestin, menolong kebuluran di belah Afrika,menolong pelarian perang di Iraq, Syria dan kini Mesir malah menolong kembali negara-negara umat Islam membina kehidupan selepas kehancuran perang.

Khayalan tentang pemerintahan baru di Kelantan

100 hari pemerintahan baru Negeri Kelantan sudah berlalu, beberapa polemik antara para sarjana dan pemegang amanah kuasa penerus legasi 23 tahun Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul. 100 hari pertama yang hambar dan tidak bersemangat menurut Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, seorang sarjana dalam bidang politik sains yang juga anak jati Kelantan.

Menurut beliau lagi, pimpinan baru kerajaan negeri bukan sahaja dilihat ‘kekeringan idea’ malah lebih teruk tidak mampu mengekalkan serta meneruskan beberapa projek yang sudah dirangka oleh pimpinan sebelumnya dan ini membuat rakyat tertanya-tanya apakah kesudahan episod semua projek yang sudah dirasmikan malah digembar-gemburkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tempoh hari?

Beberapa lagi sarjana seperti Prof Dr Abu Hassan Hasbullah yang kini bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga senada dengan Prof Dr Mohammad Agus Yusoff dengan melahirkan kritikan (baca teguran) secara terbuka, beberapa blogger dan rakyat Kelantan sendiri mula tertanya-tanya akan hal yang sama dan ini boleh dibaca di laman-laman sosial seperti FB, Twitter dan seumpama.

Kritikan berhemah daripada Prof Mohammad Agus Yusoff telah dijawab oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari masing-masing melalui media dan juga laman sosial. Ternyata kenyataan tindak balas daripada kedua orang tokoh utama dalam pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan juga PAS itu agak ‘bengkeng’ nadanya.

Teguran Prof Dr Mohammad Agus Yusoff tentang kekeringan idea telah dijawab dengan agak kasar oleh TMB yang mengatakan bagaimana mungkin ada bangunan yang boleh dibina dalam masa 100 hari. Ini sekali gus memancarkan sikap defensif dan tidak terbuka terhadap kritikan orang-orang besar kerajaan Negeri Kelantan merangkap pimpinan tertinggi PAS tersebut. Kritikan adalah berkisar tentang idea namun dijawab dengan bahasa material.

Tulisan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, ‘Ustaz’ Mazlan Aliman bertajuk ‘Hala Tuju PAS Selepas PRU’ sedikit sebanyak menghantar mesej bahawa masih ada lagi pimpinan PAS yang agak terbuka dan sedia ditegur serta berhemah dalam menangani teguran dan kritikan khususnya daripada para sarjana dan ilmuwan tanah air. Kritikan dan teguran daripada para sarjana dan orang luar menurut beliau bermaksud kerajaan negeri Kelantan dan PAS mendapat perhatian istimewa yang khusus serta tanda kecaknaan yang wajar diucapkan terima kasih.

Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, keterbukaan dalam menerima kritikan adalah antara satu perkara yang penting dan sikap para pemimpin terhadap kritikan sudah cukup membina perspektif masyarakat awam kepada sikap sebenar para pimpinan dan sejauh mana mereka mampu menguruskan tadbir amanah yang diberikan kepada mereka.

TGNA dan imej ciptaannya

Kewibaan TGNA sebagai seorang ulama, murabbi, mu`allim dan juga pentadbir telah berjaya membentuk perspektif yang khas kepada rakyat Kelantan. Imej yang beliau bina selama 23 tahun ini paling tidak berjaya memberitahu rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan bahawa sepanjang beliau memerintah kes korupsi yang sabit di mahkhamah adalah sifar (kes cerai berai dan kes kahwin lebih seorang tidak termasuk dalam perbincangan ini!).

Dasar Membangun Bersama Islam dan Bersama Kepimpinan Ulama begitu sekali menjanjikan sesuatu yang baru dan segar serta melahirkan harapan buat rakyat Kelantan yang memang cenderung dan rapat dengan apa yang sahaja yang berorientasikan Islam dan ilmunya. Justeru, formula tersebut sangat berjaya sehinggakan TGNA berjaya dinobatkan menjadi Menteri Besar Kelantan selepas PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah menang besar pada tahun 1990.

Dalam satu wawancara oleh Dr Farish A. Noor, seorang ahli sejarah dan sosiologis daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) TGNA menjawab mengapa beliau kemudian menukar penampilan dirinya. Sebagaimana kebiasaan pada zaman tersebut, semasa TGNA mula-mula balik dari luar negara beliau juga berseluar slak, berkot dan bertali leher. Atas keperluan dakwah pada masa itu, TGNA kemudian mengubah imej kerana masyarakat luar bandar khususnya tidak akan menerima seorang ustaz yang bercakap tentang dakwah dan Islam dengan berpakaian Barat.

TGNA yang masih muda pada masa itu mula menukar penampilannya dengan memakai kain sarung, jubah, baju Melayu dan berserban. Imej tipikal ustaz-ustaz dan guru agama tersebut kemudian menjadi sebati dengan dirinya apatah lagi apabila masyarakat pula menganugerahkan gelaran ‘Tuan Guru’ kepadanya tanpa diminta dan diraih di mana-mana. Justeru, formula TGNA dalam mengimejkan dirinya itu berjaya sehinggalah PAS mengambil alih kuasa pemerintakan kerajaan Negeri Kelantan dan kekal 23 tahun kemudiannya.

Antara lain kerana rakyat melihat imej yang ditampilkan secara individu dan parti menawarkan sesuatu harapan yang baru dan meyakinkan untuk sebuah pemerintahan yang dirahmati Allah dan lebih sejahtera untuk kehidupan rakyat marhaen.

 Politik berkenaan imej, harapan dan keterbukaan

Hakikatnya, selepas 100 hari kerajaan baru PAS di Kelantan dengan pimpinan urus tadbir yang baru meskipun ada penambahan dan pengurangan yang kontroversional rakyat masih tertanya apakah pembaharuan dan harapan yang boleh mereka sandarkan kepada pimpinan baru ini?

Meneruskan dasar dan projek yang lama malah memantapkannya adalah suatu kewajipan dan keperluan dalam transformasi pentadbiran awam namun imej-imej baru mesti dibina bagi membentuk harapan baru kepada rakyat bagi menyegarkan sokongan dan dokongan mereka kepada kerajaan memerintah. Inilah barangkali maksud Prof Dr Mohammad Agus Yusoff apabila menyebut kerajaan negeri ‘kekeringan idea’.

Kepulangan penulis ke Kelantan sambil beraya, tidak lekang daripada mulut penulis bertanyakan kepada sanak saudara mengenai persepsi mereka kepada barisan pemerintah baru di Kelantan, rata-rata jawapan adalah bersifat dingin dan tidak memperlihatkan keterujaan mereka dengan barisan pimpinan baru kerajaan negeri. Ini menimbulkan persoalan yang berterusan dalam diri penulis sendiri.

Ya, sesuatu segera perlu dilakukan agar imej pimpinan kerajaan negeri dan PAS sendiri tidak terus menerus menyebabkan rakyat mempersoalkan apakah pimpinan kerajaan negeri ada atau tidak berfikir tentang mereka sebagai rakyat yang memilih kerajaan itu dan berjuang menaikkan pimpinan dalam kerajaan sekarang melalui PRU yang lalu.

Di sinilah keterbukaan dalam menerima kritikan penting dan masa untuk berlagak bodoh sombong dan berasa semua kritikan adalah untuk menjatuhkan kerajaan negeri semata-mata perlu dihapuskan.

Keterbukaan kepada kritikan malah menjemput para pengkritik

Penulis kira para alim ulama, ustaz dan pimpinan dalam PAS lebih alim dan tahu bagaimana kisahnya para Khulafa al-Rasyidin termasuk pemimpin hebat Islam seterusnya seperti Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz, Salehuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fateh dan ramai lagi dalam menghadapi kritikan. Mereka malah mencari dan mendambakan kritikan, kerana mereka tahu ia adalah suatu muhasabah yang menguntungkan dan mendidik keegoan diri seorang pemerintah!

Kita baca dan tahu bagaimana kisah-kisah khalifah agung Islam sentiasa bertanya secara terbuka dan berdepan dalam khutbah atau pidato umum mereka tentang sesiapa yang mahu mengkritik dan menegur mereka, apakah para ustaz ini sudah lupa atau mereka sudah terlalu sempurna selepas 23 tahun berkuasa dan tidak mungkin layak untuk dikritik lagi?

Jiwa besar yang praktikal bagi pemimpin baru

Satu daripada cara bagi kerajaan negeri Kelantan memperbaiki imej sekali gus dilihat segar dalam penawaran harapan dan khidmat kepada masyarakat Kelantan adalah dengan memperbaiki imej mereka di peringkat nasional dan lokal. Caranya adalah dengan membuka saluran cadangan dan kritikan secara terbuka kepada pimpinan kerajaan negeri sekarang khususnya daripada kalangan sarjana di universiti dan para ahli korporat dan tokoh-tokoh hebat dalam bidang masing-masing.

Seperti al-Kawakibi, penulis membayangkan kerajaan negeri menganjurkan sebuah majlis dengan menjemput dengan hormat dan bersungguh-sungguh semua sarjana dan cerdik pandai daripada kalangan anak Kelantan di universiti dalam dan luar negara, sama ada yang sudah berstatus Profesor, Profesor Madya, Dr daripada pelbagai bidang untuk bersemuka dan mendapatkan pandangan, saranan dan kritikan daripada mereka.

Dalam majlis tersebut, pihak kerajaan negeri tidak akan bersikap defensif atau memberikan penerangan dan menjawab segala kritikan dengan tujuan menegakkan benang yang basah atau kering namun pimpinanan kerajaan negeri mesti menjadi pendengar kepada sebarang kritikan, cadangan dan saranan daripada segala ahli cerdik pandai tersebut meskipun mereka dimaklumi cenderung kepada parti lawan. Bagi peluang para cerdik pandai ini bercakap dan memberikan apa yang mereka mahu tanpa halangan.

Bukan sahaja para sarjana, malah para ahli korporat dan juga mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing wajar dipanggil untuk memberikan pandangan idea mereka kepada kerajaan negeri Kelantan. Penulis yakin dengan jumlah anak Kelantan yang terdiri daripada ilmuwan dan tokoh hebat dalam pelbagai sektor, mereka akan seronok dan berasa dihargai oleh kerajaan negeri sekali gus penulis juga yakin mereka ikhlas sayangkan negeri tanah tumpah nenek moyang mereka ini dan menginginkan yang terbaik untuk rakyat jelata.

Jangan bazirkan pemikiran insan-insan hebat daripada kalangan anak Kelantan dengan menyisihkan mereka dan hanya mendengar pendapat ‘orang kita’ dan menganggap mereka yang tidak bersama kita sebagai bukan rakyat Kelantan, menyempitkan ruangan idea dan kritikan ini hanya akan merugikan kerajaan negeri untuk jangka masa yang pendek dan panjang.

Daripada majlis sebegini, selain daripada pihak kerajaan negeri boleh bermuhasabah dalam masa yang sama, bank idea pasti akan mewah untuk sebarang kemungkinan pada masa depan malah idea-idea yang bernilai jutaan malah billion ringgit mungkin dapat dilahirkan di samping pemulihan imej kerajaan negeri sebagai sebuah pemerintahan yang berjiwa besar dan terpuji.

Kesimpulan

Sesuatu perlu dilakukan segera untuk meningkatkan imej kerajaan negeri serta membina harapan baru kepada rakyat secara khusus. Menguruskan sebuah kerajaan negeri atau sebagai pekerja sivil yang memakan gaji daripada hasil cukai rakyat adalah berbeza sama sekali daripada mengurus sebuah organisasi politik partisan. Seseorang yang hebat dalam politik partisan (khususnya dalam ceramah!) tidak semestinya juga bijak dan bagus dalam urus tadbir bersifat eksekutif. Ini hakikat yang perlu diterima oleh para pimpinan dan rakyat jelata.

Justeru, memilih para pembantu dan pegawai yang tepat bukan atas dasar nepotisme dan ‘orang kita’ adalah suatu keperluan asas dalam sesebuah pengurusan dan pentadbiran yang sejahtera. Meletakkan seseorang bukan pada tempatnya ternyata ada tempias daripada takrif kezaliman, bukan hanya kepada dirinya namun kepada rakyat negeri Kelantan khususnya.

Kejatuhan kerajaan-kerajaan agung Islam sebagaimana yang dilaporkan dalam sejarah Islam juga adalah kerana pengabaian pihak umara’ kepada para ilmuwan yang tidak berkepentingan dan benar-benar ikhlas mahu memberikan sumbang saran dan idea demi kesejahteraan rakyat. Dalam masa yang sama, tidak dinafikan ramai juga ilmuwan cari makan melalui jalur politik sedangkan sumbangan mereka dalam bidang keilmuan tidak ke mana.

*Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.themalaysianinsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/jiwa-besar-pimpinan-kerajaan-dan-parti-didambakan-zahiruddin-zabidi dengan tajuk yang sama.

Tuesday 13 August 2013

Hari Raya Pertama Bersama MB Baru di Kelantan

BELUM terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan yang baru Dato Haji Ahmad Yaakob, 63, atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Mat dalam kalangan rakyat Kelantan khususnya dalam kawasan beliau di Dun Pasir Pekan. Secara rasminya beliau telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei 2013 sekali gus bersama barisan exco yang sudah siap dipilih.

Ustaz Mat merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan semenjak tahun 2004 juga merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Ulama PAS Pusat bagi sesi 2011-2013. Seorang tokoh yang disegani dalam kalangan ahli dan pimpinan parti serta rakyat jelata kerana sifat berat mulutnya namun amanah sebagai Adun bagi rakyat kawasannya ternyata diakui dijalankan dengan baik.


Sebagai pengundi di kawasan beliau, meskipun penulis sangat jarang pulang ke kampung namun setiap kali berpeluang berjumpa dengan kedua ibu ayah, saudara-mara dan orang-orang tua di kampung, pujian terhadap Ustaz Mat tidak pernah lekang jika ditanya mengenai beliau meskipun mereka adalah orang UMNO!


Ini adalah kerana, memang menjadi sikap Ustaz Mat dari semenjak beliau menjadi Adun Pasir Pekan, setiap kematian, majlis kahwin, tahlil dan sebagainya disantuni oleh beliau tanpa mengira warna parti rakyat. Jikapun beliau tidak dapat hadir awal disebabkan kesibukan tugas rasmi sebagai TMB, maka isteri beliau akan mendahului menziarahi rakyat yang berkeperluan itu.


Beliau barangkali antara pemimpin politik yang paling jarang dilihat menyampaikan ceramah politik sama ada di kawasan beliau sendiri mahupun di luar kawasan. Namun itu bukan bermakna beliau seorang yang culas dalam menggalas tanggungjawabnya sebagai seorang Adun dan juga Timbalan Menteri Besar sebelum ini (ironinya kehebatan dalam retorik ceramah seringkali dijadikan indikator bagi menilai seorang pemimpin politik partisan di Malaysia!).


Pelantikan beliau meskipun terpalit juga beberapa isu yang menjadi perhatian serius oleh ahli parti dan rakyat Kelantan, namun ia berjaya diatasi dengan baik sekali gus menamatkan desas-desus mengenai siapakah yang paling layak dan menjadi pilihan bagi menggantikan mantan Menteri Besar Kelantan selama hampir 23 tahun, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Sedikit sebanyak kewibaan dan rekod bersih yang dipegang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selama memimpin barisan eksekutif kerajaan negeri di Kelantan termasuk pimpinan parti di peringkat negeri memberikan tekanan kepada Ustaz Mat bagi beliau kekalkan. Selain daripada mengekalkan rekod bersih, bagi rakyat Kelantan yang berada di luar negeri pastinya ingin melihat apakah pembaharuan yang bakal dibawa oleh Ustaz Mat selepas diamanahkan menjadi Menteri Besar.


Harapan kepada MB baru


Sikap berat mulut Ustaz Mat selain daripada kehidupan peribadi beliau yang sederhana menjadikan beliau kurang popular dalam kalangan pengamal media. Taip sahaja nama beliau di Google atau mana-mana laman sesawang media massa, sangat sedikit carian yang menemukan nama beliau. Barangkali itulah keistimewaan Ustaz Mat dan pembaharuan dalam pemerintahan beliau.


Namun sebagai rakyat Kelantan yang mempunyai harapan yang tinggi kepada kepemimpinan baru Ustaz Mat, suka penulis mengemukakan beberapa pandangan yang barangkali ada kebaikan bagi diberi perhatian. Sebagai MB baru, Ustaz Mat yang juga bekas pendidik sebelum terjun ke alam arena politik pasti lebih memahami dengan lebih baik isu-isu yang dibangkitkan ini.


Sedari hampir 23 tahun Kelantan yang terkenal dengan gelaran  Negeri Serambi Mekah kerana pusat pengajian berorientasikan pengajian ilmu-ilmu Islam khususnya sekolah agama dan pondok, perkembangan dan pemerkasaan institusi yang paling penting dan menjadi nadi ketamadunan sesuatu masyarakat itu seakan masih tidak diberikan perhatian yang serius dan mengcukupi.


Tanpa menafikan, kerajaan negeri Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) adalah sekolah menengah agama beraliran Arab, SMU (A) atau sesetengahnya sudah menjadi Maahad Muhammadi, serta beberapa projek baru seperti Maahad Tahfiz Sains di Bukit Panau selepas Maahad Tahfiz Pulai Chondong juga projek Pondok Moden di Kandis, Bachok, boleh berbangga dengan pencapaian sehingga kini.


Apatah lagi kebanyakan agamawan dan profesionalis yang berada di mana-mana sektor sahaja sekarang khususnya dalam bidang agama sama ada sebagai pegawai agama, imam masjid, pensyarah universiti boleh dikatakan adalah anak Kelantan atau pernah mendapat didikan di Kelantan. Malahan kebanyakan pimpinan PAS sendiri sama ada yang menjawat jawatan dalam parti dan kerajaan negeri adalah bekasan daripada pendidikan sekolah-sekolah menengah ataupun aliran pondok di Kelantan termasuk Ustaz Mat sendiri.


Namun 23 tahun bagi sesebuah pemerintahan adalah relatif panjang, sejarah Islam juga banyak mendatangkan bukti bahawa antara nadi kepada kegemilangan yang berturutan sesebuah tamadun, selain daripada faktor ekonomi dan politik yang stabil adalah sektor pendidikan yang melahirkan insan-insan berilmu dan beradab tinggi.


Selepas Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) diserap masuk menjadi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada zaman pemerintahan Dato’ Asri Muda tiada lagi pusat pengajian tinggi di Kelantan yang melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan yang ‘outstanding’ pencapaian mereka dalam bidang akademik dan keilmuan masing-masing.


YPTIK boleh dikatakan institusi yang berjaya melahirkan sekian ramai tokoh yang menjadi pencorak kepada suasana keilmuan, pemikiran, gerakan Islam pada kemudian hari hingga pada hari ini. Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) ditubuhkan bagi mengisi kelompongan itu namun ia dilihat tidak semenggah sama ada dari sudut zahir materialnya ataupun pengamalan budaya ilmunya.


Ironinya di Kedah, meskipun PAS hanya memerintah satu penggal bermula tahun 2008-2013, jelas pemerintahan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberikan perhatian yang serius terhadap pembinaan fizikal dan budaya keilmuan peringkat pengajian tinggi di sana dengan berlakunya penaiktarafan Kolej Insaniah kepada taraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN)*.


Bajet yang besar dilaburkan malah penubuhan fakulti-fakulti baru seperti perubatan dan kejururawatan selain membuka kursus peringkat ijazah sarjana muda hingga PhD, begitu sekali menggambarkan jiwa besar Ustaz Azizan terhadap pendidikan peringkat tinggi di Kedah pada masa itu. Pada saat beliau dibedah dan MB baru Kedah melawat beliau, dilaporkan antara pesanan beliau kepada MB baru Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir adalah supaya diteruskan projek KUIN agar sempurna sebagaimana yang dirancang.


Hal yang sama tidak berlaku di KIAS yang masih hanya menawarkan kursus peringkat diploma dan hanya dibuka beberapa bidang kursus sahaja berkisar pengajian Islam, meskipun dalam masa yang sama dilihat ada peningkatan apabila pengajian peringkat ijazah sarjana muda juga mula ditawarkan dengan kerjasama KUIN juga.


Barangkali antara alasan biasa yang akan didengar adalah kekangan kewangan, tanpa menafikan bahawa memang kerajaan negeri mempunyai kekangan kewangan akibat daripada ketidaktelusan kerajaan persekutuan dalam menyalurkan dana dan bajet belanjawan saban tahun, namun apakah tiada alternatif yang boleh diusahakan dan difikirkan. Namun ia bukan alasan yang konkrit selepas 23 tahun usia pemerintahan PAS di Kelantan.


Yang diperlukan adalah idea dan harapan baru


Hanya pendidikan yang serius dan berkualiti akan melahirkan insan-insan yang hebat sebagaimana yang ditinta emas dalam sejarah pembinaan tamadun Islam, bukan parti Islam namun institusi pendidikan tinggi yang hebat, kondusif dan lengkap segala infrastrukturnya. Yang paling utama adalah bahan rujukan yakni perpustakaannya dan para tenaga pengajar yang hebat dalam bidang pengkhususan masing-masing.


Ya, kosnya sangat tinggi. Namun apakah ia diberikan perhatian secara serius dan kertas kerja mandiri ada dibuat di peringkat exco bagi memikirkannya? Kenapa tidak idea yang sama bagi mendapatkan dana membina jalan raya Kuala Krai  - Gua Musang digunakan untuk membina pusat pengajian yang lebih hebat? Bukankah PAS sangat arif dan pandai dalam bab mengutip derma dan menguruskannya pada tempat yang betul? Isunya adalah ada atau tidak usaha yang bersungguh-sungguh di peringkat pengurusan eksekutif bagi melakukan pembaharuan kepada satu-satunya pusat pengajian tinggi di Kelantan itu? Paling tidak idea untuk mewacanakannya.


Penulis juga yakin jika cadangan infaq dan wakaf dilancarkan bagi menubuhkan atau menaiktarafkan institusi ynag sedia ada ke peringkat yang lebih mantap persembahan fizikal dan budaya ilmunya, pasti rakyat Kelantan tidak akan lokek untuk menderma. Ini kerana rakyat Kelantan antara rakyat yang sangat cintakan ilmu agama sebagaimana mereka dididik selama hampir 23 tahun.


Mengembalikan `izzah Negeri Serambi Mekah


Gelaran Negeri Serambi Mekah diberikan kepada Kelantan sama dengan Negeri Acheh Darussalam sebab kedua negeri pernah menjadi orientasi kepada institusi keilmuan unggul di Nusantara. Bukan hanya murid tempatan yang datang mengaji dengan guru-guru di sana namun murid dari serata tempat datang semata-mata ingin berguru di Kelantan dan Acheh.


Jika dilihat dari perspektif yang berbeza, huru-hara yang berlaku di negara-negara Arab ada hikmahnya. Sebagaimana contoh apabila Syria mula bergolak, para alim ulama yang anti Basyar al-Asad terpaksa menjadi pelarian politik sebagaimana Syeikh Dr Muhammad Ali al-Sobuni, seorang mufassir dan ahli al-Qur’an yang diperakui kealimannya.


Alangkah baiknya, saat beliau berkelana disebabkan kekacauan politik di negaranya itu, Kelantan menjemput beliau menjadi ilmuwan tamu kehormat dengan memberikan segala kemudahan bagi beliau menyampaikan syarahan dan perkongsian ilmu di sana.


Hal yang sama berlaku kepada Shaykh Sa`id Hawwa apabila beliau mendapat suaka politik daripada al-Malik Fayshal sehingga beliau menjadi rektor sebuah daripada universiti di Arab Saudi pada suatu masa dahulu. Pastinya dengan ada seorang alim besar itu, ia menjadi daya tarikan bagi pelajar dari seluruh pelusuk tempat datang ke Kelantan bagi mendapatkan khidmat syeikh malah berguru secara langsung daripada beliau.


Melahirkan insan berilmu dan beradab


Islam adalah agama yang meletakkan ilmu di tempat yang tertinggi dalam kehidupan manusia. Ini jelas terpancar pada kalimah yang pertama pada wahyu yang pertama yang berbunyi Iqra’ iaitu bacalah. Membaca adalah amalan yang signifikan dengan aktiviti keilmuan dan keintelektualan.


Sejarah juga merakam dengan tinta emas betapa ramai dan hebat sumbangan sarjana Islam kepada ketamadunan dan peradaban dunia, bukan sahaja kepada dunia Islam malah dunia Barat serta seluruh dunia umumnya. Buku karangan Shaykh Sayyid Abu al-Hassan Ali al-Hasani al-Nadwi berjudul Maza Khathir al-`Alam bi al-Hithai al-Muslimin (Apakah Kerugian Dunia Akibat Daripada Kemunduran Umat Islam) antara yang membincangkan tuntas mengenai hal ini.


Usul dan idea seorang sarjana dan pemikir ulung dalam bidang sejarah dan tamadun Islam tempatan, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang merupakan pengasas sebuah institusi keilmuan berstatus antarabangsa malah diperakui kerja kesarjanaan dan keintelektualannya di peringkat dunia, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam atau International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) wajar diberi perhatian.


Prof al-Attas dalam banyak penulisan dan syarahan menyatakan punca utama masalah umat Islam sama ada faktor luaran atau dalaman adalah ‘kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu’. [lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978), Islam and Secularism, Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia, h. 99-103]


Kemudian, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud yang merupakan murid kanan Prof al-Attas dalam usaha menjelaskan persoalan dan menawarkan penawar kepada masalah melahirkan buku berjudul Budaya Ilmu: Satu Penjelasan yang berulang kali dicetak dan dikemas kini kerana keperluan akademiknya di peringkat pengajian tinggi.


Karya tersebut adalah hasil daripada pengamatan intelektual dan pengalaman beliau selama berkecimpung dalam dunia akademik khususnya dalam bidang pemikiran, sejarah dan tamadun Islam ini wajar ditelaah dan dijadikan panduan asas bagi memangkin sebuah suasana baru memartabatkan ilmu melebihi budaya politik sebagaimana yang memborak sekarang.


Menurut Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam kata pengantar edisi kedua buku tersebut, “Masalah politik dalaman umat Islam seluruh dunia seperti tiada kesudahannya. Pemimpin politik dan parti pemerintah sentiasa berubah, namun maslaah-maslaah pokok umat masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian. Percaturan politik di beberapa buah negara Islam banyak ditentukan oleh pengundi dan kuasa politik dan kuasa ekonomi masyarakat bukan Islam.


Dalam keadaan sosiopolitik dan psikologi umat sebegini, perbincangan mengenai budaya ilmu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tidak begitu sesuai, tidak relevan. Pada anggapan mereka, isu sedemikian semata-mata bersifat teoritikal, tidak praktikal.” [lihat Wan Mohd Nor Wan Daud (2007), Budaya Ilmu: Satu Penjelasan, edisi kedua, Singapore: Pustaka Nasional Pte. Ltd., h. 9]


Kesimpulan


Sepanjang sejarah dan tamadun Islam, ramai pemerintah yang hebat sumbangannya kepada Islam namun yang tetap suka dibicarakan kemudian adalah keburukan mereka berbanding sumbangan mereka. Namun bagi seorang ilmuwan, sarjana dan ulama meskipun dirinya mempunyai kekurangan manusiawi malah mungkin melakukan dosa kecil atau besar, tetap umat kemudian hanya mahu membicarakan sumbangan keilmuwan mereka lebih berbanding keburukan mereka itu. Begitu ilmu memuliakan manusia, di dunia dan akhirat sebagai janji Allah jika ikhlas kerana-Nya.

* Artikel ini sudah diterbitkan oleh www.malaysiakini.com di alamat http://www.malaysiakini.com/letters/237643 dengan tajuk yang sama dan di laman www.themalaysiainsider.com di alamat http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hari-raya-pertama-bersama-mb-baru-di-kelantan-zahiruddin-zabidi juga dengan tajuk yang sama.


* Artikel ini mendapat respon daripada Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan beliau membuat pembetulan berkenaan dengan masa yang tepat penaiktarafan KUIN sebagai kolej universiti adalah sebelum pemerintahan PAS di Kedah 2008-2013 lagi. Penulis memohon maaf atas ralat tersebut.

Ramadan Membangkitkan Intelektual dan Kerohanian Umat Islam

“BULAN Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ada tiga asas penting dalam ayat ini selepas penyataan bahawa Allah menurunkan al-Qur’an dalam bulan Ramadan iaitu bagi:

1. Menjadi petunjuk kepada sekalian manusia
2. Menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
3. (Menjelaskan) Perbezaan antara yang benar dengan yang salah

Ketiga-ketiga penyataan ini mempunyai signifikasi yang jelas mengenai fungsi al-Qur’an diturunkan kepada manusia melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad salla'Llahu `alayhi wasallam. Semuanya berkaitan dengan manusia dan semuanya melibatkan zahir dan batin manusia itu sendiri khususnya daya intelektual.

Ketiga-tiga elemen ini kemudian mengingatkan penulis kepada sebuah buku yang dikarang oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas yang khusus membicarakan mengenai golongan intelektual, melalui bukunya yang berjudul Intelektual Masyarakat Membangun, terjemahan daripada versi asal dalam bahasa Inggeris, Intellectuals in Developing Society

Antara istilah yang banyak digunakan dalam buku tersebut adalah ‘bebal’ sebagai lawan kepada golongan intelektual yang kemudian diungkapkan sebagai ‘bebalisme’.

Antara lain, dalam kata pengantar oleh anakanda Prof Dr Syed Hussein Alatas sendiri iaitu Prof Dr Syed Farid Alatas, beliau telah menulis: 

“Sepanjang kehidupan intelektualnya, Syed Hussein Alatas khuatir akan penguasaan masyarakat sedang membangun ‘oleh orang-orang bebal’ (nota penulis: lawan kepada kaum intelektual), iaitu, revolusi orang-orang bebal. Antara ciri-ciri orang-orang bebal termasuklah (nota penulis: pembahagian dan penomboran dibuat bagi memudahkan bacaan):

1. Ketidakmampuan menganalisis masalah,

2. ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah tersebut dikemukakan kepadanya,

3. ketidakmampuan belajar apa yang diperlukan,

4. ketidakmampuan belajar seni belajar, dan

5. tidak mengakui kebodohannya.” [lihat Syed Hussein Alatas (2009), Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, h. xv]

Barangkali tidak salah jika dinyatakan bahawa, antara golongan yang dapat memanfaatkan al-Qur’an dan daya fungsinya yang sudah ditetapkan secara mutlak (absolute) oleh Allah adalah golongan intelektual itu sendiri, khususnya yang memahami dan berserah diri kepada haqiqat Islam dan Iman. Orang bebal pastinya tidak memahami fungsi al-Qur’an atau meskipun mereka tahu, mereka tidak mahu mengambil manfaat.

Bukankah fungsi intelektual itu akhirnya adalah untuk membuahkan penyelesaian-penyelesaian kepada masalah manusia di dunia dan akhirat berbasis kepada wahyu Allah, dan mengembali jiwa-jiwa dan akal kepada perhambaan Allah yang mutlak? Bukankah itu kebijaksanaan bagi seorang manusia yang mukallaf?

Ini dilengkapkan lagi apabila wahyu yang pertama diturunkan adalah Surah al-`Alaq ayat satu hingga lima, dan Allah telah memilih kalimah ‘Iqra’ sebagai kalimah yang berbentuk arahan (fi`il amar) kepada Rasulullah s.a.w. sebagai kalimah yang pertama dalam wahyu yang pertama itu. Rasulullah s.a.w. malah terpaksa bersusah payah dipeluk dan dilepaskan sebanyak tiga kali sebelum kalimah tersebut benar-benar diajarkan kepadanya.

Persoalannya kenapa Iqra? Kenapa tidak ‘Berimanlah (kamu wahai Muhammad)’, ‘Islamlah (kamu wahai Muhammad) atau ‘Sujudlah (kamu wahai Muhammad)’? Ya, kenapa Iqra?

Fenomena Ramadan

Sebelum Ramadan menjelang, pada bulan Jun yang lalu penulis telah menulis sebuah artikel dalam Majalah I terbitan Karangkraft Sdn. Bhd. sebuah artikel berjudul Strategi Mantap Hadapi Ramadan dengan mendatang cadangan bagi dilakukan suatu amalan yang sedikit berbeza dengan amalan kebiasaan khususnya dalam tiga aspek iaitu solat tarawih, infaq Ramadan dan tadarrus al-Qur’an.

Dalam bab solat tarawih, isu khilaf sama ada lapan atau dua puluh rakaat bukanlah satu isu yang besar malah sudah selesai sejak lama dahulu dibahaskan oleh para `alim `ulama’ yang jauh lebih hebat daripada yang ada pada hari ini. Namun ada beberapa elemen yang begitu istimewa dengan tarawih pada bulan Ramadan yang wajar dikaji dari perspektif yang sedikit berbeza.

Antara keistimewaan tarawih pada bulan Ramadan khususnya pada malam 10 awal, antara fenomenanya adalah orang Islam yang entah daripada mana memenuhi masjid-masjid seluruh negara malah seluruh dunia bagi melaksanakan solat sunat tarawih.

Tanpa ada paksaan, tanpa ada bayaran, tanpa didakwah oleh sesiapapun, tanpa mengira latar belakang pengajian, umur, rupa, jantina dan latar belakang kehidupan sosial, ramai yang teruja hendak ke masjid. Malah sesetengah masjid atau surau terpaksa memasang khemah khas bagi menampung jemaah.

Ini fenomena yang hanya terjadi setahun sekali dan paling kritikal adalah 10 malam awal (barangkali terkesan dengan ungkapan – Ramadan awwaluhu rahmah!). Fenomena masjid yang penuh ini tidak boleh dibandingkan dengan solat Jumaat kerana solat Jumaat hanya lelaki sahaja yang ramai, namun 10 malam awal Ramadan; ayah, emak, anak kecil, anak remaja, datuk, nenek, cucu dan hampir semuanya teruja hendak ke masjid dan surau.

Namun, selepas habis 10 malam awal dan masuk malam ke 15 Ramadan, jemaah semakin surut mendadak khususnya di masjid-masjid yang melaksanakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakat tambah tiga solat witir.

Penulis pernah menulis status di Facebook yang berbunyi, “Sayang... jemaah yang ramah dengan Ramadan dibiarkan berlalu kerana keegoan angka tarawih.”

Psikologi angka dalam menyantuni manusia

Muslim rata-rata malas solat, ya, ini terbukti dalam beberapa siri perkongsian penulis melalui ceramah dan tazkirah, apabila ditanya mereka bersetuju atau tidak secara umumnya orang Islam malas solat, jawapannya adalah rata-rata mereka bersetuju walaupun malu-malu kucing.

Bahkan barangkali, ada yang terfikir setelah mendengar hadith mengenai Rasulullah salla'Llahu `alayhi wasallam mikraj ke langit ketujuh bertemu Allah di sidratul muntaha untuk menerima solat, kemudian berlaku penawaran jumlah solat daripada 50 hingga jadi 5 rakaat atas nasihat Nabi Musa `alayhi'l-salam Barangkali ada yang terfikir, “Alangkah bagusnya Rasulullah salla'Llahu `alayhi wasallam naik sekali lagi sebagaimana yang disarankan oleh Nabi Musa!”

Hujjat al-Islam Imam al-Ghazzali rahimahu'Llah juga pernah membayangkan dalam teka-teki berhikmah dengan murid-murid beliau tatkala bertanya apakah perkara yang paling ringan atas dunia ini, daripada jawapan seperti kapas, debu, bulu dan lain-lain daripada anak muridnya – solat menjadi jawapan.

Persoalannya, bagaimana mahu menyantuni orang Islam yang kurang rajin solat ini? Terletak pada jumlah angka solat yang mahu dilaksanakan. Perlu difahami bahawa hadirin pada 10 malam awal adalah daripada pelbagai latar belakang sosial, barangkali ada yang tidak pernah solat langsung, barangkali ada yang pertama kali datang masjid, barangkali ada yang terpaksa datang kerana baru berkahwin dan tinggal bersama mertua yang warak lagi suka ke masjid. 

Macam-macam ada! Apakah kita mengharapkan mereka akan terus mahu dan seronok untuk menunaikan solat sunat tarawih 20 rakaat bersama dengan jemaah tegar masjid yang salih lagi warak?

Justeru, jika pada malam pertama imam terus mengumumkan bahawa masjid tersebut melaksanakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dengan tiga witir, ternyata ramai yang mengeluh dan kedengaran ada yang berkata, “Kita silap masjid. Sepatutnya kita pergi ke masjid sana.”

Tapi jika imam mengisytiharkan, “Masjid kita hanya buat lapan rakaat sahaja….” Pastinya ramai yang tersenyum dan berasa tidak ada masalah untuk mereka menyelesaikannya, kerana ia adalah lapan dan bukan 20. 

Meskipun kemudian lapan rakaat tersebut dipenuhi dengan bacaan yang tartil oleh imam jemputan dan bagi setiap rakaat satu muka al-Qur’an yang menjadi hidangan jemaah. Di antara empat rakaat pula berhenti sejenak dalam 20-30 minit bagi pengisian tazkirah yang terfokus dan terpilih layaknya diatur dengan kemas dan strategik oleh pihak pengurusan masjid.

Ternyata, masjid yang buat 20 rakaat dan kebanyakannya dilakukan dalam keadaan yang agak tergesa dan laju, sama ada bacaan dan gerakan (malah ada imam yang membaca al-Fatihah hanya senafas sahaja!) dibandingkan dengan masjid dan surau yang buat lapan rakaat dengan tiga witir namun tartil beserta dengan tazkirah, yang manakah lebih bermakna dalam menyantuni manusia yang kurang rajin solatnya itu?

Itulah dakwah, menyantuni mad’u yang datang menyerah diri kepada Allah dengan hikmah bukan dengan keegoan angka dan kuasa.

Tazkirah platform pencetus kesedaran intelektual dan rohani

Tazkirah semasa solat sunat tarawih menjadi polemik kerana sudah digaul aduk dalam mangkun politik kepartian. Malah beberapa mufti dan MP sama ada daripada BN dan PR memberikan pandangan mereka.

Benarlah ungkapan, “Dalam politik kepartian, sesiapa yang tidak bersama kita dan bersekutu dengan kita adalah musuh (meskipun kemudian orang itu juga boleh lompat masuk parti lawannya dahulu dan dianggap hero pula!). Namun dalam dakwah, semua manusia adalah mad’u yang berpotensi untuk diajak ke jalan Allah.” 

Ketidaksetujuan pihak tertentu adalah kerana mereka tahu golongan yang paling banyak mengisi ruang tazkirah di surau dan masjid di seluruh negara adalah ustaz-ustaz yang sama ada terang-terang adalah orang PAS termasuk pimpinan tertinggi, ADUN dan MP atau pendokong PAS. 

Tanpa mengira dan memahami latar belakang jemaah masjid dan surau yang pelbagai, sesetengah ustaz yang terlalu kuat parti masing-masing tanpa segan silu menjadikan platform tazkirah untuk menghentam musuh-musuh parti mereka sehingga ada yang berlebih-lebihan (ghuluw) dalam ‘mengata’ musuh politik mereka itu.
  
Keadaan ini mendatangkan rasa tidak selesa segelintir jemaah yang sememangnya datang bagi beribadah dan mendapatkan secebis pengajaran, semangat dan dorongan daripada tazkirah tapi sebaliknya yang mereka dapat adalah sesak dada dan keliru. Akhirnya mungkin sahaja itu kali pertama dan terakhir dia ke surau dan masjid. 

Modul tazkirah yang berkesan

“Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna)” (Surah al-`Ala, ayat 9)

Ada empat tempat dalam al-Qur’an menggunakan kalimah fa dhakkir yang bermaksud maka berilah peringatan. Memberi peringatan adalah tugas kenabian dan kerasulan, ia adalah tugas dakwah yang diwarisi daripada para anbiya’ dan ulama salafus salih. Dalam kes tazkirah pada bulan Ramadan ia perlu strategik dan pastikan ia sesuai dan berkesan kepada jemaah yang pelbagai tadi khususnya pada 10 malam awal.

KPI pihak pengurusan masjid adalah bagi memenangi hati para jemaah agar berasa seronok dan selesa berjemaah di masjid dan mampu mengekalkan mereka sehingga 10 malam akhir seterus menambah jumlah jemaah tetap masjid dan surau mereka itu. Justeru beberapa perkata perlu dilakukan iaitu:

1. Memberikan taklimat ringkas mengenai latar belakang sosial secara umum jemaah masjid dan surau dan apakah objektif yang mahu diperolehi daripada tazkirah tersebut.

2. Pastikan hanya ustaz-ustaz yang benar-benar berkualiti ilmunya bagi menyampaikan tazkirah dan diyakini mampu membujuk dengan hikmah hati-hati jemaah masjid untuk kekal berjemaah di masjid.

3. Pastikan ustaz-ustaz diberi panduan fokus tazkirah yang perlu mereka sampaikan, sama ada tadabbur ayat al-Qur’an yang dibaca oleh imam tarawih atau menghuraikan hadith-hadith tertentu.

4. Mengingatkan pada ustaz ini agar menepati masa, paling maksimum adalah 30 minit sahaja.

Dengan sedikit panduan ini, ustaz-ustaz akan lebih bersedia bagi menyampaikan tazkirah dan mereka juga akan berusaha memahami dan melakukan yang terbaik bagi menyantuni masyarakat yang pelbagai itu. 10 malam awal wajar dipenuhi dengan pentazkirah yang dengan lemah lembut memujuk dan menyiramkan hati jemaah agar dibasahi dengan hikmah.

Menyampaikan kebaikan-kebaikan dan keindahan Islam kepada mereka melalui ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith sahih dengan mendatangkan cerita tentang keluasan rahmat Islam dan Allah. 

Cerita-cerita daripada hadith seperti cerita seorang lelaki yang membunuh 99 orang yang akhirnya masuk syurga, kisah seorang pelacur yang memberi seekor anjing minum lantas dikurniakan syurga adalah antara bentuk cerita yang wajar dikemukakan kepada jemaah kerana cerita daripada hadith-hadith itu akan membibitkan rasa mengharap kepada rahmat dan rahim Allah `Azzawajal yang maha luas itu.

*Artikel ini telah diterbitkan oleh www.malaysiakini.com di alamat http://www.malaysiakini.com/news/236774 dengan tajuk Ramadan Bangkitkan Intelektual Umat Islam.